Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Isnin, 31 Mac 2008

Lebih seribu hadiri mesyuarat agung Pemuda PAS Baling

Oleh Izwan Abdul Halim

Dewan Pemuda PAS Kawasan Baling menjadi kawasan terawal di Kedah yang mengadakan mesyuarat agung tahunan.

Mesyuarat yang berlangsung di Dewan Tun Razak, Baling baru-baru ini itu merupakan yang pertama dalam sejarah apabila dihadiri lebih seribu pemuda dari semua cawangan.


Mesyuarat Kali Ke-26 tersebut telah dirasmikan oleh AJK PAS Pusat, YB Ir. Hj. Amiruddin Hamzah yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Kedah.

Berucap dalam perasmian tersebut, beliau mengimbas kejayaan dalam PRU-12 yang lalu sebagai kejayaan yang pernah dirintis generasi awal Islam.

Katanya sejarah Islam membuktikan generasi lalu juga menang walaupun tanpa jumlah kekuatan yang ramai dan material yang mencukupi.

"Jika pada PRU 1999 kes Dato' Seri Anwar Ibrahim menjadi pencetus kepada kebangkitan rakyat, kebobrokan yang berlaku dalam pemerintahan BN menjadi tsunami politik pada PRU Ke-12 yang berlangsung baru-baru ini," ujarnya.


"Tuan-tuan, ini semua pertolongan Allah sebagaimana janji-Nya bahawa pertolongan itu sentiasa dekat,"tegasnya mengingatkan.

Beliau juga menyeru seluruh pemuda, khususnya pemuda Baling agar mempersiapkan diri untuk menjadi ansarullah iaitulah penolong agama Allah.

Tegasnya, persiapan tersebut penting dalam mempertahankan dan mengisi kemenangan yang dicapai.

"Pemuda juga bukan sahaja harus berperanan mengisi gerakerja di bawah kerajaan negeri, bahkan mesti menguatkan peranan memperkukuhkan parti," tambah beliau.
Beliau turut memaklumkan perkembangan terkini di bawah Kerajaan Negeri selain menyebut beberapa perkara sepanjang tempoh awal peralihan kuasa yang dipenuhi sabotaj oleh pihak tertentu.

Selain itu beliau juga menyentuh keadaan politik semasa negara yang disifatkan beliau wujud pertembungan ciptaan pimpinan BN dengan banyak pihak.


Di akhir ucapannya, YB Amiruddin mengajak seluruh pemuda menggunakan kemenangan ini sebagai peluang yang lebih luas untuk mendekati masyarakat dengan menjadikan dakwah sebagai kerja asas pemuda. Dengan itu harapannya masyarakat akan dapat melihat kecantikan Islam yang sebenarnya.

Majlis yang bermula seawal jam 9.30 pagi itu turut diwarnai dengan upacara pemeriksaan barisan anggota Unit Amal, nyanyian lagu rasmi PAS, kaunter keahlian pemuda, pertunjukkan multimedia, penyampaian sijil penghargaan dan laungan wehdah.


Hadir sama ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah, Ustaz Musoddak Hj. Ahmad; Ahli Parlimen Baling, YB Ustaz Taib Azemuddin Md Taib; ADUN Kupang, YB Cikgu Johari Abdullah; ADUN Kuala Ketil, YB Cikgu Mat Zuki Yusof; Yang Dipertua PAS Kawasan Baling, Tn Guru Hj. Abdul Wahab Hassan bersama ahli jawatankuasanya dan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Baling, Ustazah Che Tah Hassan bersama ahli jawatankuasanya. - mks.

Baca Seterusnya......

Khamis, 13 Mac 2008

Dr Mahathir tidak perlu menamakan Najib sebagai PM

Oleh Mohd Sayuti Omar

Barang kali begitulah politik. Musuh akan mengambil kesempatan atas apa saja ruang dan peluang yang ada. Dendam dalam politik juga tidak mudah untuk lenyap. Tidak kira siapa pemain politik itu, orang kampung atau orang bandar, kerani sekolah ataupun seorang doktor. Sifat politik itu sebagai satu game, tidak dapat dielakkan.

Begitu juga dengan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad beliau tidak terkecuali daripada memiliki sifat dan sikap politik sekular itu. Dr Mahathir nampaknya mengambil peluang atas keadaan orang yang beliau sendiri lantik, Abdullah Ahmad Badawi yang kini tenat untuk melepas dendamnya.

Abdullah kini dalam keadaan sakit. Kalau pun beliau tidak lumpuh tetapi separuh bahagian badanya mengalami sengal dan ngilu yang teruk. Kekalahan teruk BN kelmarin melumpuhkan dirinya. Dan beliau kini dalam keadaan trauma.

Dalam keadaan begitu sepatutnya Dr Mahathir melawat dan merawat kawannya itu. Tetapi lain pula jadinya. Dr Mahathir nampaknya mengambil kesempatan atas kesakitan Abdullah itu untuk menambah penyeksaannya. Dr Mahathir sedikitpun tidak bersimpati bila mana beliau secara terang meminta Abdullah berundur.

Semalam Dr Mahathir telah memanggil sidang akhbar khas untuk mengulas mengenai kekalahan teruk BN. Dalam analisa Dr Mahathir kekalahan itu ialah disebabkan kepimpinan Abdullah. Rakyat tidak menerima kepimpinan Abdullah. Beliau menyalahkan orang yang dilantiknya sendiri dan kemudian meminta Abdullah berundur. Lepas jawatan dan serahkan kepada Najib Razak.

Memang wajar desakan Mahathir itu. Kekalahan mesti dipertanggungjawabkan oleh Abdullah. Kalau kemenangan dalam pilihan raya umum 2004, Abdullah merayakannya dan angkuh menerima kemenangan gemilang itu kerananya, maka begitu juga kekalahan kelarmarin yang juga mencatat sejarah hitam maka beliau perlu memukulnya.

Tidak perlu lagi Abdullah mencari seribu alasan. Sebelum ini sudah ramai orang memberitahu dan mengajar beliau agar memperbaiki apa yang dilihat buruk dan huduh dalam pentadbirannya. Sudah banyak orang mengejutkan beliau yang selalu tidur dalam majlis-majlis agar bangkit dan memperbetulkan kesilapan. Namun beliau terus bersikap ‘sadin’ – acuh tidak acuh dengan segala teguran itu.

Abdullah tidak responsif kerana leka dengan kuasa dan kemenangan besar tahun 2004. Beliau asyik dengan period bulan madunya yang tidak pernah habis. Abdullah yang belum ada pengalaman sebagai PM juga merasakan beliau dalam keadaan selesa dan syok sendiri dengan merasakan apa yang beliau lakukan diterima rakyat. Beliau terdodai dengan ulikan dan dodoian para pembodeknya dan juga pujian-pujian di meja makan oleh menanrunya bernama Khary Jamaluddin.

Perlecanran plan wilayah ekonomi, selatan, utara, timur, Sabah dan Sarawak benar-benar menjadikan Abdullah syok sendiri dan beranggapan rakyat menerima umpan pembangunan itu bagi menelan jorang kosong BN. Abdullah merasakan beliau hebat apabila melancarkan plan berkenaan. Bagi beliau itulah legasi pembangunan untuk negara dalam hayatnya sebagai PM.

Waktu dan saat paling wajar Abdullah melepaskan jawatan ialah pada malam kelmarin sebaik beliau menyedari BN kehilangan banyak kerusi. Kemuncak beliau harus lepas jawatan ialah apabila Kelantan yang diidamkan itu telah berajaya dirangkul Pas dan setelah menyeadari sasaran pembangkang untuk menafikan majoriti 2/3 di parlimen menjadi kenyataan. Tetapi di mana maruah orang politik seperti Abdullah Ahmad Badawi itu?

Bukan saja Kelantan gagal ditawan namun kandatipun empat buah negeri terlepas beliau seolah tidak perasaan apa lagi yang berlaku. Kejayaan BN mengekalkan kerajaan di tujuh buah negeri masih djadikan alasan kukuh unutk terus damai atas kerusi PM dan menegakkan benang yang semakin basah dan mengendur.

Biarlah Abdullah terjun dengan labu-labunya, biarlah beliau terus terlena dalam tidurnya...

Apa sedikit hendak diperbetulkan di sini ialah mengenai sikap dan tindakan Dr Mahathir Mohamad. Dr Mahathir pun tidak betul seratus peratus. Saya percaya ramai yang bersetuju dengan pandangan dan desakan Dr Mahathir itu. Abdullah kena ambil tangugngjawab dan memikul bebannya seperti mana yang beliau (Dr Mahathir) lakukan pada tahun 2004. Disebabkan BN mengalami kekalahan besar tahun 1999, Dr Mahathir mengambil langkah berundur secara ‘rela dalam paksa’ walaupun beliau masih sayangkan kepada kerusi PM.

Tetapi ada sesuatu yang tidak kena dan menampakkan Dr Mahathir juga seakan masih melupa diri bila mana beliau menamakan Najib Razak sebagai pengganti Abdullah. Dr Mahathir berhak menyuruh Abdullah berhenti tetapi beliau tidak untuk berhak menamakan Najib. Umum tahu beliau suka dan mahukan Najib menjadi PM kerana ada sebab-sebab terlalu personal namun cara itu tidak betul dan salah.

Budaya dan tradisi menamakan siapa bakal menjadi PM tidak relevan lagi. Umno perlu dibebas dan dilepaskan untuk memilih pemimpinnya. Calon yang layak menjadi PM dalam Umno bukan Najib seorang namun masih ramai.

Dr Mahathir tidak perlu susah-susah untuk melobi Najib menajdi PM. Dr Mahathir juga perlu sedar, bahawa apa yang beliau lakukan selama ini adalah silap dan salah. Pilihan Dr Mahathir sebagai calon PM senantaisa tidak menjadi. Bukankah Abdullah itu sendiri adalah pilihannya. Apabila Abdullah gagal dan mengecewakan rakyat Dr Mahathir juga harus bertanggungjawab!

Hendaknya janganlah Dr Mahathir terus menambahkan kesilapan dan menebalkan buku sejarah buruk mengenai dirinya. Tidak semua pandangan Dr Mahathir mengenai Najib diterima oleh ahli Umno. begitu juga keputusan-keputusan beliau semasa menjadi PM dahulu.

Banyak keputusan Dr Mahathir mengecewa dan mengilankan orang Melayu. Malah sedikit sebanyak masalah dan beban dipikul Abdullah adalah hasil peninggalan bekas PM ke 4 itu.

Sebaiknya bukakan soal memilih calon PM itu kepada ahli Umno. Untuk merealisasikan ini dan memperlihatkan Umno terbuka, adil dan bebas, sekatan dan gari yang dicipta khas untuk mengukuhkan kedudukan orang di atas iaitu sistem kouta bagi melayakkan seseorang bertanding jawatan tertinggi dalam Umno hendaklah dihapus. Tidak munsabah bagi sebuah parti yang dibanggakan sebagai parti terbesar dan terlama di dunia mengamalkan sistem tidak demokratik itu.

Selagi kepimpinan Umno dinamakan atau pun dipilih oleh beberapa orang saja, maka masalah yang sama akan berulang. Kronisme yang selama ini meruntuhkan institiusi kepartian Umno akan turus berulang dan jika ia diteruskan lama kelamaan menyebabkan orang merasakan Umno sebagai sebuah syarikat sendiri berhad yang hanya diurus tadbirakan oleh tiga orang lembaga pengarah saja. Apakah ahli Umno mahu parti itu terus menjadi syarikat sendirian berhad?

Baca Seterusnya......

Lim Guan Eng Pegang Portfolio Pembangunan Industri Dan Hal Ehwal Tanah Negeri

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini mengumumkan akan memegang portfolio pembangunan industri dan perdagangan antarabangsa, hal ehwal tanah dan pembangunan tanah dalam kabinet negeri.

Timbalan Ketua Menteri pertama Mohammad Fairus Khairuddin pula bertanggungjawab mengenai hal ehwal agama, pembangunan keusahawanan dan koperasi, penerangan dan perhubungan masyarakat.

Timbalan Ketua Menteri kedua Dr P. Ramasamy bertanggungjawab mengenai perancangan ekonomi negeri, pendidikan dan sumber manusia, sains, teknologi dan innovasi, kata Lim dalam satu kenyataan akhbar selepas majlis angkat sumpah dua timbalan ketua menteri dan lapan anggota Exco negeri di sini.

Mereka mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas di Dewan Sri Pinang.

Anggota Exco Chow Kon Yeow yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota dipertanggungjawabkan memegang portfolio kerajaan tempatan, pengurusan lalulintas dan alam sekitar.

ADUN Bagan Jermal Lim Hock Seng pula merupakan anggota Exco bagi Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air dan Telekom) serta Pengangkutan (Udara, Laut dan Keretapi).

ADUN Bukit Tambun Law Heng Kiang bertanggungjawab bagi Pembangunan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, dan anggota Exco Phee Boon Poh pula memegang portfolio Kesihatan dan Kebajikan, dan Masyarakat Penyayang.

ADUN Air Itam Wong Hon Wai bertanggungjawab bagi Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa manakala satu-satunya anggota Exco wanita, ADUN Berapit Ong Kok Foi, memegang portfolio Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti.

Sementara itu wakil PKR, ADUN Batu Maung Abdul Malik Kassim menjadi anggota Exco bagi Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan ADUN Bukit Tambun Law Choo Kiang merupakan anggota Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembanguan Luar Bandar dan Tebatan Banjir.

Baca Seterusnya......

Senarai exco Kerajaan Negeri Kedah

SEPULUH anggota Exco Kerajaan Kedah mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Wisma Darulaman, semalam, tanpa wakil DAP.
Daripada 10 anggota Exco itu, tujuh daripada Pas dan tiga wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tujuh Exco Pas yang mengangkat sumpah semalam ialah Amiruddin Hamzah (Anak Bukit); Taulan Rasul (Tokai); Phahrolrazi Zawawi (Pengkalan Kundor); Aishah Ghazali (Merbau Pulas); Dr Hamdan Khalib (Tanjung Dawai); Dr Ismail Salleh (Alor Mengkudu) dan Abdullah Jusoh (Pantai Merdeka).

Sementara itu tiga wakil PKR ialah V Arumugam (Bukit Selambau); Tan Wei Su (Bakar Arang) dan Mohd Radzi Saleh (Lunas).

Pas yang mengetuai kerajaan hanya mengumumkan kerajaan negeri adalah gabungan antara parti itu dan PKR.

Baca Seterusnya......

Almarhum Fadzil Noor perintis sebenar kemenangan rakyat 8 Mac

Oleh Faisal Tehrani
UNTUK penggerak dan peneraju gerakan Islam di Malaysia, siri kuliah 'Aqidah dan Perjuangan' oleh Ustaz Fadzil Noor yang kemudian dibukukan oleh Dewan Pemuda Pas Pusat adalah satu monumen; seakan-akan manifesto perjuangan yang mesti dibaca.

Lapan tahun Presiden PAS, dan Ketua Pembangkang yang berkaliber Dato' Fadzil Mohd Noor sudah pergi meninggalkan kita.

Lapan tahun itu sebenarnya masih terlalu muda kerana hanya minggu lalu kita mengecapi 'kejayaan' yang sebetulnya dirintis oleh almarhum. Tanpa menafikan Anwar Ibrahim sebagai pemangkin kejayaan Barisan Rakyat baru-baru ini, ustaz Fadzil Noor adalah insan yang pertama memungkinkannya.

Buat mereka yang masih muda dan tidak pernah mendengar nama beliau, ustaz Fadzil atau Ali bin Mohd Noor dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, Alor Setar, Kedah. Moyang arwah adalah Tuan Guru Hj Idris yang lebih dikenali sebagai Tuan Syeikh Idris Al-Jarumi yang merupakan seorang ulama’ terkenal di Kedah asal Patani.

Ustaz Fadzil Noor pernah menjadi Setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (1974-1976), Setiausaha Penerangan ABIM (1973-1974) dan Timbalan Presiden ABIM (1974-1978). Semasa memimpin ABIM, 'aspirasi rakyat yang baru kita kenal manisnya 8 Mac lalu' telah pun diharung dengan penuh kepahitan oleh Ustaz Fadzil Noor.

Sebelum Tian Chua, Mohamad Sabu, dan pimpinan Hindraf pandai berdemonstrasi ustaz Fadzil telah turut terlibat dalam demonstrasi membela rakyat miskin di Baling, Kedah pada tahun 1974. Ketika Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA di Kamunting dari tahun 1974 hingga 1976, Ustaz Fadzil Noor menjadi Pemangku Presiden ABIM.

Al-marhum telah menjadikan perjuangan membela rakyat sesuatu yang sebati. Dan itu bukan hanya kata-kata kerana Ustaz Fadzil Noor pernah ditahan dua kali oleh pihak polis. Kalau tidak silap saya hujung tahun 1970an, ketika beliau sedang berucap dalam suatu majlis ceramah di Kg Seberang Takir, Terengganu, tiba-tiba pihak polis mengumumkan bahawa ceramah tersebut adalah perhimpunan haram.

Turut hadir dalam ceramah itu adalah Ustaz Abdul Hadi Awang, Mustafa Ali dan Ustaz Fadhullah Shuaib. Tanpa menghiraukan amaran tersebut, Ustaz Fadzil Noor meneruskan ceramahnya. Beliau tidak lain tidak bukan adalah aspirasi dan inspirasi pimpinan Barisan Rakyat hari ini yang beria-ia memperjuangkan perhimpunan aman di bawah satu sistem demokrasi yang adil.

Oleh kerana kedegilan Ustaz itu polis telah menahannya berserta penceramah lain. Mereka bermalam di lokap. Dan penangkapan itu telah meledakkan kemarahan di Kuala Trengganu jauh lebih lama sebelum berlaku peristiwa Batu Buruk tahun lalu.

15,000 orang ahli dan penyokong PAS telah berkumpul di luar kawasan balai polis Kuala Terengganu bagi mendesak pemimpin mereka dibebaskan segera. Hasil perundingan dengan pihak polis Ustaz Fadzil Noor dan pemimpin yang ditahan dalam lokap tersebut dibebaskan tanpa sebarang tindakan.

Beliau juga ditahan oleh pihak polis dalam satu ceramah di Jerlun, Kedah. Seingat saya ia berlaku ketika peristiwa pertelingkahan antara pimpinan PAS dan UMNO mengenai Muassasah Darul Ulum. Ustaz Fadzil Noor telah ditahan semasa berceramah bersama-sama YDP PAS Kawasan Jerlun pada waktu itu, dan dikenakan ikat jamin. Kes tersebut dibawa ke mahkamah tetapi digugurkan setengah jalan berikutan kematian Hj. Shaari.

Mengapa saya katakan Ustaz Fadil sebagai perintis kemenangan rakyat 8 Mac lalu?

1. Barisan Rakyat Mendapat Semangat Beliau

Tatkala Tuan Guru Yusof Rawa uzur dan terpaksa melepaskan jawatan Yang Dipertua PAS, Ustaz Fadzil Noor telah memikul beban paling besar, mara ke hadapan untuk mengambil alih kepimpinan di tengh-tengah tragedi Memali. Dalam sejarah kebangkitan rakyat bagi konteks Malaysia (yang dikecapi manisnya generasi baru 8 Mac lalu), peristiwa Memali adalah suatu peristiwa hitam yang merupakan penindasan kuasa angkuh.

Sebagai antara pembantu Prof Zulkifli Muhammad sebelum itu ustaz sudah pun secara terbuka menerima idea PAS bersekutu dengan kaum-kaum bukan Melayu. Kita semua tahu Prof Zulkifli adalah pemimpin PAS pertama yang mencadangkan agar PAS menerima kaum Cina dan orang bukan Islam sebagai ahli bersekutu PAS.

Dengan idea dan wawasan ustaz Fadzil lah maka beliau menggerakkan pakatan CCC, di mana PAS mulai berjinak-jinak dengan kaum bukan Islam. Barisan Rakyat yang disifatkan oleh Haji Husam sebagai buta warna (kerana rakyat tidak mengira apa ia merah, hitam atau hijau) 8 Mac lalu beroleh manfaatnya dari kerja-kerja awal ustaz inilah.

2. Kebijaksanaan Politik Melampaui Zaman

Idea tahaluf siyasi adalah suatu kebijaksanaan politik yang dikemukakan oleh ustaz Fadzil Noor di mana beliau menunjukkan contoh dengan mewujudkan pakatan bersama Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh dalam Angkatan Perpaduan Ummah.

Kalau tidak kerana tahaluf siyasi ini, hampir sukar untuk PAS memerintah Kelantan pada tahun 1990 dan menguasainya sehingga 8 Mac lalu.

Kebijaksanaan politik beliau jugalah yang membolehkan gejala reformasi ekoran pemecatan Anwar Ibrahim dicetuskan. Jika pemimpin PAS tidak campur tangan serta terlibat 'membantu' Anwar Ibrahim, sukar untuk Anwar mendapat momentum reformasi yang terus ditunggangnya sehingga 2008.


Ini menunjukkan Ustaz Fadzil memilih essence Islam iaitu membantu dan menghulur tangan kepada 'golongan yang tertindas'. Tanpa mengendahkan suara-suara bantahan dalam PAS yang resah, bimbang, dan gerun dengan hubungan akrab Anwar dengan 'Amerika Syarikat', ustaz Fadzil melakukan tindakan nekad, iaitu melihat masa depan dari konteks tempatan.

Ustaz Fadzil adalah orang yang menubuhkan GERAK, dan dengan GERAK itulah beliau merintis penubuhan Barisan Alternatif yang merupakan satu tahaluf siyasi ke arah pembentukan Malaysia Baru. Waktu itu, Anwar sudah berada di dalam penjara.

Wan Azizah 'terkontang-kanting' untuk menjaga momentum reformasi yang makin merosot menjelang turunnya Mahathir. Jika tidak kerana ustaz Fadzil yang merintis kerjasama ini, Parti Keadilan sudah lama hanyut dan berkubur. Di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor, GERAK dilancarkan pada 27 September 1998 di Markaz Tarbiah, Taman Melewar. Puluhan ribu rakyat dan ratusan wartawan dari dalam dan luar negara hadir ke majlis pelancaran tersebut.

Dalam Muktamar PAS ke-45 pada Mei 1999, Ustaz Fadzil Noor menegaskan:
"Kejayaan PAS menggabungkan parti politik dan NGO dalam satu gerakan yang disebut Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia atau GERAK, cukup untuk membuktikan keupayaan kepimpinan PAS menerajui kebangkitan rakyat di negara ini"
Kerjasama Parti Keadilan dan PAS, membawa hasil yang begitu besar kepada PAS dan perjuangan Islam pada pilihanraya 1999. Kebijaksanaan tersebut membolehkan PAS mengekalkan kuasa di Kelantan dan berjaya menubuhkan kerajaan di Terengganu.

Juga kebijaksanaan ustaz telah melunakkan imej Islam sehinggakan YB Tian Chua yang ketika itu merupakan Naib Pengerusi Keadilan, yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kamunting pernah berkata pada tahun 2001 bahawa tidak akan adanya ISA dalam sebuah negara Islam – menyarankan bahawa negara Islam adalah serasi sepenuhnya dengan demokrasi, kemajmukan, hak asasi manusia, hak wanita, kepelbagaian budaya, pembangunan dan pemodenan.

3. Pemimpin Tidak Lupa Sejarah

Sebagai pemimpin yang bijak pendekatan tahaluf siyasi yang dikemukakan oleh Ustaz Fadzil Noor itu sebenarnya tidak terbit dari vakum. Ia adalah kerana kepimpinan terbuka dan sederhana Tuan Guru Yusof Rawa, pimpinan sebelumnya.

Tiada siapa dapat menafikan Tuan Guru Yusof Rawa adalah pemimpin yang bertanggungjawab membuka ruang bagi pemimpin pelapis PAS dengan gagasan 'pakatan politik untuk memenangkan dakwah dan politik Islam' ini. Idea persekutuan dengan kaum Cina sehingga tertubuhnya CCC adalah hasil sokongan Tuan Guru Yusof Rawa.

Mengambil kira itu, Ustaz Fadzil Noor seorang pimpinan yang merenung sejarah dengan tekun di mana beliau tahu juga PAS adalah berakarumbi daripada perjuangan Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol. Hizbul Muslimin adalah usaha Ustaz Abu Bakar Al-Baqir.

Ustaz Fadzil tahu keberanian dan sikap terbuka Ustaz Abu Bakar Al-Baqir yang bertanggungjawab merintis pelbagai tahaluf siyasi menerusi PEPERMAS, MATA, LEPIR dan seumpamanya dijadikan model baru bagi perjuangan PAS yang telah diterajui oleh Ustaz Fadzil Noor.

Ustaz Fadzil juga sedar beliau harus meminjam keberanian Dr. Burhanuddin Al-Helmy yang berjaya menggabungkan lebih 80 buah parti dan persatuan Melayu dalam sebuah gerakan bernama PUTERA. Gerakan PUTERA ini berusaha menuntut kemerdekaan daripada penjajah.

Idea PUTERA inilah yang memberi ilham kepada Ustaz Fadzil Noor untuk mewujudkan gabungan lebih 80 buah parti politik dan NGO melalui GMI untuk mendesak kerajaan memansuhkan undang-undang warisan penjajah, iaitu ISA. Jika tidak kerana apa yang dirintis oleh PAS ini, Bersih, gerakan untuk memberi kuasa kepada rakyat bagi menentang ketidakadilan dan penyewengan demokrasi belum tentu menjadi kenyataan. Bersih kemudiannya menjadi Barisan Rakyat yang menghukum parti tertentu dalam pilihanraya baru-baru ini.


4. Menjadikan Poros Islam Political Force

Kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam Umno satu masa dahulu menjadi luka buat penyokong gerakan Islam. Peranan mengenengahkan Islam itu terpaksa diambil alih oleh Ustaz Fadzil Noor.

Menyedari itu, PAS dibawah ustaz Fadzil juga menyedari bahawa untuk menjadikan Islam relevan di dalam masyarakat majmuk, inti pati Islam lah yang perlu diketengahkan. Falsafah dan bumbu Islam yang universal dan sentiasa munasabah sepanjang zaman perlu dijunjung.

Ustaz Fadzil adalah insan yang bertanggungjawab meminggirkan suara-suara Islam legalitas yang berwajah wahabi dengan penuh bijak untuk menjuarai Islam aktual berteraskan waqi atau keadaan setempat. Beliau telah bertanggungjawab untuk bersetuju Manifesto Bersama Barisan Alternatif dalam pilihanraya tahun 1999.

Untuk itu PAS bersetuju menggugurkan idealisme penubuhan negara Islam dalam konteks pakatan Barisan Alternatif kerana: a. Tidak berbangkit soal negara Islam dalam Manifesto; b. Tidak boleh memaksa ideologi PAS ke atas rakan dalam pakatan; c. Dalam komposisi rakyat negara ini, tidak ada parti boleh memerintah secara bersendirian; dan e. PAS perlu berkerjasama dengan rakan pakatan BA atas perkara- perkara yang sudah dipersetujui.

PAS telah bersetuju untuk memberi tumpuan kepada isu-isu yang membabitkan soal keadilan, demokrasi, kebebasan, penyelewengan kuasa, rasuah dan sebagainya sebagai agenda utama untuk perjuangan pakatan Barisan Alternatif.

Tidak ada kebijaksanaan dan keberanian Datuk Fadzil Noor yang dapat ditandingi oleh pemimpin Barisan Rakyat hari ini. Beliau telah melihat dengan bijak bahawa retorik dan cogan kata tidak penting tetapi 'isi'lah yang menjadi keutamaan.

Dengan persefahaman untuk memperjuangkan keadilan, demokrasi, kebebasan, penyelewengan kuasa, rasuah dan sebagainya bersama DAP; parti kiri berteras kaum itu secara tiada sedar telah menerima essence Islam. DAP 'diasuh' memahami yang negara Islam secara praktiknya adalah negara berkebajikan yang berteras agama, yang agama itu pula membela hak asasi dan menyebelahi golongan tertindas.

Penutup
Perjuangan PAS dan Ustaz Fadzil Noor dalam menggerakkan pemurnian semula penyelewengan demokrasi termasuk pelbagai akta yang menyekat dan mencabul hak asasi rakyat di negara ini adalah tunggak kejayaan rakyat baru-baru ini.

Rakyat yang melakukan perubahan 8 Mac lalu mesti kenal bapa kebangkitan ini: Ustaz Fadzil Noor. Pemimpin yang ada sekarang, baik sebesar manapun beliau hanyalah penerus sahaja. Tanpa usaha al-marhum ustaz, hampir tidak terfikir Barisan Rakyat berada di kedudukan ini.

Untuk jasa dan sumbangan ustaz Fadzil Noor kerana menggerakkan barisan rakyat, yang hasilnya dituai oleh sebahagian besar rakyat pada 8 Mac lalu, moleklah jika pembaca beragama Islam menghadiahkan al-fatihah untuk al-marhum./wannordin
al-Fatihah. - http://tehranifaisal.blogspot.com/

Baca Seterusnya......

Ahad, 9 Mac 2008

Di perkarangan Wisma Negeri Kedah-08mac08



Apabila di ketahui PAS sudah menang di KEDAH, Penyokong2 sudah siap sedia untuk ke wisma negeri...KEdah AMan Sejahtera bersama ISLAM-PAS

Baca Seterusnya......

Pengikut