Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Isnin, 31 Mac 2008

Lebih seribu hadiri mesyuarat agung Pemuda PAS Baling

Oleh Izwan Abdul Halim


Dewan Pemuda PAS Kawasan Baling menjadi kawasan terawal di Kedah yang mengadakan mesyuarat agung tahunan.

Mesyuarat yang berlangsung di Dewan Tun Razak, Baling baru-baru ini itu merupakan yang pertama dalam sejarah apabila dihadiri lebih seribu pemuda dari semua cawangan.


Mesyuarat Kali Ke-26 tersebut telah dirasmikan oleh AJK PAS Pusat, YB Ir. Hj. Amiruddin Hamzah yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Kedah.

Berucap dalam perasmian tersebut, beliau mengimbas kejayaan dalam PRU-12 yang lalu sebagai kejayaan yang pernah dirintis generasi awal Islam.

Katanya sejarah Islam membuktikan generasi lalu juga menang walaupun tanpa jumlah kekuatan yang ramai dan material yang mencukupi.

"Jika pada PRU 1999 kes Dato' Seri Anwar Ibrahim menjadi pencetus kepada kebangkitan rakyat, kebobrokan yang berlaku dalam pemerintahan BN menjadi tsunami politik pada PRU Ke-12 yang berlangsung baru-baru ini," ujarnya.


"Tuan-tuan, ini semua pertolongan Allah sebagaimana janji-Nya bahawa pertolongan itu sentiasa dekat,"tegasnya mengingatkan.

Beliau juga menyeru seluruh pemuda, khususnya pemuda Baling agar mempersiapkan diri untuk menjadi ansarullah iaitulah penolong agama Allah.

Tegasnya, persiapan tersebut penting dalam mempertahankan dan mengisi kemenangan yang dicapai.

"Pemuda juga bukan sahaja harus berperanan mengisi gerakerja di bawah kerajaan negeri, bahkan mesti menguatkan peranan memperkukuhkan parti," tambah beliau.
Beliau turut memaklumkan perkembangan terkini di bawah Kerajaan Negeri selain menyebut beberapa perkara sepanjang tempoh awal peralihan kuasa yang dipenuhi sabotaj oleh pihak tertentu.

Selain itu beliau juga menyentuh keadaan politik semasa negara yang disifatkan beliau wujud pertembungan ciptaan pimpinan BN dengan banyak pihak.


Di akhir ucapannya, YB Amiruddin mengajak seluruh pemuda menggunakan kemenangan ini sebagai peluang yang lebih luas untuk mendekati masyarakat dengan menjadikan dakwah sebagai kerja asas pemuda. Dengan itu harapannya masyarakat akan dapat melihat kecantikan Islam yang sebenarnya.

Majlis yang bermula seawal jam 9.30 pagi itu turut diwarnai dengan upacara pemeriksaan barisan anggota Unit Amal, nyanyian lagu rasmi PAS, kaunter keahlian pemuda, pertunjukkan multimedia, penyampaian sijil penghargaan dan laungan wehdah.


Hadir sama ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah, Ustaz Musoddak Hj. Ahmad; Ahli Parlimen Baling, YB Ustaz Taib Azemuddin Md Taib; ADUN Kupang, YB Cikgu Johari Abdullah; ADUN Kuala Ketil, YB Cikgu Mat Zuki Yusof; Yang Dipertua PAS Kawasan Baling, Tn Guru Hj. Abdul Wahab Hassan bersama ahli jawatankuasanya dan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Baling, Ustazah Che Tah Hassan bersama ahli jawatankuasanya. - mks.

Tiada ulasan:

Pengikut