Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Khamis, 13 Mac 2008

Dr Mahathir tidak perlu menamakan Najib sebagai PM

Oleh Mohd Sayuti Omar

Barang kali begitulah politik. Musuh akan mengambil kesempatan atas apa saja ruang dan peluang yang ada. Dendam dalam politik juga tidak mudah untuk lenyap. Tidak kira siapa pemain politik itu, orang kampung atau orang bandar, kerani sekolah ataupun seorang doktor. Sifat politik itu sebagai satu game, tidak dapat dielakkan.

Begitu juga dengan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad beliau tidak terkecuali daripada memiliki sifat dan sikap politik sekular itu. Dr Mahathir nampaknya mengambil peluang atas keadaan orang yang beliau sendiri lantik, Abdullah Ahmad Badawi yang kini tenat untuk melepas dendamnya.

Abdullah kini dalam keadaan sakit. Kalau pun beliau tidak lumpuh tetapi separuh bahagian badanya mengalami sengal dan ngilu yang teruk. Kekalahan teruk BN kelmarin melumpuhkan dirinya. Dan beliau kini dalam keadaan trauma.

Dalam keadaan begitu sepatutnya Dr Mahathir melawat dan merawat kawannya itu. Tetapi lain pula jadinya. Dr Mahathir nampaknya mengambil kesempatan atas kesakitan Abdullah itu untuk menambah penyeksaannya. Dr Mahathir sedikitpun tidak bersimpati bila mana beliau secara terang meminta Abdullah berundur.

Semalam Dr Mahathir telah memanggil sidang akhbar khas untuk mengulas mengenai kekalahan teruk BN. Dalam analisa Dr Mahathir kekalahan itu ialah disebabkan kepimpinan Abdullah. Rakyat tidak menerima kepimpinan Abdullah. Beliau menyalahkan orang yang dilantiknya sendiri dan kemudian meminta Abdullah berundur. Lepas jawatan dan serahkan kepada Najib Razak.

Memang wajar desakan Mahathir itu. Kekalahan mesti dipertanggungjawabkan oleh Abdullah. Kalau kemenangan dalam pilihan raya umum 2004, Abdullah merayakannya dan angkuh menerima kemenangan gemilang itu kerananya, maka begitu juga kekalahan kelarmarin yang juga mencatat sejarah hitam maka beliau perlu memukulnya.

Tidak perlu lagi Abdullah mencari seribu alasan. Sebelum ini sudah ramai orang memberitahu dan mengajar beliau agar memperbaiki apa yang dilihat buruk dan huduh dalam pentadbirannya. Sudah banyak orang mengejutkan beliau yang selalu tidur dalam majlis-majlis agar bangkit dan memperbetulkan kesilapan. Namun beliau terus bersikap ‘sadin’ – acuh tidak acuh dengan segala teguran itu.

Abdullah tidak responsif kerana leka dengan kuasa dan kemenangan besar tahun 2004. Beliau asyik dengan period bulan madunya yang tidak pernah habis. Abdullah yang belum ada pengalaman sebagai PM juga merasakan beliau dalam keadaan selesa dan syok sendiri dengan merasakan apa yang beliau lakukan diterima rakyat. Beliau terdodai dengan ulikan dan dodoian para pembodeknya dan juga pujian-pujian di meja makan oleh menanrunya bernama Khary Jamaluddin.

Perlecanran plan wilayah ekonomi, selatan, utara, timur, Sabah dan Sarawak benar-benar menjadikan Abdullah syok sendiri dan beranggapan rakyat menerima umpan pembangunan itu bagi menelan jorang kosong BN. Abdullah merasakan beliau hebat apabila melancarkan plan berkenaan. Bagi beliau itulah legasi pembangunan untuk negara dalam hayatnya sebagai PM.

Waktu dan saat paling wajar Abdullah melepaskan jawatan ialah pada malam kelmarin sebaik beliau menyedari BN kehilangan banyak kerusi. Kemuncak beliau harus lepas jawatan ialah apabila Kelantan yang diidamkan itu telah berajaya dirangkul Pas dan setelah menyeadari sasaran pembangkang untuk menafikan majoriti 2/3 di parlimen menjadi kenyataan. Tetapi di mana maruah orang politik seperti Abdullah Ahmad Badawi itu?

Bukan saja Kelantan gagal ditawan namun kandatipun empat buah negeri terlepas beliau seolah tidak perasaan apa lagi yang berlaku. Kejayaan BN mengekalkan kerajaan di tujuh buah negeri masih djadikan alasan kukuh unutk terus damai atas kerusi PM dan menegakkan benang yang semakin basah dan mengendur.

Biarlah Abdullah terjun dengan labu-labunya, biarlah beliau terus terlena dalam tidurnya...

Apa sedikit hendak diperbetulkan di sini ialah mengenai sikap dan tindakan Dr Mahathir Mohamad. Dr Mahathir pun tidak betul seratus peratus. Saya percaya ramai yang bersetuju dengan pandangan dan desakan Dr Mahathir itu. Abdullah kena ambil tangugngjawab dan memikul bebannya seperti mana yang beliau (Dr Mahathir) lakukan pada tahun 2004. Disebabkan BN mengalami kekalahan besar tahun 1999, Dr Mahathir mengambil langkah berundur secara ‘rela dalam paksa’ walaupun beliau masih sayangkan kepada kerusi PM.

Tetapi ada sesuatu yang tidak kena dan menampakkan Dr Mahathir juga seakan masih melupa diri bila mana beliau menamakan Najib Razak sebagai pengganti Abdullah. Dr Mahathir berhak menyuruh Abdullah berhenti tetapi beliau tidak untuk berhak menamakan Najib. Umum tahu beliau suka dan mahukan Najib menjadi PM kerana ada sebab-sebab terlalu personal namun cara itu tidak betul dan salah.

Budaya dan tradisi menamakan siapa bakal menjadi PM tidak relevan lagi. Umno perlu dibebas dan dilepaskan untuk memilih pemimpinnya. Calon yang layak menjadi PM dalam Umno bukan Najib seorang namun masih ramai.

Dr Mahathir tidak perlu susah-susah untuk melobi Najib menajdi PM. Dr Mahathir juga perlu sedar, bahawa apa yang beliau lakukan selama ini adalah silap dan salah. Pilihan Dr Mahathir sebagai calon PM senantaisa tidak menjadi. Bukankah Abdullah itu sendiri adalah pilihannya. Apabila Abdullah gagal dan mengecewakan rakyat Dr Mahathir juga harus bertanggungjawab!

Hendaknya janganlah Dr Mahathir terus menambahkan kesilapan dan menebalkan buku sejarah buruk mengenai dirinya. Tidak semua pandangan Dr Mahathir mengenai Najib diterima oleh ahli Umno. begitu juga keputusan-keputusan beliau semasa menjadi PM dahulu.

Banyak keputusan Dr Mahathir mengecewa dan mengilankan orang Melayu. Malah sedikit sebanyak masalah dan beban dipikul Abdullah adalah hasil peninggalan bekas PM ke 4 itu.

Sebaiknya bukakan soal memilih calon PM itu kepada ahli Umno. Untuk merealisasikan ini dan memperlihatkan Umno terbuka, adil dan bebas, sekatan dan gari yang dicipta khas untuk mengukuhkan kedudukan orang di atas iaitu sistem kouta bagi melayakkan seseorang bertanding jawatan tertinggi dalam Umno hendaklah dihapus. Tidak munsabah bagi sebuah parti yang dibanggakan sebagai parti terbesar dan terlama di dunia mengamalkan sistem tidak demokratik itu.

Selagi kepimpinan Umno dinamakan atau pun dipilih oleh beberapa orang saja, maka masalah yang sama akan berulang. Kronisme yang selama ini meruntuhkan institiusi kepartian Umno akan turus berulang dan jika ia diteruskan lama kelamaan menyebabkan orang merasakan Umno sebagai sebuah syarikat sendiri berhad yang hanya diurus tadbirakan oleh tiga orang lembaga pengarah saja. Apakah ahli Umno mahu parti itu terus menjadi syarikat sendirian berhad?

Tiada ulasan:

Pengikut