Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Khamis, 2 September 2010

Apabila Pemuda Jadi Budak-budak

Oleh Zolkharnain Abidin

Biasanya, seseorang itu menjadi pemuda selepas dia melalui usia remaja. Apa yang dipelajari di bangku sekolah semasa remaja adalah bekal untuk kehidupan semasa bergelar pemuda.

Selama mana seseorang itu berusia di bawah 40 tahun, biasanya dia masih dikategorikan sebagai pemuda.Namun, umur cuma angka. Angka itu tidak membawa apa-apa erti sekiranya perkembangan minda seseorang itu tidak selaras dengan peningkatan usianya.Maksudnya, dari segi angka umur, ada orang yang sudah menjadi pemuda tetapi dari segi cara berfikir dan bertindak, dia masih remaja

Malah, ada yang lebuh teruk lagi, ada pemuda yang masih bermentaliti budak-budak. Alam remaja yang sepatutnya diisi dengan ilmu, kesedaran dan kebijaksanaan sebagai bekal untuk menempuh alam pemuda dilangkau begitu sahaja.

Akibatnya, dunia budak-budak terus mempengaruhi kehidupan orang muda itu. Lantas jadilah dia berumur pemuda tetapi ‘bermentaliti’ budak-budak.

Kita kagum jika ada budak-budak yang berfikir seperti orang muda. Tetapi, apa kita nak kata kepada pemuda yang berfikir, berperangai, bergaya seperti budak-budak?

Kita kagum apabila sejarah merakamkan bahawa Abdullah bin Abbas dilantik oleh Saidina Omar untuk menganggotai kabinetnya. Ketika itu beliau masih remaja tetapi kefahamannya tentang al-Quran dan kebijaksanaannya berfikir setanding malah mengatasi sesetengah para sahabat ulung lebih berusia yang sezaman dengannya.

Ini dibuktikan apabila Saidina Umar bertanya para sahabat mengenai tafsiran surah an-Nasr. Para sahabat yang lain menjawab dengan jawapan biasa, tetapi Abdullah bin Abbas berkata, penurunan surah itu adalah tanda bahawa waktu kefawatan nabi sudah hampir.

Itu contoh, ‘budak-budak’ berfikiran dewasa. Dia bukan sekadar mampu berfikir seperti orang muda malah seperti orang tua.

Dalam masyarakat Melayu ada watak Pak Pandir, Mat Jenin dan Luncai. Watak-watak itu digambarkan sebagai orang dewasa tetapi bermentaliti budak-budak.

Kisah Pak Pandir menanam pisang misalnya. Mak Andih menanam bahagian berakar. Pak Pandir pula memotang bahagian tengah pokok pisang dan menanam bahagian pucuk dengan alasan lebih cepat berbuah dan lebih mudah dipetik kerana rendah.

Logik Pak Pandir adalah logik budak-budak walau pun dia sudah dewasa.

Orang muda bercakap, bertindak, berhujah, berdasarkan fakta dan angka. Orang muda bersikap realisitk dan berani, bukan menikam dari belakang. Orang muda sedia bersemuka, bukan baling batu sembunyi tangan. Orang muda tidak tangkap muat tetapi menyelidik dan mengkaji.

Tetapi, kalau ada orang muda, bahkan pemimpin pemuda bercakap tidak berdasarkan fakta, baling batu sembunyi tangan, menikam dari belakang, takut bersemuka, menumpang berani dengan orang lain, pemudakah begitu?

Oh ya, benar dia adalah pemuda tetapi cuma angka umurnya sahaja. Mentalitinya, adalah mentaliti budak-budak. Pemuda tapi budak-budak atau pemuda yang jadi budak-budak. Bolehkah pemuda yang jadi budak-budak memimpin?

Budak-budak ada keistimewaan tersendiri. Mereka pandai memujuk, merayu dan merengek. Orang dewasa mudah sekali mengalah dan cair dengan rayuan, pujukan dan rengekan budak-budak. Silap perhitungan, habis duit sepoket melayani kerenah budak-budak.

Demikian halnya dengan pemuda yang jadi budak-budak. Jika budak-budak pandai merengek, pemuda yang jadi budak-budak pula pandai membodek. Jika budak-budak pandai merayu, pemuda yang jadi budak-budak pula pandai mengampu.

Pendek cakap, pemuda boleh menjadi budak-budak apabila berperangai, bertindak, bercakap macam budak-budak.

Pemuda adalah harapan umat, namun apakah harapan yang dapat umat letakkan di bahu pemuda yang menjadi budak-budak?
Baca Seterusnya......

Pengikut