Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Rabu, 12 Disember 2007

Bertenang Dan Berwaspada .


Kebelakangan ini jelas memperlihatkan keadaan kerajaan UMNO dan BN kian terdesak apabila mereka terus memperalatkan PDRM untuk menangkap rakyat mereka sendiri dengan hanya kerana menyertai Perhimpunan Aman .

Dewan Pemuda PAS Pusat percaya bahawa ini hanyalah gerak saraf mereka untuk melemahkan daya juang para pimpinan dan aktivis PAS , juga mereka yang bersama dengan Barisan Alternatif menjelang pilihanraya umum yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Kebangkitan rakyat bersama gelombang KUNING yang menuntut perubahan ternyata sangat meresahkan kerajaan UMNO dan BN .
Kegoyahan mereka semakin ketara apabila kebangkitan ini turut disertai oleh pelbagai pihak termasuk badan - badan bukan kerajaan ( NGO ) yang selama ini dilihat tidak respons terhadap perkembangan politik tanahair .

Dewan Pemuda PAS Pusat menegaskan bahawa kami tidak gentar menghadapi apa jua tekanan dan tidak pula lemah menghadapi apa jua rintangan, malah DPP Pusat telah bersedia menghadapi PRU ke 12 ini . Justeru itu , kepada semua ahli - ahli PAS dan seluruh anggota parti kompenan Barisan Alternatif juga termasuk para aktivis masyarakat dan NGO agar tidak "melayan" karenah nakal kerajaan UMNO dan BN .

Pedulikan segala bentuk provokasi dan jangan mudah terpedaya dengan khabar angin yang cuba memerangkap kita ke tengah kemelut perkauman yang sengaja dicipta oleh UMNO dan BN . Sebaliknya , setiap berita yang diterima terutama melalui sms adalah perlu merujuk kepada pimpinan parti bagi mengesahkan keabsahan sesuatu berita yang diterima.

Sikap yang perlu diambil ialah meneruskan segala aktiviti parti sebagaimana biasa , malah mempertingkatkan prestasi guna mendepani pelbagai bentuk ancaman yang tidak pernah luntur termasuklah untuk menghadapi Pilihanraya Umum kelak .

Pengedaran risalah , ceramah umum di luar dari kawasan markaz PAS , dialog rakyat , Jalan - jalan bersama Bersih dan sebagainya mestilah diteruskan dengan lebih aktif tanpa tunduk kepada tekanan dan perang saraf yang dilancarkan oleh UMNO dan BN .

Dewan Pemuda PAS Pusat sekali lagi mengecam tindakan kerajaan UMNO dan BN yang sering memperalat dan memperkudakan pihak PDRM untuk kepentingan pengaruh serta survival kuasa mereka .

Tangkapan yang dilakukan ke atas Tuan Hj. Mohd Sabu ( Naib Presiden PAS ) adalah sangat tidak bermoral dan bertamaddun malah bercanggah dengan etika seorang muslim yang merdeka.

Jelas , nyata dan sangat ketara bahawa kini Malaysia di bawah kerajaan UMNO dan BN yang dipimpin oleh Dato' Seri Abdullah Badawi menuju "Negara Polis" .
Kenyataan Media DPP Pusat
Hj. Nasrudin bin Hj. Hassan at Tantawi
Timbalan Ketua DPP Pusat.
Baca Seterusnya......

Mohamad Sabu dan 16 yang lain bebas dengan ikat jamin

Oleh Azmin Amin

11/12/07- Setelah menunggu hampir 12 jam di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, akhirnya Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu bersama 16 yang lain telah dibebaskan dengan ikat jamin pada jam 9.30 malam tadi.
Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua, masing-masing telah dikenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin manakala Ahli Majlis Tertinggi KeADILan Gobalakrishnan dikenakan ikat jamin sejumlah RM3,000.
Selain itu dua orang yang didakwa telah dikenakan ikat jamin sejumlah RM1,000 memandang mereka masih di bawah umur, masing-masing berumur di antara 16 dan 17 tahun manakala bakinya dikenakan ikat jamin sejumlah RM2,000 seorang.
Kesemua ikat jamin berjumlah RM39,000 telah dibayar secara tunai di kaunter ikat jamin di pejabat pendaftar mahkamah B1 jam 8.00 malam.
Turut hadir sama Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Nawawi; Anuar Tahir,Ronnie Liu (DAP) dan para penyokong sekitar 50 orang beserta puluhan wartawan.Sebelum itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail telah memohon supaya mahkamah menolak permohonan ikat jamin daripada para peguam Orang Kena Tuduh (OKT) dengan alasan kesalahan yang mereka lakukan adalah serius.
Namun setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak termasuk Peguam PAS, Hanipa Maidin yang mewakili Mohamad Sabu dan 10 yang lain, Peguam DK Ganesan (Gobalakrishnan) dan Ranjeet Singh (Tian Chua), Hakim Rozana Ali Yusoff menolak permohonan Ghani tersebut dan telah memberi keputusan kira-kira jam 7.15 malam tadi.
Bagaimanapun, kesemua 17 yang dibebaskan dengan ikat jamin akan dibicarakan pada 11 hingga 13 Februari tahun hadapan.Kes yang dibicarakan di Mahkamah Sesyen 2 itu bermula agak lewat kira-kira jam 4.31 petang memandangkan Ghani Patail sedang melakukan pendakwaan terhadap kes yang berbeza di Mahkamah Sesyen 1 berhubung kes penangkapan 5 peguam dan 4 aktivis yang melakukan perarakan di pusat membeli belah Sogo menuju ke bangunan Bar Council sempena Program Festival Hari Hak Asasi Manusia semalam. - mks.
Baca Seterusnya......

Isnin, 10 Disember 2007

Penangkapan Mohamad Sabu tidak berperikemanusiaan - PAS

Oleh Roy Rasul Mon
Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa menyifatkan tindakan polis menahan Naib Presiden, Mohamad Sabu semalam sebagai tidak berperikemanusiaan. -->

Katanya, ini kerana, cara tangkapan yang dilakukan terhadapnya seolah-olah Mohamad seorang penjenayah.

Apatah lagi, katanya yang dihubungi Harakahdaily hari ini, semasa polis menahan Mohamad dalam perjalan menghantar anak perempuan ke rumah besannya yang membuat kenduri.

"Bagi saya tangkapan tersebut tidak berperikemanusiaan. Lagipun mereka tahu rumah Muhamad Sabu dan ini yang menimbulkan tanda tanya apakah mesej pihak berkuasa.

"Polis juga tahu keluarga tersebut sedangkan mengadakan kenduri kahwin jadi apa perlunya ditahan di tempat seperti itu," katanya.

Sementara itu Mohamad cuba ditahan polis dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang, berdekatan Sunway City, Tambun, Perak, sebaik sahaja selesai menghadiri kenduri kahwin anak perempuannya di rumah pengantin lelaki lebih kurang jam 3 petang semalam.

Harakahdaily hari ini melaporkan, selepas melalui proses yang cukup mendebarkan sejak jam 3.00 petang semalam akhirnya Mohamad disahkan berjaya ditangkap pihak polis di Plaza Tol Bukit Tambun, Seberang Perai Selatan, kira-kira pukul 8.45 malam tadi.

Beliau kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Selatan, di Jawi, Nibong Tebal, Pulau Pinang, untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, semasa berhenti di plaza tol berkenaan, pihak keselamatan cuba melakukan kekerasan, dengan mengugut untuk memecahkan cermin kereta apabila Mohamad Sabu dan rombongannya yang diiringi polis dari Ipoh, Perak enggan "menyerah".

Dipercayai beliau ditahan di bawah Akta Polis, Seksyen 27(5)(a), ekoran perhimpunan aman anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di hadapan Istana Negara, 10 November lalu.

Hari ini, beliau dihadap ke Mahkamah Majistret, Jalan Duta.

Sementara itu Ahli Jawatakuasa PAS Pusat, Dr Lo' LO' Ghazali berkata, yang menghairankan kenapa setelah sebulan berlalu pehimpunan Bersih baru semalam dilakukan tangkapan.

"Adakah polis cuba hendak mewajarkan tindakan itu dengan himpunan Hindraf, sehingga mereka terpaksa bertindak demikian?" soalnya.

Menurutnya, Mohamad adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Naib Presiden, bukannya penjenayah malah beliau berada dalam negara.

"Sekiranya perlu panggil beliau dan tidak perlu ditangkap dalam keadaan beliau menguruskan perkahwinan anaknya.

"Padangan saya polis ego dan sengaja mahu menunjukkan kuasanya yang tidak kena dengan tempat," katanya.

Malah katanya, rakyat berasa sangat kesal kerana penjenayah yang sebenarnya seperti kes merogol dan membunuh Nurin sehingga kini gagal ditangkap.

Katanya, sepatutnya polis menangkap penjenayah seperti itu bukan ahli politik seperti Muhamad Sabu.

Katanya, sewajarnya polis tidak boleh membiarkan integriti mereka 'dicabuli' kerajaan Barisan Nasional.

Tindakan seperti itu dakwanya, akan memberi imej yang semakin buruk kepada pasukan polis dan seterusnya menyebabkan kepercayaan rakyat bertambah tipis. - mns-->
Baca Seterusnya......

Abdullah Dah Mulakan Tangkapan Untuk Lemahkan Penentangnya?

Oleh Ruhanie Ahmad
Ahad, 9 Disember 2007: Polis hari ini menahan Mohamad Sabu (Naib Presiden Pas), di Ipoh; Tian Chua (Ketua Penerangan PKR), di Johor Bahru; serta empat orang peguam dan empat orang aktivis, di Kuala Lumpur.
Penahanan Mohamad Sabu dan Tien Chua dipercayai berkaitan penganjuran gelombang kuning di Kuala Lumpur pada 10 November 2007.
Ia juga dipercayai sebagai langkah menakut-nakutkan orang ramai yang dijangka menunjuk perasaan di hadapan Bangunan Parlimen Malaysia pada 11 Disember 2007 untuk membantah pembentangan rang undang-undang bertujuan menyambung perkhidmatan Tan Rashid Abdul Rahman sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Empat peguam dan empat aktivis terbabit pula ditahan kerana menganjurkan upacara berjalan kaki secara aman dan beramai-ramai daripada pusat membelibelah Sogo menuju ke Bangunan Majlis Peguam kira-kira dua kilometer daripada pusat membelibelah berkenaan, sempena Hari Hak Asasi Manusia esok.
Seluruh tangkapan di atas membuktikan bahawa sebahagian daripada ura-ura yang tersiar dalam blog ini pada Sabtu, 8 Disember 2007, sudah jadi kenyataan.
Perkembangan ini juga membuktikan bahawa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dikatakan dalam keadaan yang sangat tertekan sejak gelombang kuning pada 10 November 2007, kini mula menggunakan beberapa undang-udang tertentu bagi melemahkan kelompok yang menentang pentadbirannya.Sempena tangkapan di atas, Abdullah membuat kenyataan di Petaling Jaya bahawa “kerajaan tidak memilih bulu dalam mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang negara.
”Berasaskan kenyataan ini, moga-moga Abdullah akan menggunakan undang-undang “tanpa mengira bulu” juga walaupun ke atas kroninya yang terlibat dengan apa-apa kesalahan seperti rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dan lain-lainnya.
Dalam pada itu, banyak pihak menyifatkan tangakapan yang dilakukan hari ini pasti akan menyemarakkan lagi rasa marah dan penentangan segolongan rakyat jelata yang kini kecewa dengan kelemahan dan kepincangan pentadbirannya. – Ruhanie Ahmad
Baca Seterusnya......

Penahanan Tidak Akan Menghalang Tindakan

Oleh SuaraKeadilan

Kuala Lumpur, Penahanan Tian Chua, Ketua Penerangan KeADILan, Mohammad Sabu, Naib Presiden PAS, dan 12 lagi individu yang terlibat dalam perarakan BERSIH pada 10 November 2007, tidak akan menghalang tindakan besar-besaran yang sama pada masa yang akan datang, kata Ketua Penerangan Wanita Elizabeth Wong.Begitulah mesej yang disampaikannya dalam kenyataan media yang diperoleh SuaraKeadilan.com hari ini.

Wong juga berkata, “Jika kerajaan percaya bahawa tindakan mereka ini akan dapat menakutkan kami, dan menghalang kami daripada mempertahankan hak kami untuk berkumpul dengan aman, maka mereka telah membuat kesilapan yang besar.”

Tian Chua telah ditahan pada hari Ahad lalu, selepas mengadakan pembentangan di satu forum hak asasi manusia di Johor Baru, sementara Mohamad Sabu pula ditahan semasa majlis perkahwinan anaknya di Ipoh.

Kedua-duanya telahpun dibawa balik dalam tahanan polis ke Kuala Lumpur, dan dijangka akan didakwa bersama 12 lagi ahli Unit Amal PAS pada hari Isnin, 10 Disember, di Mahkamah Majistret Duta, atas tuduhan ‘berkumpul dengan tidak sah’.

Kata Wong lagi, laporan TV3 pada pukul 8 malam tadi bahawa Tian Chua telah dibebaskan dengan ikat-jamin polis satu pembohongan yang nyata.

“Pada pukul 8.42 malam, Tian Chua telah menghantar SMS yang mengatakan bahawa kereta polis yang dinaikinya baru sahaja hendak sampai ke Nilai, dan sedang menuju ke arah lokap Jalan Stadium.”

Wong juga mengecam gangguan yang dibuat terhadap Majlis Peguam Malaysia, lebih-lebih lagi penahanan peguam-peguam dan aktivis pada pagi Ahad lalu, semasa mereka sedang mengadakan perarakan untuk memperingati Hari Hak Asasi Manusia Sedunia.

Dua peguam KeADILan, R. Sivarasa, Naib Presiden KeADILan, dan Latheefa Koya, ahli Majlis Tertinggi KeADILan, telah ditahan, bersama 7 lagi individu.

Wong juga berkata bahawa Biro Penerangan telah dimaklumkan bahawa seorang lagi ahli Majlis Tertinggi, N. Gobalakrishnan, telah juga ditahan pada hari Ahad, dan akan dibawa menghadap Mahkamah Majistret Shah Alam pada hari Isnin ini sebagai individu ke-32 yang akan didakwa atas tuduhan cubaan membunuh seorang pegawai polis semasa perarakan HINDRAF yang lepas.

“Ini merupakan kongkongan terbesar ke atas suara-suara demokrasi sejak Perdana Menteri Abdullah Badawi mengambil alih kuasa empat tahun yang lalu.”

“Tidak mungkin kerajaan tidak sengaja dalam melakukan penahanan besar-besaran dan gangguan yang makin meningkat dalam beberapa minggu yang lepas ini. Nampaknya seperti kerajaan telah memulakan satuoperasi terperinci untuk menghapuskan semua bentuk bangkangan, daripada BERSIH dan HINDRAF hinggalah ke Majlis Peguam Malaysia dan blogger seperti Jeff Ooi.”

“Kami percaya bahawa Abdullah Badawi mungkin telahpun cukup terdesak untuk mengarahkan penahanan Anwar Ibrahim, bersama-sama dengan pemimpin pembangkang yang lain, iaitu Hadi Awang dan Lim Kit Siang - kesemua mereka juga telah hadir di perarakan BERSIH itu,” katanya lagi.

Wong menyeru kerajaan untuk menghormati hak asasi manusia, lebih-lebih lagi memandangkan Malaysia merupakan ahli Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Jika kerajaan tidak mampu memenuhi tanggungjawab mereka dalam mempertahankan dan mendaulatkan kebebasan asasi di Malaysia, maka Malaysia sepatutnya mengosongkan tempatnya dalam Majlis Hak Asasi tersebut,” tegasnya lagi.
Baca Seterusnya......

Khamis, 6 Disember 2007

KEMBARA BERSIH DARI KUBANG PASU KE RUMAH MAT SABU

Oleh MRBAZMI

Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah telah berjaya menganjurkan Kembara Bersih 2007 pada 8 Disember 2007 , Sabtu lepas. Kembara yang bermula di Markaz PAS Kawasan Kubang Pasu, Tok Kesop , Jitra pada pukul 9.00 pagi dengan penyertaan awal sebanyak 5 buah kereta yang terdiri daripada Ketua Pemuda DPPNK, Ust Musoddak Hj Ahmad, Naib Ketua Ust Mohd Zainal Asri Ramli, Setiausaha DPPNK, Ust. Mohd Rosli Azmi, Sdr. Helmi Khalid,Sdr. Fadzil Baharum, Ust Izzat Shauki, Ust. Salim Mahmud,Dewan Pemuda PAS Pokok Sena dan Kuala Kedah .
Kembara ini telah melalui Pekan Jitra, Tanah Merah , Kepala Batas dan terus ke Alor Star. Sampai di Alor Star kembara ini melalui Terminal bas Shahab Perdana dan berhenti di Pasar Besar Alor Star.
Ketua DPPNK , Ust Ahmad Yahya dan beberapa orang peserta dari kawasan Kuala Kedah dan Alor Star sudah sedia menanti disana untuk bergabung dengan konvoi dari Jitra.
Sebanyak 1500 keping risalah BERSIH telah diedarkan disekitar Pasar Besar Alor Star.
Kemudian kembara diteruskan ke Pekan Gurun dan berkumpul di Pasaraya Aneka Gurun dimana Bendahari DPPNK Sdr. Sanusi Md Nor, Exco DPPNK Ust Azam Samat dan beberapa orang peserta dari Jerai sedang menanti disana.
Sebanyak 500 keping risalah BERSIH telah diedarkan disekitar pasaraya Aneka. Dari Gurun kembara diteruskan ke TESCO Sg. Petani dengan jumlah kenderaan semakin bertambah.
Sekitar 50 orang petugas telah mengedarkan 1000 Risalah BERSIH telah diedarkan kepada setiap pengungjung TESCO.
Walaupun ada sedikit gangguan daripada pengawal keselamatan TESCO namun dapat diselesaikan dan akhirnya mereka memberi kerjasama kepada peserta kembara mengedarkan risalah.
Kembara kemudiannya bergerak ke Masjid Al Muttaqin Taman Ria untuk menunaikan solat Zohor dan menjamu selera jamuan tengahari yang disediakan oleh Dewan Pemuda PAS Merbok.
Dari Sg. Petani Kembara diteruskan ke Pekan Kuala Ketil. Kira-kira jam 3.15 kembara tiba disana dan disambut oleh 50 orang pemuda Baling dengan 18 buah kereta.
Sebanyak 1000 keping risalah telah diedarkan di Pasar malam Kuala Ketil.
Dari Kuala Ketil kembara bergerak ke Pdg . Serai. di Padg Serai Pemuda Pdg. Serai sedia menanti di PASTI Taman Kucai.
Kehadiran rombongan kembara dari Kuala Ketil dengan deretan kenderaan yang panjang sebanyak 30 buah telah menarik perhatian orang ramai disepanjang perjalanan.
Di PASTI Taman Kucai para peserta kembara menunaikan solat Asar dan diberikan taklimat ringkas oleh Ketua Pemuda DPPNK Ust. Musoddak telah jadual perjalanan seterusnya. Kembara meneruskan perjalanan ke Pekan Kulim.
Jumlah kenderaan dari Pdg. Serai telah bertambah kepada 35 buah. Sampai di Pekan Kulim , kembara telah berhanti di Tapak Pasar Malam Pekan Kulim dan sebanyak 1000 risalah pula telah diedarkan disana.
Dengan keadaan para peniaga pasar malam baru hendak memulai perniagaan, telah menyaksikan gelombang kuning seramai hampir 140 orang peserta kembara dengan T Shirt Kuning BERSIH berselerakkan disekitar Pekan Kulim.
Orang ramai yang hanya mendengar tentang BERSIH hanya melalui akhbar dan TV telah menyaksikan sendiri gelombang kuning dengan mata mereka sendiri.
Mereka juga telah didedahkan maklumat tentang BERSIH melalaui risalah yang diedarkan.
Sungguh menggembirakan semua risalah yang diedarkan sepanjang kembara BERSIH telah diterima dengan baik.
Orang ramai terus membaca risalah yang diberikan dan menyimpannya untuk dibawa pulang kerumah.
Hanya beberapa orang yang kemungkinan orang UMNO pekat saja yang agak teragak-agak untuk mengambil risalah tersebut.
Dari Pekan Kulim kembara bergerak ke destinasi yang terakhir iaitu rumah Naib Presiden PAS , Hj. Mohamad Sabu untuk menghadiri Majlis Perkahwinan anak beliau.
Kembara tiba pada jam 6.20 petang telah disambut dengan meriah oleh tuan rumah dan juga para tetamu lain yang tidak sabar-sabar menanti ketibaan kembara. Para peserta telah dihidang dengan jamuan nasi lewat petang oleh Hj Mohamad Sabu yang memang sudah bersedia untuk menerima kehadiran peserta Kembara.Selesai jamuan para peserta beransur pulang mengikut kawasan masing-masing .
Baca Seterusnya......

Abdullah Telah Salah Guna Kuasa ?


Oleh Mohd Sayuti Omar

MUNGKIN nelayan di Kuala Kedah atau pengayuh beca di Kuala Terengganu dan tukang rumah di Kuala Balah, Jeli Kelantan dapat menerima sekiranya mereka diberitahu, polis terpaksa menghalang cadangan Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) hendak berhimpun di hadapan kedutaan British pada Ahad ini kerana ianya menganggu ketenteraman awam.


Bagi mereka alasan yang diberikan polis bagi menghalalkan tindakan tidak demokratik dan bertentangan dengan semangat perlembagaaan itu adalah sangat baik.

Begitu juga mereka (ketiga jenis manusia itu) akan menerima kalau apa yang disebut tv dan radio bahawa perhimpunan raksasa 100,000 rakyat 10 November lalu tidak berjaya walaupun ia disertai kira-kira 80,000 orang.

Mereka lebih percaya kepada dakwaan polis mengatakan perhimpunan itu hanya disertai 4,000 orang saja dan ia telah menimbulkan kekecauan di ibu kota Kuala Lumpur.

Mereka juga mungkin percaya kalau diberitahu gara-gara perhimpunan itu menyebabkan beberapa stesen LRT dan sebahagian Dataran Merdeka atau Masjid Negara sendiri pecah dan hancur!

Mereka percaya dan yakin dengan luahan pasukan propangandis itu kerana mereka berada kira-kira 400 hingga 600 kilometer daripada ibu kota tempat berlangsungnya himpunan berkenaan.

Mereka juga percaya dan yakin kerana mereka membaca laporan itu dalam akhbar-akhbar penjilat buntut kerajaan.Kerterbatasan maklumat, suasana kehidupan serta naifnya pengetahuan mereka menyebabkan mereka menelan segala alasan itu secara hidup-hidup.
Tetapi bagaimana dengan kita dan masyarakat yang celik maklumat dan tahu mentafsirkan perlembagaan serta memahami falsafah dan prinsip demokrasi sebenarnya?

Bagi mereka yang tidak menjadikan Utusan Melayu, Berita Harian serta RTM1, RMT2 dan TV3 sebagai sumber maklumat dan ‘hadith sahih’, sukar untuk menerima segala alasan dan hujah yang diberikan itu.

Sebab separuh daripada apa yang disiarkan oleh media massa propaganda itu memihak kepada kerajaan dan tidak berdiri di garisan ‘khatulistiwa’ kebenaran dan keadilan.Kita akan mudah menolak segala alasan-alasan itu. Bukan kerana kedegilan dan luapan emosi kemarahan tetapi hakikat semua alasan yang diberikan itu tidak masuk akal.
Lebih malang lagi tindakan dilakukan oleh pihak berkuasa itu; menghalang dan enggan mengeluarkan permit untuk himpunan itu jelas mencabuli perlembagaan dan hak serta kebebasan sebagai seorang rakyat dalam sebuah negara merdeka untuk berhimpunan yang dijamin oleh perlembagaan.
Kesimpulannya dakwaan dan alasan mengatakan setiap perhimpunan yang akan berlaku di Kuala Lumpur atau di mana-mana telah mendatangkan masalah dan menyebabkan negara kerugian dan pelabur asing enggan masuk adalah tidak benar sama sekali dan suatu alasan dangkal.

Gambaran buruk itu sengaja diberikan kerana pihak kerajaan takut kepada bayang-bayang noda dan dosanya sendiri.Mengenai hasrat Hindraf untuk mempertahankan hak mereka itu, tanpa mengambilkira apakah tindakan mereka itu baik dan relevan pada masa ini sesudah negara merdeka 50 tahun, ia seharusnya diteliti sebaik mungkin.
Perlu ada perasaan keadilan dan keterbukaan dalam melayani kehendak golongan itu. Ia tidak boleh dihalang dan dicemuhi dengan alasan-alasan yang realatif sifat politiknya.

Sebenarnya tujuan dan niat Hindraf itu jangan mudah dipersempitkan atau terlalu prejudis sehingga merasakan usaha mereka itu menganggu negara.
Misalnya boleh saja dianggapkan tindakan Hindraf itu setelah mereka menyedari bahawa masyarakat India di negara ini diabaikan.
Parti-parti India yang wujud sejak sebelum merdeka dan selepas merdeka mungkin tidak dapat memperjuangkan nasib kaum itu. Pemimpin parti India hanya tahu membuncitkan perut sendiri saja dan membiarkan perut masyarakat India kempis.

Maka mereka perlu mencari ruang bagaimana untuk mendapatkan pembelaan dan wang mudah.
Khabarnya Hindraf telah menyaman kerajaan British yang bertanggungjawab membawa kaum itu ke negara ini dan menuntut ganti rugi sebanyak AS$4 trillion atau RM14 juta trillion atau sebanyak AS$2 juta setiap orang India di negara ini.

Bayangkan kalau tuntutan itu berjaya orang India negara ini akan menjadi jutawan segera dan selepas ini tentulah ramai orang India akan melancung ke luar negeri.

Wang tersepak (panas) itu juga akan membolehkan mereka menziarahi India melihat tempat kelahiran datuk nenek mereka di sana.Itu adalah usaha dan ikhtiar masyarakat India dalam membantu kaum berkenaan.
Dalam hal ini apa yang menjadi persoalan dan hendak diperkatakan ialah mengenai halangan terhadap himpunan 10,000 yang dicadangkan itu.
Mengapa mereka dihalang daripada berhimpun? Tujuan mereka berhimpun hanya untuk menyerahkan memorandum kepada kedutaan British bagi menyokong tindakan saman ke atas kerajaan bekas kolonial itu. Jika diamati maksud himpunan itu sebagai menyatakan sokongan masyarakat India ke atas tindakan itu dan tidak lebih dari itu.

Apakah berhimpun bagi menyatakan sokongan kepada hak dan kepentingan sendiri tidak boleh?
Setiap apa yang berlaku dalam negara ini memberi implikasi politik kepada kerajaan. Orang yang mendapat kesan langsung ialah Abdullah Ahmad Badawi selaku perdana menteri. Dunia akan menuduh Abdullah sebagai tidak terbuka dan takut dengan himpunan-himpunan seperti itu. Kebetulan pula negara baru sahaja mengalami peristiwa perarakan dan himpunan rakyat 100,000 yang juga dihalang dan menjadi kontroversi.

Tanggapan halangan ke atas tujuan Hindraf itu pasti menjadi lebih buruk lagi apabila sehingga kini sudah tiga orang pemimpin dan penasihat Hindraf ditangkap. Tindakan polis mendapat waran tangkap secara tergesa-gesa untuk menangkap Pengerusi Hindraf, P. Waytha Moorthy, penasihat undang-undang Hidraf P. Uthayakumar dan V. S. Ganapathy Reo benar-benar mencalarkan maruah kebebasan dan demokrasi negara. Media asing sudah pasti akan mengulas kejadian itu dan menyimpulkan bahawa di Malaysia sudah tidak ada demokrasi.
Sesungguhnya tindakan polis atau kerajaan yang menafikan hak rakyat seperti kumpulan Hindraf itu sesuatu yang amat dikesali. Kita bersetuju dengan niat tindakan itu demi keselamatan negara.

Tetapi soalnya apakah alasan itu tepat dan jujur?
Sukar untuk dipastikan apakah Abdullah yang juga Menteri Keselmatan Dalam Negeri yang bertanggungjawab ke atas polis senang dengan cara yang dilakukan sekarang ini; membentangi dirinya dan memperkukuhkan kedudukan politiknya dengan menggunakan kuasa polis yang bersenjata? Kalaulah hakikatnya memang begini ini menunjukkan bahawa Abdullah tidak yakin kepada gaya dan pendekatan pemerintahan yang digunapakainya kini.
Cara beliau itu bukan saja ia menodai asas-asas atau prinsip yang dislongankan dalam konsep Islama Hadhari, tetapi cara itu juga jelas membuktikan beliau telah menyalah gunakan kuasa (polis) untuk kepentinagn politiknya. Seandaianya beliau tidak cepat menyedari perkara ini dan ‘asyik’ melaksanakannya, tidak mustahil suatu hari nanti tuduhan yang pernah dicampakkan ke atas pundak bekas PM Dr Mahathir Mohamad sebelum ini akan turut sama dilemparkan ke atas batang tubuhnya.

Dan seruan yang amat kita tidak suka mendengarnya ialah “Undur Abdullah Undur...” Namun, seruan itu tidak dijamin akan hanya tetap tersekang di halkum rakyat saja, mereka akan melaungkan juga apabila kesabaran sudah hilang dan keadaan menjadi semakin melampau kelak!
Baca Seterusnya......

Wujudkah Pilihanraya Adik Jika Pengerusi SPR 'Nyanyuk' ?

Oleh Mohamed Hanipa Maidin
Kalau sejarah dijadikan ukuran, jawapan kepada persoalan di atas adalah negatif. Dengan lain perkataan jangan mimpi untuk melihat pilihan raya yang adil dan bersih selagi mana BN memerintah.

Pilihan raya umum 2004 yang lalu adalah yang terburuk dan paling kotor dalam sejarah pilihan raya di Malaysia. Pilihan raya 2004 didahului dengan pindaan-pindaan yang tidak demokratik dibuat ke atas beberapa undang-undang pilihan raya bagi memastikan BN mencapai kemenangan dengan selesa.

Pindaan tersebut dibuat sebaik sahaja BN menerima pukulan yang hebat di dalam pilihan raya umum 1999. Siapa boleh menafikan BN adalah penerima manfaat yang besar di atas pilihan raya yang kotor.

Daftar pemilih yang tidak pernah bersih dari pengundi hantu menjadi senjata ampuh untuk memenangkan BN. Bagi mengelakkan daftar pemilih dicabar kesahihannya di mahkamah; pintu mahkamah ditutup rapat. Maka dipindalah Akta Pilihanraya 1958 (Akta 19) dengan memasukkan seksyen 9A yang memperuntukkan:

"...selepas sesuatu daftar pemilih telah diakui sah atau diakui sah semula mengikut keadaannya, dan notis akuan sah atau notis akuan sah semula telah diterbitkan di dalam Warta sebagaimana yang ditetapkan oleh peraturan yang dibuat di bawah Akta ini, daftar pemilih hendaklah dikira muktamad dan mengikat dan tidak boleh dipersoalkan atau dirayu atau dikaji semula atau dibatalkan atau diketepikan oleh mana-mana Mahkamah."

Pindaan tersebut secara jelas melindungi hantu-hantu yang menetap dan bersarang di daftar pemilih yang hanyir dan busuk tersebut!

Apa yang lebih parah lagi pindaan besar-besaran juga dibuat ke atas Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan antara peraturan yang agak menyakitkan pihak pembangkang adalah peraturan 18 dan 25.

Peraturan 18 memberikan kuasa yang agak drastik kepada Pendaftar Pilihan Raya yang boleh memerintahkan mereka yang membuat bantahan ke atas nama-nama pengundi di daftar pemilih membayar sehingga RM200 sebagai satu ganti rugi. Secara relatifnya, ini sekaligus menimbulkan ketakutan dan kesusahan yang besar kepada pembangkang. Ketakutan kerana akan dikenakan denda jika bantahan ditolak dan kesusahan kerana terpaksa menyediakan duit yang banyak untuk membuat bantahan.

Jika peraturan 18 menakutkan dan menyusahkan pembangkang, peraturan 25 pula satu mimpi ngeri dan menghapuskan segala harapan pembangkang kerana peraturan tersebut memberikan satu kuasa yang amat besar dan luas dan boleh terdedah kepada penyalahgunaan.

Peraturan 25 memberikan kuasa kepada Ketua Pendaftar memasukkan (restore) kembali nama para pengundi di dalam daftar pemilih induk dan daftar pemilih tambahan dalam mana-mana masa kecuali setelah Parlimen atau DUN dibubarkan, meskipun nama pengundi tersebut telah diketepikan atau dibuang dari daftar-daftar pemilih tersebut atas alasan kesilapan atau di atas "alasan-alasan lain".

Pengunaan kalimah “atas alasan-alasan lain” terlalu kabur dan boleh mendedahkan kepada penyelewengan dan salah guna kuasa. Dengan keadaan profesionalisme dan kebebasan SPR yang amat diragui dan amat dipertikaikan, sebarang kuasa yang luas yang diberikan kepada mana-mana kakitangan dan pegawainya akan memburukkan lagi keadaan yang sedia buruk.

kebersihan daftar pemilih

Kerisauan rakyat terhadap isu daftar pemilih akhirnya terbukti benar. Pilihan raya umum 2004 menyaksikan bagaimana penggunaan daftar pemilih yang benar-benar diragui kesahihannya. Badan NGO yang bertindak sebagai pemerhati perjalanan pilihan raya 2004 (Mafrel) telah mendedahkan bagaimana terdapat ramai nama pengundi dari pelbagai bangsa mendiami alamat yang sama.

Malahan didedahkan bagaimana terdapat nama pengundi di alamat yang tidak wujud. Malahan didedahkan juga terdapat nama pengundi yang tinggal di atas lebuhraya!

Tidak cukup dengan itu ,SPR pula dengan sengaja melanggar Peraturan (Penjalanan Pilihan Raya) 2001 khususnya peraturan 14A apabila menggunakan daftar pemilih yang berbeza di antara daftar pemilih yang diberikan kepada calon pada hari penamaan dan daftar pemilih yang digunakan di hari pembuangan undi.

Hal ini berlaku secara berleluasa di beberapa kawasan pilihan raya di negeri Selangor. Umum mengetahui bagaimana perlanggaran undang-undang tersebut telah mewujudkan keadaan huru-hara di hari pengundian. Apa yang lebih malang huru-hara tersebut diselesaikan oleh SPR dengan melanggar satu lagi undang-undang apabila dilanjutkan tempoh masa pengundian. Sepatutnya pilihan raya dibatalkan dan hari pengundian ditetapkan ke satu hari yang lain. Mahkamah Persekutuan telah memutuskan dalam kes petisyen Gombak, SPR telah bertindak di luar batas undang-undang.

Di dalam pilihan raya 2004, PAS sendiri telah memfailkan lebih kurang 25 petisyen pilihan raya di seluruh negara (lima di Kelantan, sembilan di Terengganu, lima di Selangor, dua di Perak, satu di Kedah, satu di Perlis, satu di Pulau Pinang dan satu di Johor).

Dalam semua kes petisyen tersebut, SPR telah dinamakan sebagai responden. Untuk 25 petisyen tersebut, PAS terpaksa membelanjakan RM 250.000 (RM10,000 setiap kes) untuk bayaran deposit petisyen pilihan raya.

Pengerusi SPR nyanyuk

Dalam keadaan PAS menyaman SPR, Pengerusi SPR pula sibuk mengampu BN dan menyelar PAS dengan berkata:

"Memang perangai dia (PAS) begitu. Saya serta SPR banyak kali menerima tuduhan PAS yang mendakwa mempunyai bukti (kegagalan SPR menguruskan pilihan raya). Saya tunggu sampai sekarang pun tidak ada (PAS) hendak mendakwa SPR (di Mahkamah)." (lihat muka hadapan Utusan Malaysia, 9/12/2004)

Kegopohan Pengerusi SPR dalam memberikan komen bukan sahaja menjijikkan malahan menampakkan kealpaan beliau dan menyerlahkan kenyanyokan beliau.

Kenyanyokan beliau atau kesibukan beliau mengampu Umno dan BN telah menyebabkan beliau tidak sedar bahawa PAS telah pun memfailkan Writ Saman ke atas SPR di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17/5/2004 (no. kes R2-22-02-2004, kes Nasharudin bin Mat Isa menyaman sebagai Setiausaha Agung PAS dan sebagai wakil ahli-ahlinya lwn SPR) dan 25 petisyen pilihan raya di seluruh negara.

BERSIH telah meminta supaya daftar pemilih dibersihkan. Dalam pertemuan dengan delegasi PAS baru-baru ini, Rashid menyatakan terdapat lebih kurang 5 juta nama pengundi di dalam daftar pemilih yang masih belum dibersihkan!

penghapusan undi pos

BERSIH juga mendesak penghapusan pengundi pos. Pengundian secara pos dikawal oleh Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003. Terdapat banyak aduan mengenai penyelewengan pengundi pos khususnya di kalangan polis dan tentera. Aspek kerahsian pengundian adalah sine qua non (ciri yang penting) di dalam pilihan raya yang adil. Sebarang persepsi daripada para pengundi bahawa undi mereka tidak rahsia sudah cukup menjejaskan pilihan raya yang adil. Bagi pengundi pos, kerahsian undi mereka tidak dapat dijamin.

Berdasarkan peraturan 8 Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003, pihak SPR akan menghantar kepada pengundi pos (istilah yang lebih tepat pengundi tidak hadir (absent voters) kertas undi, Borang 2, Sampul Surat A dan Sampul Surat B. Borang 2 adalah satu borang “Perisytiharan Identiti” di mana pengundi pos tersebut perlu menulis namanya, nombor kad pengenalannya dan menurunkan tanda tangannya di hadapan seorang saksi. Selepas mengundi, pengundi pos akan meletakkan kertas undi yang sudah bertanda di sampul surat A dan sampul surat A tersebut kemudiannya pula hendaklah dimasukkan ke dalam Borang B bersama-sama Borang 2 tersebut. Mana-mana Borang B yang tidak disertakan dengan Borang 2 akan ditolak (lihat peraturan 15(2)).

Dengan kertas undi dan Borang 2 yang mengandungi nama dan nombor kad pengenalan pengundi diletakkan di satu sampul surat yang sama (Sampul Surat B), sudah cukup mewujudkan kebimbangan para tentera dan polis tentang kerahsiaan undi mereka. Apa yang lebih malang para 'polling agent' parti-parti yang bertanding tidak dibenarkan hadir semasa pembuangan undi dilakukan oleh pengundi pos.

penggunaan dakwat kekal

Akhir sekali BERSIH juga mendesak agar jari para pengundi dicalitkan dengan dakwat bagi mengelakkan pengundian berulang. Di dalam kes petisyen DUN Pengkalan Pasir, Kelantan, Hakim Dato’ Hassan Lah bersetuju dengan dakwaan petisyen yang dibawa oleh PAS bahawa terdapat penyamaran di mana pengundi palsu telah mengundi bagi pihak pengundi sebenar dengan menggunakan kad pengenalan palsu.

Di dalam pilihan raya Likas, pengundi hantu satu realiti yang berlaku dan menyebabkan pilihan raya dibatalkan.

SPR nampaknya menyahut permintaan BERSIH dengan bersetuju untuk mencalitkan dakwat di kuku para pengundi. Dalam pertemuan dengan delegasi PAS baru-baru ini, beberapa pemimpin PAS telah membuat percubaan dan didapati dakwat tersebut boleh dihilangkan.

Kalau ini benar-benar berlaku di pilihan raya umum kelak, maka hilanglah kepercayaan kita bahawa pilihan raya yang adil akan berlaku di Malaysia! Apakah pilihan kita pada masa itu? -->
Baca Seterusnya......

Pengikut