Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Rabu, 7 Disember 2011

Umno sekongkol dengan MCA hina hukum Islam

Oleh Raja Ahmad Al Hiss

Dewan Pemuda PAS merasa kecewa kerana Umno sanggup menjadikan  pentas forum untuk bersekongkol dengan MCA bagi memburukkan Islam dan PAS.Bahkan dalam forum tersebut yang dianjurkan oleh Institut Analisis Strategik dan Penyeldidikan Dasar (Insap), wakil Umno turut ‘tumpang sekaki’ membelasah hukum Islam itu.

 DPP Malaysia khuatir, aqidah beliau dan Umno akan rosak kerana membiarkan agama Islam diperlekeh oleh mereka yang memusuhi Islam

Pemuda PAS tidak sangka wakil Umno iaitu Mohd Kamal Sadin tanpa segan silu mempertikai hukum Allah dan mendakwa hukum Hudud yang digubal oleh kerajaan negeri Kelantan adalah bertentangan dengan hukum Allah.

Jika demikian, Pemuda PAS Malaysia ingin bertanya apakah hukum hudud yang mengikut syariat Islam yang sebenarnya? Kemukakan dalil, bukti serta nas yang berkaitan sebagai panduan kepada PAS dan umat Islam mengenai hukum Islam yang sebenar.

Pemuda PAS mencabar Umno untuk kemukakan hukum hudud dengan versi Islam ala-Umno. Tunjukkan kepada rakyat Malaysia, khususnya kepada umat Islam, hukum hudud yang manakah paling menepati syariat Islam untuk PAS dan negeri Kelantan contohi jika hukum hudud yang dibawa oleh Kelantan tidak menepati syariat Islam?

Pemuda PAS percaya kepimpinan dan ahli PAS bahkan seluruh umat Islam di Malaysia ternanti-nanti apakah hukum Islam yang sebenarnya yang akan dibawa oleh Umno. Itupun jika mereka masih berfikir mahu melaksanakan Islam.

Namun sehingga ke hari ini, tiada usaha sedikitpun oleh Umno untuk melaksanakan hukum Islam. Kerana itulah mereka membiarkan sahaja hukum hudud dipersenda. Bagi mereka hudud adalah perkara kecil yang tidak penting kepada umat Islam.

Sedangkan hudud yang difahami oleh semua umat Islam, adalah hukum Allah yang wajib dilaksanakan. Ia adalah penawar kepada penyakit masyarakat dan ubat bagi melahirkan masyarakat dan negara yang makmur dan diberkati.

Jika Umno gagal kemukakan contoh hukum Islam versi Umno, Pemuda PAS meminta agar Umno jangan pertikai usaha yang ingin dibuat oleh PAS. Jika ada cadangan atau kiritikan, perlu dibuat penambahbaikan, bukan mempertikaikannya.

Pemuda PAS juga sanggup menawarkan kepada Mohd Sadin dan semua ahli Umno kelas syariah bagi mempelajari asas-asas Islam supaya mereka mengetahui hukum Islam yang mana wajib, sunat, harus, makruh dan haram.

Umno perlu mendalami Islam supaya mereka turut sama bangkit membela Islam dan tiada lagi insiden penghinaan Islam dalam forum terbuka seperti semalam.

Dengan kejadian ini, Pemuda PAS memohon campurtangan Majlis Raja-raja bagi mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menghina agama Islam. Pemuda PAS menganggap ia suatu isu yang besar dan boleh melibatkan kepentingan agama Islam di negara ini.

Ini juga sebagai pengajaran keras buat penganjur agar lebih berhati-hati dan menjaga sensitiviti umat Islam. Sebagai payung negara dan umat Islam di negara ini, Majlis Raja-raja berhak campurtangan  bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

Penulis adalah Naib Ketua Dewan Pemuda PAS
Baca Seterusnya......

Pengikut