Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Selasa, 27 Oktober 2015

Umno-BN boros, rakyat terpaksa tanggung

Oleh AHMAD AMZAD HASHIM
WAKIL kerajaan puji kerajaan kerana adanya GST dapat menampung kekurangan hasil dari turunnya harga petroleum mentah dunia dari USD100 setong ke bawah USD50 setong.atanya kerajaan bijak kerana sudah jangka hasil akan berkurang kerana kejatuhan harga petroleum dunia, maka kena tampung dengan punca hasil yang baru.

Harap jangan dilupa bahawa GST mula dibawa ke Parlimen hujung tahun 2009 ketika kita tiada masalah harga minyak dunia. Malah ketika itu harga minyak dunia semakin memuncak. Apakah yang kerajaan telah buat dengan hasil yang bertambah-tambah daripada kenaikan harga minyak mentah dunia yang meningkatkan pendapatan negara begitu banyak ketika tempoh 2010 ke 2014 yang lalu?
Adakah kerajaan beringat dan cermat berbelanja?

Sediakan payung sebelum hujan?

Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun mendedahkan kesalahan dan pemborosan kerajaan.

Banyak isu berkait perbelanjaan berskala mega dengan angka berbillion sehingga isu projek lembu National Feedlot Centre (NFC) yang melibatkan wang rakyat lebih RM250juta pun tidak lagi dianggap besar kerana ditenggelamkan oleh terlalu banyak isu lain yang bukannya ratusan juta tetapi ribuan juta di sana sini dari projek KLIA2 yang sepatutnya boleh dibina lebih murah ditapak cadangan yang asal akhirnya mencecah sekitar RM4billion, atau isu penyelewengan PKFZ, projek infra MRT (RM42 Billion) yang ada sepatutnya pilihan yang jauh lebih murah untuk menyelesaikan isu yang sama, pembelian peralatan pertahanan pada harga yang sangat tinggi berbanding produk setara dibeli oleh negara lain, isu 1MDB RM42billion dan terlalu banyak yang lain.

Malaysia pernah dalam tempoh itu disenaraikan negara yang parah masalah pengaliran wang haram (illicit flows) dan rasuahnya.

Tabiat berbelanja boros pemimpin dan keluarganya diperkatakan sampai ke media antarabangsa. Isteri Perdana Menteri menjadi bahan gossip mengalahkan selebriti Hollywood.

Jho Low yang digambarkan berkawan rapat dengan anak DS Najib dan mengatur banyak urusan wang 1MDB digambarkan suka berfoya-foya bersama selebriti Hollywood.

Ketika Malaysia dikata punya hasil yang banyak, kerajaan menekan rakyat seolah-olah harga minyak dunia meningkat, kerajaan tiada pilihan melainkan naikkan harga petrol dan diesel sehingga memberi kesan rantaian dalam kenaikan pelbagai harga barangan dan perkhidmatan yang diperlukan oleh rakyat yang semuanya pengguna akhir.

Ini sangat menyusahkan rakyat.

Apabila sekarang harga minyak dunia jatuh lebih separuh pula apakah kerajaan turunkan harga petrol dan gas? Tidak.

Makin naik adalah.

Baik kerajaan pusat, mahupun kerajaan negeri telah gagal menunjukkan sifat hemah, cermat dan amanah dalam pengurusan wang rakyat.

Malah isu isu yang berbangkit dengan nilai puluhan billion sekarang seperti skandal besar 1MDB RM42 Billion, Derma ke akaun peribadi RM2.6Billion, salah urus Felda yang merugikan berbillion kepentingan jutaan peneroka felda yang majoritinya melayu, pengambilan tanah tanah strategik milik orang melayu untuk diperniagakan untuk manfaat kelompok tertentu.

Wang Terengganu yang hampir setiap tahun sejak 10 tahun dibelanjakan lebih RM2 Billion mengatasi negeri negeri lain, tapi kekal kedudukannya sebagai antara negeri yang paling miskin rakyatnya.

Ini semua bukan lagi isu kebijaksanaan, cermat, kecekapan dan hemah dalam melaksanakan amanah rakyat

Ini sudah isu pecah amanah, kemungkinan wujud elemen jenayah komersil yang menggoncang tiang seri keteguhan negara.

Ini isu Barisan Nasional telah merosakkan negara.

Bukan lagi isu yang satu lebih cekap dari yang satu lagi. Tetapi isu pilihan antara mendokong pengkhianatan dan kejahatan dengan memilih untuk mencantas segala kejahatan tersebut.

Memang jahat dan khianat apabila perbuatan BN yang mengakibatkan kesusahan kepada negara, sekarang mahu rakyat pula yang membayar kerugian itu dengan menambah wang ke saku mereka melalui GST.

Penulis ialah Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat

Baca Seterusnya......

Ahad, 1 Februari 2015

Putrajaya bukan tanah jajahan mahu pun ganjaran, tetapi amanah rakyat

Oleh Hazlan Zakaria

Dengan penuh bingung saya membaca, ada seorang MP parti pemerintah berkata bahawa semakan Bajet 2015 adalah langkah BN untuk mempertahankan Putrajaya.Seolah-olah pusat pentadbiran negara –tanah dan wilayahnya, adalah hak milik BN, dan perlu kekal begitu.

Syukur kepada Tuhan kerana beliau tidak menceritakan secara terperinci – babak perang penuh darah – bagaimana mereka akan mempertahankannya. 

Hujah MP itu bersifat kewangan. Beliau bercakap tentang ekonomi dan statistik.

Namun saya mendapati ia hanyalah pedantic – menunjuk-nunjuk pandai – dan penuh retorik. Malah agak merbahaya, jika mengambil kira pandangannya tentang pentadbiran negara.

Ia bukanlah warisan untuk mereka mahu pun hak bapa mereka, untuk dipegang dan bertukar tangan di sekitar linkungannya.

Seolah-olah BN adalah Smaug dalam filem The Hobbit, yang terbaring tidur dan diam menyusup, manakala Putrajaya adalah “Lonely Mountain” di mana harta karun bertimbun dan bakal menjadi miliknya.

Ini bukanlah kali pertama retorik seperti ini muncul. Ia adalah isi utama dalam setiap ucapan politik BN.

Tentulah tidak membantu keadaan, apabila pakatan pembangkang juga ingin “menawan” Putrajaya. Seperti Dalesmen dalam filem yang sama, bersama-sama Men of the Dale dan sekutu Elven mereka yang turut mendambakan harta karun yang sama.

Nampaknya mungkin itulah Putrajaya bagi kedua-dua pihak, seperti “Lonely Mountain”. Hadiah untuk dimenangi dan ditawan, untuk mendapat kekayaan yang tertanam di dalamnya.

Kedua-dua pihak perlu mengerti, Putrajaya adalah mandat yang diberikan oleh pengundi. Bukan hadiah untuk ditawan, atau singgahsana untuk disimpan.

Ia bukannya anjung kuasa, mahu pun anak tangga ke syurga. Jika ditakdirkan berjaya mendudukinya, ia tidak mengurniakan kuasa, atau pun kedudukan lagaknya raja.

Walhal pihak yang menduduki kerusi panas itu adalah hamba kepada rakyat. Mereka yang berada di Putrajaya bukan memerintah, tetapi berkhidmat.

Putrajaya sepatutnya menjadi sangkar emas, memenjarakan mereka dengan rantai tugas. Bukannya taman istana untuk golongan elit dan bangsawan (yang diangkat sendiri) memenuhkan tembolok sendiri.

Sekurang-kurangnya inilah yang sebetulnya, bukannya kelentong dan cakap kosong, selepas lebih 50 tahun yang penuh sukar di bawah BN.

Malah Pakatan pun seakan begitu, dengan lagak mereka di negeri yang ditadbir, perang politik terbuka PKR yang tanpa rasa malu menjadikan Selangor sebagai medannya.

Putrajaya atau pun negeri; di mana sahaja kuasa hadir, peraturannya sama iaitu mentadbir dan berkhidmat.

Ia adalah tanda kepercayaan rakyat yang diberikan melalui mandat sementara. Maka sesiapa yang mendapatnya perlulah menghargai, bukannya meminta penghargaan.

Saya fikir ini juga salah kita, kerana kita telah membenarkan dan malah menelan sahaja apa yang mereka muntahkan.

Mungkin inilah masa untuk kita merampasnya kembali, dan berikannya kepada sesiapa yang kita inginkan. Barangkali yang punya keteguhan, tidak lagi kepada tirani.

Akhir kata, ini adalah pengajaran untuk kedua-dua BN dan Pakatan. Putrajaya bukanlah tanah atau hadiah untuk direbut, tetapi kepercayaan rakyat untuk dimenangi.

Baca Seterusnya......

Pengikut