Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Rabu, 28 Julai 2010

Guru Dibenar Berpolitik: Awas Perangkap Umno!

Oleh Angkasanuri

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik. Berita ini pastinya disambut gembira oleh ahli dan penyokong Umno-BN. Bagi ahli dan penyokong Pakatan Rakyat kenyataan ini silap hari bulan sebagai satu perangkap kepada mereka.

Jika sebelum ini bagi ahli dan penyokong Pakatan Rakyat segala sokongan dan aktiviti mereka dilakukan secara senyap-senyap kerana pelbagai tekanan dan ugutan yang diterima. Ancaman itu datang daripada guru besar atau pengetua yang menjadi penyokong kuat Umno atau pemimpin Umno setempat.

Bagi mereka yang dikesan terlibat dengan politik selain daripada Umno mereka berdepan risiko dikenakan pelbagai tindakan. Antaranya ditukar ke pedalaman atau tempat berjauhan dengan keluarga serta dinafikan Anugerah Cemerlang dalam perkhimatan walaupun menunjukkan prestasi dan sumbangan yang jauh lebih baik daripada penyokong dan pengampu Umno di sekolah.

Manakala ahli dan penyokong Umno selama ini secara terbuka terlibat aktif dalam politik. Pentadbir sekolah akan hanya memekakkan telinga dan memandang sebelah mata seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Mana-mana guru besar dan pentadbir yang menyokong Pakatan Rakyat juga tidak berani menegur kerana bimbang daripada pengaruh pemimpin Umno setempat.

Kenyataan KSN ini sebenarnya akan menjadikan ahli dan penyokong Umno di sekolah lebih 'besar kepala' dan bermaharajalela menyebarkan dakyah politik mereka. Bagi guru-guru kumpulan A yang pro Pakatan Rakyat yang hendak tunjuk berani pastinya akan berdepan pelbagai risiko. Bagi saya kebenaran kepada kumpulan A berpolitik sebenarnya hanya menguntungkan politik Umno semata-mata bagi ahli dan penyokong Pakatan Rakyat langkah ini sebenarnya hanyalah satu perangkap dan jerat kepada mereka.

http://angkasanuri.blogspot.com/
Baca Seterusnya......

Isnin, 26 Julai 2010

30 pengkhianatan Umno

Oleh Teratai

Kini nada perpaduan Melayu dipalu sekali lagi. Apa salahnya, Islam juga yang untung, kata mereka. Buat sebahagian generasi muda yang mungkin tidak mengingati, mari kita ikuti sejarah pengkhianatan Umno terhadap bangsa Melayu :

1. Siapakah yang menukar wang Royalti kepada wang Ehsan pada tahun 2000 apabila PAS berjaya merampas negeri dari tangan BN dalam PRU 1999?

2. Siapakah yang menghalang kerajaan kedua2 negeri bermajoriti 95%Melayu menikmati hasil royalti Petronas, sedang negeri2 seperti Sabah dan Sarawak tidak dikenakan tindakan sama?

3. Siapakah yang menghalau peneroka bandar Melayu di Kg Berembang, Kg Plentong, Kg Chubadak, Kg Malaysia Tambahan?

4. Siapakah yang menghalau Melayu Pulau Pinang dengan helah pembangunan hingga mereka merempat ke Seberang Jaya dan Kedah Selatan?

5. Siapakah yang menggadai Tanah Rezab Melayu hampir 50% dari 3 juta hektar pada 1948 kepada 1.6 juta hektar pada 1997?

6. Siapakah yang membunuh orang Melayu kerana perbezaan fahaman politik di Kg Memali, Lubuk Merbau dan Hutan Aji?

7. Siapakah yang membolot saham AP untuk menantu dan kroni, sedang ia adalah hak setiap rakyat dibawah dasar DEB?

8. Siapa yang melingkupkan dasar DEB hingga milikan ekuiti Melayu tersekat kepada 18% pada 2000.

9. Siapakah pula yang memansuhkan DEB, dan diganti dengan dasar Liberisasi dan Model Ekonomi Baru yang mesra kapitalis dan anti subsidi?

10. Siapa yang menyelewengkan dana untuk orang2 Melayu yang miskin dalam program PPRT?

11. Siapa yang mengkhianat wasiat Raja2 Melayu menjelang kemerdekaan supaya tidak diserah bukit, gunung dan pulau kepada bukan Melayu?

12. Siapa yang mencipta krisis perlembagaan 1982 yang menyebabkan kuasa Yang DiPertuan Agung terhakis dan hanya sekadar menjadi rubber stamp Parlimen?

13. Siapa pula yang melucutkan kekebalan raja2 Melayu pada awal 1990-an?

14. Siapa yang menggelarkan rajanya 'MENATANG' bila namanya ditolak sebagai Menteri Besar Terengganu selepas PRU12 yang lalu?

15. Siapakah yang mengubah sempasan kawasan undi majoroti Melayu bila Melayu sendiri menolak Umno dalam PRU 1999?

16. Siapa yang melanggar peruntukan Perlembagaan mengenai hak2 istimewa Melayu untuk mendapat biasiswa?

17. Siapa yang menukar biasiswa kepada pinjaman dengan kadar 4%?

18. Siapa yang mencemar bahasa Melayu dengan istilah-istilah "infotainment", "boulevard", "presint", "bajet" dan lain2?

19..Siapa yang menukar bahasa pengantar dari bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris dalam pembelajaran Sains dan Matematik pada ketika jurang pendapatan bandar-luar bandar semakin melebar?

20. Siapa yang mencadangkan syarat wajib lulus Bahasa Inggeris untuk SPM dan bahasa pengantar Inggeris di universiti2?

21. Siapa yang jual air kepada negara jiran dengan harga 3 sen 1000 liter, dan jual balik kepada rakyatnya sendiri dengan harga 80 sen 1000 liter?

22. Siapa yang serah blok minyak kepada negara Brunei tanpa persetujuan DUN, Parlimen atau YDPA?

23. Siapa yang cuai menjaga tanahair sendiri hingga Pulau Batu Putih dan Singapura terlepas ke negara orang?

24. Siapa yang menghapuskan tulisan jawi dari diajar di sekolah2?

25. Siapa yang kata Sekolah Agama Rakyat (SAR) tempat melahir militan dan ekstrimist?

26. Atas alasan itu, siapa yang menghentikan geran perkapita kepada SAR hingga menyebabkan sebahagian institusi pendidikan agama hidup segan, mati tak mahu?

27. Siapa yang mencadangkan pelan pembangunan Kg Baru Kuala Lumpur hingga membuka milikan kepada 40% bukan Melayu?

28. Siapa yang kekang akta2 maklumat, Auku dan pandangan2 kedua orang Melayu supaya orang Melayu senang diperbodohkan?

29. Siapa yang naikkan harga petrol,diesel dan barangan asas kepada ketika Melayu adalah golongan majoriti yang miskin di negara ini?

30. Siapakah pula yang memperbodohkan dirinya konon mengaku Melayu sedang nama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) dibuang dan diguna bahasa penjajah UNITED MALAYS NATIONAL ORGANISATION (UMNO)?

Senarai pengkhianatan Umno terhadap orang2 Melayu memang panjang. Ia tidak habis untuk ditulis dalam sehari. Apa yang penting, ia sudah terakam dalam sejarah. Khalayak yang memalu gendang perkauman ini patut malu pada diri sendiri, pada saat mereka di puncak kuasa tidak pernah pula terdengar retorik Islam dan Melayunya. Kini menyedari kuasa semakin jauh dari genggaman, tidak perlu lah lagi umat Melayu yang selama ini diperbodoh dan diperkuda semahunya, memberi bantuan talian hayat dan oksigen.

Kalaulah Umno hidup ribuan tahun yang lalu, mungkin epik Yunani Homer, Illiad and Oddysey atau pun Hikayat 1001 Malam tidak akan mendapat tempat di sisi penglipur lara, penulis buku, pemikir sastera-sejarah, pemikir sosiologi mahu pun pembuat filem. Demikian banyaknya yang dikisah dalam hikayat dari Parsi itu, mengikut lagenda, sesiapa yang membaca seluruh koleksi cerita ini akan menjadi gila.

Alahai, kalau membaca hikayat sepanjang ini menjadi gila, siapa pula yang mampu mengingati ratusan pengkhianatan Umno terhadap Melayu. Besar kemungkinan anda akan jadi 'mereng'.
Baca Seterusnya......

Jumaat, 23 Julai 2010

Kerjasama Pas-PKR baik: MB

ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menafikan desas-desus kononnya terdapat sebilangan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri akan keluar parti berikutan kecewa dengan kepimpinan PKR Kedah.

Katanya, setakat ini, hubungan antara Pas dengan PKR termasuk DAP berjalan lancar dan tiada masalah berhubung kerjasama mahupun komunikasi.

Malah, katanya, ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu kini sedang giat membuat persiapan awal untuk berdepan dengan pilihan raya umum akan datang.

“Saya langsung tiada maklumat mengenai adanya pemimpin PKR mahu keluar parti. Bagaimanapun, sekiranya benar dakwaan itu, saya tak boleh nak buat apa-apa termasuk sekat kehendak mereka,” katanya pada sidang media, selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, semalam.

Azizan mengulas dakwaan Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Wan Salleh Wan Isa kelmarin, yang berkata ada sebilangan pemimpin parti itu sedang menunggu kesempatan untuk keluar parti kerana tidak puas hati dengan kepimpinan PKR negeri yang tidak mampu memenuhi agenda peribadi mereka.

Mengulas mengenai lantikan baru menggantikan Wan Salleh sebagai wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) angkat bagi kawasan DUN Kuah, Langkawi, Azizan berkata, nama calon sudah dipilih oleh PKR dan terpulang kepada Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi, selaku ADUN angkat kawasan berkenaan untuk menerimanya.

“Saya serahkan pada Phahrolrazi sama ada setuju atau tidak dengan calon itu, beliau berhak tentukan siapa yang beliau mahukan untuk pikul amanah bagi pihaknya di sana. Saya difahamkan lantikan sudah dibuat,” katanya.

Azizan turut mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan bersidang pada 2 Ogos depan.

“Kita sedang membuat persiapan untuk Sidang DUN dan mengkaji soalan-soalan yang akan dibahaskan kelak, termasuk pembentangan yang akan dibuat. Semuanya berjalan lancar dan tiada masalah timbul setakat ini,” katanya.

Ditanya sama ada DUN mempertingkatkan tapisan yang lebih ketat terhadap soalan yang dibahaskan berikutan timbulnya kontroversi pada soalan DUN lalu membabitkan kuasa Sultan, Azizan berkata, prosedur berjalan seperti biasa dan tiada sebab untuk membuat tapisan yang lebih ketat berikutan insiden itu.

“Sebenarnya bukan soalan yang silap ketika DUN lalu, tetapi orang yang timbulkan kontroversi itu yang tidak faham undang-undang,” katanya sinis.
Baca Seterusnya......

52 tahun berkuasa: Umno peralat "Melayu" untuk ratah Melayu!

Oleh : Ustaz Idris HJ Ahmad

Tidak dinafikan Melayu adalah kaum pribumi di negara ini. Semua pihak mengakui hal ini. Atas kesedaran itu semasa kemerdekaan negara semua kaum telah menerima hakikat tersebut. Beberapa perkara yang dianggap satu kontrak sosial telah diterima pakai.

Oleh itu pemimpin Pakatan Rakyat mengetahui betapa pentingnya perkara ini, maka ia telah diterima pakai dan menjadi satu ketetapan di Konvensyen Pakatan Rakyat Pertama pada 19 Disember 2009 di Shah Alam iaitu:

a. Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

b. Melindungi kedudukan Istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum lain sejajar dengan perkara 153.

c. Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja Berperlembagaan.

d. Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.

Bergerak atas asas inilah maka Pakatan Rakyat menerima ketetapan bersama, kerana ia merupakan perkara asas dalam pembentukan sebuah negara yang akan diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat.

Mereka sedar Melayu adalah tonggak kekuatan politik di negara ini. Maka mereka memainkan gendang yang sama untuk meletakkan Melayu dalam keadaaan bahaya sejak pilihan raya 2008 dengan merujuk apa yang terjadi di Kampung Asam Jawa Pulau Pinang yang dihalau oleh pemaju perumahan.

Media Umno menggambarkan, ini adalah contoh Melayu dizalimi oleh kerajaan yang menindas Melayu. Sedangkan projek itu ialah projek yang terpaksa Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang menanggung biawak hidup yang ditinggal oleh kerajaan BN yang lalu.

Sepatutnya, Umno merasa malu untuk bercakap soal Melayu. Mereka kena ambil cermin menyuluh kembali muka, siapa yang menjadikan Melayu di negara ini merempat. Dunia maklum memang pemimpin Umno suka orang Melayu memgemis dan jahil, kerana akan menjadi ulam untuk Umno.

Pemimpin Umno sedar pada hari ini yang menyokong mereka ialah Melayu subsidi dan Melayu yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Melayu bandar dan mempunyai kedudukan ekonomi yang kuat sudah tidak menyokong Umno.

Satu lagi Melayu yang menjadi "simpanan tetap Umno" dan stok penimbal ialah peneroka Felda. Sebab itu apabila isu FELDA dibongkar dalam media mengenai susut aliran tunai dalam masa 5 tahun sejak Najib Tun Razak mengetuai agensi itu, telah menimbulkan kemurkaan pemimpin Umno.

Mereka marah kerana bangkai gajah sudah tidak dapat lagi disembunyikan. Dengan kewangan yang ada pada Felda pada tahun 2004, RM4.08 bilion telah susut kepada RM1.35 bilion (merosot sebanyak RM2.73 bilion). Wang Felda dibelanja kepada projek yang tidak dilihat sebagai menguntungkan orang Melayu Felda antaranya dana khas basmi kemiskinan di Sabah sebanyak RM253 juta.

Apa kena mengena basmi kemiskinan di Sabah? Kenapa perlu ambil wang Felda, tidak cukupkah hasil minyak di Sabah, balak yang melimpah ruah. Pada hal Felda banyak di Pahang dan Johor. Ke mana pula hasil minyak Sabah sampai terpaksa mengemis dengan Felda, hak orang Melayu.

Mereka sedar ini adalah benteng terakhir Umno, jika "simpanan tetap" ini dapat dicairkan Umno akan ditalqinkan insyaAllah di Pahang khususnya. Dua kerusi dewan undangan negeri yang PAS menang di Pahang (Semantan dan Basrah), kedua-dua ini tidak ada kawasan Felda.

Demi ekonomi Melayu yang masih ketinggalan maka orang Melayu, kena menyokong Umno. Parti lain daripada umno tidak boleh membela ekonomi Melayu. Pemimpin Umno patut malu dengan kenyataan tersebut.

Apa sudah jadi dengan DEB ketika tamat pada tahun 1990 ekuiti Bumiputera ada 18% tetapi telah merosot kepada 15% sahaja pada tahun 2000. Ke mana ekuiti ini hilang kalau tidak pengkhianatan yang dilakukan oleh Melayu Umno.

PAS terbukti berjaya mengangkat martabat Melayu di Terengganu 1999-2004 daripada negeri kedua miskin menjadi nombor empat termiskin di Malaysia walaupun royalti minyak dirompak. Baru empat tahun memerintah kita mampu menunjukkan prestasi yang baik. Cuba bayangkan kalau diberi peluang memerintah Malaysia sudah tentu lebih gemilang dan cemerlang kerana kita tahu untuk menguruskan negara dan khazanah negara

Atas nama Melayu peruntukan saham bumiputera sebanyak RM54 bilion hanya tinggal RM 2 bilion sahaja. Ke mana pergi RM52 bilion? Sekiranya dana ini diuruskan dengan baik, kita yakin pemilikan ekuiti bumiputera akan mencapai melebih daripada 30%. Tetapi akibat pengkhianatan amanah dan kejahilan pemimpin Umno-BN maka ekuiti bumiputera hanya mendapat 19.4% sahaja.

Mereka juga menjadikan modal supaya rakyat yang miskin menjadi abdi moden dan takut untuk menyokong PAS dan Pakatan Rakyat. Umno akan mencanang bahawa Melayu mundur kerana ia adalah akibat ancaman daripada orang bukan Melayu.

Mereka mendakwa kalau orang Melayu mahu selamat maka teruslah bersama dengan Umno kerana Umno sahaja parti yang menjaga ketuanan Melayu di negara ini. Sebenarnya atas nama ketuanan Melayu menjadi tiket kepada mereka untuk menggadai hak orang Melayu di negara ini.

Keranamu Melayu, maka Melayu dihalau dari kampung mereka sendiri. Inilah yang berlaku di Kampung Plentong Tengah, Johor Baharu hampir 290 buah rumah yang ditolak dan dihalau, walaupun mereka sudah tinggal di situ hampir 30 tahun.

Mereka dihalau, diburu macam penduduk Gaza Pelestin oleh Israel. Kawasan yang diwakili oleh Dato’ Seri Khalid Nordin yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang tidak memperdulikannya. Sedangkan mereka ini adalah pengundi tegar dan 100% penyokong totok Umno. Inilah balasan Umno.

Kampong Plentong sudah menjadi Kg Umno Kelentong. Sewaktu Kampung ini diranapkan tidak ada siapa pemimpin Umno yang datang untuk menolong. Yang menjadi pendinding dan perunding ialah pemimpin daripada PAS, PKR dan DAP. Seramai 28 orang ditangkap kerana mempertahankan rumah mereka daripada diroboh pada 16 Oktober 2009. Pemimpin Umno hanya datang lima tahun sekali untuk menagih undi.

KeranaMu Melayu, tanah rezab Melayu telah hilang dari 3 juta hektar pada tahun 1957 kepada 1.7 juta hektar (1995). Bermakna 44% tanah rezab Melayu yang ditinggal oleh penjajah dengan susut kadar 1.2% setahun.

Nampaknya penjajah lebih berhati perut daripada pemimpin Umno dalam menjaga orang Melayu. Kalau tidak disekat maka tahun 2020 tanah rezab Melayu hanya tinggal 30% sahaja.

Kerana Mu Melayu, maka apabila orang Melayu susah, senang mereka menuding jari kepada penentang Umno dengan alasan, semua terjadi kerana Pakatan Rakyat. Mereka buta fakta, bagaimana Melayu boleh menjadi susah dalam masa tidak sampai tiga tahun.

Mereka cuba menutup kelemahan mereka yang selama ini mengkhianat kepada orang Melayu selama 57 tahun merdeka. Keadaan mereka samalah dengan pepatah Arab, "dia pukul aku, dia menangis dan dia maki aku, maka dia mengadu, orang maki dia". Pepatah ini sesuai untuk Umno.

Sepatutnya Umno patut malu kepada Allah dan rakyat, apa yang mereka buat selama 57 tahun?

Kenapa Melayu tertinggal, malah tahap pencapaian ekonomi orang India lebih baik daripada orang Melayu hasil perjuangan pemimpin politik bangsa mereka. Sepatutnya orang Melayu tidak boleh ketinggalan, kalau kita mendapat pemimpin yang baik dan amanah. Hujahnya ¾ anggota kabinet orang Melayu, exco kerajaan negeri orang Melayu, dan pegawai tadbir orang Melayu. Persoalaanya kenapa jadi demikian? Kena tukar kerajaan dalam PRU 13, maka kita akan dapat jawapannya. Insyaallah. -



NOTA: Rasanya pimpinan PAS boleh faham la kot pasai ni suma... jangan buat2 tak faham... tak payah la nak hurai panjang2 pasai agenda Perpaduan ni... kita tumpu apa yang kita dah persetujui bersama la ni dlu... Memperkukuh Pakatan Rakyat... di negeri yang PR kuasai pun banyak lagi mende nak kene selessikan... tak yah la nak sambut apa yang pimpinan UMNO duk ajak berpadu tu... nanti takut2 yang dikendong berciciran... yang dikejaq tak kesampaian... Umno ni banyak helah dia... maklumlah dah 50 tahun berkuasa dan depa pun dah rasa dah nak sampai penghujung dah hayat depa.. tu yang duk gaduh guna talian hayat tu...rasanya banyak lagi mende lain yang perlu ditumpu dari melayan perkara tak berfaedah ni... wallahua'lam...

Baca Seterusnya......

Khamis, 22 Julai 2010

Pilih parti atau kerajaan?

Oleh Abdul Aziz Bari

Perkembangan dalam UMNO dan PKR bulan lalu membangkitkan isu tentang hubungan antara parti dan kerajaan. Di Selangor PKR membuat perubahan dalam struktur kepemimpinan parti dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak lagi mengetuai parti di peringkat negeri. Sementara itu, perkembangan dalam UMNO menimbulkan soalan siapa yang memerintah: kabinet atau Majlis Tertinggi UMNO?

Kedudukan UMNO sebagai sebuah politik timbul ekoran kebenaran menjalankan judi bola kepada ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan. Pada mulanya Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memberi lampu hijau. Bagaimanapun keputusan itu tidak kekal apabila UMNO tidak bersetuju. MCA tidak senang kerana pada rakan UMNO dalam Barisan Nasional itu keputusan berkenaan terletak di bawah kuasa kerajaan - yakni kabinet - dan bukan UMNO

Soalan-soalan itu berbangkit kerana parti politik memainkan peranan yang penting dalam pembentukan dan perjalanan kerajaan. Dan walaupun perlembagaan tidak menyebutnya kita faham bahawa kewujudan dan pengaruh parti-parti politik amat penting dalam menentukan perjalanan perlembagaan.

Minggu lepas saya menyebut betapa tarikh pilihan raya tetap perlu dan lebih baik. Walaupun sebelum itu saya menyatakan ia tidak boleh dibuat dalam sistem Westminster saya rasa kita perlu realistik; yakni kita jangan mengharapkan kerajaan akan jatuh melalui undi tidak percaya. Ini kerana parti politik tidak akan memperjudikan nasib mereka secara terbuka. Sekiranya mereka tidak senang dengan pemimpin mereka yang mengetuai kerajaan mereka akan membuat perubahan melalui proses dalam parti. Dengan kata lain parti-parti politik tidak akan menyembelih orang mereka sendiri di dalam dewan, di depan musuh mereka.

Ia adalah pendekatan yang lebih logik kerana mereka tidak mahu kehilangan kuasa. Inilah yang dilakukan oleh PKR di Selangor. Itulah juga yang PKR hendak lakukan apabila Ketua Umum PKR – Datuk Seri Anwar Ibrahim – diletakkan sebagai Penasihat Ekonomi Selangor. Walaupun caranya berbeza pendekatan yang sama diambil oleh Parti Konservatif apabila Perdana Menteri Margaret Thatcher dipaksa berundur pada 1990 dan digantikan dengan John Major. Beliau dapat bertahan sehingga 1997 apabila Konservatif tewas di tangan Parti Buruh yang dipimpin oleh Tony Blair.

Memang ada contoh di mana parti menjatuhkan orang mereka sendiri melalui undi tidak percaya; yakni satu proses di luar parti dan secara terbuka. Inilah yang berlaku ke atas Datuk Harun Idris Menteri Besar Selangor pada 1975. Tetapi ini harus difahami dalam konteks yang tertentu; khususnya perancangan UMNO Pusat yang dipimpin oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak yang tidak selesa dengan pengaruh Harun. Dalam pada itu Pas pernah menjatuhkan Datuk Mohamed Nasir dari kerusi Menteri Besar Kelantan pada 1977. Tetapi perlu diingat bahawa itu dilakukan kerana Mohamed dianggap tali barut UMNO dan tiada cara lain yang boleh dibuat untuk membuang ahli parti yang menimbulkan masalah. Ketika krisis itu berlaku Pas berada dalam Barisan.

Tentang UMNO dalam isu judi bola pada saya bukanlah masalah besar. Apa yang penting ialah ada sikap yang konsisten dan jelas. Tidak berdolak-dalik. Dan semua anggota kabinet perlu akur. Dalam isu judi ini MCA dan MIC setuju dengan keputusan awal membenarkan lesen judi bola itu.

Kabinet mungkin hanya sekadar mengesahkan keputusan UMNO. Tetapi ini tidak salah. Seperti yang saya katakan tadi apa yang penting ialah keputusan itu tetap dan konsisten. Perlembagaan menetapkan syarat ini supaya kabinet boleh dipegang dan rakyat boleh menghukumnya. Inilah sebabnya mengapa perlembagaan mensyaratkan prinsip tanggung jawab bersama kabinet.

Atas dasar itu tidak salah bagi Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mempertikai kedudukan UMNO kerana Presiden MCA itu bukan anggota kabinet. Tetapi ia Pastinya meletakkan anggota-anggota MCA dalam keadaan sukar: ikut presiden parti atau Najib sebagai ketua kerajaan?

* Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah mengajar undang-undang lebih 20 tahun lamanya
Baca Seterusnya......

Jumaat, 16 Julai 2010

Tamatkan segera hayat keangkuhan akta penerbitan

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Kebebasan media adalah antara ciri utama sistem demokrasi selain elemen lain seperti kebebasan berucap, proses pilihan raya bebas dan adil, kebebasan berorganisasi, pemerintahan berasaskan suara majoriti, hak minoriti dihormati, kewujudan pembangkang yang berkesan, kehadiran NGO dan kumpulan pendesak yang berautonomi, dan kebebasan badan kehakiman. Media yang bebas dan berintegriti boleh menjadi "The Fifth Estate" yang berupaya mencorakkan pandangan umum dan bertindak sebagai "semak dan imbang" terutama dalam pemerintahan yang dikuasai oleh suatu parti yang dominan.

Namun, elit politik yang seringkali menyalahgunakan kuasa, korup dan mengkhianati amanah rakyat cukup bimbang dengan peranan media bebas. Mereka gentar jika pelbagai penyelewengan dapat dibongkar, sekali gus menimbulkan kesedaran sivil yang meluas, serta boleh menggugat survival regim yang memerintah. Justeru, pelbagai akta drakonian dikuatkuasakan, bertujuan menekan media dan menghalang rakyat daripada mendapat maklumat yang benar. Fenomena globalisasi dan langit terbuka yang menyaksikan kepantasan pengaliran maklumat merentasi apa jua sempadan fizikal rupanya tidak berjaya memaksa pemerintah semi-autoritarian itu untuk melonggarkan - apatah lagi membatalkan - peraturan yang bukan sahaja tidak demokratik, kuno malah "karut-marut".

Ketika gelombang pendemokrasian dilihat mendapat reaksi positif di negara jiran, Indonesia, selepas kejatuhan Suharto lebih 10 tahun lalu, Malaysia yang juga pernah menghadapi gegaran hampir sama (tuntutan reformasi 1998) langsung tidak menunjukkan perubahan membanggakan. Meskipun kadar urbanisasi dan pertumbuhan kelas menengah (satu petunjuk jelas yang sepatutnya membuka lebih luas ruang sivil dan perdebatan awam) lebih pantas di sini, namun pemerintah Umno-BN tetap bersikap bebal, mengamalkan budaya lapuk menutup telinga daripada mendengar suara kritikan atau teguran. Pandangan berbeda daripada masyarakat sivil dihadapi dengan penuh prejudis, ditanggapi dengan bermacam-macam label negatif dan jahat. Hujah dan rasional langsung tidak dihormati. Pemerintah lebih selesa memilih pendekatan keras menolak perbincangan.

Ketika Indonesia, bermula di bawah era Habibie dan Gus Dur, melakukan perubahan drastik memulihkan demokrasi seperti pemansuhan dwifungsi Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (ABRI) dan undang-undang yang menekan kebebasan, selepas 12 tahun Malaysia tidak menyentuh pun sebarang akta rimba. Baru-baru ini kerajaan memaklumkan akan membentangkan beberapa pindaan terhadap tujuh akta berkenaan, antaranya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Seksyen 27 Akta Polis 1960 berkaitan perhimpunan awam yang tidak memerlukan permit, namun ia belum menjamin ruang untuk rakyat berpatisipasi dalam hal-hal politik diperluaskan. Gesaan agar ISA dihapuskan pernah disuarakan dalam satu perhimpunan raksasa di Kuala Lumpur tidak lama dulu.

Apabila timbul isu permit penerbitan Suara Keadilan tidak disambung (diharamkan) ekoran dakwaannya bahawa "Felda bankrap", saya merasakan sudah sampai masanya peraturan mengenai kebebasan media, iaitu Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 diberikan perhatian istimewa.

Tentunya usaha ini tidak mudah dan memerlukan penggemblengan dan dokongan luar biasa. Kempen pemansuhan akta, yang mengandungi pelbagai syarat-syarat permit yang "karut-marut, tidak masuk akal dan tidak cerdik" itu semakin relevan dan kena pada masanya apabila hayat penerbitan Harakah juga turut terancam di bawah peraturan sama. Selama ini operasi penerbitan dan pengedaran terhad akhbar-akhbar milik parti bukan-BN itu hanya dibenarkan atas ehsan Menteri Dalam Negeri, yang sering dijawat oleh menteri kanan.

Jika beberapa tuntutan massa seperti proses pilihan raya yang bersih-bebas-adil, dan pemansuhan ISA serta PPSMI dapat menggegarkan Kuala Lumpur, saya kira lobi menguburkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan harus dimulakan dengan pembentukan gabungan NGO yang prihatin dengan kebebasan bersuara dan hak asasi. Sebelum ditamatkan perkhidmatan melalui satu rombakan kabinet oleh Dato' Seri Najib Razak, Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar pada Ogos 2009 berkata kementeriannya bercadang memansuhkan akta tersebut kerana ia sudah tidak relevan dengan perkembangan teknologi dan juga tidak disenangi ramai. "Rakyat tidak suka akta itu, syarikat-syarikat media pun tidak suka akta itu," kata Syed Hamid. Sayangnya cadangan beliau hilang lenyap begitu sahaja dan tidak sempat pun mencetuskan perbincangan mengenainya.

Beberapa tokoh media, misalnya Dato' A Samad Said, Pak Said Zahari dan Haji Subky Abdul Latiff dilihat boleh menjadi sumber inspirasi buat gerakan pemansuhan akta berkenaan. Rakyat harus didedahkan dengan kewujudan peraturan "karut-marut yang membodohkan" itu, yang bercanggah sama sekali dengan perkembangan canggih dunia maklumat. Segala-galanya terletak di bawah budi bicara mutlak menteri, sama ada mahu meluluskan, menggantung atau membatalkan sesuatu permit (seksyen 6), tanpa perlu memberikan sebarang alasan. Akta yang dipinda pada 1998 itu dengan bangganya, melalui seksyen 13A dan 13B, mengisytiharkan bahawa keputusan menteri adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan di mahkamah, malah "tiada seorang pun boleh diberi peluang untuk didengar berkenaan dengan permohonannya untuk mendapatkan permit atau berhubungan dengan pembatalan atau penggantungan permit"

Itu belum dibahas lagi syarat-syarat permit organ parti yang tidak munasabah langsung, misalnya larangan menjual kepada bukan ahli parti, hanya boleh dijual di premis parti dan tidak boleh dijual di tempat awam. Seolah-olah PAS dan KeADILAN itu suatu organisasi bawah tanah, atau menteri merasakan ahli-ahli parti berkenaan hanya boleh dibilang dengan jari dan tinggal di gua terpencil!

Pilihan Raya Umum Ke-13 memang kritikal bukan saja buat Umno-BN, malah kepada Pakatan Rakyat. Najib, yang dilihat dekat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, mungkin mengambil pendekatan sama seperti mentornya itu kepada seteru politik. Meskipun kini ada pilihan lain seperti munculnya kuasa siber, namun Pakatan Rakyat tidak boleh memandang mudah sekatan kepada penyebaran maklumat secara tradisional ini. Selain menuntut kreativiti dan inovasi hebat mencari peluang baru dan memanfaatkan potensi di ruang maya, kempen memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan tidak boleh dilengahkan.
Baca Seterusnya......

Ambil wang rakyat untuk bayar APCO - Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan tindakan menaikkan harga barangan termasuk petrol seolah-olah Perdana Menteri sanggup mengambil wang rakyat untuk membayar bil APCO bagi memulihkan imej beliau.

"Di mana letaknya maruah seorang Perdana Menteri yang mengambil wang rakyat atas nama penstrukturan subsidi dan digunakan untuk membayar perunding asing seperti APCO sehingga mencecah RM77 juta setahun semata-mata untuk menaikkan imej beliau, sedangkan bayaran kepada APCO itu hampir sama jumlahnya dengan anggaran penjimatan subsidi gula sebanyak RM126 juta (seperti diumumkan PEMANDU)," kata Anwar.

Beliau mengulas kenaikan pelbagai jenis barangan mulai hari ini berikutan penarikan balik subsidi untuk rakyat oleh kerajaan.

Anwar mengecam tindakan itu kerana walaupun Dewan Rakyat telah bersidang sejak 7 Jun 2010, namun pengumuman kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula langsung tidak dibincangkan di Dewan yang mulia itu.

Pengumuman ini membuktikan Perdana Menteri dan kabinetnya tidak menghormati kedudukan Dewan Rakyat sebagai sidang tertinggi yang mewakili rakyat Malaysia.

Datuk Seri Anwar berkata demikian dalam kenyataan bertulis yang dikeluarnya hari ini.

Bagi beliau, tindakan ini dibuat kerana Datuk Sri Najib sedar ahli parlimen baik dari Pakatan Rakyat mahupun dari Barisan Nasional tidak akan menyokong beliau kerana tindakan menaikkan harga tanpa menyediakan bantuan lain kepada rakyat adalah kebijakan yang tidak prihatin terhadap rakyat keseluruhannya.

Hakikatnya, kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula ini adalah tidak bertanggungjawab kerana tidak ada tindakan proaktif untuk menyediakan mekanisme bantuan kepada golongan yang paling terkesan dengan kenaikan ini, sebelum pengumuman dibuat, katanya.

Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan rancangan pemotongan subsidi ini sejak tahun 2008 lagi atas alasan untuk menstrukturkan semula pemberian subsidi agar ia lebih memihak kepada golongan yang memerlukan.

Sehingga kini, rakyat masih tertunggu-tunggu mekanisme bantuan tersebut. Pada masa yang sama, kenaikan demi kenaikan diumumkan.

Kenaikan harga gula sebanyak 28% sejak awal tahun ini (kenaikan 20 sen pada 1 Januari 2010, diikuti kenaikan 20 sen berikutnya pada 16 Julai 2010) sudah tentu akan mempunyai kesan kepada harga makanan.

Kesan berganda daripada kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula ini akan memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah di bawah RM2,000 sebulan, yang mana 75% adalah Bumiputra yang kononnya dibela oleh Barisan Nasional.

Bagi Anwar, bekas Menteri Kewangan itu, sasaran penjimatan sebanyak RM750 juta yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri adalah sedikit berbanding dengan keborosan dan pembaziran yang berlaku akibat kelalaian Barisan Nasional.

Semalam, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri telah mencecah RM3.8 billion pada tahun 2009 dan dijangka mengatasi peruntukan RM3.9 billion bagi tahun 2010.

Ini termasuklah perbelanjaan Sekretariat Mantan Perdana Menteri dan Sekretariat Permata yang dinaungi oleh isteri Perdana Menteri.

Malah, katanya, penjimatan RM750 juta itu tidak setanding dengan kerugian yang ditanggung rakyat apabila konglomerat milik rakyat iaitu Sime Darby mengalami kerugian sebanyak RM946 juta dan menerima pula pampasan dari kerajaan berjumlah RM700 juta.

"Membebankan rakyat atas alasan mengurangkan defisit dan menggunakan penjimatan untuk menampung keborosan kerajaan seperti ini perlu dihentikan segera," tegas beliau.

"Pun begitu, saya tidak menolak bulat-bulat kaedah penstrukturan semula subsidi untuk memastikan lebih banyak bantuan sampai terus kepada golongan 75% di bawah pendapatan isi rumah RM2,000 sebulan.

Penjimatan dari pengurangan subsidi sepatutnya disalurkan terus kepada golongan ini melalui mekanisme-mekanisme yang perlu diumumkan serentak dengan kenaikan harga,tambah Anwar.

"Saya menuntut supaya Perdana Menteri mengumumkan secepat mungkin bagaimanakah penjimatan RM750 juta ini akan dibelanjakan untuk rakyat.

"Nasihat saya supaya penjimatan ini disalurkan dalam bentuk kenaikan peruntukan untuk institusi pengajian tinggi, pelaburan baru dalam bidang pendidikan dan bantuan kebajikan terus kepada golongan berpendapatan di bawah RM2,000 agar penjimatan itu sampai terus kepada rakyat," katanya.

Sebelum ini pun, kerajaan telah menggunakan alasan mengurangkan defisit apabila menaikkan harga minyak dan keperluan asas. Tindakan ini sedikit pun tidak membantu menyelesaikan masalah defisit negara, malah ia makin meningkat.

Bagi tahun 2008, di kemuncak kenaikan harga minyak, defisit negara melonjak kepada 4.8% berbanding 3.2% bagi tahun sebelum itu. Keadaan ini berlaku kerana kerajaan tidak berdisiplin dan tidak ada iltizam politik untuk menyalurkan penjimatan dari pemotongan subsidi ke sektor-sektor yang benar-benar memerlukan, sedangkan pembaziran dan kerugian terus berlaku.

"Sebab itu, saya telah menegaskan berkali-kali bahawa ubat yang paling mujarab untuk memulihkan ekonomi negara adalah reformasi ekonomi yang menyeluruh, bukannya tertumpu kepada golongan lemah semata-mata," katanya.

Perdana Menteri tidak boleh meminta rakyat mengubah cara hidup, sedangkan kroni-kroni, ahli politik, golongan elit dan berkepentingan terus menikmati subsidi korporat seperti subsidi gas kepada penjana bebas yang menelan belanja RM18.9 billion setiap tahun, 25 kali ganda lebih besar dari penjimatan akibat potongan subsidi yang diumumkan semalam.

Sehubungan itu Anwar menggariskan empat langkah segera yang perlu diambil oleh Perdana Menteri untuk meyakinkan rakyat bahawa pengorbanan mereka menanggung harga yang lebih tinggi untuk mengekang defisit adalah berbaloi:

1. Mengumumkan penambahbaikan drastik kepada kaedah dan sistem perolehan yang diamalkan kerajaan agar lebih telus dan mendapatkan nilai terbaik untuk rakyat;

2. Menstrukturkan semula pemberian subsidi gas kepada IPP agar penjimatan ini dapat disalurkan kepada rakyat;

3. Mengawalselia prestasi syarikat berkaitan kerajaan dan agensi yang dipertanggungjawabkan menjaga dana awam bagi mengelakkan kerugian berbillion ringgit yang ditanggung rakyat; dan yang terpenting

4. Membuktikan keikhlasan dalam perang menentang rasuah dengan menghentikan campur tangan politik di dalam SPRM dan Jabatan Peguam Negara.

Rakyat akan ternanti-nanti tindakan susulan Perdana Menteri jika benar Barisan Nasional ikhlas dalam menangani kekusutan ekonomi negara.

Jika tidak, pengumuman kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula semalam hanyalah sambungan kepada rentetan penindasan rakyat berpendapatan rendah demi golongan elit dan kroni, tegasnya.

Baca Seterusnya......

Umno sentiasa sibuk minta tolong PAS

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan PAS sejak ditubuhkan pada 1951 tidak pernah meminta pertolongan Umno, tetapi sebaliknya Umno sentiasa sibuk meminta pertolongan dari PAS.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan mengulas dakwaan Umno kini berada dalam keadaan lemah dan kritikal terutama dalam usaha meraih undi Melayu dan sokongan bukan Islam menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) sehingga terpaksa mempelawa PAS menyertai Umno walau pun pada satu pihak menuduh PAS sesat.

“Kelemahan yang berlaku dalam Umno kini adalah masalah dalaman parti itu, tetapi kenapa dicampur dengan PAS. Kalau dia lemah, maka lemahlah, itu kelemahan dia.

“PAS ni sejak diwujudkan pada 1951 lagi tidak pernah meminta pertolongan Umno (tetapi sebaliknya), Umno duk sibuk nak minta tolong dengan PAS,” katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Medan Ilmu di sini pagi ini.

Ditanya mengenai penafian Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini bahawa tercetus semula isu usaha kerjasama Umno dan PAS menunjukkan Umno kini berada dalam keadaan terlalu lemah sehingga terpaksa menjalin kerjasama dengan PAS, beliau berkata, “itu terserah kepada dia”.

Bagaimana pun beliau memberi kesanggupan untuk berjumpa dengan Timbalan Perdana, Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mana-mana platform termasuk di luar Kelantan sekiranya beliau berada dalam keadaan sihat.

“Tetapi kalau perjumpaan itu hendak runding PAS dengan Umno, tidak ada sama sekali.

“Saya bagi tahu dah, kalau hendak berjumpa dengan saya hendak berunding persoalan PAS dengan Umno, tidak boleh sama sekali. Ini kerana barang yang sudah pun selesai. Sepuluh tahun lalu, dah selesai.

“Itu keputusan parti, bukan keputusan saya, tetapi kalau hendak berunding benda lain, petroleum atau masalah apa saja, boleh,” katanya.

Beliau mengulangi bahawa isu ‘perpaduan Islam’ tidak boleh dirundingkan, terutama apabila Umno menolak Islam dan mengambil ‘kebangsaan’.

Oleh itu, tegasnya, Umno perlu menukar ‘kebangsaan’ itu kepada ‘Islam’ dan akan boleh menyesaikan persoalan tanpa rundingan.

“Islam adalah ‘pasport’ untuk ke syurga, ‘Melayu’ tidak boleh ke syurga.

“Usahkan Melayu, bahkan bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w. sendiri, Abu Lahab, seperti firman Allah (dalam Surah Al-Masad, ayat 1-6) binasa.

“Sedangkan Abu Lahab itu bapa saudara Nabi sendiri, orang Arab dan baka Quraisy, tok syed, tetapi rekod nama dia digazet dalam Al-Quran sebagai ahli neraka. Oleh itu, usahkan Melayu, bangsa Arab pun tidak boleh,” katanya.
Baca Seterusnya......

Protes rancang turun ke jalan raya

Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) tidak menolak kemungkinan akan mengajak rakyat ke turun ke jalan raya ekoran tindakan kerajaan menaikkan harga petrol, diesel, gula dan gas petroleum cecair (LPG) mulai tengah malam tadi.

Penyelaras Protes, Dr. Mohd Hatta Ramli ketika memberitahu perkara itu berkata, tindakan itu bagaimanapun hanya akan diputuskan pada meyuarat Protes yang dijadualkan Ahad ini.

"Kita tidak menolak kemungkinan turun ke jalan raya dalam masa terdekat. Pengalaman kita yang lepas bila rakyat tunjukkan kemarahan, baru kerajaan sedar dan akur dengan kesusahan rakyat," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai ketika dihubungi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan Petrol RON 95 dan diesel naik 5 sen manakala RON97 tidak lagi diberikan subsidi. Ia tertakluk kepada apungan secara terkawal, dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik.

Manakala harga gula pula naik 25 sen kepada RM1.90, dengan gas LPG naik sebanyak 10 sen sekilogram.

Menurut Najib, dengan kenaikan yang didakwa sebagai 'penyelarasan harga' tersebut, kerajaan dijangka dapat menjimatkan RM750 juta perbelanjaan negara tahun ini.

Namun bagi Protes, strategi kerajaan itu akan terus membebankan rakyat biarpun kerajaan mendakwa kenaikan itu kecil dan tidak membebankan.

Menurut Hatta lagi, kenaikan tersebut mencerminkan bahawa senario ekonomi negara gagal dipulihkan seperti yang dicanangkan Najib melalui Dasar Ekonomi Baru (MEB) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) sebelum ini.

"Kononnya akan tumbuh 6 peratus, tetapi kenaikan ini tentunya memberi jawapan sebaliknya," ujar beliau yang juga Bendahari PAS Pusat.

Dalam pada itu, beliau turut mempertikai tindakan kerajaan menguruskan perbelanjaan negara dengan tidak mengutamakan kepentingan rakyat.

"RM570 juta (subsidi) mahu diselamatkan, sedangkan kerajaan sanggup berpelanja lebih 800 juta untuk buat istana negara yang baru," ujarnya lagi sambil menganggap bahawa fizikal istana negara yang sedia ada masih dalam keadaan baik.

Sehubungan itu, katanya lagi, tindakan yang dianggap bijak oleh Najib, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I itu bakal meninggalkan kesan berantai pada rakyat.

"Najib mungkin anggap langkah itu bijak dan menguntungkan kerajaan, sedangkan kenaikan harga barang-barang ini sudah tentu memberi kesan berantai (seperti) inflasi dan kos hidup melambong naik," tegasnya lagi.

Mengulas dakwaan kerajaan bahawa pemotongan subsidi ini bagi menyediakan perbelanjaan yang lebih kepada sektor kesihatan termasuk Klinik 1Malaysia, Hatta berkata ianya sangat tidak wajar kerana Klinik 1Malaysia bersifat program politik Umno BN.

Semalam, Najib di depan perwakilan Umno Kedah menegaskan bahawa kenaikan harga barang-barang keperluan rakyat itu sebagai langkah mengurangkan subsidi yang selama ini ditanggung kerajaan.

Namun, beliau tidak pula menjelaskan langkah proaktif kerajaan dalam menangani isu rasuah, ketirisan serta pembaziran dalam urus tadbir kewangan negara yang sebelum ini dipercayai umum lebih besar dari angka RM570 juta subsidi yang telahpun dirampas balik daripada rakyat.
Baca Seterusnya......

Diari Sasau Seorang Yb (1)

Oleh Azizi Abdullah

Sungguh-sungguh saya tidak dapat bayangkan sekiranyalah saya ini seorang YB yang telah melompat parti menjadi calon bebas, lalu hendak turun ke kawasan menemui pengundi saya.

Apa mukadimahnya hendak saya berkata jika saya bertemu dengan pengundi saya, sama ada di kedai kopi atau di masjid atau di dewan. Takkan saya akan bertemu pengundi hanya ketika Pak Husin balik dari menoreh? Takkan saya nak temui Mak Minah yang sedang cari ubi kayu di belukar? Takkan saya nak bertemu Husin yang sedang jual air tebu?

Tiga bulan dulu ada saya telefon menyampaikan hasrat kepada Seman, JKK parti dulu. Seman terkejut dan berkata:

“YB jangan balik!”
“Kenapa?”
“Saya dengan khabar, ada dua tiga orang nak cempung campak ke dalam parit kalau YB balik!”

Memang pun patut mereka buat macam itu kepada saya. Saya sedar saya memang celakakan diri. Tapi haram jadah punya tawaran, menyebabkan saya naik mabuk kepayang. Cup-cup, habuk pun tarak.

“Kalau saya tak balik, apa sudahnya dengan pengundi saya. Itu kawasan saya. Saya masih jadi YB mereka,” saya berkata kepada Seman.

“Siapa kata YB mereka? Dulu mereka pilih bukan YB, mereka pilih calon parti.”

Seman seorang pekerja saya yang suka bertegang leher. Saya diam begitu saja. Akhirnya saya minta pandangannya, apa cara saya mesti buktikan saya ini YB kawasan itu?

Maka Seman pun cepat menjawab: “Senang saja. Kan sekarang ada blog, ada Facebook. Gunakan itu saja. Satu dunia tahu yang YB cergas!”

Sungguh, mengapa saya tidak pernah terfikir tentang ini. Bukankah ‘blog’ satu-satunya medium yang sangat berkesan. Saya boleh pembohong dan saya boleh berdusta. Dunia pasti tahu walaupun di kawasan saya pengundi meludah atau pun maki-maki.

Membina blog tidaklah sukar. Upah RM100, tiga jam siaplah. Gambar di logo saya masukkan saya dengan seekur kambing besar. Saya simbolkan, saya YB dan kambing adalah pengundi.

Pertama kali saya menulis menceritakan saya berada di Moscow. Saya siar gambar untuk memberitahu pengundi bahawa inilah YB kamu. YB kamu bukan sekadar pegi melawat kolam ikan keli tapi ke Moscow.

Tapi pengundi saya sebenarnya tak tahu. Saya yang terpilih itu pun jenuh saya gabus pungkur mereka, saya cium tangan mereka, saya jilat jubur mereka dan saya menangis beritahu saya menyesal.

Esok saya keluar menyataan hentam ketua parti saya dulu. Lusa saya dapat tiket percuma melancong ke Moscow.

Balik dari Moscow saya tulis isu umat Islam sudah nipis iman dan akidah. Untuk membuktikan saya kuat sokong Islam, saya beritahu saya sudah membuat wakaf sepuluh buah ‘muqaddam’ kepada sepuluh orang yang buta qur`an berusia 65 tahun.

Tiba-tiba meletup pula pasal kerajaan nak beri lesen judi kepada satu syarikat. Saya naik pening. Mana boleh saya bantah walaupun itu perkara benar. Tapi mujurlah dalam masa yang sama timbul isu ketua parti saya dulu keluar negara. Sayapun tulis berulang kali hentam sungguh-sungguh untuk menunjukakan saya tidak setuju. Mana tahu lain kali dapat pula sponsor ke Afrika Selatan untuk Piala Dunia.

Bagaimana pun saya sebenarnya diserang fobia. Saya sebenarnya sangat tidak tenteram. Bukan kerana saya kesal lompat parti dan jadi bebas tetapi saya fobia tentang pengundi kawasan saya. Saya sepatutnya isytihar keluar parti dan sekaligus terus letak jawatan YB. Ini yang sewajarnya. Tapi apakan daya. Masakan saya boleh lepas elaun dan taitel YB begitu saja. Ini kerja bodoh. Bukan senang nak dapat jadi YB.

Saya berazam mahu mempertahankan sebutan YB ini untuk penggal ini saja. Penggal akan datang saya tidak ada peluang lagi. Saya sedar Umno pun tak akan mahukan saya. Kalau mahu pun saya akan jadi kuda tua. Nak masuk balik parti asal, weekkkk, muntah hijau pun mereka tak terima. Nak masuk Pas, itulah…Pas pun macam cerdik pelanduk. Saya telah ‘test’ dua tiga kali. Saya puji Pas, saya puji Tok Guru tapi Pas nampaknya buat dono saja.

Saya memang menyesalkan. Rupa-rupanya barulah saya sedar, orang macam saya berlambak-lambak tak berguna.

Atas asas agama yang ada pada saya, bulan Ramadan ini mahu rasanya saya kembali ke kawasan, mahu memohon maaf. Saya sedar saya sangat bersalah kepada pengundi, kepada pekerja dulu. Saya banyak berhutang: berhutang wang dan berhutang budi, berhutang tenaga. Dengan apa saya hendak membalasnya, melainkan dengan memohon maaf.

Mahukah mereka terima saya? Inilah persoalannya.

Saya cuba memejam mata dan cuba membayangkan: saya ke warung tepi sungai. Saya sua tangan nak bersalam, tak seorang pun sambut. Saya semawa ramai-ramai minum kopi, tak seorang pun datang.

Saya singgah di masjid, saya pura-pura ke saf depan. Tapi tak ada siapa pun yang tolak jadi imam. Kalau dulu, sila Yb, sila YB, sila YB.

Selepas solat, saya minta sepuluh minit nak beri tazkirah, betapa pentingnya umat Islam bersatu menentang Zionis. Tapi tiga empat orang batuk-batuk dan terkam keluar buang kahak.

Waahhh, rupa-rupanya pengundi saya sudah pandai berfikitr. Mereka rupanya bukan lagi pak turut.

Taka apa…tak apa…khabarnya pilihanraya bulan September ini. Kalau cepat lagi bagus. Akan cepatlah hilang kemaluan saya dan akan cepatlah terpadam taitel YB yang sangat menggelisahkan saya. Saya sekarang malu nak balik kawasan. Khabarnya kawan-kawansaya pun, sudah jadi macam ayam berak kapur.
Baca Seterusnya......

Kenapa zalimi akhbar alternatif?

Oleh Mohd Rashidi Hasan

Sejak akhir-akhir ini akhbar-akhbar alternatif, kembali menjadi sasaran tindakan tegas Kementerian Dalam Negeri (KDN) di atas dakwaan melanggar syarat-syarat permit penerbitan.

Terbaru akhbar Suara Keadilan (SK) milik Parti KeADILan Rakyat, digantung permitnya kerana menyentuh isu sensitif berkaitan Felda yang didakwa mereka sudah bangkrap.

Jelasnya isu berkaitan Felda adalah isu yang amat sensitif. Ia menaikkan kemarahan Umno-Barisan Nasional kerana Felda begitu sinonim dengan perjuangan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Menyentuh isu-isu berkaitan Felda, seolah-olahnya dilihat sebagai menyentuh keperibadian Najib.

Persoalannya di sini, atas apakah justifikasi tindakan KDN sehingga menggantung permit SK, hanya kerana membuat laporan mengenai Felda?

Atas apakah justifikasi dari sudut keselamatan negara, mahupun ketenteraman awam, bahawa isu Felda ini akan menggugat keamanan negara?

Yang dipersoalkan oleh SK dan akhbar alternatif seperti Harakah, adalah pendedahan soal penyelewengan, salah gunakuasa dan salah urus Felda oleh pemerintah.

Jika sekiranya SK ataupun Harakah membuat laporan dengan fakta yang tidak tepat, KDN boleh menegur dan memberi amaran.

Jika sekiranya Felda merasakan mereka menjadi mangsa fitnah, mereka boleh mengambil tindakan mengikut undang-undang.

Felda dan kerajaan Umno-BN tidak langsung menjawab segala dakwaan dan fakta-fakta yang dikemukakan.

Sebaliknya mereka membuat tindakan yang tidak realistik dengan menyerbu pejabat SK, mengambil tindakan keras terhadap SK dan menggunakan kuasa kerajaan untuk menggantung penerbitan SK.

Isunya di sini bukan soal SK sahaja. Isu yang besar adalah soal kebebasan media. Mengapa Umno-BN begitu takut dengan akhbar alternatif, sedangkan mereka mempunyai begitu banyak akhbar arus perdana yang menyokong?

Hanya dua tiga akhbar tabloid sahaja yang menyokong Pakatan Rakyat. Itu pun secara berkala, bukan harian.

Umno-BN menguasai media elektronik dengan siaran 24 jam sehari dan mempunyai media cetak yang diterbitkan setiap hari.

Media-media pro Umno-BN ini, setiap hari ada sahaja bahan yang dipaparkan buat mengkritik, menghentam dan berusaha memporak perandakan Pakatan Rakyat serta kerajaan negeri pimpinannya.

Tidakkanlah puluhan media pro Umno-BN ini, tidak mampu berhadapan dengan hanya dua tiga akhbar tabloid yang kecil, yang jualannya amat terhad?

Jika hendak dipertikaikan soal sensitiviti isu dan provokasi, begitu banyak media pro Umno-BN yang melanggar syarat permit kerana membawa isu rasis yang boleh menggugat keselamatan negara.

Jelas di sini kerajaan tidak adil. KDN jangan sesekali mengambil tindakan yang berat sebelah.

Mereka seolah-olah tidak tahu membezakan antara isu yang menggugat kestabilan Umno-BN dengan isu yang mengancam keselamatan negara.

Dalam keadaan Umno-BN yang terdesak dengan pelbagai isu dalaman dan luaran yang memungkinkan mereka tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, langkah menekan akhbar alternatif merupakan suatu langkah yang tidak bijak.

Langkah ini hanya akan merosakkan sistem demokrasi dan mencalarkan kemurnian amalan demokrasi dalam negara.

Demokrasi yang sebenar adalah dengan memberi ruang sepenuhnya kepada rakyat untuk bersuara, dan pihak yang berkuasa mempunyai peluang untuk memperbetulkan segala tanggapan secara terbuka.

Menutup pintu demokrasi, hanya akan mempercepatkan jalan Umno-BN untuk bersemadi di muzium.

Baca Seterusnya......

PAS di jalan demokratik melalui Pakatan Rakyat

Oleh Abu Firdaus

Orang mengata macam-macam terhadap PAS. Ada kalangan menganggap parti Islam ini dianggap pengkhianat bangsa kerana terus-berterusan bersekutu dengan DAP dan enggan mengambil isu-isu Melayu yang diperjuangkan oleh badan bukan kerajaan seperti Perkasa. Maka diungkitlah betapa pada awal-awal kemerdekaan lalu, PAS menjadikan isu kerjasama antara Umno dan MCA dalam satu Perikatan yang akhirnya menguasai negara.

Apakah bezanya antara kerjasama Umno dan MCA pada tahun 60-an dengan PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat sekarang? Maka ditampilkan betapa dalam Perikatan dan kini Barisan Nasional, Umno yang menjadi ketua dan dominan sementara MCA dan lain-lain mengikut kata. Sebaliknya dalam Pakatan Rakyat pula, PAS dilihat tidak dominan, sebaliknya setaraf dengan DAP, malah dianggap didominasi oleh Keadilan, kalau tidak pun DAP.

Memang benar bahawa pada tahun 60-an, PAS menentang kerjasama Umno dengan MCA dan dibawa ayat-ayat Al-Quran yang menyatakan bahawa haram bekerjasama antara orang Islam dengan orang kafir. Oleh kerana Umno itu Islam dan MCA kafir, maka kerjasama itu adalah haram. Tetapi Umno membalas hujah dengan menyatakan.bahawa MCA bukan kafir harbi sedangkan ayat itu dikatakan merujuk kepada kafir yang menentang Islam. MCA dianggap tidak menentang Islam.

Satu lagi hujah ialah Umno mengetuai Perikatan, maka ia bukan satu kerjasama setaraf kerana Umno yang menguasai gabungan parti itu. Tetapi apakah itu hakikatnya?

Pertamanya Perikatan ditubuhkan secara tidak sengaja. Dalam pilihan raya perbandaran Kuala Lumpur, oleh kerana untuk menghadapi Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) yang berbilang kaum, maka Umno dan MCA bekerjasama. Tenmtunya sebagai orang Melayu secara automatiknya ia dilihat sebagai ketua. Tetapi dari segi sistem demokrasi, Umno dan MCA adalah setaraf.

Bagaimanapun Umno menghadapi masalah untuk bergerak kerana ia kekurangan dana. Sejarah menyatakan bahawa MCA yang menyalurkan dana kepadanya Umno untuk banyak tahun sehinggalah pada tahun 70-an apabila usaha digerakkan supaya Umno dapat berdikari. Jika dana datang dari MCA walaupun Umno menjadi ketua Perikatan, tentu banyak perkara boleh ditafsirkan mengenai perkara ini.

Usaha Umno dapat berdikari dan tidak bergantung pada dana MCA hanya benar-benar berlaku selepas tahun 1969. Atas nama perpaduan nasional, kerajaan campuran Umno dan PAS ditubuhkan. Untuk mengelak dipandang kerajkaan Melayu menguasai negara, maka diumumkan dulu kerajaan campuran Perikatan dengan Gerakan.

Atas kepentingan nasional, Tun Razak menjemput semua parti untuk penubuhan kerajaan campuran. Barisan Nasional belum ditubuhkan. Dalam kerajaan campuran, semua setaraf. PAS setaraf dengan Perikatan. Perikatan tidak mendominasi. Umno juga tidak mendominasi walaupun ia menjadi ketua kerana kerusianya yang lebih banyak. Tetapi semua setaraf. Maka tidak timbul soal Islam kerjasama dengan kafir.

Perbahasan mengenai Islam, kafir, Negara Islam, parti Islam dan parti kafir perlu huraian lebih panjang. Para ulama boleh mengulas dengan pelbagai cara sertya kaedah siayah syariah serta pelbagai pandangan dan pendapat yang berbeza, bertentangan, malah dalam parti sekalipun. Dalam PAS juga terdapat banyak pandangan. Begitu juga dalam Umno. Perbahasan juga boleh dibuat tentang status Umno itu. Adakah ia parti Islam ataupun bukan? Apa maksud dengan parti Islam? Perkara ini semua menarik untuk dibahaskan.

Tetapi hakikatnya sebelum DAP menjadi DAP, ia dikenali sebagai parti Tindakan Rakyat (PAP) yang berpusat di Singapura. Menjelang penubuhan Malaysia, PAP adalah sekutu kuat Perikatan khususnya Umno dalam isu penubuhan Malaysia. Sebaliknya PAS menjadi sebahagain daripada parti pembangkang yang menentang penubuhan Malaysia. PAS bersama dengan Front Sosialis menentang penubuhan Malaysia yang dianggap sebagai projek neokolonialisme tajaan Amerika Syarikat dan Britain.

Hanya apabila PAP berpecah daripada Perikatan ekoran dikeluarkannya Singapura daripada Malaysia, maka ia menjadi pembangkang. Dari awal lagi dasar PAS dan DAP adalah bertentangan berhubung dengan soal Melayu dan Islam. Bagaimanapun, itu tidak bermakna tidak ada banyak perkara yang mereka mempunyai perjuangan prinsip yang serupa, umpamanya seperti soal demokrasi dan hak asasi manusia.

Atas perbezaan ini, maka dari awal lagi Umno menuduh PAS bekerjasama dengan DAP untuk memcah undi Melayu. Baik dalam pilihan raya 1969 mahupun selepas PAS dikeluarkan daripada Barisan Nasional. Sememangnya terdapat kerusi yang seolah-olah ada kerjasama antara PAS dan DAP bagi memcah undi, baik undi Melayu, mahupun Cina. Tetapi kalau masing-masing boleh memcah undi di antara satyu sama lain, maka kedua-duanya tidaklah boleh dikatakan mengkhianat bangsa sendiri, sebaliknya ia merupakan kerjasama bagi mencapai cita-cita politik yang sahih.

Pertama kali kerjasama rasmi antara PAS dan DAP berlaku pada tahun 1999 melalui Barisan Alternatif. DAP kalah teruk dan serik untuk bekerjasama dengan PAS. Sebaliknya PAS meraih keuntungan. Adakah dengan beketrjasama dengan DAP ini dikatakan PAS mengkhianat sedangkan ia meraih keuntungan.

Sejak itu tidak ada kerjasama secara langsung. Pakatan Rakyat pula ditubuhkan hanya selepas meraih kemenangan dalam pilihan raya. Kerjasama antara PAS dan DAP melalui Pakatan Rakyat adalah sesuatu yang dapat difahami daripada parti-parti demokrasi yang mempunyai program bersama dalam hal-hal yang boleh dipersetujui.

Sebagai kerajaan-kerajaan negeri, tentu ada polisi yang tidak betul atau tidak disukai rakyat. Tetapi kerajaan negeri yangf menampilkan kerjasama antara PAS dan DAP tidak menampilkan sebarang pengkhianatan kepada bangsa dan agama. Malah usaha untuk membersihkan negara daripada amalan lama yang penuh korupsi dan tidak demokrastimka dalah usaha murni dan hanya dapat dilakukan melalui Pakatan Rakyat yang tonggaknya adalah kerjasama antara PAS dan DAP.
Baca Seterusnya......

Lagu Lama Umno, Hanya Satu Perangkap!

Oleh Anak Sengat

Sehari dua ni aku makin pening. Apakan tidaknya??? umNO yang kata PAS sesat, tiba tiba terhegeh hegeh plak nak ajak PAS bersatu membangunkan Islam dan menyelamatkan negara. Macammana umNO boleh ajak orang sesat bersatu ni?? memang pening betul la umNO ni...

Cadangan itu datangnya dari Lokman Nor Adam , bekas wira Reformasi dulu. Aku kenal Lokman ni masa dia jadi pemimpin pelajar di ITM manjong. Dia menjadi popular masa dia koyak surat arahan polis yang menghalang ceramah reformasi masa tu.. rupenye semangat anak muda kelahiran Johor ini mati di dalam tahanan ISA. Dia muncul dengan wajah baru di dalam umNo dan beliaulah yang kembali mencanangkan suara perpaduan umNO PAS.

Cadangan Lokman bukan sahaja di sambut oleh Mufti Perak yang sememangnya mufti melayu tu...tapi juga di sambut juga oleh Muhyidin Yasin , Timbalan PM. Setakat ini hanya Najib sahaja yang nampaknya mendiamkan diri. Mungkin tak mahu kelihatan hilangnya semangat satu Malaysia berbagai bangsa. Muhyidin memang dijelmakan sebagai pemimpin Melayu sebagai tangkal pesaka kononnya menjaga melayu di dalam umNO di era satu Malaysia Najib.

Isu perpaduan antara PAS dan umNO adalah isu talian terdesak yang sering diulang setiap kali umNo nazak. Perpaduan umNo PAS adalah isyarat perpaduan melayu dan ia hanya mahu digunakan untuk menarik perhatian melayu. Seruan perpaduan itu beerti isyarat melayu terancam.. Itu sebenarnya mesej yang ingin disampaikan oleh umNO.

Jika PAS menolak beerti PAS menolak untuk menyelamatkan kuasa melayu, begitulah isyarat yang umNO mahu rakyat faham. Walaupun Najib mendendangkan satu Malaysia, namun di peringkat akar umbi umNO masih menjaja betapa kuasa melayu perlu dipertahankan. Isu itu sangat berkesan di hati orang melayu.

Sebenarnya rakyat kini sudah mula faham bahawa realiti rakyat Malaysia kini jauh berbeza 50 tahun dulu. Rakyat kini telah boleh bersatu atas semangat keadilan dan membela kezaliman. Hanya kalangan yang tertinggal keretapi sahaja yang masih mendendangkan lagu bangsa. Isu melayu perlu bersatu dalam PAS dan umNO, Anuar sebagai agen Amerika, keganasan dan beberapa isu yang didendangkan kini adalah lagu yang digubah semula yang digunakan setelah umNO kehilangan undi melayu selepas tahun 90an.

Ketika umNO kehilangan sokongan undi melayu selepas pilihanraya 90, umno menyuntik semangat perkauman yang tinggi bagi memulihkan sokongan melayu. Ia berjaya. Namun senario itu tidak sama lagi kini kerana umNO turut kehilangan undi bukan melayu dalam PRU 12. Namun isu melayu terpaksa dilagukan juga kerana hanya melayu harapan umNO untuk bertahan.

Pemimpin Pakatan Rakyat khususnya PAS sendiri mesti waspada menangani isu sensitif ini. Jangan terjerat dengan mainan media umNO dalam masa yang sama jangan menunjukkan sifat angkuh untuk menolak undi melayu. Jangan ada juga yang mengambil kesempatan untuk meniupkan api perbalahan dalaman dengan mengungkit perkara yang membuka luka lama. Kebijaksanaan sangat perlu dalam mengahadapi isu sensitif sebegini. http://anaksengat.blogspot.com/

Baca Seterusnya......

Kebebasan akhbar mesti diperjuang, bukan ehsan

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Saya masih bercuti panjang sehingga hujung Julai ini. Kesan luka di kaki berikutan pembedahan pintasan jantung dua bulan lalu masih terasa. Berjalan pun kena bertongkat, tapi alhamdulillah semangat untuk menulis mulai muncul, apatah lagi apabila mendengar khabar duka bahawa permit penerbitan Harakah belum diperbaharui.
Resah saya memikirkan karenah tidak habis-habis oleh KDN yang diberi kuasa mutlak oleh Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Akta ini diperketatkan oleh Dr Mahathir Mohamad sebanyak dua kali di zaman pemerintahannya, 1984 dan 1987. Akta ini dengan angkuh menafikan segala ruang untuk semakin kehakiman, sekali gus memberikan kuasa mutlak seluas langit dan bumi kepada Menteri Dalam Negeri untuk menggantung atau tidak memperbaharui mana-mana permit penerbitan.

Tidur saya kini kerap terganggu, bukan lagi disebabkan menahan sakit di dada atau perit di kakit, tetapi "sakit hati" dengan kesombongan regim Umno-BN. Di kala dunia berbicara soal proses pendemokrasian sejagat, Najib Razak memilih jalan lain, undur ke belakang dan akan diketawakan masyarakat antarabangsa. Ketika konsep langit terbuka dan jaringan maklumat dapat diakses dengan mudah dan cepat di mana saja, suasana kebebasan akhbar di Malaysia mundur semundur-mundurnya.

Melalui buku Strategi Membanteras Korupsi, Jeremy Pope dalam bab Masyarakat Sivil, menukilkan ungkapan Woodrow Wilson: "Kebebasan tidak pernah datang dari pemerintah. Kebebasan adalah hasil perjuangan penganut-penganutnya."

Saya cukup tertarik dengan kata-kata penuh makna ini. Kebebasan tidak akan datang menggolek, ia mesti diperjuangkan dengan segala kekuatan dan potensi yang ada pada kita. Pemerintah yang berasa selesa dengan pelbagai akta dan peraturan yang mengongkon akan terus menindas demi survival kuasa mereka. Soalnya, bagaimana dengan kita, apakah sekadar memerhati atau mengambil masa terlalu lama untuk bertindak menuntut hak yang terancam ini?

Bagi saya, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan cukup memperbodohkan kita. Selepas PAS bersama Barisan Alternatif mencapai kemenangan gemilang dalam pilihan raya umum 1999, tanpa sebarang sebab, tiga bulan selepas itu, permit penerbitan Harakah dikurangkan, daripada diterbitkan dua kali seminggu menjadi dua kali sebulan.

Sebelum itu, macam-macam peraturan baru, sama ada dari segi pengedaran, jualan dan juga kandungan Harakah dikuatkuasakan. Kebanyakannya bercanggah dengan logika dan rasional. Malah pengurusan Harakah terpaksa membazirkan bukan sedikit wang untuk menyediakan rak khas kepada peruncit, seperti diarahkan KDN.

Kini, KDN dengan peruntukan luarbiasa akta berkenaan sekali lagi datang menganggu. Pernit Suara Keadilan tidak diperbaharui, manakala nasib Harakah hanya mengharapkan ehsan menteri. Dalam masa seminggu Harakah terpaksa menjawab dua surat tunjuk sebab. Dakwaan yang dikenakan adalah kitaran semula surat-surat lama KDN.

Banyak pihak mengharapkan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat mengambil perhatian serius dan segera isu ini. Jika di negara maju lain, misalnya Britain, isu berkaitan sekatan penerbitan akhbar boleh menyebabkan kerajaannya tumbang, tetapi setakat ini di Malaysia keadaan seperti "tidak berlaku apa-apa". Ramai menunggu apa langkah terbaik daripada pimpinan dua parti terbesar dalam negara ini, PAS dan KeADILan, apabila hayat organ parti masing-masing terancam ....


Baca Seterusnya......

Tukar Tonggak Melayu Lebih Selamat

Oleh Zulhimi Bin Abd. Rahman

2 - 3 bulan kebelakangan ini banyak isu-isu yang berkaitan tentan nasib melayu yang bakal dipinggirkan jikalau terus berada dalam keadaan sekarang. Ini termasuk beberapan kenyataan Tun Dr. Mahathir dalam membicarakan isu orang Melayu.

Ekoran daripada itu, mula timbul idea penyatuan antara UMNO dan PAS supaya agenda Melayu dapat diperkasakan. Bahkan terdapat beberapan pandangan termasuk utusan hari ini memaparkan bahawa PAS akan lebih berpeluang melaksanakan agenda Islam bersama dengan UMNO daripada bersama dengan Pakatan Rakyat.

PAS telah mengalami pengalaman perit ketika bersama UMNO. Walaupun pada mulanya PAS mampu mengetengahkan pelbagai agenda Islam bersama UMNO pada awal tahun 70'1n. Namun, PAS akhirnya ditendang begitu sahaja tanpa banyak bicara. Mungkin berlaku beberapa kesilapan daripada pihak PAS dalam beberapa isu . Tetapi tindakan drastik BN menendang PAS merupakan satu tragedi yang tidak dapat dimaafkan.

PAS semenjak awal penubuhanya begitu sinonim dengan melayu. Ini kerana bagi masyarakat Malaysia, Islam itu Melayu Melayu itu Islam. Dengan sebab itu, PAS banyak menguasai kawasan orang Melayu khususnya di Kelantan dan Terengganu.

PAS yang memegang prinsip Islam telah membuktikan mampu mentadbir dengan adil dan tanpa penyelewengan. Kelantan yang telah ditadbir selama 20 tahun terbukti sebagai sebuah kerajaan yang bersih daripada sebarang bentuk penyelewengan. Walaupun terdapat beberapa laporan telah dibuat kepada SPRM. Tetapi kesemua laporan berakhir dengan ketiadaan kes.

PAS juga telah membuktikan keteguhan kepada prinsip perjuangan apabila kesemua wakil rakyat PAS tidak terlibat dengan agenda lompat parti yang telah mengemparkan negara baru-baru ini.

Ini semua menandakan bahawa dengan prinsip dan dasar perjuangan Islam telah membawa PAS dan ahli menjadi lebih Istiqomah dalam perjuangan dan lebih ke arah konsep keadilan untuk semua.

PAS bersedia bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam isu Islam seperti mana yang pernah di putuskan dalam Muktamar PAS Pusat di Perak dan Shah Alam. Bekerjasama bukan bermakna bersatu.

PAS pernah membela perobohan Kg. Berambang, PAS pernah membela isu Natrah, PAS pernah menentang PPSMI yang sampai sekarang tidak ada penyelesaian konkrit.

PAS juga pernah membantah pemansuhan tulisan jawi, PAS menentang segala bentuk pengekplotasian terhadap peneroka felda dengan penubuhan Persatuan Anak-Anak Felda Kebangsaan (ANAK) yang dipengerusikan oleh Sdr. Mazlan Aliman.

Semua penentangan ini untuk membuktikan bahawa PAS membela Bangsa Melayu yang dizalimi.

Ini belum termasuk penentangan PAS terhadap sebarang bentuk kemungkaran yang bukan sahaja boleh merosakkan agama, bahkan bangsa itu sendiri seperti anjuran konsert-konsert yang boleh merosakkan maruah bangsa. penentangan terhadap judi bola sepak, bantahan terhadap ketidakadilan dalam sistem pilihanraya dan pelbagai lagi.

Ini belum lagi menyentuh isu pembaziran dan rasuah yang menelan jutaan ringgit.

Isu-isu inilah menggambarkan bahawa PAS komited dengan isu-isu Islam dan Melayu.

Kesemua isu-isu ini diwujudkan oleh Kerajaan yang diketuai oleh UMNO.

Oleh itu, sudah sampai masanya bangsa Melayu bersedia untuk menukar tonggak pergantungan daripada UMNO yang banyak melakukan kerosakan kepada agama kepada tonggak yang baru yang berasaskan kepada asas yang teguh dan kuat.

Dasar perjuangan PAS bukan sekadar hiasan dalam buku perlembagaan. Dasar ini menjadi asas dalam pergerakan PAS semenjak dari tahun 1951 sehingga sekarang.

Sudah sampai masanya Bangsa Melayu kembali kepada PAS..

Anda tentu yakin dengan Parti Islam Semalaysia (PAS)

www.attakiri.blogspot.com

Bekerja Untuk Islam...
Baca Seterusnya......

Tolak debat isu Felda, Mazlan gelar Ahmad Maslan 'penakut'

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB

Pengerusi Persatuan Anak Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman menggelarkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Ahmad MAslan sebagai 'penakut' kerana menolak debat terbuka isu-isu membabitkan Felda.

Telahan itu dibuat Mazlan ketika ditemui selepas sidang media bersama Ahmad Maslan di Parlimen pada 8 Julai lalu,Mazlan menyerahkan surat jemputan debat kepada Ahmad Maslan sementara Ahmad Maslan hanya mahu 'berdialog'.

Beliau bimbang, ajakan dialog tersebut hanyalah bersifat untuk menutup banyak perkara yang berlaku dalam Felda dari mata umum terutamanya peneroka Felda yang tidak mendapat maklumat mengenai kewangan badan itu secara telus.

"Seperti ada yang mahu disembunyikan.Bagi saya apa salahnya kita berdebat dan masing-masing mengemukakan hujah agar rakyat mempertimbangkannya, perlu apa takut untuk berdebat jika dia (Ahmad Maslan) rasa dia dipihak yang benar," soal Mazlan lagi.

Mazlan yang juga AJK PAS Pusat menegaskan Ahmad Maslan yang juga Ketua Penerangan Umno itu sebenarnya takut untuk berdepan dengan rakyat.

Beliau menjelaskan, pemilihan debat dicadangkan ekoran beberapa siri dialog sebelum ini dilihat gagal menyelesaikan isu peneroka dan tidak mendatangkan hasil yang positif.

"Saya bukan nak cari publisiti kerana memilih debat, tetapi saya mahu rakyat sendiri tahu apa isu sebenar yang membabitkan Felda, isu penyelewengan, isu mengapa susutnya rizab tunai Felda, dan banyak lagi yang saya akan dedahkan.

"Saya mahu rakyat menjadi hakim. Kita mahu rakyat nilai mana yang betul mana yang salah. Dia (Ahmad Maslan) tak mahu debat tetapi memilih dialog. Ini tak selesaikan masalah, malah dialog ini dibuat biasanya tertutup, kemudian apa yang akan digambarkan dalam media akhirnya hanya suara sebelah pihak.

"Jalan terbaik adalah debat, dibuat secara langsung melalui stesen televisyen samada kerajaan mahupun swasta, kemudian khalayak Felda sebagai tetamu.Nak buat dimana sahaja saya tak kisah asalkan rakyat dapat tahu apa yang berlaku sebenarnya," kata Mazlan ketika ditemui selepas sidang media.

Sementara itu Mazlan juga yakin 'ada benda yang disembunyikan' yang menyebabkan Ahmad Maslan 'enggan' berdebat secara terbuka, sebaliknya hanya mahu berdialog.

"Kalau dia tak takut, marilah berdebat, kenapa tak mahu debat?" katanya lagi.

Mazlan sebelum ini banyak mendedahkan isu membabitkan pentadbiran dan pengurusan Felda.

Beliau yang juga generasi kedua Felda memiliki pengalaman berhubung isu-isu Felda dan bersedia mendedahkan banyak lagi isu membabitkan agensi itu dalam masa terdekat.Mazlan kini dalam siri jelajahnya seluruh Malaysia bagi mengetengahkan isu-isu berkaitan Felda dan tanah.

Beliau pernah ditahan di Temerloh awal tahun ini berikutan pembabitan seriusnya dalam isu-isu membabitkan Felda, namun penahanan itu tidak menjadikan beliau gentar.
Baca Seterusnya......

Pengikut