Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Khamis, 26 Mei 2011

Ingat ,Jangan Ada Politik Cantas Di Kalangan Kita!

Oleh Nasrudin Hassan at Tantawi

Selagi PAS dilanda gelora dan kini isu berkait dengan politik cantas atau "cas keting" . Dalam erti kata lain ialah politik saling jatuh menjatuhkan antara satu sama lain dari kalangan anggota sepasukan atau s ejamaah .

Ianya jelas kelihatan sangat negatif malah bertentangan dengan disiplin dan akhlak berjamaah justeru intima' [ penyertaan ] kita ke dalam jamaah Islam ini adalah untuk mencari keredhaan Allah swt. bukan nama , kedudukan , pangkat dan jawatan .

3. Jawatan hanyalah amanah yang mesti dipikul dengan penuh tanggngjawab . Tiada kebanggaan dari jawatan yang disandang melainkan beban yang akan dipersoal oleh Allah swt kelak . Memahami realiti ini , sewajarnya politik cantas mencantas sesama sendiri tidak berlaku sebaliknya apa yang selayaknya ialah Fastabiqul khairat [ berlumba - lumba membuat kebajikan ] .

4. Tindakan saling jatuh menjatuhkan sesama anggota jamaah Islam adalah satu pelanggaran disiplin dan akhlak jamaah yang serius . Ianya dibayangi oleh nafsu yang tidak baik dan dipengaruhi pula oleh unsur yang negatif [ mazmumah ] seperti hubbu Jaah [ gila kemasyhuran ] dan hubbu Riyasah [ gila jawatan ] .

5. Apa yang mahu dikejar dalam perjuangan ini sehingga sanggup cantas mencantas ? sedang tugas dan tanggungjawab terlalu banyak untuk dilaksanakan . Gerakan Islam bukan medan untuk mencari kemasyhuran dan bukan pula medan memburu kekayaan . Sayugianya kita bahu membahu bukan siku menyiku dan kita kuat menguat antara satu sama lain bukan cantas mencantas .

6. Jangan kita terpengaruh dengan cara musuh berpolitik dan jangan biarkan nafsu menguasai diri . Berjuanglah dengan tenang dan ikhlas . Hiasi diri dan jamaah ini dengan disiplin , akhlak dan adab berjamaah sebagaimana yang dikehendaki oleh sunnah perjuangan yang diasaskan oleh baginda Rasul saw .

7. Suka saya tegaskan sekali lagi bahawa jawatan adalah beban yang mesti dipikul bukan direbut dan tanggungjawab adalah amanah yang mesti ditunai bukan untuk dibanggakan . Jangan lihat sahabat seperjuangan seperti menjeling ke arah musuh . Jangan biarkan pra sangka mendahului husnu zaan ketika kita menilai sahabat seperjuangan . Kalau hanya berbeza pandangan dan pendapat , tidak seharusnya dibaca sebagai permusuhan sehinggakan mewajarkan kita mencantas atau menjatuhkannya .

8. Sewajarnya kita memperkayakan jamaah ini dengan semangat kasih sayang [ ukhuwwah filah ] , hormat menghormati , harga menghargai , faham memahami malah percaya mempercayai antara anggota sesama anggota demikian juga pimpinan sesama pimpinan . Katakan tidak kepada curiga mencurigai dan hasad dengki atas kejayaan , kemajuan dan kehebatan sahabat seperjuangan yang lain .

9. Andai terdapat sesuatu tindakan anggota yang dianggap membawa kerosakan dan kebinasaan kepada jamaah , kita mempunyai Jawatan kuasa Disiplin parti yang menilai dan menguruskannya . Kita juga ada muktamar di semua peringkat parti untuk mengukur prestasi dan reputasi anggota . Kita juga ada majlis mesyuarat dipelbagai peringkat untuk membuat keputusan . Asaskan segala tindakan melalui prinsip amal Islami yang meletakkan syura sebagai satu mekanisme membuat keputusan dan mengawal parti .

10. Jadilah anggota atau pimpinan jamaah yang baik dan soleh .

a] Suburkan Amal Tarbawi di dalam organisasi jamaah
b] Cernakan kemurnian spiritual sebagai seorang pejuang .
c] Tutup segala ruang buat syaithan menguasai minda
d] Pelihara adab dan akhlak berjamaah .
e] Patuhi peraturan dan tatacara jamaah .
f] Dengar dan taat arahan pimpinan .
g] Utamakan jamaah mengatasi kepentingan diri .
h] Hormati pandangan sahabat seperjuangan
i ] Urus konflik dengan bijak , adil , telus dan jujur .
Baca Seterusnya......

Sabtu, 7 Mei 2011

Anak syarikat kerajaan Kedah tanggung Puteri Umno

Oleh Mohd Shubihi Muhamad Zain

Sebuah anak syarikat kerajaan negeri Kedah, Seri Temin Development Corporation (M) Sdn Bhd (STDC) didakwa telah menymbangkan dana tetap kepada Puteri Umno ketika Kewdah ditadbir oleh BN sebelum ini.Ia melibatkan sumbangan dana syarikat milik kerajaan (GLC) itu kepada Pergerakan Puteri Umno Kedah yang berjumlah RM30,250 bagi tempoh Julai 2003 hingga Februari 2004

Pendedahan ini dibuat melalui laman blog prokerajaan 'Kedah La Ni' dan turut disebarkan melalui laman sosial 'facebook' penyokong-penyokong kerajaan termasuk Exco Kerajaan Negeri, Dr Ismail Salleh.

Turut disenaraikan adalah butiran lengkap sumbangan syarikat kepada sayap Umno itu yang menyalahi matlamat penubuhan syarikat dan dikategorikan sebagai perbelanjaan tidak berkepentingan ketika pergerakan tersebut diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tiang, Suraya Yaakub (gambar).

Mengikut rekod perbelanjaan syarikat 2003, pergerakan itu menerima sumbangan cek berjumlah RM1,000 (27 Julai), RM7,000 (5 Ogos) dan RM1,000 (22 Disember). Manakala pada 2004 pula, mereka menerima RM7,000 (5 Januari), RM4,250 (24 Februari) dan RM10,000 (25 Februari).

Sidang Dun Kedah baru-baru ini dikejutkan dengan pendedahan penyelewengan dana GLC berjumlah hampir RM8 juta oleh pengurusan terdahulu hingga mengakibatkan STDC mengalami kerugian.

Susulan pendedahan itu Pemuda PAS Alor Setar telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 14 April lalu dan menyerahkan dokumen berkaitan penyelewengan bagi membantu siasatan.
Baca Seterusnya......

Memilih pemimpin semasa muktamar

Oleh Khalid Samad

Ada yang bertanya saya berhubung pemilihan yang akan diadakan semasa Muktamar tahun ini. Mereka bertanya, “atas dasar apa perlu kami memilih dan siapa patut kami sokong?” Saya menjawab secara umum, “pilih yang boleh menunaikan tanggungjawab yang datang bersama jawatan tersebut”.

Seperti yang sering diingatkan, jawatan adalah tanggungjawab dan bukan penghormatan. Atau dalam istilah yang digunakan Ketua Pemuda PAS Pusat, ‘takhlif laa tasyrif’. Ini bermakna, kita pilih seseorang itu dengan tujuan utama supaya dia memainkan sesuatu peranan, bukan sebagai pengiktirafan terhadap kehebatan dirinya. Ini adalah lebih-lebih lagi sekiranya jawatan tersebut bersifat ‘eksekutif’ atau untuk ‘execute’ iaitu melaksanakan sesuatu tugas atau peranan.


Dalam PAS, semua jawatan AJK PAS Pusat adalah bersifat ‘executive’. Mungkin itu sebabnya ianya disebut sebagai Jawatankuasa KERJA PAS Pusat. Penekanan diberi kepada perkataan KERJA! Maknanya, seseorang yang dipilih untuk menyandang mana-mana jawatan dipilih kerana dipercayai dia boleh membuat kerja yang perlu dibuat oleh seseorang yang menyandang jawatan tersebut. Sekiranya kemudiannya dia didapati tidak mampu atau tidak sesuai untuk kerja berkenaan, maka dia boleh ditukar.

Ini sebenarnya semangat disebalik kata-kata ‘takhlif laa tasyrif’. Sekiranya atas dasar penghormatan, atau ‘tasyrif’, ianya penganugerahan atas sebab kehebatan seseorang dalam bidang tertentu. Maka anugerah itu adalah atas sebab apa yang telah dan sedang dilakukan dan ianya tidak menuntut sesuatu prestasi atau perlaksanaan selain dari apa yang telah dicapai. Sebagai contoh, tokoh perniagaan untuk tahun 2011 adalah berdasarkan pencapaian seseorang peniaga pada tahun berkenaan dan walau apa sekalipun yang berlaku selepas itu, beliau yang dianugerah tokoh perniagaan 2011 tetap merupakan tokoh pada tahun tersebut, walaupun pada 2015 katakan, dia bankrupt! Dalam erti kata lain penganugerahan itu tidak mewajibkan beliau melakukan sesuatu, termasuk meneruskan prestasi cemerlang dalam perniagaan beliau.

Pemilihan atas dasar ‘takhlif’ pula mengambil kira kerja yang perlu dilakukan dan orang yang dianggap paling mampu untuk melakukannya. Oleh itu, dua aspek penting perlu diambil kira semasa membuat pilihan. Yang pertama kerja atau tanggung jawabnya dan yang kedua kemampuan calon-calon yang dicadangkan.

Dalam soal kerja untuk setiap jawatan, ianya dijelaskan secara umum di dalam perlembagaan. Sebagai contohnya, kerja atau tanggung jawab Presiden dinyatakan dengan jelas sebagai 5 tugas utama, iaitu, secara ringkas:

1. Melaksana pentadbiran, gerakan dan kegiatan PAS bagi mencapai tujuan-tujuan yang termaktub dalam Perlembagaan
2. Bertanggung jawab atas semua kerja dan urusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat serta menyelaraskan tugas-tugas JK PAS Pusat
3. Melantik SUA, Penolong SUA, Bendahari dan lain-lain di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat JK PAS Pusat.
4. Mengambil apa-apa jua langkah demi menjamin perpaduan, persefahaman dan kesungguhan Ahli-ahli JK PAS Pusat dalam menjalankan tugas masing-masing
5. Menetap dan mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat JK PAS Pusat dan Jk Harian PAS Pusat.

Adalah jelas dari yang di atas bahawa jawatan Presiden menuntut peranan tertentu dan bukan sekadar anugerah atas kehebatan atau ketokohan seseorang. Ianya adalah jawatan yang bersifat eksekutif atau untuk membuat kerja tertentu.

Begitu juga semua jawatan yang terdapat di dalam JK PAS Pusat!

Setelah dipilih maka prestasi mereka yang dipilih dipantau selama tempoh dua tahun dan sepanjang tempoh itu, apa-apa kekurangan dan kelebihan perlu disuarakan dengan ikhlas dan terbuka dalam muktamar tahunan atau apa-apa program muhasabah parti yang diadakan. Teguran dan kritikan ini tidak wajar dianggap sebagai bersifat tidak hormat atau tidak wala’ kerana seperti yang dijelaskan, mereka dipilih untuk melaksanakan sesuatu tugas, bukan sebagai penganugerahan sesuatu penghormatan atau darjat. Maka sekiranya perwakilan beranggapan tugas tersebut tidak dilaksanakan dengan baik oleh mana-mana pemimpin, maka perwakilan berhak untuk menegurnya.

Sekiranya selepas segala teguran dan nasihat, prestasi tidak berubah atau tidak mampu ditingkatkan, maka pada Muktamar tahun kedua, pejawat-pejawat yang tidak menyerlah dan tidak berprestasi baik boleh ditukar. Pengguguran dari jawatan tidak bererti seseorang itu tidak baik, tidak mantap imannya atau kurang ‘alim, tetapi hanya bererti bahawa dia tidak sesuai untuk jawatan berkenaan.

Inilah sebabnya mengapa pilihan tidak wajar dilakukan semata-mata atas dasar menghormati ketokohan seseorang tanpa mengambil kira kemampuannya untuk memainkan peranan seperti yang diperlukan bagi jawatan tersebut. Sekiranya dia tidak berprestasi dengan baik, maka dia tidak akan ditukar atau ditegur disebabkan dia dipilih atas sebab ketokohan tertentu yang tetap dimilikkinya. Ketokohan seorang pemidato, ulama’, professional atau penulis tidak hilang di atas sebab dia bukan seorang pelaksana (executive) yang baik. Ketokohan tersebut tetap kekal pada dirinya tetapi dia tidak merupakan orang yang sesuai untuk jawatan pelaksana yang diinginkan dan diperlukan parti.

Orang yang dipilih dibebankan dengan tanggungjawab yang berat dan oleh itu, tidak wajar kita menzalimi seseorang yang kita tahu tidak mampu tetapi oleh kerana suka dan hormat, kita meletakkan tanggungjawab tersebut ke atas bahunya. Itu bukan ‘suka’ atau ‘hormat’ pada seseorang. Sebaliknya ianya sesuatu penganiayaan. Namun, lebih zalim lagi, setelah kita membebannya dengan tanggungjawab sebegitu berat, kita tidak pula membantunya.

Oleh itu saya menyeru kepada semua yang akan ke Muktamar PAS tahun ini untuk memahami apa yang kita lakukan semasa kita membuat pilihan. Semoga pilihan itu adalah yang terbaik bagi jawatan berkenaan dengan kita memberikan amanah itu kepada yang ahli padanya atau yang mampu melaksanakannya. Kedua saya menyeru semua untuk menerima keputusan Muktamar dengan hati terbuka dan siapa sahaja yang terpilih, mereka hendaklah diberi sokongan yang padu dan tidak berbelah-bagi. Namun sekiranya walaupun dengan sokongan ini ada yang gagal menunjukkan prestasi yang diinginkan, maka ditukarnya selepas 2 tahun!

Selamat bermesyuarat Agung Tahunan dan seterusnya bermuktamar.

---------------------------------------------------------

Penulis adalah anggota Parlimen Shah Alam dan juga AJK Lajnah Politik PAS Pusat
Baca Seterusnya......

Pengikut