Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Khamis, 6 Disember 2007

Wujudkah Pilihanraya Adik Jika Pengerusi SPR 'Nyanyuk' ?

Oleh Mohamed Hanipa Maidin
Kalau sejarah dijadikan ukuran, jawapan kepada persoalan di atas adalah negatif. Dengan lain perkataan jangan mimpi untuk melihat pilihan raya yang adil dan bersih selagi mana BN memerintah.

Pilihan raya umum 2004 yang lalu adalah yang terburuk dan paling kotor dalam sejarah pilihan raya di Malaysia. Pilihan raya 2004 didahului dengan pindaan-pindaan yang tidak demokratik dibuat ke atas beberapa undang-undang pilihan raya bagi memastikan BN mencapai kemenangan dengan selesa.

Pindaan tersebut dibuat sebaik sahaja BN menerima pukulan yang hebat di dalam pilihan raya umum 1999. Siapa boleh menafikan BN adalah penerima manfaat yang besar di atas pilihan raya yang kotor.

Daftar pemilih yang tidak pernah bersih dari pengundi hantu menjadi senjata ampuh untuk memenangkan BN. Bagi mengelakkan daftar pemilih dicabar kesahihannya di mahkamah; pintu mahkamah ditutup rapat. Maka dipindalah Akta Pilihanraya 1958 (Akta 19) dengan memasukkan seksyen 9A yang memperuntukkan:

"...selepas sesuatu daftar pemilih telah diakui sah atau diakui sah semula mengikut keadaannya, dan notis akuan sah atau notis akuan sah semula telah diterbitkan di dalam Warta sebagaimana yang ditetapkan oleh peraturan yang dibuat di bawah Akta ini, daftar pemilih hendaklah dikira muktamad dan mengikat dan tidak boleh dipersoalkan atau dirayu atau dikaji semula atau dibatalkan atau diketepikan oleh mana-mana Mahkamah."

Pindaan tersebut secara jelas melindungi hantu-hantu yang menetap dan bersarang di daftar pemilih yang hanyir dan busuk tersebut!

Apa yang lebih parah lagi pindaan besar-besaran juga dibuat ke atas Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan antara peraturan yang agak menyakitkan pihak pembangkang adalah peraturan 18 dan 25.

Peraturan 18 memberikan kuasa yang agak drastik kepada Pendaftar Pilihan Raya yang boleh memerintahkan mereka yang membuat bantahan ke atas nama-nama pengundi di daftar pemilih membayar sehingga RM200 sebagai satu ganti rugi. Secara relatifnya, ini sekaligus menimbulkan ketakutan dan kesusahan yang besar kepada pembangkang. Ketakutan kerana akan dikenakan denda jika bantahan ditolak dan kesusahan kerana terpaksa menyediakan duit yang banyak untuk membuat bantahan.

Jika peraturan 18 menakutkan dan menyusahkan pembangkang, peraturan 25 pula satu mimpi ngeri dan menghapuskan segala harapan pembangkang kerana peraturan tersebut memberikan satu kuasa yang amat besar dan luas dan boleh terdedah kepada penyalahgunaan.

Peraturan 25 memberikan kuasa kepada Ketua Pendaftar memasukkan (restore) kembali nama para pengundi di dalam daftar pemilih induk dan daftar pemilih tambahan dalam mana-mana masa kecuali setelah Parlimen atau DUN dibubarkan, meskipun nama pengundi tersebut telah diketepikan atau dibuang dari daftar-daftar pemilih tersebut atas alasan kesilapan atau di atas "alasan-alasan lain".

Pengunaan kalimah “atas alasan-alasan lain” terlalu kabur dan boleh mendedahkan kepada penyelewengan dan salah guna kuasa. Dengan keadaan profesionalisme dan kebebasan SPR yang amat diragui dan amat dipertikaikan, sebarang kuasa yang luas yang diberikan kepada mana-mana kakitangan dan pegawainya akan memburukkan lagi keadaan yang sedia buruk.

kebersihan daftar pemilih

Kerisauan rakyat terhadap isu daftar pemilih akhirnya terbukti benar. Pilihan raya umum 2004 menyaksikan bagaimana penggunaan daftar pemilih yang benar-benar diragui kesahihannya. Badan NGO yang bertindak sebagai pemerhati perjalanan pilihan raya 2004 (Mafrel) telah mendedahkan bagaimana terdapat ramai nama pengundi dari pelbagai bangsa mendiami alamat yang sama.

Malahan didedahkan bagaimana terdapat nama pengundi di alamat yang tidak wujud. Malahan didedahkan juga terdapat nama pengundi yang tinggal di atas lebuhraya!

Tidak cukup dengan itu ,SPR pula dengan sengaja melanggar Peraturan (Penjalanan Pilihan Raya) 2001 khususnya peraturan 14A apabila menggunakan daftar pemilih yang berbeza di antara daftar pemilih yang diberikan kepada calon pada hari penamaan dan daftar pemilih yang digunakan di hari pembuangan undi.

Hal ini berlaku secara berleluasa di beberapa kawasan pilihan raya di negeri Selangor. Umum mengetahui bagaimana perlanggaran undang-undang tersebut telah mewujudkan keadaan huru-hara di hari pengundian. Apa yang lebih malang huru-hara tersebut diselesaikan oleh SPR dengan melanggar satu lagi undang-undang apabila dilanjutkan tempoh masa pengundian. Sepatutnya pilihan raya dibatalkan dan hari pengundian ditetapkan ke satu hari yang lain. Mahkamah Persekutuan telah memutuskan dalam kes petisyen Gombak, SPR telah bertindak di luar batas undang-undang.

Di dalam pilihan raya 2004, PAS sendiri telah memfailkan lebih kurang 25 petisyen pilihan raya di seluruh negara (lima di Kelantan, sembilan di Terengganu, lima di Selangor, dua di Perak, satu di Kedah, satu di Perlis, satu di Pulau Pinang dan satu di Johor).

Dalam semua kes petisyen tersebut, SPR telah dinamakan sebagai responden. Untuk 25 petisyen tersebut, PAS terpaksa membelanjakan RM 250.000 (RM10,000 setiap kes) untuk bayaran deposit petisyen pilihan raya.

Pengerusi SPR nyanyuk

Dalam keadaan PAS menyaman SPR, Pengerusi SPR pula sibuk mengampu BN dan menyelar PAS dengan berkata:

"Memang perangai dia (PAS) begitu. Saya serta SPR banyak kali menerima tuduhan PAS yang mendakwa mempunyai bukti (kegagalan SPR menguruskan pilihan raya). Saya tunggu sampai sekarang pun tidak ada (PAS) hendak mendakwa SPR (di Mahkamah)." (lihat muka hadapan Utusan Malaysia, 9/12/2004)

Kegopohan Pengerusi SPR dalam memberikan komen bukan sahaja menjijikkan malahan menampakkan kealpaan beliau dan menyerlahkan kenyanyokan beliau.

Kenyanyokan beliau atau kesibukan beliau mengampu Umno dan BN telah menyebabkan beliau tidak sedar bahawa PAS telah pun memfailkan Writ Saman ke atas SPR di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17/5/2004 (no. kes R2-22-02-2004, kes Nasharudin bin Mat Isa menyaman sebagai Setiausaha Agung PAS dan sebagai wakil ahli-ahlinya lwn SPR) dan 25 petisyen pilihan raya di seluruh negara.

BERSIH telah meminta supaya daftar pemilih dibersihkan. Dalam pertemuan dengan delegasi PAS baru-baru ini, Rashid menyatakan terdapat lebih kurang 5 juta nama pengundi di dalam daftar pemilih yang masih belum dibersihkan!

penghapusan undi pos

BERSIH juga mendesak penghapusan pengundi pos. Pengundian secara pos dikawal oleh Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003. Terdapat banyak aduan mengenai penyelewengan pengundi pos khususnya di kalangan polis dan tentera. Aspek kerahsian pengundian adalah sine qua non (ciri yang penting) di dalam pilihan raya yang adil. Sebarang persepsi daripada para pengundi bahawa undi mereka tidak rahsia sudah cukup menjejaskan pilihan raya yang adil. Bagi pengundi pos, kerahsian undi mereka tidak dapat dijamin.

Berdasarkan peraturan 8 Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003, pihak SPR akan menghantar kepada pengundi pos (istilah yang lebih tepat pengundi tidak hadir (absent voters) kertas undi, Borang 2, Sampul Surat A dan Sampul Surat B. Borang 2 adalah satu borang “Perisytiharan Identiti” di mana pengundi pos tersebut perlu menulis namanya, nombor kad pengenalannya dan menurunkan tanda tangannya di hadapan seorang saksi. Selepas mengundi, pengundi pos akan meletakkan kertas undi yang sudah bertanda di sampul surat A dan sampul surat A tersebut kemudiannya pula hendaklah dimasukkan ke dalam Borang B bersama-sama Borang 2 tersebut. Mana-mana Borang B yang tidak disertakan dengan Borang 2 akan ditolak (lihat peraturan 15(2)).

Dengan kertas undi dan Borang 2 yang mengandungi nama dan nombor kad pengenalan pengundi diletakkan di satu sampul surat yang sama (Sampul Surat B), sudah cukup mewujudkan kebimbangan para tentera dan polis tentang kerahsiaan undi mereka. Apa yang lebih malang para 'polling agent' parti-parti yang bertanding tidak dibenarkan hadir semasa pembuangan undi dilakukan oleh pengundi pos.

penggunaan dakwat kekal

Akhir sekali BERSIH juga mendesak agar jari para pengundi dicalitkan dengan dakwat bagi mengelakkan pengundian berulang. Di dalam kes petisyen DUN Pengkalan Pasir, Kelantan, Hakim Dato’ Hassan Lah bersetuju dengan dakwaan petisyen yang dibawa oleh PAS bahawa terdapat penyamaran di mana pengundi palsu telah mengundi bagi pihak pengundi sebenar dengan menggunakan kad pengenalan palsu.

Di dalam pilihan raya Likas, pengundi hantu satu realiti yang berlaku dan menyebabkan pilihan raya dibatalkan.

SPR nampaknya menyahut permintaan BERSIH dengan bersetuju untuk mencalitkan dakwat di kuku para pengundi. Dalam pertemuan dengan delegasi PAS baru-baru ini, beberapa pemimpin PAS telah membuat percubaan dan didapati dakwat tersebut boleh dihilangkan.

Kalau ini benar-benar berlaku di pilihan raya umum kelak, maka hilanglah kepercayaan kita bahawa pilihan raya yang adil akan berlaku di Malaysia! Apakah pilihan kita pada masa itu? -->

Tiada ulasan:

Pengikut