Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Isnin, 10 Disember 2007

Abdullah Dah Mulakan Tangkapan Untuk Lemahkan Penentangnya?

Oleh Ruhanie Ahmad

Ahad, 9 Disember 2007: Polis hari ini menahan Mohamad Sabu (Naib Presiden Pas), di Ipoh; Tian Chua (Ketua Penerangan PKR), di Johor Bahru; serta empat orang peguam dan empat orang aktivis, di Kuala Lumpur.
Penahanan Mohamad Sabu dan Tien Chua dipercayai berkaitan penganjuran gelombang kuning di Kuala Lumpur pada 10 November 2007.
Ia juga dipercayai sebagai langkah menakut-nakutkan orang ramai yang dijangka menunjuk perasaan di hadapan Bangunan Parlimen Malaysia pada 11 Disember 2007 untuk membantah pembentangan rang undang-undang bertujuan menyambung perkhidmatan Tan Rashid Abdul Rahman sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Empat peguam dan empat aktivis terbabit pula ditahan kerana menganjurkan upacara berjalan kaki secara aman dan beramai-ramai daripada pusat membelibelah Sogo menuju ke Bangunan Majlis Peguam kira-kira dua kilometer daripada pusat membelibelah berkenaan, sempena Hari Hak Asasi Manusia esok.
Seluruh tangkapan di atas membuktikan bahawa sebahagian daripada ura-ura yang tersiar dalam blog ini pada Sabtu, 8 Disember 2007, sudah jadi kenyataan.
Perkembangan ini juga membuktikan bahawa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dikatakan dalam keadaan yang sangat tertekan sejak gelombang kuning pada 10 November 2007, kini mula menggunakan beberapa undang-udang tertentu bagi melemahkan kelompok yang menentang pentadbirannya.Sempena tangkapan di atas, Abdullah membuat kenyataan di Petaling Jaya bahawa “kerajaan tidak memilih bulu dalam mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang negara.
”Berasaskan kenyataan ini, moga-moga Abdullah akan menggunakan undang-undang “tanpa mengira bulu” juga walaupun ke atas kroninya yang terlibat dengan apa-apa kesalahan seperti rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dan lain-lainnya.
Dalam pada itu, banyak pihak menyifatkan tangakapan yang dilakukan hari ini pasti akan menyemarakkan lagi rasa marah dan penentangan segolongan rakyat jelata yang kini kecewa dengan kelemahan dan kepincangan pentadbirannya. – Ruhanie Ahmad

Tiada ulasan:

Pengikut