Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN
Saya di Kota Bharu ketika menulis catatan pendek ini. Bersama wartawan kanan, Wan Nordin Wan Yaakob, saya cuba
menghayati dan menikmati kemenangan berganda Pakatan Rakyat di Kelantan
meskipun hebat diasak Umno-BN. Tidak mudah juga PAS mempertahankan
Serambi Makkah selepas 23 tahun berkuasa semula, selepas dikalahkan pada
1978.
Meskipun BN dapat merebut tiga kerusi Parlimen
yang ditandingi KeADILan di Machang, Tanah Merah dan Ketereh -- selain
mempertahankan Jeli dan Gua Musang, keputusan mempertahankan 33 kerusi
Dun dalam PRU13 itu boleh dianggap satu pencapaian membanggakan.
Serangan
bertali-arus BN, terutama menggunakan senjata ampuh politik wang, juga
dilihat mempunyai kesan negatif kepada sokongan terhadap Pakatan,
terutama di kawasan membabitkan tokoh-tokoh utama Umno. Namun, saya
sempat dibisikkan bahawa keputusan di Kelantan tidak boleh dipandang
selesa, sebaliknya satu bentuk "loceng amaran" awal.
"Persaingan
adalah merebut sokongan pengundi atas pagar dan jumlah besar anak-anak
Kelantan di perantauan yang balik mengundi di kampung halaman, iaitu
hampir 200,000 pemilih," kata seorang rakan, yang terserempak di KLIA
semasa menunggu pesawat ke Kota Bharu. Beliau kelihatan agak bimbang
dengan kecenderungan mengundi anak tempatan.
Kebetulan sewaktu
tiba di hotel penginapan, Raudah, ada jamuan meraikan petugas pilihan
raya PAS Kelantan. Ditemani ketua wartawan Harakah negeri, Mazlan Jusoh,
kami menikmati makan malam yang enak, ditempatkan bersebelahan meja
utama Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob, Setiausaha Perhubungan PAS,
Zulkifli Mamat, Pengarah Pilihan Raya Negeri, Wan Nik Wan Yusof.
Ustaz
Mad, dalam ucapannya, menyuntik semangat untuk aktivis parti menyusun
pendekatan terbaik dan membuat persiapan rapi menghadapi PRU14, "bermula
dari sekarang, sebaik keputusan PRU13 diumumkan". Beliau sempat
merakamkan penghargaan kepada NGO Royalti dan pihak yang menguruskan
pengundi luar, yang memberi sumbangan besar kepada kemenangan di
Kelantan.
Seusai majlis, Wan Nik menunjukkan analisis awal
keputusan PRU13 Kelantan. Agak menarik bila dibentangkan fakta tentang
"undi belah-bahagi"; ada pengundi memilih PAS di peringkat Dun tetapi
memangkah BN di peringkat Parlimen, misalnya di Machang, Tanah Merah dan
tidak terkecuali Kota Bharu. Namun begitu, ramai juga pengundi yang
menyokong BN di kerusi Dun tetapi memilih PAS di kerusi Parlimen,
seperti Tumpat dan Pasir Puteh.
Sebenarnya saya lebih terdorong
untuk menulis tentang percikan api perkauman dan sentimen persengketaan
antara kaum yang cuba dicetuskan oleh pihak tidak bertanggungjawab
(mungkin mengambil semangat daripada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato'
Seri Najib Razak sendiri) dan media utama yang ditaja Umno.
Kecaman
melulu kepada DAP secara khusus dan pengundi Cina secara umum hanya
mendedahkan hipokrasi Umno berdepan situasi sulit yang dihadapinya.
Ramai pemerhati politik hairan bagaimana parti teras BN itu mengambil
sikap bebal, yang bukan hanya memerangkap diri sendiri, malah boleh
menjerumuskan negara ke lembah kebinasaan.
"Alhamdulillah, DAP
yang dikecam hebat dengan fitnah melulu tidak melenting. Begitu juga
dengan sikap bijaksana pemimpin PAS yang tidak mudah terperangkap dengan
ajakan perpaduan juak-juak Umno," kata seorang pensyarah sains politik.
Secara
peribadi, saya terganggu dengan kenyataan bekas Hakim Mahkamah Rayuan
dan Ahli Jawatankuasa Rayuan Disiplin UMNO, Dato' Mohd Noor Abdullah
yang mengugut masyarakat Cina supaya bersedia dengan tindak balas
masyarakat Melayu kerana "pengkhianatan" mereka dalam PRU13.
Dalam
ucapan di Seminar Pasca PRU-13 di ibu negara, Mohd Noor mempertegaskan
amaran bahawa orang Melayu akan membalas dendam sekiranya dikhianati.
"...Bagi orang Melayu, pantang larangnya, jangan dikhianati orang
Melayu. Oleh kerana orang Melayu bila dikhianati, dia membalas dendam
kesumatnya tak sudah-sudah."
Malu saya untuk mengaku seorang
Melayu jika ciri-ciri kemelayuan termasuk "membalas dendam kesumat tak
sudah-sudah", seperti disebut Mohd Noor, yang sarat dengan elemen
perkauman, hasutan dan langsung tidak bertanggungjawab! Kenyataan yang
lazim didendangkan dalam kursus Biro Tata Negara ini seharusnya dikutuk.
Tempoh
lima tahun ini wajar dimanfaatkan oleh Pakatan Rakyat, terutama PAS,
bagi menawarkan budaya politik baru, untuk menjamin Malaysia yang dapat
meneduhi setiap warganya, selain menguburkan terus politik kuno yang
jahat dan hodoh itu.
Selepas memenangi hampir semua kawasan
bandar, yang ditandai dengan majoriti lebih besar, Pakatan sebenarnya
menguasai potensi masa depan yang cerah. Peningkatan kesedaran
berpolitik masyarakat desa dan penempatan Felda misalnya, dikira mampu
mengangkat kedudukan Pakatan, menjadikan impian ke Putrajaya lebih
realistik.
Masyarakat Tionghua mungkin saja boleh berpatah palik
memberi sokongan kepada BN dalam PRU14, tetapi dengan luka pedih dan
bisa perit tusukan perkauman Umno, saya percaya dalam tempoh lima tahun
ini, pengundi Cina tidak mudah memaafkan, apatah lagi melupakannya.
Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini
Ahad, 19 Mei 2013
Loceng amaran dan Melayu dikhianati?
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan