Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Isnin, 4 Mei 2009

Natrah Kembali ?

Oleh Faisal Tehrani

Saya ingin merujuk kepada keputusan kabinet dalam hal membesarkan anak di bawah umur mengikut agama asal ibu bapanya. Kabinet memutuskan pasangan yang memeluk Islam harus menyelesaikan segala isu berkaitan perceraian dan penjagaan anak-anak di mahkamah sivil.

Keputusan terkini kabinet itu dibuat berdasarkan pandangan jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyelesaikan kes K Pathmanaban, atau nama Islamnya Mohd Ridzuan Abdullah, dengan bekas isterinya M Indira Ghandi. Lelaki itu menukar agama tiga anak mereka ke Islam sejak penghujung tahun lepas.

3. Untuk mereka yang masih muda, tidak ramai yang mengetahui berkenaan tragedi Natrah. Pada tahun 1950 umat Islam telah melakukan bantahan besar demi menyelamatkan agama dan maruah Islam. Kes ini terjadi kerana Mansor Adabi seorang guru berusia 22 tahun menikahi Natrah yang merupakan anak angkat Che Aminah. Natrah asalnya berketurunan Belanda. Mahkamah penjajah British waktu itu; memutuskan tujuan pernikahan ini untuk menyelamatkan Natrah daripada dibicarakan semula di Singapura, kerana itu Natrah di'rampas' dan diletakkan di gereja.

4. Sebenarnya dalam kes tersebut, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupannya sebagai seorang muslim. Pun begitu, pada 12 Disember 1950 hakim telah menjatuhi hukuman yang amat kontroversial iaitu Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda. Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dipaksa menjadi Kristian. Ekoran dari itu, 12 Disember 1950 berlakulah rusuhan Natrah di mana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu berasa kecewa akibat Natrah dimurtadkan.

5. Rusuhan dan tragedi akidah ini berlaku kerana pihak penjajah jelas sekali gagal menumpukan perhatian kepada sensitiviti agama dan umat Islam.

6. Peristiwa tersebut juga menyebabkan Karim Ghani ditahan oleh polis dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. 'Nadra Appeal Committe' segera ditubuhkan di Singapura. Dan pada Ogos 1951 - Sept 1952, Profesor Dr. Burhanuddin al-Helmy, presiden Parti Islam SeMalaya (PAS) ditahan di Pulau Sekijang, Singapura kerana dituduh menjadi 'dalang' dan pencetus rusuhan Natrah. Almarhum Profesor Dr. Ahmad Ibrahim yang diabadikan namanya di UIA hari ini menjadi peguam bela kes Natrah di Mahkamah Sivil Singapura waktu itu. Sementara MA. Majid pula seorang India Muslim menjadi sumber kewangan untuk menggerakkan bantahan.

7. Isu antara Mohd Ridzuan Abdullah, dan bekas isterinya M Indira Ghandi ini boleh menyala menjadi seperti isu Natrah sekiranya tidak ditangani dengan cermat. Ini kerana kerajaan tidak merujuk pihak berkuasa seperti Majlis Fatwa dalam hal ini. Ia mulai menyebabkan ramai umat Islam berasa kecewa. Masih ada kesempatan untuk menghindari petaka seperti itu.

8. Sebagai seorang muslim, saya kira saya turut berdukacita dengan keputusan kabinet yang menggunakan pendekatan populis ini.
http://tehranifaisal.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Pengikut