Oleh Haris Zalkapli
PAS telah menetapkan hala tujunya sebagai sebuah parti politik dengan nama yang dipilih untuk pertubuhannya, Parti Islam SeMalaysia. Oleh itu, tidak sukar untuk difahami dasar parti yang meletakkan ulama sebagai pemimpin parti.
Bagaimanapun, penetapan presiden dan timbalan presiden mesti berkelulusan agama pada peringkat tertentu sebagai syarat untuk memegang jawatan itu memperlihatkan ketidakfahaman yang besar terhadap konsep itu, yang selama ini sering ditekankan sebagai kepimpinan kolektif.
Hal ini lebih jelas lagi memandangkan tidak dapat diperolehi lagi seorang individu mempunyai segala ilmu yang cukup untuk memahami semua perkara berkaitan politik dan bidang-bidang lain yang berkaitan.
Penetapan oleh Dewan Ulama PAS itu melalui ketuanya Mohamed Daud Iraqi kelihatan sekadar untuk memenuhi satu matlamat jangka pendek, kemungkinan untuk menghalang individu tertentu memenangi jawatan timbalan presiden.
Hal-hal yang mendasar seperti ini tidak sepatutnya ditetapkan dengan mudah seperti yang dilakukan Dewan Ulama PAS itu. Mungkin lebih wajar dikemukakan ketetapan pembuatan keputusan kolektif dan wacana yang lebih giat dilaksanakan dalam parti dalam menghadapi perkembangan-perkembangan politik terkini yang semakin mencabar.
Kumpulan ulama diketahui bimbang dengan pengaruh kumpulan Erdogan dalam parti, yang sebahagian besarnya mempunyai kaitan dengan kumpulan-kumpulan Islam yang bersaing dengan PAS sejak tahun-tahun 1970-an.
Dalam hal ini kelompok ulama PAS menekankan tarbiyah yang dilihat sebagai semakin merosot dalam PAS. Kelemahan tarbiyah ini perlu diakui bukan sahaja membawa kesan yang didakwa golongan ulama itu, tetapi juga mendatangkan kelemahan yang membenarkan apa yang dibimbangi kelompok ulama itu berlaku.
Kegilaan terhadap populariti tokoh tertentu, seperti Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang diangkat sehingga ke taraf naib presiden walaupun prestasinya sebagai pekerja parti belum terbukti ialah salah satu tanda kelemahan tarbiyah yang dilaksanakan PAS.
Setelah berpuluh tahun berusrah, PAS sehingga kini seolah-olah tidak mempunyai kriteria tetap yang perlu dipenuhi untuk seseorang itu dipilih sebagai pemimpin. Syarat mudah yang seseorang itu perlu menjadi "ulama" bagaimanapun masih digunakan.
Hal yang sama juga dalam berdepan bahasa politik kontemporari yang lebih sofistikated dan didasari fahaman liberal. PAS kelihatan mudah tertipu dan tidak mempunyai haluan tetap yang perlu dipatuhi semua, kerana dilihat semuanya boleh berubah berdasarkan setiap perkembangan terbaru.
Tarbiyah PAS kelihatan telah melahirkan ahli-ahli yang tidak kritikal dan masih tersekat pada masa silam serta mentafsirkan dengan sempit istilah ketaatan kepada pimpinan.
Dari sudut disiplin parti, PAS masih ketinggalan jauh dengan parti-parti lain. Setiap pemimpin bebas mengeluarkan apa sahaja pandangan yang sering kelihatan rasmi tanpa koordinasi dalaman parti. Hal ini membolehkan pertikaian melibatkan presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan mursyidul am parti, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berlaku.
PAS sebahagian besarnya masih tidak berupaya untuk bercakap dengan audien hari ini dalam bahasa hari ini. PAS masih menghadapi politik kontemporari yang sentiasa berubah-ubah dengan alat yang sama digunakan sejak puluhan tahun lalu.
PAS perlu mengakui kelemahannya dalam menghadapi permainan politik hari ini dan bersungguh-sungguh memperbaiki kelemahan ini. Apa pun kelemahan PAS, ia masih sebuah parti yang penting dalam politik Malaysia, dan ia perlu kuat untuk berupaya memberi sumbangan kepada negara.
http://politikpop.blogspot.com/
Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini
Isnin, 4 Mei 2009
Endorsement untuk Kepimpinan Ulama dalam PAS
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan