MUQADDIMAH
“Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan, kamu melihat manusia masuk agama Allah berbondong-bondong. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohanlah ampun kepadaNya. Sesungguhnya Dia Maha Penerima Taubat.”
Yang Dihormati Saudara Pengerusi Majlis/Tetap
Yang Berbahagia Tuan Haji Mohamad bin Sabu, Naib Presiden PAS
Yang Berbahagia Tuan Sheikh Mohamad bin Abdullah, Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah
Yang Berusaha Timbalan Ketua Pemuda merangkan Pengarah Muktamar Kali Ke-43
Yang Dihormati Saudara Naib Ketua DPPNK
Yang Dihormati dif–dif kehormat
Para perwakilan dan pemerhati
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam kita panjatkan kesyukuran kepadaNya kerana dengan keizinanNya kita dapat bermuktamar bagi kali yang ke-43 di Kompleks Yayasan Khairiah ini. Saya bagi pihak DPPNK mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pengetua Yayasan Khairiah yang membenarkan Pemuda mengadakan muktamar di sini walaupun masih belum siap sepenuhnya. Kita mendoakan supaya kompleks ini akan dapat disiapkan dan lengkap untuk dijadikan kompleks pendidikan yang terkenal serta melahirkan generasi rabbani khususnya di Kedah. Kepada para perwakilan diucapkan ahlan wasahlan ke muktamar kali ini dan sama-sama kita bermuhasabah bagi mempertingkatkan lagi kerja buat kita dalam jamaah.
Sidang muktamar yang dikasihi,
Marilah kita dengan penuh insaf dan takjub merenungi akan kebesaran dan anugerah Allah yang dapat disaksikan dengan penglihatan zahir kita sepertimana ayat surah an-Nasr yang dibacakan tadi. Sebagai insan yang berada di dalam jamaah ini, kita dipilih menyaksikan pertolongan Allah, dengan diberikanNya kemenangan ini kepada generasi kita, lantas kita juga melihat ramainya manusia mulai mendampingi jamaah dan parti ini. Syukur alhamdulillah, tidak sekadar itu, hari ini PAS bukan sahaja diterima oleh orang Islam, malah masyarakat bukan beragama Islam juga menunjukkan komitmen yang tinggi untuk menjadi pendokong bersama.
Pada Pilihan Raya Umum Tahun 2004 yang lalu, ketika itu kita bukan sahaja dianggap kalah teruk, menyedihkan apabila dokongan daripada ahli sendiri begitu sangat hambarnya. Hinggakan, ada mesyuarat-mesyuarat kita sukar dijalankan kerana kekurangan korum. Bahkan banyak program tradisi seperti ceramah, ekspo dan kegiatan-kegiatan lain juga tidak dapat dijalankan, bukan sahaja kerana kurangnya tenaga pelaksana, malah sambutan kehadiran juga amat mengguris hati.
Tetapi itulah sunnah dalam perjuangan meninggikan kalimah Laa ilaha illahlah. Tiba-tiba dalam suasana lemah itu, kita bukan sahaja diberi kemenangan oleh Allah SWT, tetapi juga, turut diberi pentadbiran kerajaan negeri ini. Firman Allah SWT:
“Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, maka sesungguhnya kaum (kafir) itu pun (pada perang Badar) mendapat luka yang serupa. Dan masa (kemenangan dan kekalahan) itu, Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran); dan supaya Allah membezakan orang-orang yang beriman (dengan orang-orang kafir) dan supaya sebahagian kamu dijadikanNya (gugur sebagai) syuhada. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim, dan supaya Allah membersihkan orang-orang beriman dan membinasakan orang-orang kafir.” (Ali-‘Imran:140-141)
Sidang muktamar sekalian,
Kita tidak bermimpi menerima kemenangan ini. Tetapi sebagai generasi yang merasai nikmat ini, marilah sama-sama dikenang para generasi dahulu. Mereka mungkin bapa-bapa kita, mungkin juga moyang kita. Jika tidak pun, mereka adalah saudara seagama kita yang berjuang untuk agama ini kerana keimanan, demi menyambung perjuangan para Nabi dan Rasul. Elok kita imbas sejenak lakaran sejarah penting itu.
KEPIMPINAN ULAMA: BERMULANYA DI SINI....
Para perwakilan sekalian,
Biarpun PAS secara rasminya didaftarkan pada tahun 1951, rentetan semangat dan kewajipan yang dirasai generasi lalu menyedarkan mereka kepada perlunya sebuah jamaah untuk menjaga kepentingan Islam dan umatnya. Dalam masa yang berlalu, Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya (MATA) dan Hizbul Muslimin adalah antara terawal menggerakkan agenda Islam. Dari benih-benih inilah lahirnya PAS! Ia lahir dari tuntutan Islam itu sendiri, bukan serpihan, bukan juga kerana tidak puas hati kepada pihak lain sepertimana dakwaan songsang golongan yang sebenarnya tidak memahami tabiat perjuangan ini.
Mereka yang berjasa menggerakkan perjuangan di peringkat awal telah memulakan perjuangan ini dari pondok-pondok pengajian Islam. Mereka bukan sahaja para ulama yang istiqamah mengembangkan Islam dalam kehidupan seharian penduduk di negara ini, tetapi juga memiliki kesedaran tinggi untuk Islam didaulatkan sebagai dasar dalam pemerintahan dan kepimpinan negara. Ianya lalu menjadi harakah siyasah, sehingga pemerintah ketika itu merasakan ianya sebagai satu ancaman. Maka, tidak lepas sepertimana sunnah perjuangan yang dihadapi para Nabi dan Rasul, perjuangan di bumi umat Melayu ini juga berhadapan fitnah apabila menerima label seperti ‘Bahaya dari Gunung’ dan ‘Red Islamic Party’.
Dengan segala mehnah dan tribulasi yang melanda, ulama kita akhirnya mengambil ketetapan bijaksana untuk turut serta dalam arena pemerintahan negara dengan mendaftarkan PAS sebagai parti politik yang sah.
Kita di Kedah juga harus berbangga, dari jalur yang sama, institusi pondok dan para ulamalah yang telah membawa penubuhan PAS di negeri ini. Pada tahun 1952, iaitu empat bulan selepas PAS ditubuhkan secara rasmi, bertempat di Pondok Nadhzah Bukit Besar, Ranting PAS Kedah ditubuhkan. Tuan Guru Haji Osman al-Yunusi menjadi Ketua Ranting dan Pesuruhjaya Pertama. Turut menjayakan penubuhan itu ialah Tuan Guru Haji Yahaya Junid.
Hari ini kita turut berkongsi rasa yang sama apabila para penggerak kita di Dewan Pemuda juga ada terdiri dari ulama dan mereka yang giat menggerakkan institusi pondok dan pendidikan Islam. Kita mengharap, golongan ini jugalah yang akan terus memimpin dan menerajui saf kepimpinan Pemuda.
Kerana itu muktamar kita dilangsungkan di tempat bersejarah ini di mana antara pengasasnya juga terdiri dari ulama iaitu Tuan Guru Haji Yahya Toha dan Haji Ahmad JP. Mungkin pondok ini jauh dari kemudahan dunia milenium, tetapi di tempat seperti inilah PAS bermula, menyusur segala onak dan liku, akhirnya berada di Wisma Darul Aman. Dan sekiranya kita masih ingat nostalgia lalu, di sinilah Pemuda Kedah pernah berkumpul dalam program Rapat Pemuda tahun ................
USAHA DPPNK MEMELIHARA KEMENANGAN
Jihad Berpicu Tarbiyyah Menerajui Amanah Kepimpinan
Para perwakilan yang dikasihi,
Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.” (al-Ahzab:72)
Berada dalam saf Pemuda, sama ada di peringkat Cawangan, Kawasan mahupun Negeri, hakikatnya ia adalah amanah kepimpinan. Lebih berat, apabila tanggung jawab ini semakin bertambah dengan kemenangan, hingga membolehkan kita mentadbir negeri Kedah ini. Sudah tentu ianya menuntut kepada kita komitmen lebih padu dari yang pernah diberikan sebelum ini. Tidak dapat tidak, komitmen terhadap amanah kepimpinan di era ini perlu dikukuhkan dengan roh jihad fi sabilillah.
Tidak kita berada di Wisma Darul Aman, jika bukan kerana gerakan jihad yang telah dilangsungkan generasi lalu dipimpinkan pula kepada kita untuk menyambut ‘baton’nya bagi diteruskan di zaman kita.
Ayuh kita bermuhasabah, ayuh kita insafi, apakah kalimah “jihad” sudah asing bagi kita? Atau ia sekadar menjadi nota usrah dan kalimah untuk mengenakkan bahasa ceramah? Telah termaktub menjadi pelengkap dalam gerakerja meninggikan agama Allah SWT ini apabila kulli, qalbi dan fiqli diadunkan secara bersama. Oleh itu, jihad kepada anggota Pemuda selaku sayap parti ini janganlah hanya manis dibutir bicaranya, tetapi perlu juga sentiasa segar membara pada rohnya, gagah bijaksana pada tindakannya.
Pun begitu, jihad tidak terhasil secara serta merta. Telah menjadi ‘budaya’ di dalam PAS, ianya dilakukan dalam proses pembentukan yang kita adakan melalui pelbagai aktiviti tarbiyyah, lalu segalanya itu kita terjemahkan pula di medan dakwah dan siyasah. Kita Pemuda menyambut baik lontaran ingatan dan nasihat oleh Naib Presiden PAS, Tuan Haji Mohamad Sabu agar memperkemaskan tarbiyyah di saat kemenangan ini. Kita juga akan bersetuju dengan saranan Pesuruhjaya PAS Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Haji Azizan Abdul Razak supaya agenda tamrin dan kesedaran diaktifkan.
Kita sedar, kelangsungan PAS selama ini adalah kerana ianya sebuah parti politik Islam yang bertunjangkan tarbiyyah. Telah menjadi saksi di seluruh dunia, betapa parti-parti politik Islam, mahupun yang hanya menggunakan nama Islam, apabila tidak ditunjangi tarbiyyah, atau semata-mata di atas landasan politik, akhirnya parti tersebut hanya mampu bertahan untuk beberapa kali sesi pilihan raya.
Jendela pandang terhadap penyusunan pengisian tarbiyyah hari ini perlu dibuka dengan perspektif lebih luas. Tarbiyyah jangan hanya sekadar mengisi takwim pada setiap sesi baru kepimpinan, tetapi dalam konteks zaman kemenangan ini, ia perlu menjadi rangka-kerja dalam menentukan ‘batang tubuh’ yang dilahirkan di masa hadapan. Kita mahu melahirkan pemimpin dan ahli politik Islam yang berupaya mencanai Islam di medan masyarakat, negara dan dunia. Dalam kesimpulan yang lebih mudah, secara khususnya kita mahu menyediakan seramai mungkin ‘bakal’ Menteri Besar di masa hadapan. Dalam cita-cita yang lebih besar, pelapis kepimpinan ini juga mengisi saf peneraju kepimpinan negara.
‘Batang tubuh’ yang dilahirkan nanti mestilah terus berupaya untuk mendokong Kepimpinan Ulama, lalu menyerapkan Islam pada gaya kontemporari ala Malaysia dan globalisasi dunia, seterusnya memandu ‘Satu Ummah dan Negara’ yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.
Metafora perjuangan PAS umpama sekumpulan pengembara yang mendayung di lautan luas untuk mendapatkan seteguk air di sumur yang terletak di tanah tertinggi sebuah pulau. Setelah mendayung sekian lama menempuh gelombang ombak dan badai, akhirnya para pengembara tiba jua di pantai pulau tersebut.
Jika ketua pengembara itu disandarkan kepada ‘batang tubuh’ yang akan kita lahirkan, maka dia akan terus memimpin membawa kumpulannya hingga menemui sumur tersebut. Bukannya mendengus letih dan puas melihat saujana lautan yang pernah ditempuh. Atau terpesona melihat kulit-kulit kerang dan siput yang cantik hingga terlupa nikmat air di sumur tersebut.
Saya amat pasti, ‘batang tubuh’ ini telah pun ada dalam ‘saf besar’ Pemuda PAS Kedah, dari PASTI hingga ke Jawatankuasa Kerja Dewan. Malah, hari ramai anggota Pemuda juga menjadi individu penting di dalam kepimpinan Kerajaan Negeri Kedah selain turut mengisi kerusi Dun dan Parlimen. Tetapi persoalannya, bagaimanakah bentuk tarbiyyah yang perlu dimodul dan diterapkan sesuai dengan era kemenangan ini? Agar nanti, dengan roh tarbiyyah yang dimiliki, mereka ini akan benar-benar berpolitik dan menjadikan politik sebagai wadah untuk matlamat Islam unggul dipuncaknya.
Ketika konotasi mengenai ulama dan profesional kembali hangat dispekulasikan kini, Pemuda sebenarnya bukan sahaja memiliki kedua-duanya, malah ulama yang kita ada juga adalah profesional dalam bidang masing-masing. Mereka pendidik cemerlang, pentadbir institusi pendidikan tersohor, usahawan berjaya dan lain-lain lagi. Profesional kita pula, walaupun mungkin tidak mampu berkuliah dan membuka kitab, sekurang-kurangnya bertazkirah, berkhutbah dan bercakap soal Islam, persis para penuntut aliran Islam. Mereka benar-benar mencapai tahap sebaiknya dalam bidang mereka bukannya golongan ‘mi celup’.
Selain itu, Pemuda disemua peringkat jangan mudah terbuai asyik dengan kemenangan pada hari ini. Bukan hasrat kita hanya pada zahir dilihat ramai, tetapi jumlah yang ramai hadir kerana ikut-ikutan mahupun rasa tidak puas hati kepada musuh. Firman Allah:
“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (hai para mukminin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain, iaitu di waktu kamu menjadi congkak kerana banyaknya jumlahmu, maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikit pun, dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai. Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menimpakan bencana kepada orang-orang yang kafir, dan demikianlah pembalasan kepada orang-orang yang kafir.”
(at-Taubah:25-26)
Para perwakilan sekalian,
Perjuangan PAS telah lali menghadapi masa-masa dan zaman kekalahan dan kita dengan penuh iman menanti saat kemenangan. Mereka yang telah pergi terlebih dahulu, tidak sempat merasai nikmat kemenangan ini, semoga Allah memberikan kemenangan hakiki untuk mereka diakhirat nanti dengan dibalasNya syurga buat mereka. Manakala, kita yang sedang memegang kemenangan ini pula perlu beringat, bahawa kemenangan ini sebenarnya masih diperingkat awal.
Junjungan yang kita kasihi Baginda Rasulullah SAW, selama 13 tahun di Makkah, Baginda juga memulakan perjuangan melalui ‘zaman-zaman kekalahan’ yang merakamkan pelbagai jerit-perih sebelum Allah menganugerahkan ‘kemenangan’ apabila Islam diterima dan memerintah di bumi Yatsrib. Pun begitu, zaman awal kemenangan itu dilalui Baginda dan para sahabat dengan dugaan yang cukup mencabar.
Ringkasnya, putaran itu sedang dihadapi PAS pada hari ini. Ketika kemenangan kita belum mencecah usia setahun, kerajaan kita dari gabungan bersama rakan Pakatan Rakyat, DAP dan PKR di Perak, telah dirompak oleh Barisan Nasional! Kejahatan yang sama juga, turut berlaku di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan juga negeri kita, Kedah. Apakah kita sudah lupa, dari fitnah penutupan Tadika Kemas hingga kemudiannya kita turut diseret kepada skandal derhaka Raja. Maka, permainan jahat musuh di zaman awal kemenangan ini tidak boleh dipandang enteng saf Pemuda. Sifat ‘semulajadi’ musuh yang telah sedia kita kenali ini perlu dihadapi dengan sabar, bijaksana dan bersatu.
Di sinilah pentingnya tarbiyyah diperkasakan dalam ‘rangka pemerintahan’. Saya menyeru disamping tamrin diaktifkan semula, aktiviti kepemudaan yang kita jalankan setiap Rabu malam seperti usrah, qiyamullail, muqayyam, musyawarah, liqa fikr dan lain-lain diperhebatkan pengisiannya, bukan semata-mata dianjurkan.
Selain itu, mengukuhkan lagi saf kekuatan kita, aktiviti bersama Dewan Pemuda PAS Kawasan-kawasan hendaklah lebih dikerapkan. Tidak perlu mengharap Dewan Pemuda PAS Negeri sahaja menjadi penganjur kepada pertemuan Pemuda Kawasan-kawasan, sebaliknya pihak Pemuda Kawasan juga boleh mengambil inisiatif menganjurkan aktiviti yang turut disertai pemuda dari kawasan lain. Pendedahan mengenai urus tadbir Islam pada sebuah kerajaan perlu menjadi silibus baru yang wajib difaqihi, bukannya dihafal. Bagi memastikan keberkesanan agenda baru ini, saya juga suka untuk melontarkan syor supaya Lajnah Tarbiyyah Dan Latihan Kepimpinan, Dewan Pemuda PAS Kawasan-kawasan dipertanggung jawabkan terus kepada Ketua Pemuda.
Mantapkan Pengurusan Organisasi, Giatkan Kempen Keahlian
YAB Pesuruhjaya juga baru-baru ini mengingatkan agar organisasi dimantapkan dari akar umbinya lagi yakni Cawangan. Kita di Dewan Pemuda telah lama menyusun organisasi hingga berjaya melaksanakan modul pengurusan secara lebih sistematik antaranya melalui Unit Kerja Jamaah (UKJ). Sayang sekali pelaksanaannya kurang berkesan di peringkat Pemuda Cawangan. Maka tumpuan perlu kembali diberikan oleh Lajnah Politik Dan Organisasi terhadap hal ini. Secara kiraan mudahnya seperti diungkapkan YAB Pesuruhjaya, apabila Cawangan-cawangan kuat maka Kawasan akan kuat dan apabila Kawasan-kawasan kuat, Negeri juga akan menjadi kuat.
Dewan Pemuda PAS Pusat pada 27 Disember lalu telah melancarkan kempen ‘Jom Sertai PAS’ dan mengambil peranan penting menggerakkan usaha ini. Kita diperingkat negeri Kedah juga telah pun melancarkannya Februari lalu walaupun majlis itu diganggu pihak keselamatan. Apapun, kempen ini menjadi satu lagi tanggung jawab kita dan agenda kemaskini untuk Pemuda disemua peringkat sekaligus diharap akan berlakunya pengurusan organisasi Pemuda yang lebih baik selepas ini bersama modul UKJ.
Memastikan agenda ini berlaku secara bersepadu dalam saf besar Pemuda PAS Kedah, Lajnah seperti Jabatan PASTI, Lajnah Pembangunan Remaja, Jabatan Pembangunan Pelajar dan Skim Perlindungan Pemuda perlulah duduk semeja menjayakannya.
Kelangsungan Agenda Kebajikan Dan kemasyarakatan
Berbicara soal kebajikan, kita menyedari kita telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menjaga kebajikan sesama ahli Pemuda namun penuh dengan kekurangan. Tetapi kita berbangga, kerana disebalik kekurangan ini Pemuda kita berkongsi faham yang sama. Pun begitu, kita masih kedengaran rungutan daripada anggota Pemuda berbicara soal ‘ghanimah’ dan sibuk hendak “mengutip kulit kerang dan siput yang cantik”. Sebagai ahli yang ditarbiyyah dengan akhlak Islam dan mementingkan urusan agama, marilah kita renungi hak sebenar terhadap hal ini:
“Mereka bertanyakan kepadamu tentang (pembagian) harta rampasan perang. Katakanlah: "Harta rampasan perang itu kepunyaan Allah dan Rasul, sebab itu bertaqwalah kepada Allah dan perbaikilah perhubungan di antara sesamamu, dan taatlah kepada Allah dan RasulNya jika kamu adalah orang-orang yang beriman.” (al-Anfal:1)
Kini kebajikan menjadi agenda yang semakin luas setelah kita mengambil alih teraju pentadbiran negeri. Tanpa sokongan Kerajaan Persekutuan, bermakna kita perlu banyak untuk berdikari dan sememangnya kita bersedia untuk itu. Tentunya, keutamaan perlu diberi kepada rakyat umum dan pada masa sama kita juga perlu memberi komitmen untuk menjayakan usaha kebajikan ini. Yang dimaksudkan di sini bukan sahaja menjayakan agenda kebajikan melalui Kerajaan Negeri, tetapi kita juga melalui saluran parti perlu meneruskan usaha yang telah menjadi tradisi parti kita ini.
Dalam soal kemasyarakatan pula, Pemuda perlu lebih rajin dan mempelbagaikan pendekatan. Kerana nampaknya Umno dan Barisan Nasional di bawah teraju kepimpinan baru semakin giat melaksanakan pendekatan ‘merakyat’ ini. Usah biarkan Kerajaan Negeri terpaksa ‘bersaing’ sendirian dalam agenda kemasyarakatan. Pemuda di seluruh peringkat perlu menjadi nadi utama kepada agenda-agenda ini sebagai siyasah yang bakal menjadi penilaian baru masyarakat kepada kita. Saya ‘mewasiatkan’ agar Lajnah Kebajikan Dan Kemasyarakatan, Lajnah Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan, Lajnah Pertanian, Pekerja Dan Peniaga akan mengambil peranan penting mengukuhkan agenda tersebut.
Pemuda juga perlu sentiasa rapat dengan masyarakat dengan harapan ianya akan membuka mata penilaian mereka hingga akhirnya mengenali dasar dan hakikat perjuangan PAS, lalu melihat segala usaha Umno dan rakan-rakan komponennya di dalam BN dilihat sebagai pendekatan bersifat kosmetik yang penuh dengan kepalsuan dan kehodohan bagi tujuan meraih undi semata-mata. Memastikan kefahaman dan penyaluran maklumat kepada rakyat dilaksanakan sebaiknya, peranan Lajnah Penerangan Dan Dakwah, Lajnah IT serta Lajnah Perpaduan Nasional perlu disusun dan dilaksanakan sebaik mungkin.
Program-program yang telah dijayakan oleh Jabatan Amal melalui Unit Amal perlu disertai oleh seluruh ahli pemuda tanpa kecuali. Tidak ada istilah ‘elit’ dalam gerakerja jamaah, yang ada hanyalah penyusunan tugas.
Mengurus Sistem Kerja dan Kerja Berpasukan
Di masa ini kita amat menyedari bebanan tugas yang dipikul oleh kebanyakan kita. Disamping memastikan urusan parti terus berjalan, kita juga perlu turut serta membantu mahupun menjadi penggerak utama program-program peringkat Parlimen dan Dun. Untuk itu, suka untuk disarankan kepada Dewan Pemuda Kawasan-kawasan agar membentuk seramai mungkin amilin yang mampu memberi fokus kepada tugasan-tugasan berkaitan. Saya mengira bahawa, amilin sepenuh masa adalah ‘keperluan mendesak’ yang perlu ada untuk seluruh Dewan Pemuda Kawasan ketika ini. Diharap dengan adanya amilin sepenuh masa yang bertugas untuk Dewan Pemuda Kawasan, bukan sahaja tenaga untuk aktiviti Parlimen dan Dun dapat dijayakan, malah pengurusan dan pentadbiran keorganisasian Dewan Pemuda akan menjadi jauh lebih baik berbanding sebelum ini.
Political Engagement Dan Integriti Kepimpinan
Kita di Dewan Pemuda PAS merakamkan penghargaan dan menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Ustaz Haji Azizan Abdul Razak. Dalam menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah, Dewan Pemuda melihat Pakatan Rakyat Negeri Kedah telah membawa pendekatan yang sesuai dengan budaya integriti kepimpinan yang kita laungkan. Sebagai orang politik yang menjadi pembuat dasar, kepimpinan Pakatan Rakyat menunjukkan rasa hormat kepada golongan pentadbir dengan tidak ‘memaksa’ mereka mengikuti telunjuk-telunjuk politik. Sebaliknya, mereka diberi penekanan agar menunaikan amanah kerja mengikut tanggung jawab yang termaktub sebagai pentadbir selain diberi kebebasan untuk ‘menganut’ sebarang fahaman politik. Pun begitu, Dewan Pemuda ingin memberikan ingatan kepada para pentadbir, agar tidak bersifat ‘api dalam sekam’ kerana kita tahu, terdapat pentadbir yang galak bermain politik kepartian dalam menjalankan urusan pentadbiran kerajaan.
Sifat adil yang ditekankan kepimpinan Ustaz Azizan serta melayan semua pihak sebagai rakyat Kedah tanpa mengira fahaman politik, telah mendidik kami dan rakyat negeri ini akan budaya politik berakhlak. Namun, Pemuda PAS Kedah ingin memberi amaran kepada pihak-pihak yang masih cuba menggugat kesejahteraan negeri ini dengan perbagai kerja politik jahat. Pilihan Raya Kecil Dun Bukit Selambau yang terpaksa diadakan bulan lalu adalah bukti permainan politik jahat golongan ini.
Selain itu, dalam menjaga wibawa Kerajaan Negeri, Pemuda juga menuntut agar saf Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) agar lebih aktif menggerakkan agenda ‘Kedah Sejahtera’. Pemuda mahu saf Exco bergerak sebagai satu pasukan, bukan hanya bergantung kepada YAB Dato’ Seri Menteri Besar. Suka juga ditegaskan di sini, Pemuda pada bila-bila masa bersedia menawarkan khidmat membantu urusan-urusan yang dibenarkan.
PENUTUP
Memelihara Kemenangan dalam konteks di negeri Kedah memerlukan kita kepada kefahaman mengenai ‘Siyasah syar’iyyah’. Kita yakin bahawa kita mempunyai ramai ‘figur-figur’ yang berupaya menterjemahkan tuntutan Islam dalam mendakapi realiti hari ini. Ruang lingkup musyawarah ita juga menjadi semakin besar apabila tahaluf siyasi yang kita laksanakan bermakna kesepakatan bersama antara rakan kita KeADILan dan DAP perlu dicapai setiap masa. Kita telah menunjukkan kejayaan itu, paling hampir adalah pada Pilihan Raya Kecil Dun Bukit Selambau baru-baru ini. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak khususnya tenaga Pemuda PAS di seluruh kawasan termasuk dari Perlis dan Pulau Pinang kerana bekerja seolah-olah PAS bertanding di Dun tersebut.
Saya juga berharap, kita sebagai Pemuda akan terus melaksanakan tanggung jawab kita sebagai ‘check and balance’ kepada parti dan kerajaan ini. Akhirnya, marilah sama-sama kita pastikan segala agenda kita yang tercicir di masa lalu disempurnakan di ruang kesempatan kemenangan ini. Seterusnya marilah kita juga sentiasa meletakkan diri untuk terus menjadi ‘pengawal’ kepada jamaah dan kerajaan yang kita sayangi ini. Sekian.
Disampaikan oleh
Ust. Musoddak Hj Ahmad, Ketua Dewan Pemuda PAS negeri Kedah
--------------------------------------------------------------
(Ucaptama yang terakhir sebagai ketua Dewan Pemuda
PAS negeri Kedah) pada 8 Mei 2009, Bertempat di Kompleks Yayasan Khairiah, Kupang, Baling, Kedah
Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini
Isnin, 11 Mei 2009
UCAPTAMA KETUA DEWAN PEMUDA PAS NEGERI KEDAH DI MUKTAMAR TAHUNAN KALI KE-43
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan