Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Selasa, 26 Mei 2009

BN dah acapkali ikut rentak pembangkang

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Nampaknya Barisan Nasional (BN) sudah menemui justifikasi terbaik merasionalkan keputusannya tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti. Meski pun pelbagai alasan dilontar dan diulas segenap peringkat pemimpin dan pendokong parti itu, kesemua hujah mereka kini dirangkum dalam ungkapan sama, iaitu ‘BN tidak ikut rentak pembangkang’.

Kata-kata itu sebenarnya bertitik tolak daripada hujah Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, ketika mengumumkan keputusan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kuala Lumpur, 18 Mei, untuk tidak ikut serta dalam pilihan raya kecil di Penanti kelak.

“Ia juga permainan politik pembangkang dan tidak ada kena mengena dengan Perlembagaan. Kita (BN) tidak mahu menari ikut rentak orang lain,” ujar Najib.

Dari situ, ungkapan ‘tidak ikut rentak pembangkang’ serta-merta dipopularkan. Ia diulangsebut hampir segenap pihak yang mengulas keputusan itu, dari kalangan pemimpin tertinggi BN sehinggalah kepada yang sebawahnya. Ia dipanjangkan pula penguasa media, pemerhati dan penganalisis politik, penulis surat pembaca, pengendali blog dan berbagai pihak lagi.

Mereka menganggap keputusan BN tidak meletakkan calon di Penanti sangat tepat. Ia sekaligus menyelamatkan BN daripada mainan dan perangkap politik pembangkang.

Ada pun alasan dan dalih yang mengaitkan tumpuan pembangunan dan masalah ekonomi sudah agak basi. Begitu juga dengan hujah kononnya pilihan raya kecil itu satu pembaziran. Dalih-dalih itu telah longlai dipatahkan para pemimpin Pakatan Rakyat.

Lalu, mahu tidak mahu, seluruh jentera propaganda BN kini bagaikan terpaksa berpaut pada hujah tadi. Bahawa keputusannya tidak menyertai pilihan raya di Penanti adalah kerana BN tidak perlu mengikut rentak yang dicanangkan pembangkang. Dalih itu kini diletakkan sebagai penyelamat maruah dan ego BN.

BN tahu tidak semua orang boleh percaya dan terima alasan itu. Apatah lagi catatan sejarah politik negara dapat membuktikan betapa BN selama ini sudah acapkali terpaksa mengambil tindakan yang boleh dinilai sebagai mengikuti rentak pembangkang.

Kita sebenarnya tidak perlu mengundur terlalu jauh ke belakang untuk menemukan contoh-contoh yang mengukuhkan hakikat itu. Penguasaan dan manipulasi media adalah satu daripadanya.

Selama ini tidak pernah terfikir oleh BN bahawa akan tiba suatu ketika segala saluran media dikuasainya tidak lagi dapat menguasai minda dan penerimaan rakyat. Peranan sebagai sumber maklumat dan saluran komunikasi massa tidak lagi berfokus kepada media milik kroni pemerintah.

Kekalahan teruk BN dalam pilihan raya umum lalu antara lain dikaitkan dengan peranan media alternatif, terutama di dunia siber. Kewujudan laman web, blog, penggunaan mel elektronik dan khidmat pesanan ringkas (sms) secara meluas dan berkesan dikatakan menyebabkan media utama ketinggalan dalam perlumbaan menyampaikan maklumat dan memenangi hati rakyat.


Media alternatif itu dikatakan kebanyakannya cenderung menguntungkan pembangkang. BN mengenalpasti ia sebagai antara penyumbang utama kekalahannya dalam pilihan raya lalu.


Dipaksa oleh keadaan memulihkan keyakinan rakyat terhadapnya, BN terpaksa mengikut rentak pembangkang meneroka dunia siber, terutama memanfaatkan laman web dan blog. Dalam usahanya menyampaikan versinya mengenai krisis politik di Perak, misalnya, BN tidak lagi bergantung kepada media utama semata. Ia turut memanfaatkan dunia siber.

Selepas pilihan raya lalu juga, beberapa budaya yang selama ini hanya dikaitkan dengan pembangkang semakin diserasikan dengan BN. Antaranya ialah keterlibatan para pendokong BN yang semakin kerap dalam perakakan dan demonstrasi jalanan, terutama di negeri-negeri di mana BN telah dipembangkangkan.

Di negeri-negeri itu juga, BN turun ke dalam masyarakat menggunakan pentas ceramah. Uslub itu juga bukan tradisi parti itu. Namun setelah diakui majlis ceramah menjadi medan berkesan bagi pembangkang berinteraksi dan berinformasi dengan masyarakat, BN akhirnya terpaksa ‘ikut menari’ di pentas dipopularkan pembangkang itu.

Ada lagi. Serentak dengan pelancaran tagline baru ‘1Malaysia’ baru-baru ini, turut kedengaran diuar-uarkan kata-kata ‘BN untuk semua’. Meski pun cuba dinafikan para pemimpin parti itu, harus diakui itu juga sesuatu yang telah pun kedengaran disebut di pihak pembangkang sebelum ini. “Islam Untuk Semua” dan “PAS Untuk Semua” telah menambat hati rakyat dan memenangkan parti itu di banyak tempat.

Banyak lagi contoh yang membuktikan betapa BN sebenarnya sudah acapkali ‘menari ikut rentak pembangkang’. Justeru, jika kini BN mendakwa ia tidak akan ikut rentak pembangkang, itu hanyalah helah menutup ketidakmampuannya berhadapan Pakatan di Penanti.

Tiada ulasan:

Pengikut