Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Isnin, 8 Jun 2009

ISU MUZAKARAH PAS – UMNO


Kembali Kepada Prinsip Amal Islami.

oleh : Ketua DPPKP

Salam Perjuangan.....
Setelah sekian lama menyepi akhirnya hari ini, tergerak hati penulis untuk memberikan sedikit peringatan berkaitan isu "Kerajaan Perpaduan" yang diutarakan oleh Dato Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang. apa yang menyebabkan penulis untuk mengutarakan pandangan adalah apabila melihatkan terlalu ramai forumer2 & blogger2 dan ape2 lagi yang ingin menjadi juara dalam isu ini.
Sedangkan pada pandangan penulis, kebanyakan daripada mereka mengutarakan pandangan yang entah berasaskan daripada sumbar2 mana. Walahua`alam....


Sebenarnya, apa yang hendak diutrakan oleh penulis adalah petikan berkaitan tulisan Ketua DPPP Ust. Nasrudin Hassan Tantawi... sama2lah kita befikir dengan sebaik2nya demi kesejahteraan PAS.... Walahua`alam....

Muqaddimah.

Muzakarah PAS – UMNO tiba – tiba menjadi satu isu terhangat di pasaran politik tanahair hari ini . Ianya menutup isu kenaikan harga minyak malah menenggelamkan isu fitnah yang menimpa Dato’ Seri Anwar Ibrahim.


Mungkin ianya hanya buat seketika tetapi berjaya membuatkan pihak tertentu menarik nafas lega sementara mencari idea baru untuk terus membidik sasaran mahupun mencongak strategi bagaimana pelan bertindak selepas ini.

Kini giliran PAS menghadapi tempoh ujian saringan yang saya sendiri tidak tahu entah bagi kali yang ke berapa sepanjang PAS berada di medan perjuangannya. Tentu saja ujian saringan ini mahu atau tidak terpaksa dihadapi oleh PAS ( pemimpin dan ahlinya ) sehinggalah Allah memutuskan tempoh akhirnya. Demikianlah sunnatullah , firman Allah swt :

و لنبلونكم حتى نعلم المجاهدين منكم و الصابرين و نبلوا أخباركم

“ dan kami sengaja akan menguji kamu sehingga kami maklum ( siapakah ) orang yang benar – benar berjuang dikalangan kamu jua orang yang sabar dan kami mengatahui ( baik buruk ) keadaan kamu.”

Surah Muhammad : 31

Tahun Ujian

Tahun ini adalah tahun ujian (عام الإبتلاء ). Sebelum ini ujian melanda UMNO dan BN dengan prestasi buruk mereka dalam PRU ke 12 , kemudian ujian dihadapi pula oleh PKR dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim di fitnah dan hari ini ujian menimpa PAS dengan isu Muzakarah / rundingan PAS – UMNO.

Pun begitu , sudahlah tentu kedudukan seorang pejuang atau parti yang memperjuangkan Islam dalam menghadapi ujian jauh berbeza dengan keadaan musuh Islam menghadapinya. Bagi seorang pejuang Islam , iman dan Islam yang ada pada dirinya meletakkan ia senantiasa dalam keadaan baik. Sabda Rasulullah saw :

عجبا لأمر المؤمن إن أمره كله له خير و ليس ذلك لأحد إلا للمؤمن إن أصابته سراء شكر فكان خيرا له و إن أصابته ضراء فكان خيرا له .

Dari Abi Yahya Suhaib bin Sinan Rha berkata : Rasulullah saw bersabda : Pelik sungguh urusan orang yang beriman . Sesungguhnya seluruh urusannya beroleh kebaikan dan tidaklah perkara demikian dianugerahkan kepada seseorang kecuali kepada orang yang beriman. Jika ia mendapat nikmat maka ia bersyukur maka syukur itu adalah kebaikan bagi dirinya dan jika ia ditimpa kesusahan maka ia sabar maka sabar itu adalah kebaikan bagi dirinya.”

Riwayat Imam Muslim

Skala ujian mungkin berbeza antara satu sama lain . Ujian kadang kala getir dan sukar untuk dihadapi, namun ada kalanya ujian yang melanda dirasakan mudah untuk kita mengurainya. Pada saya , mudah sukar kita “menjawab” ujian yang kita hadapi ini bergantung kepada tahap prestasi kita . ( Sejauh mana kita menguasai maklumat yang tepat , setakat mana pula penghayatan kita terhadap prinsip amal Islami yang kaya dengan disiplin seperti thiqah , ukhuwwah , syura dan sebagainya serta kadar mana graf iman kita terhadap aqidah perjuangan . )

Jika tahap prestasi maklumat , penghayatan amal Islami dan aqidah perjuangan itu berada pada tahap tinggi dan layak , maka besar mana pun ujian atau sukar mana pun ujian itu akan “dijawab” dengan mudah dan tenang.

Tetapi ,tanpa prestasi yang saya maksudkan tadi , ujian yang mudah malah semudah sifir satu dan dua pun akan dirasakan sukar dan payah untuk di”jawab” . Tidak mustahil ada yang akan mengambil sikap polos untuk melarikan diri dari menghadapi ujian seperti ini.

Apa yang pasti , melarikan diri dari ujian adalah orang yang gagal . Gagal dalam perjuangan ! markah mereka pastinya kosong sebab “kertas ujian” mereka tidak berjawab . Namun mereka yang menghadapi ujian akan berhadapan dengan dua kemungkinan . Samaada mereka berjaya dengan markah yang tinggi atau mereka gagal tetapi mereka tetap mempunyai markah meskipun rendah.

Spirit Rabitah .

Sebelum saya pergi lebih jauh dalam mengulas isu ini , suka terlebih dahulu saya mengajak diri dan semua sahabat pembaca sekelian untuk membaca , memahami dan menghayati setulusnya doa rabitah ini .

اللهم إنك تعلم أن هذه القلوب قد اجتمعت على محبتك و التقت على طاعتك و توحدت على دعوتك و تعاهدت على نصرة شريعتك فوثق اللهم رابطتها و أدم ودها واهدها سبلها و املأها بنورك الذي لا يخبوا و اشرح صدورها بفيض الإيمان بك و جميل التوكل عليك و أحيها بمعرفتك و أمتها على الشهادة في سبيلك إنك نعم المولى و نعم النصير

“ Ya Allah Engkau Mengetahui bahawa hati – hati ini ( bayang seluruh pimpinan dan ahli PAS yang ikhlas berjuang ) telah berkumpul kerana mengasihiMu , bertemu untuk mematuhi perintahMu , bersatu memikul beban dakwahMu . Hati – hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu , maka eratkanlah hubungan ( kesatuan ) ini Ya Allah . Kekalkan kemesraan antara hati – hati ini akan jalanNya yang sebenar. Penuhkanlah hati ini dengan cahaya RabbaniMu yang tidak kunjung malap. Lapangkanlah hati – hati ini dengan limpahan iman dan keindahan tawakkal kepadaMu dan matikanlah pemilik hati – hati ini sebagai syuhada dalam perjuangan agamaMu. Engkaulah sebaik – baik sandaran dan sebaik – baik penolong.”

Doa rabitah adalah amalan pagi petang para pemimpin dan ahli yang ikhlas dan tulus berjuang. Saya tidak percaya jika ada pimpinan dan ahli yang memahami disiplin amal Islami tidak mengamalkan doa ini. ( Tidak mengamalkan doa ini memungkin hati antara kita longgar dan mungkin mudah rungkai apabila berdepan dengan polemic antara kita )

Prinsip doa rabitah ialah kita berjamaah dan berjuang kerana cinta kita kepada agama Allah ( Islam ), ketundukan kita kepada perintah Allah , kesungguhan kita berdakwah , setia berjuang guna mendaulatkan syariat Allah maka eratkanlah hubungan antara kita. ( jangan benarkan ia retak apatah lagi belah )

Bertolak dari spirit ini , saya ingin mengajak semua pimpinan dan ahli PAS ketika sedang menghadapi isu Muzakarah PAS – UMNO ini kembali semula kepada prinsip amal Islami. Agar pandangan dan sikap kita dalam isu ini tidak dipengaruhi sentiment yang asing dari prinsip Amal Islami. Jauh sekali dari pengaruhi emosi yang mengaburi kebenaran maklumat , fakta dan nas.

Muzakarah / rundingan PAS – UMNO

Saya rasa tidak perlu lagi saya memanjangkan muqaddimah perbahasan melainkan saya sangat mengharapkan semua pihak , khasnya pimpinan sendiri dan amnya ahli di akar umbi masuk daerah perbahasan isu ini dengan semangat kasihkan agama , perjuangan yang ikhlas , jiwa yang tenang dan maklumat yang tepat .

Saya mengamati dan mempelajari serta mendalami isu ini maka saya melihat bahawa isu ini bukanlah suatu yang sangat berat dan besar . Tinggal lagi saya tidak nafikan ia agak sensitive. Lantaran itu menanganinya memerlukan langkah yang berhati – hati dan cermat.

Hari ini , setelah timbul isu pertemuan beberapa pimpinan PAS dengan pihak UMNO , orang nak tahu betul kah PAS nak masuk BN ? dari soalan seperti ini timbul pelbagai spekulasi , fitnah dan keadaan yang agak emosional .

Ada yang menangis menghubungi saya kerana tidak mahu PAS berunding dengan UMNO. Alasannya UMNO penipu , UMNO jahat dan UMNO zalim. Berunding dengan UMNO satu dosa dan satu pengkhianatan . UMNO akan perangkap kita .

Ironisnya saya melihat kebimbangan itu semua kerana mereka kasihkan parti. Mereka sayangkan parti yang telah sekian lama mengasaskan perjuangan Islam. Mereka tidak mahu PAS menyertai dan membuat sebarang perkongsian kuasa dengan UMNO . Tidak kurang yang mengugut akan keluar dari PAS jika PAS berunding dengan UMNO .

Tuan Guru Haji Abdul Hadi dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz

Ahli agak gelisah dengan perkembangan isu ini , tambahan pula media cukup aktif memainkan peranan melagakan dua pendapat yang berbeza dari dua tokoh yang bergelar Tok Guru dalam parti. Saya rasa inilah julung kali perbezaan besar yang mendapat liputan luas dari media terhadap dua tokoh besar ini.

Saya yakin 2 tokoh besar parti tersebut juga sangat sayang kepada parti yang memperjuangkan Islam ini. Malah merekalah rebah bangun mempertahankan Islam yang diperjuangkan oleh PAS di saat sebahagian daripada kita belum pun menyertai PAS .

Bahkan sebahagiannya menyertai PAS kerana hasil dakwah dan perjuangan gigih tanpa henti dari kedua – dua tokoh hebat dan handal ini. 2 tokoh inilah gandingan perkasa memimpin gerakan meredah benteng fahaman secular yang sangat tebal menyelubungi pemikiran masyarakat disamping tidak dinafikan sumbangan serta pengorbanan tokoh – tokoh pimpinan yang lain .

Logiknya sayang kita kepada PAS tidak mengatasi sayangnya mereka ( 2 tokoh ini ) kepada PAS . Kita bimbang kalau – kalau PAS ditipu UMNO dengan rundingan tersebut dan kebimbangan itu hadhir dari rasa sayang kita kepada PAS .

Persoalannya , apakah Tok Guru Haji Hadi tidak sayangkan PAS ? sementelah pula beliau adalah Presiden PAS yang memikul tanggungjawab jamaah dan seluruh ahli . Saya tidak menjangkakan demikian.

Habis tu , kenapa Tok Guru Hj. Hadi nak berunding dengan UMNO ? mengadakan muzakarah dengan UMNO ? Bukan kah Tok Guru Nik Aziz tidak setuju ? Memang pelik ketentuan Ilahi namun itulah reality .

Tok Guru Hj. Hadi yang selama ini dilihat dan dilabel keras dan tegas tiba – tiba dilihat lembut dan mahu berunding dengan UMNO sementara Tok Guru Nik Aziz yang selama ini lembut dan banyak bertolak ansur tiba – tiba dilihat keras dan tegas terhadap UMNO.

Disinilah saya lihat ahli perlu tenang dan memberi peluang dan ruang penuh thiqah ( kepercayaan ) kepada Tok Guru Presiden dan Tok Guru Mursyidul am menangani isu ini serta pimpinan janganlah mengeluarkan kenyataan media yang menyanggahi antara satu sama lain .

Kita jangan cepat buat keputusan mendahului mereka. Jangan membuat kesimpulan cepat hanya berasaskan laporan bloggers dan juga websiters . Jauh sekali mengugut pimpinan bahawa mereka akan keluar PAS jika pimpinan atau Tok Guru Presiden terus bertindak dengan suatu yang mereka tidak boleh bersetuju.

Saya yakin dan percaya , rata – rata ahli yang cemas dan gelisah ini kerana mereka sayangkan PAS tetapi saya juga sangat yakin bahawa Tok Guru Presiden juga sangat sayangkan PAS demikian juga Tok Guru Mursyid Am.

Mereka berbeza pendapat tetapi mereka sangat sayangkan PAS . ( Saya kata begitu kerana melihat kepada keistiqamahan mereka dalam berjuang dan memimpin parti. Pengorbanan mereka cukup luar biasa yang tidak memungkinkan kita kata mereka tidak sayang PAS atau mahu mengkhianati PAS sehingga kita akan keluar PAS kalau Tok Guru Presiden terus berunding dengan UMNO.)

Ertinya mereka berbeza pandangan tetapi tidak bertelagah atau berbalah. Harapnya pimpinan dan ahli bawahan janganlah bertelagah dengan menganggap 2 tok guru ni pun bertelagah. Maka satu kumpulan declair bahawa mereka bersama Tok Guru Presiden dan satu kumpulan lagi declair bahawa mereka bersama Tok Guru Mursyid Am .

Kenapa tidak kita kata , kami bersama kedua – dua Tok Guru Presiden dan Mursyid Am ! sebab mereka bukan bertelagah pun , cuma berbeza dalam pandangan setuju dengan tidak setuju . Tok Guru Presiden setuju berunding dengan UMNO sementara Tok Guru Mursyid Am tidak bersetuju berunding dengan UMNO .

Pandangan Dewan Pemuda PAS Pusat DPPP .

Perbezaan pandangan ini berasaskan hujjah masing – masing . Kebetulannya Dewan Pemuda PAS Pusat semalam hampir 4 jam membahaskan isu ini dengan masing – masing membawa hujjah.

Persoalannya bagaimana kita nak selesaikan masaalah ini . Ianya tentu tidak selesai dengan satu pihak kata setuju dan satu pihak lain kata tidak setuju dan berhenti setakat itu. Keadaan ini akan terus membawa dilemma kepada ahli .

Dewan Pemuda PAS Pusat telah merumuskan perbincangan semalam dan mengambil keputusan bahawa DPPP setuju muzakarah atau rundingan diadakan dengan pihak UMNO bagi membincangkan masa depan Islam dan melayu yang rata – ratanya beragama Islam dan menjadi tonggak kekuatan Islam di Negara kita.
Bersama penegasan bahawa muzakarah atau rundingan itu tidak bermaksud PAS mahu menyertai UMNO atau masuk BN. Malah semangat nak bawa PAS masuk UMNO tidak pernah berbangkit . Apa yang timbul ialah kemungkinan – kemungkinan kerjasama atau tindakan bersama yang menguntungkan Islam dan ummat Melayu .

Kenapa setuju muzakarah ?

Untuk lebih jelas dan menjimatkan masa saya kerana apa yang saya nak tulis dan ulas disini telah pun terlebih awal ditulis dengan sangat jelas dan baik oleh al Fadhil Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz, justeru itu sahabat pembaca sehingga ke takat ini mestilah membacanya bersekali dengan artikel al Fadhil Ustaz Nik Abduh di blognya http://nikabduh.wordpress.com/ di bawah tajuk Tahniah Presiden dan posting beliau yang terbaru bertajuk politik damai .

Dengan itu , Dewan Pemuda PAS Pusat juga telah mengambil ketetapan untuk menegaskan bahawa perlunya pimpinan segera mengambil langkah penyelesaian dengan memanggil mesyuarat Khas lalu mengambil satu keputusan yang muktamad dan kemudiannya memanggil semua kepimpinan diperingkat kawasan untuk diberi penjelasan dan semua ahli dituntut dengar dan taat terhadap keputusan yang telah diputuskan kelak .

Sekali lagi saya harap sahabat – sahabat seperjuangan dipelbagai peringkat dan semua penyokong agar tenang dan tidak melatah dengan mainan media dan pengulas – pengulas bebas di media cyber. Berilah sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pimpinan kita dengan memberi mereka hak memimpin dengan baik.



1 ulasan:

Paksu Ki berkata...

Salam perjuangan..

Secara kasar muzakarah PAS-UMNO adalah baik untuk kesejahteraan orang Melayu. PAS/UMNO dua parti yang diwakili oleh Melayu dan secara logiknya ia tempat bergantung kepada citra politik orang Melayu. Jika UMNO LEMAH dan bukan tempat bartaut bagi orang Melayu secara relatifnya sokongan orang Melayu akan terarah kepada PAS.

Tetapi realitinya tidak. PRK Parlimen Bukit Gantang undi orang Melayu kepada DS Nizar berkurang dan ini menunjukkan orang Melayu di kampung2 masih menaruh kepercayaan kepada UMNO untuk membela nasib mereka. Realiti yang kedua, mahukan pemimpin UMNO duduk semeja bersama pemimpin PAS untuk memikirkan kepentingan bersama bangsa Melayu. Pemimpin UMNO hanya mahu berunding sekiranya mereka mendapat political bargain demi survival kuasa mereka.
Realiti ketiga adakah pemimpin UMNO ikhlas untuk tolong PAS membangun Kedah, Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang demi kesejahteraan rakyat.

Tindakan untuk bekerjasama dengan UMNO merupakan tindakan yang merugikan PAS dari segi political bargain. PAS sudah dilihat sebagai tulang belakang kepada konsep perpaduan di Malaysia yang dapat bekerjasama dengan orang Cina, India tanpa ada perasaan prasangka perkauman. Walaupun kita bekerjasama dalam Pakatan Rakyat tetapi prinsip perjuangan tidak akan digadai

Pengikut