Oleh Ahmad Lutfi Othman
Operasi rampasan Harakah, Suara Keadilan dan Roket tidak boleh dipandang ringan oleh pemimpin Pakatan Rakyat.
Tindakan primitif itu bukan saja perlu dikecam keras tetapi mesti
ditangani secara proaktif, khususnya melihat isu kebebasan akhbar dalam
konteks lebih luas.
Jelas sekali, langkah represif yang
bercanggah dengan amalan demokrasi itu -- apatah lagi slogan
transformasi Najib Razak -- sarat dengan motif politik ekoran keputusan
mengecewakan PRU13 bagi Umno-BN. Sama ada ia dipengaruhi perwatakan
bebal Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi, yang mahu menunjukkan dia
lebih layak menjadi pewaris takhta daripada Najib, saya tidak berminat
mengulasnya.
Belum sempat kes penipuan PRU13 dan ketempangan
menjolok mata dalam sistem pilihan raya kita selesai "dibentangkan"
dalam siri perhimpunan Blackout 505, kerajaan menambahkan lagi senarai
panjang siri aksi yang menjengkelkan. Suara rakyat mahu ditutup rapat
melalui Akta Hasutan (dakwaan terhadap empat aktivis) dan Akta Mesin
Cetak dan Penerbitan (rampasan organ parti Pakatan Rakyat).
Sejak
dilancarkan pada Mac 1987, lebih 26 tahun lalu, pelbagai tekanan
dilakukan KDN terhadap Harakah, dengan mengenakan bermacam-macam syarat
dan peraturan "karut-marut. Bagaimanapun, pengurusan Harakah sedaya
upaya cuba memenuhi segala kehendak dan karenah Menteri Dalam Negeri
itu. Bagai bola, dilambung dan disepak sesuka hati.
Berbekalkan
AMCP, tindakan selektif dibuat KDN bukan hanya menurut selera dan
citarasa menterinya, tetapi dipandu oleh rangka kerja sistematik
strategis Umno-BN bagi menghalang pengaruh Harakah, khususnya kepada
masyarakat Melayu.
Selama ini, orang ramai mudah membeli Harakah
di pasaran bukannya kerana mereka berhak mendapatkan akhbar alternatif
itu, tetapi rupanya disebabkan oleh ehsan pemerintah. Apabila elit
penguasa merasakan jumlah cetakan Harakah semakin meningkat dan ia
berkesan untuk merubah pemikiran pembaca, agar menjadi lebih kritikal
kepada Umno-BN, maka ehsan tersebut akan ditarik balik.
Selagi
mana peruntukan menekan dan tidak demokratik dalam AMCP dikekalkan,
terutama berkaitan keperluan permit (Seksyen 5 dan 6), kuasa mutlak
menteri dan penyingkiran hak untuk didengar (Seksyen 13A dan 13B) serta
denda berat yang dikenakan (Seksyen 8), maka kita akan terus menyaksikan
fenomena penjualan Harakah hanya dibenarkan bebas ketika jumlah
cetakannya dikira tidak mampu menggugat keutuhan kerajaan BN.
Harakah
di zaman reformasi (1998-99) meningkat mendadak sehingga melebihi
350,000 naskhah. Regim Dr Mahathir Mohamad tidak menunggu lama untuk
menghukum Harakah sebaik keputusan PRU1999 diumumkan. Kekerapan
penerbitannya dipancung daripada dua kali seminggu kepada dua kali
sebulan; satu langkah bacul, namun tidak diberikan reaksi yang munasabah
oleh pemimpin PAS dan pembaca Harakah sendiri.
Niat dan motif
KDN jelas sekali. Kita tidak akan menyaksikan operasi rampasan Harakah
besar-besaran dibuat setiap kali ia diedarkan di pasaran. Kita juga
tidak akan mendengar berita bahawa penguatkuasa KDN bertindak menangkap
ramai pengedar atau penjual untuk dihadapkan ke mahkamah, meskipun
mereka boleh berbuat demikian.
KDN tidak sedungu itu untuk
bertindak melampau, dengan melakukan siri operasi rampasan dan tangkapan
di seluruh negara, kerana ia hanya akan membuktikan bahawa kerajaan
Umno-BN langsung tidak bersikap toleran dengan pandangan berbeda.
Malah,
saya yakin bahawa KDN tidak akan mengharamkan permit penerbitan Harakah
disebabkan kewujudan akhbar seumpama Harakah boleh dijadikan testimoni
bahawa Najib Razak masih memberi ruang kepada suara-suara kritikan. Ya,
masih ada kebebasan akhbar di Malaysia!
Namun, dengan melakukan
operasi rampasan (dan selebihnya ugutan kepada rangkaian pengedar dan
penjual Harakah) di lokasi tertentu, tetapi meliputi hampir setiap zon
di negara ini, maka komuniti pengedaran akhbar akan merasa takut dengan
risiko tinggi menjual "bahan terlarang" kepada orang awam.
Ya,
tepat sekali, Zahid dan KDN hanya mahu mencampakkan rasa takut kepada
pengedar dan penjual Harakah, terutama yang terdiri daripada bukan
kalangan aktivis parti, bahawa mereka bakal menanggung kerugian besar
jika diambil tindakan undang-undang di bawah AMCP.
Kemerosotan
jualan Harakah yang mendadak -- sehingga hampir 20,000 naskhah ---
selepas operasi rampasan KDN itu mungkin membuatkan Zahid lega dan puas
.... Motif dan objektif sudah tercapai.
Justeru, isu sekatan
terhadap akhbar-akhbar parti politik, terutama syarat-syarat jualan
hanya untuk ahli parti dan dikhususkan di premis parti, wajib ditangani
dengan lebih serius dan bijaksana; sekali dan selamanya! Jangan hanya
kerana KDN mengendurkan operasi buat satu tempoh tertentu maka kita
berasa selesa.
Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini
Khamis, 6 Jun 2013
Rampas Harakah: Zahid lega dan puas, tertunai hajatnya!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan