Oleh Zulkifli Yahaya
Penghapusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
(PTPTN) menjadi agenda penting dalam manifesto Pakatan Rakyat untuk
PRU13. Sejak mula dicadangkan sehinggalah perkara itu termaktub dalam
manifesto, frasa 'hapus PTPTN' menjadi fokus utama oleh Pakatan. Frasa
itu juga yang dikutip oleh BN sebagai modal untuk terus mengelirukan
rakyat.
Dalam media massa, ceramah, perang saraf dan gerak kempen BN mereka menempelak cadangan Pakatan itu dalam bentuk persoalan yang sangat pandir, "Jika PTPTN dihapuskan, macam mana anak Melayu yang miskin nak meneruskan pengajian di IPT?". Mungkin kita akan ketawa dengan kedunguan mereka memahami maksud 'hapus PTPTN' namun jangan menolak hakikat bahawa kedunguan yang disengajakan oleh para pemimpin Umno untuk memanipulasi isu tersebut telah berjaya menipu jutaan pengundi Melayu. Sejuzuk orang Melayu yang buta isu semasa (yang hanya mendapat maklumat dari TV3 dan RTM semata-mata) khuatir sepenuhnya terhadap cadangan Pakatan tersebut. Mereka yang segolongan itu, sekalipun mungkin kurang cerdik, tetapi tetap memiliki hak mengundi. Mereka adalah antara yang menyumbang kepada kemenangan BN.
Bukankah fokus yang sepatutnya dibuat Pakatan ialah memberi, pendidikan
percuma di peringkat pengajian tinggi - ganti PTPTN dengan biasiswa dan
tidak perlu bayar balik!
'Hapus PTPTN' sengaja dijadikan muqaddimah ulasan kali ini untuk berhujah bahawa, ada kalanya kita tersalah memberi fokus.
Pasca PRU13, rakyat Malaysia serta dunia dikejutkan dengan kegagalan
Pakatan menawan Putrajaya sekalipun semua petunjuk sebelum PRU
menjelaskan bahawa Pakatan sudah menguasai majoriti. Mood rakyat secara
tampak, dikuasai oleh Pakatan sepanjang tempoh PRU hinggalah di
saat-saat terakhir sebelum hari mengundi. Ditakdirkan Pakatan hanya
menang undi popular (tepat seperti kajian yang dibuat oleh beberapa
badan professional) tetapi kalah jumlah kerusi dimenangi yang dibuat
berasaskan sempadan pilihanraya.
Maka muncul gerakan baru selepas PRU, yang menyandarkan kekalahan
Pakatan di tangan BN disebabkan penipuan yang berlaku sepanjang proses
mengundi dan mengira undi. Antara yang dilibatkan ialah dakwat kekal
yang tidak kekal, penipuan daftar pemilih dan penipuan dalam pengiraan
yang dibantu oleh kejadian padam lampu sehingga gerakan membantah itupun
dinamakan sempena kejadian tersebut iaitu Blackout 505. Soalannya,
adakah fokus terhadap 'penipuan pilihanraya' itu betul sebagai punca
utama kekalahan Pakatan di Pusat?
Pengerusi SPR dan Timbalannya menegaskan bahawa tidak ada satu pun
kejadian lampu padam semasa mengira undi pada 5 Mei lalu. Namun beberapa
pemimpin Pakatan berjaya membuktikan memang berlaku tiga kejadian lampu
padam di tempat pengiraan undi di seluruh negara. Persoalannya, jika
lampu tidak padam di tiga tempat tersebut adakah Pakatan berjaya tawan
Putrajaya? Isunya, bukan lampu padam atau tidak tetapi bagaimana
penipuan itu dibuat. Setakat ini tiada siapa dapat beri penjelasan.
Pengarah Strategik KeADILan Rafizi Ramli mendedahkan bagaimana terdapat
kertas undi yang terdapat dalam tong undi di satu pusat mengundi, lebih
besar jumlahnya dari bilangan orang keluar mengundi. Kononnya angka
tersebut tercatat dalam Borang 14. Persoalannya, semasa proses kira undi
di mana agen mengira undi parti yang mewakili Pakatan? Agen tersebut
wajib membantah apabila berlaku lebihan kertas undi dan mendesak pihak
SPR membuang kertas undi tidak sah dengan merujuk kembali kepada nombor
siri kertas undi yang dikeluarkan. Kesalahan seperti itu hanya boleh
berlaku jika agen mengira undi parti tidak menjalankan tugas, 'dibeli'
atau tidak hadir sewaktu proses kira undi berjalan. Jika hal ini
berlaku, tidak guna menyalahkan musuh kerana musuh sentiasa mencari
peluang bermain kotor.
Saya tidak berhasrat memperincikan isu penipuan ini kerana sebahagian
besar isu yang dibangkitkan dapat dijawab dengan mudah oleh SPR. Jawapan
politik yang menyakitkan hati oleh SPR dan BN ialah jika berlaku
penipuan mengapa Pakatan boleh menang di tiga negeri dan menafikan
majoriti dua pertiga di Parlimen?
Akhirnya fokus terhadap penipuan pilihanraya akan diadili di mahkamah
melalui petisyen yang dibuat. Isu penipuan boleh jadi bola tanggung yang
kembali menempelak jika tidak banyak petisyen mampu dibuat atau
dimenangi.
Ulasan ini bukanlah bertujuan mencetuskan anti klimaks terhadap gerakan
membantah 'penipuan pilihanraya', teruskan! Tetapi bukankah fokus yang
paling tepat terhadap kekalahan Pakatan ialah kerana kepincangan
demokrasi. Kembali kepada intipati tuntutan Bersih. Itu fokus yang
paling tepat dan boleh dibuktikan.
Kepincangan demokrasi ialah apabila pembangkang dinafikan hak bersuara
melalui kesemua media elektronik lebih-lebih lagi RTM yang menjadi milik
rakyat, BN menggunakan jentera dan premis kerajaan untuk berkempen dan
menyalahgunakan dana kerajaan atau duit rakyat untuk gerakerja parti
politik BN. Pembangkang dilayan seperti musuh negara. Kakitangan
kerajaan dipaksa mendengar kempen BN yang dibuat atas nama program
jabatan. Rakyat yang menjadi penerima bantuan kerajaan melalui skim
tertentu dipaksakan menerima dakyah BN, sebelum bantuan dihulurkan.
Di saat Malaysia sudah aman sejahtera, anggota tentera, polis serta
isteri mereka yang bergaul dalam masyarakat awam dipaksa menjadi
pengundi pos. Undi pos tidak terus dikira pada hari yang sama undi
terkumpul, sebaliknya disimpan di balai polis beberapa hari tanpa
pengawasan agen calon yang sudah tentu terdedah kepada tindakan memadam
dan memangkah semula kertas undi tersebut. Undi pos sudah tidak relevan
di Malaysia.
Semua perkara tersebut terkandung dalam agenda tuntutan Bersih.
Penipuan pilihanraya cuma satu aspek hiliran dari kepincangan demokrasi,
jadi wajarlah kepincangan demokrasi di Malaysia itu yang sangat perlu
difokuskan.
http://notautara.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan