Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Ahad, 14 April 2013

PRU13: Titik perubahan sebenar

Oleh Hafizul Faiz

Kehangatan gelombang PRU13 (Pilihan Raya Umum ke-13) hampir dirasai di seluruh lapisan masyarakat, yang kecil mahupun yang besar, yang tua dan muda, yang tahu dan tidak tahu, atau yang baru atau lama.

Untuk mereka yang lahir pada tahun 1991 dan 1992, fatrah ini barangkali sangat istimewa, pertama kali mengundi dan mungkin pertama kali menukar kerajaan sedia ada. Gelombang PRU13 ternyata telah banyak menghasilkan kesan yang sangat baik.

Daripada sikap tidak peduli kepada peduli, tidak tahu kepada tahu, begitu juga sikap boikot pilihan raya kepada berfikir semula untuk mendaftar sebagai pengundi. Di mana-mana pihak, mahupun di sebelah kerajaan yang pernah memerintah kerana khuatir akan kalah buat kali pertama, atau pihak pembangkang selama ini sebagai ejen kemenangan untuk menaiki takhta kerajaan, masing-masing sedang digasak hebat dengan gelombang PRU13 yang sebarannya melangkaui umur dan batas tempat.

Simulasi PRU13 boleh dicatur dengan menilai, mengkaji, dan menganalisa corak gelombang ini. Gelombang yang tiada siapa boleh sekat dan tiada siapa yang mampu mengawalnya. Kecanggihan teknologi dan maklumat, media sosial yang bebas terbuka, juga suasana dan mood rakyat yang lewat ini, seperti cenderung untuk menggalas konsep sebenar demokrasi yang selama ini dirosakkan dengan ideologi-ideologi simpang. Maka, PRU13 boleh diperhati corak yang dibentuk kerana ia (walaupun tidak tepat) merupakan kelogikan yang boleh diterima. Apabila gelombang ini semakin disahut, disebut dan disambung-sambung, ini menandakan bahawa masa depan untuk sesebuah parti yang digagas gelombang ini cerah dan perlu bersiap dia menggalas masa depan yang lebih berat. Kemenangan itu suatu pintu baru kepada sebuah kehidupan.

Perbincangan pasti berkisarkan dengan nuansa fikir anak muda, gelombang yang disahut positif dan juga perancangan sedia ada. Bekas kerajaan, BN (Barisan Nasional) sewajarnya bakal tumbang jika masih berada di dalam perasaan selesa dengan kewujudan gelombang ini. PRU13 dan gelombangnya telah mencelikkan mata anak-anak muda dengan kelajuan maklumat disebar dan kecanggihan program direka. Sebelum ini, barangkali ada anak muda yang tidak tahu apa itu pilihan raya dan bagaimana prosesnya. Bahkan, masih ada yang tidak tahu bahawa sebelum pilihan raya dijalankan, parlimen perlu dibubarkan. Namun, gelombang PRU13 telah menyerap ke semua lapisan masyarakat. Kajian mendapati, suatu sumber yang paling memainkan peranan ialah media sosial. Media soaiallah yang menyebar maklumat, mempertemukan manusia dan menerangkan kenapa perlu pilih ini dan itu. Seperkara, media sosial tidak dipadam datanya dan tidak boleh dikawal orang-orang tertentu.

PRU13: Titik Perubahan

Pengharapan jika pengundi muda, dengan populasi yang kian bertambah dan ramalan yang wajar, memanfaatkan PRU13 sebagai platform perubahan dengan mengubah tampuk pemerintahan supaya Malaysia ini kembali mendokong gagasan sebenar demokrasi. Turning point bererti suatu titik yang telah mengubah sesuatu, antara garisan atau kejadian dan tragedi. Dan inilah, PRU13 yang disifatkan sebagai pilihan raya terhangat setakat ini. Kebijakan berfikir dan kewajaran menerima sesuatu pendapat merupakan faktor utama kenapa pengundi muda adalah kelompok terbesar yang akan membuat perubahan.

Mahu tidak mahu, fikiran manusia berpaksikan logik dan kecenderungannya ialah kebenaran. Fikiran siapapun pasti menuju kepada kebenaran. Jika masih menuju kepada sebuah keburukan, ia bukan lagi berpaksikan logik melainkan ada objektif tertentu dan rasukan nafsu berkepentingan. Kelogikan ini menjadikan orang muda menimbang, membanding dan menganalisa apakah kepentingan sesuatu undi. Satu undi, satu nyawa.

Ini kalilah, perubahan itu mesti disegerakan, disepadukan dengan kebijakan dan masa depan yang lebih cerah, menimbangtara barisan pemimpin yang berwibawa dan menyayangi sistem dengan usaha memperbaikinya.

Maka PRU13 sebagai suatu titik perubahan yang bakal didominasi pengundi muda yang berfikir berpaksikan logik.

Tiada ulasan:

Pengikut