Oleh H FANSURI
“Saya difahamkan daripada seorang profesor, BN peruntukkan hampir RM10 juta untuk sisipan Utusan Malaysia dalam minggu kempen PRU13," kata Pengerusi Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), Ahmad Lutfi Othman
Dari satu sisi, contoh kecil ini, menurutnya, membuktikan penyebaran bahan bercetak masih penting dan relevan untuk mempengaruhi pengundi.“Walaupun media baru seperti Facebook, Twitter, Blog cukup popular, tapi jangan abaikan bahan bercetak,” katanya lagi.
Tambahnya, peruntukan BN itu bukan hanya untuk Utusan tetapi juga meliputi pelbagai makalah lain lagi, sama ada yang bersifat rasmi atas nama dan logo BN, seperti menjelaskan "manifesto ciplakan" itu, dan juga menyamar untuk memfitnah Pakatan, yang banyak disebarkan terus ke rumah pengundi.
Itu yang boleh kita dengar daripada pelbagai sumber mengenai cerita-cerita Umno, BN mengguna media pada hari ini. Khabar seperti ini membuatkan beliau terfikir tentang kepentingan bahan-bahan bercetak.
“Walaupun Pakatan mempunyai kelebihan dan kepakaran dalam media baru, misalnya klip video Youtube, tetapi saya kira pengundi Melayu, terutama di kawasan kampung tradisi dan tanah rancangan, masih bergantung rapat dengan informasi daripada TV dan akhbar, dan di situlah kawasan yang bakal ditandingi PAS," katanya lagi.
Pagi Isnin lalu, 8 April, Ahmad Lutfi bertemu Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din untuk melancarkan dana penerbitan (bahan bercetak) KAMI bersempena langkah persediaan sebagai bahan kempen dalam PRU13.
Difahamkan Dr Haron menyokong usaha berkenaan, terutama untuk menyebarluaskan maklumat dan informasi bermanfaat, sekali gus dapat menyanggah fitnah yang berleluasa. Beliau menyeru sumbangan semampu mungkin dapat disalurkan bagi meneruskan usaha jihad menegakkan kebenaran.
Majlis sederhana dan santai itu dibuat di kediaman Dr Haron, di Bandar Baru Bangi. Kata Arif Atan, wartawan Harakah, yang turut bersama Ahmad Lutfi, sambil minum teh O panas dan menjamah martabak yang rangup, Dr Haron kelihatan cukup prihatin dengan gerakerja penerangan PRU13, khususnya melibatkan bahan bercetak, dan mengharapkan usaha KAMI itu mendapat sokongan ramai.
Sebenarnya Ahmad Lutfi sudahpun menjelajah banyak negeri bagi mengedarkan secara percuma sisipan lapan halaman Bangkit. Walaupun jumlahnya tidaklah dapat menampung permintaan akar umbi, selain dikembarkan dalam naskhah Harakah, namun ia dianggap memadai bagi memperkenalkan bahan penerbitan yang sesuai untuk berkempen agar pengundi mendapat perspektif lebih jelas.
"Dana yang terkumpul masih kecil dan hanya mampu mengongkosi lebih kurang 10,000 Bangkit. Secara jujur, bagi saya, bilangan sebanyak itu hanya untuk satu kawasan Parlimen sahaja. Kita perlukan lebih banyak sokongan kewangan bagi memastikan Bangkit dapat mengetuk rumah setiap pengundi di kawasan pilihan raya yang menjadi target.
"KAMI juga mempunyai beberapa bahan penerbitan lain, ada berbentuk buku mini dan ada juga berbentuk poster, yang dikira perlu diagihkan pada waktu kempen PRU13 ini. Cuma misi ini tersekat disebabkan halangan kewangan," tambah Ahmad Lutfi dalam pertemuan dengannya di pejabat editorial Harakah, petang Isnin lalu.
Kesediaan Dr Haron untuk sama-sama mempromosi dana penerbitan KAMI itu amat disanjung tinggi Ahmad Lutfi. "Tak tahulah sama ada gambar saya ini dapat menarik minat penyumbang," kata Timbalan Pengerusi Harakah itu, menunjukkan bunting yang mempamerkan wajahnya, sambil ketawa kecil, seperti diceritakan kembali oleh Ahmad Lutfi.
"Kita perlu sedar bahawa ada pengundi dan pembaca yang masih setia dan selesa membaca laporan bercetak ini,” kata seorang pemerhati politik, seorang pensyarah. "Yang penting, bagi saya, biar semaju mana pun kaedah komunikasi, kita jangan remehkan apa jua pendekatan, termasuk akhbar, majalah, risalah, buku dan sebagainya."
"Tapi janganlah sampai kita sesak nafas berdepan cabaran hebat daripada akhbar dan siaran TV yang ditaja BN itu. Utusan, Berita Harian, The Star, NST memang media talibarut BN yang mendapat sokongan sepenuhnya kewangan BN semasa kempen PRU13 ini dan ada juga akhbar-akhbar ini yang diedarkan percuma. Itu kerja mereka, yang mustahak bagaimana dengan Pakatan Rakyat?" pensyarah politik itu bertanya lanjut, menandakan kerisauannya kemungkinan pengundi tidak mendapat informasi lengkap.
"Kalau Utusan dikatakan dapat RM10 juta untuk sisipan khas, bagaimana pula dengan akhbar lain, dan juga TV3 yang hebat berkempen, dengan klip video lagu-lagu propaganda di tengah waktu puncak?" tanya saya pula kepada Ahmad Lutfi.
Ketua Pengarang Kumpulan Harakah menjawab dengan tersenyum: "RM10 juta itu setakat lekat di celah gigih sahaja, sikit aja tu."
Secara peribadi, saya lebih melihat pengaruh besar akhbar The Star. Ada laporan menyebut bahawa sebanyak 24 peratus daripada pembaca The Star terdiri daripada kaum India meskipun kaum itu hanya 7.5 peratus sahaja jumlahnya dinisbahkan kepada penduduk negara ini.
Saya menekankan soal pengundi India ini disebabkan ada pihak mengatakan sokongan mereka kepada Pakatan mungkin mengalami kemerosotan. Justeru, usaha mendekati masyarakat India, termasuk melalui bahan-bahan penerbitan, tidak boleh dipandang ringan.
Namun, yang kekal jadi tanda soal, apakah kita ingin manfaatkan setiap ringgit yang ada bagi menyebarluaskan risalah kempen ke tempat pedalaman yang masih juga tandus daripada aliran maklumat di internet itu?
Dan jangan "terlepas pandang" bahawa dalam wilayah kota raya sendiri, masih ramai pengundi yang tidak sempat mengikuti perkembangan semasa melalui media baru dan mereka perlu didekati secara bersemuka, sambil menghulurkan bahan bacaan.
Untuk bersama-sama menjayakan kempen penerbitan KAMI ini, sumbangan orang-ramai dialu-alukan dan boleh disalur ke akaun Maybank KAMI MEDIA 514075606399.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan