Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Isnin, 18 Mei 2009

Ayah Chik terus pegang teraju PAS

Oleh Roslan SMS

Sebagaimana yang dijangkakan Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, ahli parlimen Marang dan ADUN Rhu Rendang, kekal sebagai Presiden PAS apabila diisytiharkan menang tanpa bertanding sebagai Presiden parti bagi sesi 2009-2011.

Sejak mengambil-alih teraju parti dari Almarhum Ustaz Dato Fadzil Nor ternyata kepimpinan Tuan Guru terus menyerlah sehinggalah membawa PAS ke pencapaiannya yang terbaik pada PRU ke 12 lalu dengan berjaya mengekalkan kuasa di Kelantan selain menawan Kedah, satu negeri yang lama diidamkan oleh parti. Begitu juga PAS berjaya membentuk kerajaan bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat di Perak (sehingga dipermainkan oleh politik pintu belakang), Selangor dan Pulau Pinang.

PAS di bawah kepimpinan beliau juga berupaya mencacakkan panji-panji kemenangan buat pertama kali bagi gerakan Islam ini di Johor dan Negeri Sembilan yang sebelum ini merupakan negeri sukar buat PAS. Malah kejayaan PAS di dua pilihan raya kecil parlimen berturut-turut iaitu di Kuala Terengganu dan Bukit Gantang seakan membuktikan pengiktirafan rakyat terhadap PAS.

Pohon PAS yang ditanam dari benih dengan keringat, darah dan airmata serta pengorbanan dan doa yang tidak putus-putus sejak lebih 50 tahun lalu kini dituai oleh pendukungnya ketika parti di bawah teraju Tuan Guru, ulamak yang diiktiraf oleh kawan dan lawan bukan hanya diperingkat nasional malah diperingkat antarabangsa.

Marilah kita berdoa semoga terus istiqomah dalam perjuangan ini dan semoga Allah swt mengunriakan kekuatan kepada Tuan Guru untuk terus membawa bahtera perjuangan ini mengharungi samudera yang luas dan mencabar bagi menuju destinasi perjuangan, samada kita menang atau syahid kerananya.

Mudah-mudahan keikhlasan dan taqwa seorang ulamak sebagaimana Presiden kita akan membawa kita ke arah memperolehi redha Allah swt sepanjang meniti arus perjuangan ini. Kita yakin dan beriman dengan ayat Allah swt yang bermaksud:

“Sesungguhnya hanyalah yang paling takut pada ALLAH diantara hambanya adalah para ‘ulama’.”

(Faathir: 28)

Pimpinlah kami Tuan Guru berbekalkan panduan al quran dan Sunnah, wala’ dan kesetiaan kami pada anda, insyallah. Tahniah.

Tiada ulasan:

Pengikut