Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Khamis, 14 Februari 2008

PM bubar Parlimen -- 15 bulan lebih awal dari tempoh tamat penggal ke-11

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pembubaran Parlimen berkuatkuasa Rabu bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-12 diadakan.

Beliau mengumumkan pembubaran itu pada satu sidang media di pejabatnya di sini, yang disiarkan secara langsung menerusi TV1 pada tengah hari Rabu.

Perdana Menteri juga mengumumkan semua kerajaan negeri dinasihatkan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri masing-masing, kecuali Sarawak berkuatkuasa pada tarikh yang sama, bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak.

Katanya beliau telah menghadap dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pagi ini untuk pembubaran Parlimen ke-11.

Pembubaran Parlimen ini dibuat 15 bulan lebih awal dari tarikh tamat tempoh penggal lima tahunnya yang akan berakhir pada 16 Mei 2009.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka bermesyuarat beberapa hari lagi bagi menetapkan tarikh hari penamaan calon dan hari pengundian.

Semasa pengumuman itu yang turut dihadiri oleh timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak, Abdullah berharap pilihan raya umum yang bakal diadakan akan berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

Katanya kerajaan Barisan Nasional (BN) berharap mendapat semula mandat dua pertiga seperti yang diperoleh pada pilihan raya umum ke-11 pada 2004.

Katanya jentera BN telah disusun rapi dan bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum.

"Senarai calon telah ditetapkan," katanya.

Beliau berkata bahawa BN akan menampilkan barisan calon terdiri muka lama dan baru, yang akan diumumkan sehari dua lagi.

Pemerhati politik meramalkan pengundian akan diadakan pada awal bulan depan manakala hari penamaan calon dijangka diadakan dalam minggu terakhir bulan ini.

Ini berdasarkan amalan SPR sebelum ini yang menetapkan tempoh kempen berlangsung 10 hari sahaja pada beberapa pilihan raya umum lepas.

Mengikut Perkara 55(4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen. Bagaimanapun, selepas pilihan raya umum 1969, proses demokrasi itu berlangsung dalam tempoh 16 hingga 20 hari sahaja.

Pilihan raya umum ke-11 pada 21 Mac 2004, hari penamaan calon dan hari pengundian berlangsung dalam tempoh 17 hari dari tarikh pembubaran.

Sejumlah 222 kerusi Parlimen dipertandingkan pada pilihan raya umum kali ini manakala 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan di peringkat negeri.

Pada pilihan raya umum 2004, sejumlah 219 kerusi Parlimen dipertandingkan tetapi kali ini terdapat pertambahan tiga kerusi Parlimen baru di Sarawak berikutan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri itu pada 2006.

Sebelum Parlimen dibubarkan, BN menguasai 199 kerusi di Dewan Rakyat manakala pembangkang 20 kerusi, iaitu DAP 12 kerusi, PAS enam kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Bebas masing-masing satu kerusi.

Semasa menjawab soalan pemberita pada sidang akhbar itu, Abdullah berkata kerajaan membubarkan Parlimen 15 bulan lebih awal kerana mahukan mandat baru bagi meneruskan usaha-usaha memajukan negara.

Perdana Menteri berharap para pengundi akan memberi sokongan yang besar kepada BN pada pilihan raya umum ke-12 ini untuk manfaat mereka.

"Saya berharap para pengundi akan faham isu-isu dalam negara, beri penilaian secara objektif dan beri undi kepada BN," katanya.

Abdullah yakin BN akan menang besar berdasarkan kepada prestasi kerajaan BN yang telah melaksanakan segala janjinya kepada rakyat.

Tambahan pula, katanya program-program yang dilaksanakan telah memberi manfaat kepada rakyat.

Abdullah berkata rekod BN adalah baik kerana dapat meningkatkan taraf hidup rakyat dari satu tahap ke satu tahap yang lebih baik.

Beliau berkata BN juga dapat meningkatkan nilai kejayaan negara dan mempunyai pengalaman mentadbir negara dengan berkesan.

Mengulas mengenai penafiannya semalam berhubung tarikh pembubaran Parlimen hari ini, Perdana Menteri berkata: "Saya tidak boleh beri sebarang bayangan mengenai tarikh pembubaran Parlimen kerana Yang di-Pertuan Agong belum memperkenankannya lagi. Saya perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sebelum saya boleh mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen."

Abdullah berkata tidak salah membubarkan Parlimen lebih awal sebelum mandatnya tamat. Mandat kerajaan BN berakhir pada 16 Mei 2009.

Perdana Menteri berkata pembubaran Parlimen tidak akan menjejaskan perayaan dan aktiviti masyarakat Cina yang masih merayakan sambutan Tahun Baru Cina.

Ditanya mengenai pemilihan tarikh 13 Feb untuk membubarkan Parlimen itu memberi makna tertentu, Abdullah berkata: "Tak payah ulaslah tu."

Angka 13 diketahui umum sebagai angka kegemaran Perdana Menteri.

Mengenai calon BN, Abdullah yang juga Pengerusi BN, berkata beliau belum menerima senarai calon yang lengkap setakat ini.

SPR sebelum ini telah menyatakan bahawa terdapat kira-kira 10.9 juta pemilih berdaftar, termasuk kira-kira 700,000 pengundi baru, yang layak mengundi pada pilihan raya umum kali ini.

Antara lain, SPR akan memperkenalkan peti undi lutsinar dan dakwat kekal dalam urusan pengundian pada pilihan raya umum ke-12. BERNAMA

Tiada ulasan:

Pengikut