Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Rabu, 6 Februari 2008

Kes pengundi pos Dun Belantek, memang patut gambar Rashid dikoyak

Oleh Ikmal Umar,Kg Raja, Tunjang

Apabila saya membaca laporan berita Harakahdaily tentang konspirasi jahat lagi terkutuk SPR di bawah Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman (yang dikoyak gambarnya baru-baru ini oleh pimpinan Bersih) bagi mengalahkan calon PAS di DUN Belantek dan Parlimen Sik, Kedah, maka saya rasa Pengerusi SPR patut diberi reaksi lebih keras, yakni bukan sekadar gambarnya saja disepak ke dalam longkang.

DUN Belantek dipegang oleh wakil rakyat PAS manakala Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak hanya kalah beberapa ratus undi saja di Parlimen Sik dalam pilihan raya 2004.

Oleh kerana Umno Kedah begitu beria-ia mahu mengalahkan PAS di semua lima kerusi DUN maka tidak hairanlah jika segala kaedah buruk dan keji digunapakai untuk mencapai cita-cita politik itu.

Soalnya, bagaimana pula dengan sikap memihak SPR yang tidak malu-malu menjadi barua Umno-BN itu? Mungkin Rashid mahu menjadi pengerusi SPR pertama mendapat gelaran Tun?

Apakah Umno Kedah sudah cukup tertekan sehingga tiada kekuatan sendiri untuk berdepan dengan PAS sehingga mencari jalan belakang untuk mengatasi PAS dengan undi pos.

Dan inilah bukti bagaimana undi pos diperalatkan untuk memenangkan Umno-BN di tempat-tempat kritikal.

Khabarnya, Presiden PAS, Ustaz Abdul Hadi Awang juga cuba dikalahkan di kawasan Dunnya, melalui strategi yang sama, iaitu meramaikan pengundi pos di Rhu Rendang.

Saya harap pihak PAS Kedah akan membawa isu 1031 pengundi pos di Dun Belantek itu ke peringkat nasional.

Biar seluruh negara dikejutkan dengan taktik dan konspirasi buruk SPR-Umno itu.

Biar kita telanjangkan modus operandi mereka selepas PAS Kedah disembelih hidup-hidup melalui persempadanan semula kawasan pilihan raya 2002, yang kemudiannya menyaksikan Parlimen Yan, Kuala Kedah, Baling dan Pokok Sena dengan mudah ditawan BN selepas begitu ramai pengundi bukan Melayu dimasukkan ke kawasan berkenaan.

Ayuh PAS Kedah.

Isu ini mesti diberikan kefahaman kepada umum sekali gus menunjukkan bukti bagaimana undi pos diperalatkan untuk kepentingan survival BN, di samping membuktikan bahawa tuntutan Bersih untuk memansuhkan undi PAS cukup kena dengan masanya.


BERITA HARAKAH

SIK, 4 Feb (Hrkh) - Taktik kotor dan jahat SPR untuk memenangkan BN dalam pilihan raya terus menerus berlaku, terkini SPR mewartakan sebanyak 1031 pengundi di Daerah Mengundi 01 Kota Aur/DUN N23 Belantek/Parlimen P013 Sik, sekali pun ketika dipamerkan dalam DPT suku ke-3 2007 (Daftar Pemilih Tambahan) tidak menyenaraikan nama-nama tersebut.


"Ini langsung tidak mengikut prosedur SPR, sepatutnya hanya nama yang dipamerkan untuk proses bantahan boleh diwartakan, ini tidak berlaku di Kota Aur, 1031 nama itu langsung tidak disenaraikan ketika proses pameran dan bantahan, tetapi diwartakan selepas itu," tegas Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Haji Azizan Abdul Razak.


Beliau menambah, strategi jahat ini adalah rancangan BN negeri ini yang terdesak untuk merampas kerusi Dun Belantek dari PAS dan cuba mempertahankan kerusi Parlimen Sik, ini adalah gambaran sebenar kedudukan BN Kedah yang terhimpit dengan berbagai-bagai isu dan terbeban dengan pelbagai kelemahan dan semakin terpinggir dari hati rakyat Kedah.


Mengikut DPI (Daftar Pemilih Induk) 2003 sehingga DPT ke-2 2007, SPR tidak pernah merekodkan senarai 1031 nama pengundi pos berkenaan, sehinggalah DPT 3 2007 dipamerkan, amat memelikkan SPR boleh mewartakannya dalam warta DPT 3 2007.
Dalam DPI 2006, bagi Daerah Mengundi tersebut hanya mempunyai 500 pengundi sahaja. Ustaz Azizan mendedahkan bahawa, 1031 pengundi pos anggota tentera ini dibawa dari dua kem iaitu Sungai Petani dan Gerik.


"Nama-nama yang terlibat adalah didapati dipindahkan dari dua unit tentera yang berpangkalan tetap di teampat lain iaitu A Kompeni 19 RAMD Sungai Petani (Kem Induk/Tetap di Sungai Petani) dan A Kompeni Bn 304 AW (Kem Induk di Gerik, Perak yang hanya beroperasi di sepanjang Lebuh Raya Pantai Timur)," katanya.


Menurut Setiausaha Jabatan Pilihan raya Negeri Kedah, Kapt. (B) Mohd Zamri Ibrahim, sekarang ini, kem 19 RAMD Sungai Petani hanya mempunyai sebanyak 245 pengundi sedangkan ia kem utama dan mempunyai anggota berkeluarga, sedangkan pangkalan Kota Aur hanya kem persinggahan untuk latihan dan operasi tertentu untuk jangka masa pendek mempunyai jumlah pengundi melebihi 1000 orang.


Dalam penelitian itu juga mendapati ada dua nama pengundi wanita yang dipindahkan dari kem Gerik ke Kota Aur.


menurut Zamri, untuk askar wataniah memang ada anggota wanita, tetapi mereka tidak terlibat dalam operasi, jadi jika nama mereka juga dipindahkan ke Kota Aur, ini menunjukkan senarai nama ini hanya diambil secara rawak untuk meramaikan jumlah pengundi pos di sana.


Kerusi Parlimen Sik pada tahun 1999 dimenangi PAS melalui calon, Dato' Shahnon Ahmad, bagaimanapun ia kembali ke tangan BN dalam pilihan raya 2004 melalui kemenangan tipis 300 undi.


PAS Kedah juga telah membuat petisyen ke atas kemenangan itu dan mahukan kiraan semula dibuat kerana mempunyai cukup bukti berlaku penipuan dan dalam keputusan, Hakim tidak menolak berlakunya penipuan tetapi menolak kes itu atas alasan PAS tidak menuntut agar keputusan piliahn raya itu dibatalkan, membolehkan BN terus diisytiharkan sebagai pemenang bagi kerusi Parlimen Sik.


Dalam perkembangan yang sama, Ketua Penerangan PAS Kawasan Sik, Sanusi Md. Noor telah membuat laporan polis di Balai Polis Sik pada 4 Februari lalu dan menurut Ustaz Azizan, pihaknya juga akan membuat aduan kepada BPR dan tidak teragak-agak untuk membawa kes penipuan ini ke mahkamah. -

Tiada ulasan:

Pengikut