Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Isnin, 4 Januari 2010

Jangan Terlalu Laju, Bahaya!

Oleh Zolkharnain Abidin

Ada orang Umno yang marah kalau saya kata Umno memang seronok dengan keputusan mahkamah mengenai penggunaan nama Allah.Macam mana pula, bu kankah ada gambar orang Umno mengangkat tangan membantah penggunaan nama itu oleh akhbar berkenaan?Dan, jangan lupa, gambar yang mengangkat tangan itu adalah orang Umno Pulau Pinang. Mengapa Pulau Pinang?

Agaknya begini…

SATU - Umno berharap sangat supaya PAS bangun menentang keputusan mahkamah itu, kalau boleh bermati-matian, berdemontrasi besar-besaran.

Harapan mereka bila PAS bertindak sebegitu, sedikit sebanyak akan menyumbang kepada rasa tidak puas hati di kalangan pendokong PKR yang beragama Kristian.

Rasa tidak puas hati itu mungkin akan diluahkan. Pada waktu itu Umno berjaya memasukkan jarumnya untuk memecahkan kesepaduan Pakatan Rakyat.

Kalau ini berlaku, perangkap Umno memang mengena. Hasrat Umno untuk memburukkan PAS pada mata orang-orang bukan Islam dikira berjaya.

DUA - Katakan pula PAS menyokong keputusan mahkamah iaitu membenarkan penerbitan bukan Islam menggunakan kalimah Allah, Umno memasukkan pula jarumnya di kalangan orang Islam.

PAS tidak lagi berjuang Islam kerana menyokong keputusan mahkamah itu. Pada masa itu, imej PAS di kalangan orang Islam sendiri diburukkan oleh Umno.

Umno boleh mencanang kemana-mana, PAS bukan berjuang Islam sebab menyokong keputusan tersebut. Perangkap Umno mengena lagi kalau PAS mengambil sikap begini.

TIGA - Katakan PAS diam sahaja, ini pun akan dicanangkan juga oleh Umno. Tengok, PAS sudah jadi kuda tunggangan DAP, tidak berani membela agama sendiri kerana menjaga hati DAP.

Kalau PAS berani mengapa diam? Belalah agama…! Kesitu pulak perginya Umno.

PAS ada keutamaannya, membela agama. Mana satukah makna membela agama yang sebenar? Berkelahi dengan orang bukan Islam atas isu penggunaan nama Allah? Atau, tampilkan Allah sebagai Tuhan yang menurunkan rahmat untuk semua termasuk kepada orang bukan Islam?

Mana lebih besar mudaratnya? Orang Kristian guna nama Allah dalam penerbitan mereka? Atau, membiarkan rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, perampasan hak berleluasa?

Saya sering terpandang di cermin-cermin kenderaan stiker yang bertulis, ‘Speed Kills’ . Saya harap Ustaz Idris dan Ustaz Nasharudin jangan terlampau laju. Bahaya ustaz…!

http://bongkarsauh.blogspot.com/
Baca Seterusnya......

Isu Penggunaan Kalimah Allah swt

Oleh Nasrudin Hassan at Tantawi

Keputusan mahkamah yang membenarkan sebuah akhbar [ Herald ] menggunakan kalimah Allah swt telah mencetus polemik dikalangan masyarakat dalam negara kita . Keadaan kelihatan tegang antara penganut ajaran Kristian dan ummat Islam .

Saya mengharapkan semua pihak terlebih dahulu tidak mengambil tindakan terburu - buru dan diluar kawal dengan hanya berpandukan emosi khasnya kepada ummat Islam . Justeru , Islam adalah agama yang tetap benar dan utuh malah ia akan terus dipelihara dengan hujjah yang benar dan kuat .

3. Asalnya , agama Kristian [ Nasara ] , Yahudi dan Islam berkongsi Tuhan yang sama iaitu Allah swt. Tuhan yang satu dan Tuhan yang Maha Esa . Inilah jua yang termaktub di dalam Taurat dan Injil .

4. Namun Taurat dan Injil yang asal telah dipinda oleh para paderi dan pendita Yahudi sejak lama dulu sehingga menghasilkan Injil Barnaba , Injil Matthew dan sebagainya . Semenjak itu mereka menyengutukan [ mensyirikkan ] Allah swt Tuhan yang Maha Esa dengan menganggap ada tuhan lain selain Allah seperti tuhan anak , tuhan bapa dan tuhan ibu .

5. Konsep ketuhanan yang sedemikian adalah sangat bercanggah dengan Islam . Justeru Allah swt adalah Tuhan yang Esa . Tuhan yang Satu dan tiada Tuhan yang lain selain Allah yang layak disembah .

6. Sementara mana - mana pihak mahu mengambil tuhan yang lain sebagai tuhan mereka untuk di sembah adalah terpulang kepada keyakinan mereka dan itu menjadi hak mereka dalam beragama . Tetapi mereka tidak boleh menggunakan Lafzul Jalaalah [ Allah ] sebagai Tuhan dan diletakkan di dalam rumah - rumah ibadah mereka untuk disekutukan , kerana ia disifatkan satu penghinaan kepada ummat Islam yang meletakkan Allah swt sebagai Tuhan yang Esa yang tidak sekali - kali layak disekutukan dengan segala apa jua .

7. Saya bersetuju bahawa kalimah Allah swt boleh digunakan oleh sesiapa jua tanpa ia menjadi milik ekslusif ummat Islam , kerana Allah swt adalah Tuhan kepada seluruh ummat manusia . Tetapi penggunaan kalimah Allah itu mestilah benar dan tepat dengan keesaan Allah swt . Seperti mereka mengatakan Allah adalah Tuhan yang mencipta Alam dan Tuhan yang mencipta manusia , maka itu adalah perkataan yang benar dan mereka dibenarkan untuk berkata demikian sekalipun mereka bukan muslim .

8. Menggunakan kalimah Allah swt secara benar dan betul adalah tidak mengapa . Sebagaimana yang disebut di dalam al Quran , bagaimana golongan musyrikin apabila ditanya : [ siapakah yang menjadikan langit dan bumi serta menundukkan matahari dan bulan nescaya mereka menjawab Allah , maka mengapa mereka masih boleh dipalingkan daripada kebenaran .] Dalil ini bagi menegaskan tidak mengapa penggunaan kalimah Allah swt dengan maksud yang benar dan bertepatan dengan konsep ketuhanan Allah swt . tanpa mereka berpaling dari kebenaran itu .

9. Melalui pengamatan saya , aliran Kristian di negara - negara arab seperti Mesir meletakkan kalimah Allah di dalam gereja dan restoran - restoran mereka . Pengalaman saya dengan aliran Kristian di Mesir ini mendapati mereka sememangnya menganggap Allah swt adalah Tuhan yang menciptakan manusia dan memberi rezeki . Bahkan mereka menggunakan kalimah Allah swt sejak awal [ ribuan tahun ] yang lalu .

10. Situasi ini sangat berbeza dengan aliran Kristian yang lain seperti di barat mahupun di negara kita . Sejak awal mereka tidak pernah menggunakan kalimah Allah swt sebagai merujuk kepada tuhan yang mereka sembah di dalam upacara ibadat , penerbitan dan gereja - gereja mereka. Sebaliknya mereka sering menggunakan kalimah God sebagai tuhan mereka dan Jesus tatkala merujuk kepada Nabi Isa a.s .

11. Apabila timbul isu penggunaan kalimah Allah oleh akhbar Herald , ia suatu yang sangat asing maka ia mencetus kesangsian dikalangan ummat Islam . Apakah motif penggunaan kalimah tersebut ? Jika untuk tujuan ibadah , tidak pernah pula mereka menggunakan kalimah tersebut sebelum daripada ini . Inilah persoalan yang mesti diberikan penjelasan yang jujur dari pihak terbabit .

12. Kebimbangan ummat Islam adalah berasas . Penggunaan kalimah Allah tanpa motif yang jelas menimbulkan pelbagai prasangka . Apakah ini strategi mereka untuk menimbulkan kekeliruan dikalangan ummat Islam lalu memurtadkan mereka ? atau ini satu siri provokasi untuk menilai sensitiviti ummat Islam . Prasangka ini akan terus bersarang dan berlegar dalam jiwa ummat Islam .

13. Sikap saya jelas , jika mereka guna kalimah Allah secara salah , pasti mereka akan berdepan dengan penentangan dan kemarahan ummat Islam yang tidak rela Allah swt dipersenda dan diperlekehkan . Tetapi jika mereka menggunakan kalimah Allah dengan betul dan benar seperti menyebut bahawa Allah adalah Tuhan yang mencipta langit dan bumi , Allah adalah Tuhan yang mencipta manusia , Allah adalah tuhan yang memberi rezeki dan seumpamanya , maka itu tidak mengapa dan saya boleh bersetuju sekalipun yang melafazkan itu bukan muslim .

14. Menghormati mahkamah , Kementerian Dalam Negeri berhak membuat rayuan segera bagi membolehkan mahkamah mengkaji dan menyemak semula keputusan yang telah dibuat . Saya juga mengharapkan selepas ini , hakim yang mengendalikan kes mestilah juga hakim yang memahami kedudukan agama Islam dan Kristian di Malaysia . Campurtangan pihak Raja - Raja Melayu juga mungkin boleh meredakan keadaan yang kini kian panas dan tegang .

15. Insyaallah , bagi pihak Pemuda PAS senantiasa bersedia untuk berdialog dan berdepan dengan pelbagai pihak bagi menyelesaikan masaalah secara hujjah , tenang dan damai tanpa mencetus pergolakan antara agama . Kita juga melahirkan rasa kesal terhadap sikap kerajaan UMNO dan BN yang selama ini terlalu banyak mendiamkan diri dalam kes - kes yang mempersendakan Islam dan ummatnya .
Baca Seterusnya......

Sabtu, 21 November 2009

Kubang Pasu : Hendak lari malu, nak hambat tak lalu

Oleh Afrar Yunus

Jika tiada halangan atau campur tangan pihak tertentu dalam keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap permohonan Speaker DUN Kedah, dikira pilihanraya Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh akan diadakan dalam waktu terdekat ini.Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba datang khabar bahawa Pemuda dan Wanita UMNO Bahagian Kubang Pasu tidak mahu Johari Baharom dikekalkan di Parlimen Kubang Pasu.

Sumber dalaman pemudanya berbisik, "kita mahu Mukhriz Mahathir mewakili bapanya di parlimen berkenaan sebagai ketua bahagian"

Johari dikatakan sudah kurang aktif. Selepas isu rasuah RM5 juta yang dibabitkan sama Musa Hassan dan Polis Di Raja Malaysia tempoh hari, Johari seperti 'koma politik'.

Kata wakil pemuda itu, banyak majlis-majlis yang diadakan tidak mendapat sambutan. Wakil peribadinya di Jitra Hj Shuib juga sudah mandom.

Begitu juga dengan Cik Gu Zul yang menjadi wakilnya di Kementerian, seperti sudah tidak bertenaga dan kelihatan bersedia ke garisan untuk 'cabut'.

Apakah bisikan ini betul di saat UMNO Jerlun yang bersempadan dengan Kubang Pasu bersiap menghadapi pilihanraya Kota Siputeh ?

Jika betul, ia bakal merupakan 'advantage' pertama kepada PAS di Kota Siputeh. Keduanya, Abu Hassan Sarif ADUN sekarang dikatakan sudah bersedia untuk 'mencantas' calon penggantinya. Ketiganya, ramai pemimpin UMNO Kedah mahu Abu Hassan pergi meninggalkan DUN tersebut.

Keempatnya, banyak muka-muka baru ternganga mahu mereka dicalonkan di tempat itu. Sudah tentu akan berlaku perebutan.

Kelima, Shafie Apdal Pengerusi UMNO Kedah pula dihebohkan akan terlibat dalam rombakan kabinet.

Keenam, Ahmad Bashah Timbalan Pengerusi disifatkan oleh ahli UMNO ada serupa tiada.

Apapun, keputusan Suruhanjaya Pilihanraya pasti dinantikan biarpun Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah menjadi senjata pemusnah terakhir membersihkan Abu Hassan Sarif.

"Bersesak berundur-undur, hendak lari malu, hendak menghambat tak lalu"

Siapa ?

Orang Kedah kata, "siapa lagi jika bukan UMNO"

http://alkerohi.blogspot.com/
Baca Seterusnya......

Khamis, 12 November 2009

Cabaran Besar Buat Pemuda PAS

Oleh Al-Bakistani

Sebelum ini, aku sering bertanya kepada anak-anak muda yang aku temui di pelbagai tempat, apakah mereka mengenali tokoh-tokoh politik dari kalangan pemuda PAS? Menyedihkan, boleh dikatakan hampir semua tidak mengenali tokoh bernama Nasaruddin Tantawi, hatta bekas ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.

Itu sekadar pertemuan biasa yang apabila aku berjumpa dengan sebilangan anak muda, maka sengaja aku lontarkan soalan sebegitu. Ekoran itu, sebelum ini aku sering mengkritik pemuda agar melakukan perubahan dalam sudut mendekatkan dengan anak muda, seperti tidak bersifat menghentam program-program hiburan dan sebagainya, sebaliknya bersifat mencadangkan alternative demi meraih pengaruh anak muda kepada PAS.

Mungkin aku tidak mengulas lagi, bagaimana wujudnya sebilangan anak-anak muda yang menyebut PAS sebagai ’parti taliban’, dan yang paling sering kedengaran adalah ’parti surau dan masjid’ dan ’parti poyo’.

Aku secara peribadi pun, sudah mendapat maklumat dari beberapa kajian tentang penerimaan dan penolakan non-Muslim terhadap PAS, terutama selepas terwujudnya isu Kerajaan perpaduan dahulu. Perkara ini, telah aku nukilkan secara rambang dalam ruangan blog ini, tetapi dinafikan dan tidak mahu diambil serius oleh sebilangan kecil pembaca yang kononnnya sayangkan PAS.

Aku tidak memaksa mereka menerima tulisanku itu, kerana perkara yang wajib diimankan hanyalah al-Quran dan as-Sunnah sahaja. Pun begitu, padaku, PAS perlu melakukan satu tindakan yang bijak dan berhikmah dalam usaha hendak menarik pengaruh rakyat Malaysia untuk mereka menerima PAS dalam era Pakatan Rakyat ini, seterusnya PAS berjaya melaksanakan Islam yang menjadi dasar yang diperjuangkan oleh PAS sejak sekian lama.

Walaubagaimana pun, dalam seminar Khas yang dianjurkan oleh PAS baru-baru ini, memberikan satu ’getaran jiwa’ bagi pendokong-pendokong PAS, terutama pemuda. Ini kerana, data kajian yang dikemukakan oleh Dr Abu Hasan Hasbullah itu, menggambarkan betapa PAS terlalu kurang diterima oleh anak-anak muda.

Dr Abu Hasan Hasbullah menyebut, PAS disokong oleh golongan muda dari umur 21-30 adalah 63 orang, berbanding yang melawan PAS seramai 633 orang; umur 31-40 pula yang menyokong PAS adalah 181 orang, berbanding yang melawan PAS seramai 519 orang.

Tidak mengapa untuk menafikan data ini, tetapi jangan menyesal jika PAS kalah dalam PRU akan datang. Ataupun, jangan sekali-kali menyalahkan tuhan secara mutlak, dikala terbukti PAS kalah dalam mana-mana PRU.

Justeru, data yang dibentangkan oleh Dr Abu Hasan Hasbullah ini, sepatutnya menjadi satu peringatan bagi pemuda PAS agar bertindak lebih berhikmah dalam menarik minat anak muda kepada PAS.

Dalam keadaan sebegini pula, aku amat pelik apabila ada kenyataan sebilangan pemimpin PAS yang mahu melakukan kajian lain untuk memastikan kebenaran data Dr Abu Hasan Hasbullah tersebut. Apakah tujuan dilakukan kajian lain itu? apakah untuk menutup kelemahan?

Jika tidak berpuas hati dengan kajian Dr Abu Hasan Hasbullah, apa perlunya melakukan kajian lain, bagi memastikan kebenaran data Dr Abu Hasan tersebut? Bukankah itu, membanyakkan kerja? Bukankah lebih baik, kalau terus merancang dan wujudkan plan tindakan dalam usaha hendak menarik minat pengundi kepada PAS. Jika, mahu dilakukan kajian sekali lagi, dibimbangi sebuk dengan kajian itu, sehingga terlalai terus dari bertindak untuk menarik minat pengundi?

Selalunya, orang yang sibuk dengan satu kerja, mereka akan terlalai dengan kerja yang lain. Perkara ini sebenarnya wujud dalam budaya PAS.

Aku bimbang, kerana PRU hanya tinggal 2 tahun sahaja. Malah, mungkin tidak sampai 2 tahun lagi. Kalau tidak bertindak dari sekarang, kemungkinan besar, sejarah 2004 berulang kembali.

Jika kita menjengok sekejap sejarah kejatuhan PAS pada tahun 2004, kita dapat melihat isu negara Islam dan perlaksanaan hudud terbukti menjadikan PAS gagal mempertahankan pemerintahan di Terengganu. Ekoran itu, bekas Menteri besar Terengganu ketika itu berucap;

”Justeru itu, isu negara Islam dan perlaksanaan hudud dan syariah menjadi punca perpecahan BA dahulu, maka PAS perlu membuat satu pengorbanan besar dan ijtihad besar untuk tidak memasukkan persoalan negara Islam dan perlaksanaan hudud di peringkat federal. Peruntukan mengenai islam adalah mencukupi sekadar apa yang telah termaktub dalam perlembagaan persekutuan dan seperti yang diamal kini di peringkat federal

”seandai menang dalam Pilihanraya akan datang, BA atau pembangkang akan menubuhkan sebuah kerajaan demokratik dan adil di peringkat federal atau pusat yang mendukung perlembagaan persekutuan yang ada” (buku Sejarah Sebagai hakim muktamad : 122)

Mungkin ketika itu, tidak ada mana-mana pakar atau ahli akademik pun yang menegur PAS atas kesilapan yang berlaku, menyebabkan PAS kalah teruk, seterusnya melahirkan ucapan sebegini.

Pun begitu, diharapkan ucapan yang beraliran sebegini tidak terpancul pula pada kali kedua, iaitu setelah kita tidak mahu mendengar luahan dan kajian yang telah diberikan oleh ahli akademik, ataupun kita ego dalam menerima kritikan orang bawahan atau orang luaran dalam mempertahankan kemenangan yang ada.

Padaku, sekarang bukan masanya untuk kita buat kajian kali kedua, bagi memastikan kebenaran data Dr Abu hasan hasbullah, sebaliknya, bermula dari sekarang PAS perlu merancang program-program mesra rakyat, disamping membina balik kepercayaan rakyat terhadap PAS demi melihat kemenangan PAS dalam PRU akan datang.

Sekian

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com

http://g-82.blogspot.com/

Baca Seterusnya......

Selasa, 3 November 2009

Jangan Terperangkap Dengan Agenda Musuh

Seluruh petugas parti diingatkan agar jangan terperangkap dengan agenda musuh dengan menghabiskan masa dan tenaga kepada perkara yang remeh temeh dengan menimbulkan polimik sesama sendiri, sehingga mengabaikan tangungjawab kepada usaha memenangi pilihanraya ke 13.Kita mesti ingat bahawa selepas PRU ke 12 dan beberapa PRK yang kita lalui menyebabkan UMNO/BN berada pada tahap yang sangat kritikal.

Sokongan rakyat kepada PR menyebabkan mereka beralih kepada strategi baru iaitu menimbulkan pergolakan dalaman parti-parti dalam gabungan PR dan mencetuskan agenda perbezaan pandangan dalaman parti PR. Strategi ini ternyata berkesan sehingga tiba-tiba sahaja muncul pelbagai pandangan dalaman yang berbeza sehinga mencetuskan kegawatan dalaman berlaku pada semua parti dalam PR. Sedangkan isu sebenar ialah pergolakan dalaman BN.

Kaedah mengalih perhatian diguna sepenuhnya oleh media perdana dan media baru sehingga kini dilihat berjaya. Pengalihan pandangan dan pemerhatian ini menyebabkan seluruh pemerhatian tertumpu kepada soal krisis yang diciptakan menyebabkan terlalu banyak masa, tenaga dan fikiran tertumpu kepada perkara yang tidak sepatutnya dihabiskan.

Kita mesti kembali kepada landsasan kerja persiapan menghadapi pilihanraya:

Berapa ramai pengundi baru yang kita sasarkan dapat dicapai,
Bagaimana persiapan bilik gerakan,
Semakan daftar pemilih terkini
Semakan rang yang dibentangkan,
Bantahan yang perlu dibuat
Cadangan persempadanan pilihanraya, jawatankuasa persempadanan pilihanraya,
Permasalahan kewangan setiap dun, parlimen, dan UPU.

Apa tidakan kita untuk memastikan segalanya berjalan dengan cukup lancar? Ini yang perlu diberi tumpuan. Jangan kita terperangkap dengan agenda musuh agar kita menghabiskan masa kepada perkara yang bukan menjadi tugas kita. Dengan kata lain jangan anda habis masa, tenaga dan wang ringgit memikirkan masalah yang sebenarnya bukan masalah.

Dulu ada satu kisah enam orang pelabur berbincang untuk menjalankan ternakan kambing, cadangan sangat baik. Tetapi bila sampai kepada bagaimana pembahagiaan keuntungan, suasana mula tegang. Masing-masing rasa dia sepatutnya mendapat lebih banyak berbanding yang lain. Keadaan makin tak terkawal sehinggalah seorang yang lebih banyak berdiam diri dalam mesyuarat sejak awal berkata:

“Kita nak bahagi keuntungan, tapi di mana kambingnya. Kambing pun tak ada lagi, dah bincang untung rugi”.

Barulah mereka sedar rupanya mereka bincang perkara yang tak ada. Menghabiskan masa, tenaga dan memeningkan kepala saja.

Sekarang kita perlu sedar sebelum terlewat. Jangan masuk perangkap musuh yang sengaja menimbulkan perpecahan di kalangan kita. Di mana ukhuwah jamaah, sehingga kita menyerang sahabat dalam satu jamaah lebih hebat dari kita meyerang ‘musuh’ kita sebenar. Apakah sudah hilang ukhuwah jamaah, sudah hilang rasa sayang pada saudara sesama jamaah, sehingga kita sanggup memberikan peluru kepada musuh untuk menyerang sahabat kita. Saya yakin tanpa kita sedar sebenarnya kita sedikit demi sedikit telah termasuk dalam perangkap musuh.
Baca Seterusnya......

Pengikut