Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Rabu, 5 November 2008

PAS pun turut terpengaruh dengan hantu raya perkauman Umno

Oleh Oleh Muhammad Abu Zahra

Ketepikan dahulu sentimen perkauman yang menjadi nyawa politik UMNO".

"Mulakan satu era baru politik Malaysia yang benar-benar berteraskan kepada Islam".

"Terjemahkan slogan PAS Untuk Semua".

"Bina keyakinan orang Melayu bahawa hanya Islam yang boleh menjamin survival mereka".

Demikianlah beberapa ungkapan yang meletakkan harapan setinggi gunung kepada PAS untuk merealisasikan keadilan Islam. Harapan itu datang dari semua lapisan rakyat sama ada Melayu, Cina atau India.

Tidak dapat dinafikan bahawa PAS lah satu-satunya parti politik di Malaysia yang menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan, justeru harapan untuk melihat keadilan Islam itu terletak di bahu PAS.

Bagaimanapun setelah lebih setengah setahun diberi kesempatan yang agak terbatas itu, PAS kelihatan masih teragak-agak untuk melaksanakan Islam yang diperjuangkan olehnya.

Sebaliknya PAS mengambil alih peranan UMNO yang terbawa-bawa dengan politik perkauman yang tidak mempunyai asal-usulnya daripada Islam.

Sebelum PAS memperolehi kesempatan ini, pimpinan-pimpinan PAS selalu menyebut "sekiranya Islam memerintah, maka Malayu, Cina dan India akan selamat

Malangnya prinsip politik seperti itu sehingga kini masih dihantui oleh keresahan politik perkauman ala UMNO.

Sehingga kini rakyat masih tertunggu-tunggu di mana janji-janji manis PAS itu untuk melaksanakan keadilan Islam.

Sebelum mempunyai kuasa yang terbatas ini, PAS sentiasa berpegang teguh kepada prinsip bahawa Islam pada bila-bila masa sesuai dengan masyarakat majmuk.

Model masyarakat majmuk di Madinah ketika pemerintahan Rasulullah saw dijadikan sebagai jawapan kepada persoalan-persoalan yang berkaitan dengan isu ini. Sebaliknya selepas PAS berkuasa penuh sekurang-kurangnya di dua negeri dan berkongsi kuasa di dua buah negeri yang lain, jawapan yang dikemukakan sebelum ini seperti dirasakan tidak lagi sesuai. PAS kelihatan terus tertekan dengan 'hantu raya' semangat perkauman UMNO sehingga teragak-agak untuk melaksanakan model masyarakat Madinah tersebut.

Masyarakat bukan Islam tiada masalah apabila Pemuda PAS Selangor menentang konsert Ella semasa sambutan 100 hari Pakatan Rakyat. Mereka juga tiada masalah ketika Kerajaan Kelantan mengharamkan premis judi suatu ketika dahulu. Kaum Cina tiada masalah ketika PAS memperjuangkan supaya mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda. Kaum India tiada masalah sewaktu PAS memperjuangkan nasib sekolah agama rakyat yang ditekan oleh UMNO. Kesemua isu-isu ini adalah selari dengan perjuangan PAS dan mereka menghormati prinsip perjuangan PAS tersebut.

Mereka cuba memahami bahawa PAS tidak boleh bertolak ansur dalam perkara yang berkaitan dengan prinsip-prinsip Islam.Bagaimanapun mereka mula mempersoalkan, mengapa Kerajaan Kedah menetapkan kuota 50% untuk bumiputera bagi projek-projek perumahan.

Mereka mula bertanya mengapa Exco Negeri Selangor daripada PAS menentang perlantikan seorang wanita Cina memangku pengurusan PKNS.

Apakah pendirian PAS tentang perkara-perkara ini berasaskan kepada prinsip-prinsip Islam yang didukung oleh mereka.

Adakah PAS berpegang dengan prinsip Islam berkaitan dengan keperluan perumahan rakyat dalam isu kuota 50%? Adakah PAS berpegang dengan prinsip Islam berkaitan dengan perlantikan bukan Islam dalam perkara yang berkaitan wilayah al-tanfiz seperti dalam isu PKNS?Sistem politik Islam sememangnya syumul dan adil. Islam telah mendahului Barat dalam memastikan hak-hak kemanusiaan dan hak-hak rakyat dalam bernegara. Kesemua pekara itu telah dihadam oleh pimpinan-pimpinan dan ahli-ahli PAS dalam program-program usrah, tamrin, liqa dan sebagainya. Hari ini prinsip-prinsip yang telah dihadamkan itu menuntut kepada pelaksanaan. PAS perlu yakin dengan keadilan prinsip-prinsip itu dan melaksanakan 'without fear and favor'. Biarkan 'hantu raya' semangat perkauman UMNO mati bersama-sama dengan UMNO yang sudah siap sedia untuk dikuburkan. Yakinlah, sekiranya Islam dilaksanakan semua kaum akan terjamin hak-hak mereka.


Kesempatan yang tidak sampai lima tahun ini perlu direbut oleh PAS untuk menunjukkan keadilan sistem politik Islam dalam sebuah masyarakat majmuk di Malaysia. Usaha ini akan menjadi dakwah bil hal yang terpenting, yang akan membuka hati-hati golongan bukan Islam untuk memeluk Islam. Sejarah telah membuktikan khususnya ketika Islam memerintah di Andalus, manusia berbondong-bondong memeluk Islam setelah melihat sistem sendiri sistem politik yang adil. Setelah lebih 50 tahun UMNO menghijabkan hati golongan bukan Islam terhadap Islam, maka kesempatan 5 tahun ini sangat-sangat perlu dimanfaatkan oleh PAS. Sekiranya tidak, kemungkinan PAS akan kembali semula kepada 'zero' selepas ini.


Seminar berkaitan dengan Siyasah Shar`iyyah yang diusahakan oleh Pemuda PAS baru-baru ini diharapkan bakal menjadi 'turning point' kepada usaha ini. Pemuda PAS merupakan harapan baru untuk mendesak pelaksanaan sistem politik Islam dalam negeri-negeri yang PAS mempunyai kuasa. Setiap tindakan kerajaan Negeri perlu disuluh dengan Siyasah Shar`iyyah, bukannya bisikan 'hantu raya' politik perkauman UMNO. Sesungguhnya sistem politik Islam telah terbukti lebih 1400 tahun yang lalu memberi keadilan kepada semua manusia. Beban untuk memperlihatkan keadilan itu kini terletak di bahu PAS, manakala Pemuda PAS adalah tulang belakangnya.

Baca Seterusnya......

Selasa, 15 Julai 2008

Ibu Aina Mardiah tidak maafkan Syed Hamid Albar

oleh Norlaila Othman

Pada hari Sabtu 12 Julai, saya melawat Pn Fatma lagi. Saya dapati, setiap hari, ramai orang yang membaca kesah kematian Aina melalui Harakah, pergi menziarahinya.

Beliau tidak pernah letih untuk bercerita mengenai tragedi yang menyayat hati itu. Beliau mengakui, segala penceritaan semula itu, membantu beliau mengubat duka dihatinya.

Beliau akan menceritakan setiap detik /peristiwa susah-senang, sedih- indah yang berlaku sepanjang beliau membesarkan Aina kepada tetamu yang hadir.

Semua album gambar yang tertera wajah ceria Aina, dikongsi dengan tetamu....hinggakan saya sendiri turut merasakan, Aina bukan kembali ke alam baqa' tetapi beliau cuma tidak pulang ke rumah kerana ada program di tempat lain, untuk beberapa hari....Namun di sebalik perasaan rindu yang semakin hari makin bertamu di hatinya , Pn Fatma maklum bahawa Aina tidak akan kembali buat selama-lamanya...


Pada saya, beliau sempat menyatakan bahawa kini, beliau benar-benar dapat merasakan kewujudan GMI yang sememangnya menjadi ruang untuknya "membalas dendam" terhadap kejahatan dan kezaliman ISA, terutamanya Menteri Dalam Negeri, penguasa ISA yang kejam itu.

Beliau bertanya, "bila GMI akan membuat sesuatu samada sidang akhbar atau pergi ke Putrajaya untuk berjumpa Hamid Albar dan minta penjelasan sendiri, kenapa beliau menggunakan kuasanya untuk menganiaya tahanan ISA, hingga tiada ehsan/perikemanusiaan langsung walaupun kes itu melibatkan hidup dan mati!!!"

Beliau sedang bersemangat untuk mendedahkan kes ini dan kalau boleh menjadikannya sebagai satu isu utama untuk membuktikan kezaliman dan kejahatan ISA pada mangsanya dan rakyat Malaysia amnya.

Hari ini, anak beliau telah menjadi mangsa kelembapan prosedur Menteri Dalam Negeri-Bukit Aman-Kemta, esok lusa, entah siapa lagi yang turut merasai kesan buruk dari "perbuatan tidak berperikemanusiaan" mereka itu.

Menurut Pn Fatma lagi, beliau tidak dapat memaafkan semua yang terlibat dengan kelewatan dan kelembapan itu dan segala-galanya akan dituntut pada Menteri Dalam Negeri.

Baca Seterusnya......

Arak: Pemuda PAS harap kerajaan Selangor tidak ulangi kesilapan

Oleh Saidah Hairan

Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor perlu menilai serta meneliti kehadiran pasukan Kelab Bola Sepak Chelsea pada majlis tajaan syarikat arak, Heineken sempena kunjungannya ke Malaysia.

Penganjur ProEvents International Sdn Bhd akan mengadakan perlawanan persahabatan antara Kelab Chelsea dengan pasukan bola sepak Malaysia di Stadium Shah Alam pada 29 Julai nanti.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berharap kerajaan negeri meneliti dan mengkaji terlebih dahulu program sampingan yang akan dijalankan sebelum membenarkan kehadiran Kelab Bola Sepak Chelsea.

Ketuanya, Ustaz Sallehen Mokhyi berkata, sama ada kerajaan negeri sudah maklum atau belum, ketegasan untuk membenarkan perlawanan itu diadakan perlu dilaksanakan.

Menurut beliau, jika benar berlaku bukan saja premis negeri Selangor terlibat bahkan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat serta rakyat Selangor.

"Kita akan mendesak kerajaan negeri melakukan sesuatu untuk membatalkan beberapa program yang akan dijalankan oleh penganjur yang bertentangan dengan Islam," tegasnya.

Beliau yang ditemui di SUK menegaskan, soal perlawanan bola sepak itu tidak menjadi masalah kerana sejak dahulu lagi PAS melihat ia merupakan kegiatan yang menyihatkan.

Apatah lagi katanya, pelawanan bola sepak yang diadakan dengan kelab antarabangsa sudah tentu dapat menjalin hubungan baik di peringkat global termasuk hubungan diplomatik.

"Kita tidak mahu antara program yang dijalankan sebelum pertandingan, diadakan majlis dengan menghidangkan minuman keras," tegasnya.

Jika perkara itu berlaku tambah beliau, ia perlu dibatalkan sebab amat tidak wajar dalam kerajaan Pakatan Rakyat yang mana rakyat Selangor sudah tentu mahu melihat perbezaan pentadbiran di bawah pimpinan Umno-BN dengan Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, ia juga amat tidak sesuai dengan konteks adanya PAS dalam Pakatan Rakyat yang ada komitmen dan komited dengan perjuangan daripada dulu hingga sekarang.
Katanya, jika ada majlis makan dengan hidangan minuman keras ia amat bertentangan bukan saja dalam Islam tetapi budaya Melayu.

Beliau yang sebelum ini menghantar memorandum kepada Menteri Besar terhadap kehadiran artis dangdut Mas Idayu dan ratu rock, Ella berharap pihak penganjur mempunyai sensitiviti terhadap kerajaan negeri Selangor sekarang.

"Jika pihak penganjur mengambil kesempatan di peringkat awal penyusunan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat sudah tentu ia akan mengganggu proses pentadbiran negeri," tegasnya.

Sehubungan itu katanya, Pemuda PAS Selangor tidak akan teragak-agak menghantar memorandum bantahan secara rasmi kepada kerajaan negeri Selangor jika perkara itu berlaku. -lanh _

Baca Seterusnya......

Tindakan polis melampau, bohongi rakyat dua kali

Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin menyelar tindakan pihak polis dan anggota keselamatan yang menjalankan sekatan jalan raya dengan kawalan yang menyusahkan orang ramai. -->

Menurutnya, pihak polis telah mengadakan kawalan ketat sekitar Pasar Seni atau Central Market sejak pagi tadi sehingga menimbulkan rasa takut dan kurang senang peniaga serta orang ramai yang berkunjung di sana.

"Ini merupakan tindakan intimidasi atau gangguan yang dibuat pihak polis secara melampau terhadap proses perjalanan demokrasi di negara ini," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau turut menafikan bahawa wujudnya perancangan bagi mengadakan perhimpunan oleh Pakatan Rakyat khususnya KeADILan dalam usaha menyokong usul tidak percaya ke atas Perdana Menteri di Parlimen.

"Tiada sebarang perancangan mahupun usaha untuk mengadakan perhimpunan mengenai isu terbabit," katanya.

Katanya, ini secara tidak langsung membuktikan pihak polis sengaja mengada-adakan cerita bahawa KeADILan dan parti-parti komponen Pakatan Rakyat menganjurkan perhimpunan.

Bercakap kepada media di pekarangan Pasar Seni, beliau melahirkan kekesalan yang bertindak secara tidak profesional dengan menghalang beliau bercakap dengan pihak pemberita.

"Saya amat kesal dengan tindakan melampau pihak polis bagi menangani hal ini, mereka tidak profesional dan tidak demokratik," tegasnya.

Beliau turut menafikan bahawa wujud usaha mengadakan juga perhimpunan tersebut meskipun kononnya ia gagal diadakan di parlimen pagi tadi.

"Kita mendapat arahan daripada OCPD Dang Wangi, serta notis-notis yang ditampal di sekitar Pasar Seni ini melarang sebarang anjuran perhimpunan di kawasan tersebut," ujarnya.

Bahkan, beliau hanya datang bertiga ke lokasi yang didakwa akan dibuat perhimpunan tersebut.
Sejak pagi tadi, sekitar kawasan Pasar Seni dikawal ketat oleh tidak kurang daripada 100 pegawai polis berpakaian uniform serta lebih 100 anggota berpakaian preman daripada bahagian depan, sisi dan belakang bangunan tersebut.

Beberapa trak polis, FRU, motosikal, van dan kereta peronda berbaris panjang di sepanjang jalan dan sisi pasar seni mengundang tanda tanya orang ramai yang lalu-lalang.
Malah, pihak media juga diminta oleh pihak polis untuk segera meninggalkan lokasi Pasar Seni setelah Shamsul beredar dari tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Pusat, salahuddin Ayub pula menempelak tindakan pihak polis yang secara keterlaluan mengadakan sekatan jalan raya di seluruh jalan menuju ke bandaraya Kuala Lumpur.

"Tiada sebarang perhimpunan yang dianjurkan, ini merupakan pembohongan kali kedua oleh pihak tertentu.

"Takkan kita sebagai pimpinan Pakatan Rakyat tidak mengetahui mengenai perancangan untuk melaksanakan perhimpunan ini," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau turut mendakwa apa yang dilakukan pihak polis adalah untuk mengharu-birukan situasi seolah-olah ingin menggambarkan kepada rakyat bahawa sekiranya usul undi tidak percaya diterima di Dewan Rakyat, keadaan akan menjadi tidak stabil.

"Kita kesal dengan kemarahan rakyat dengan tindakan polis yang sengaja mengundang keresahan di hati mereka.

"Apa yang jelas, kerajaan Umno-BN mahu menakut-nakutkan rakyat dalam situasi pelabur telah hilang keyakinan terhadap negara," ujarnya.

Beliau yang juga Ketua Whip Parlimen, turut melahirkan rasa tidak puas hati apabila para pengamal media alternatif tidak dibenarkan membuat liputan di Dewan Rakyat khususnya mengenai usul undi tidak percaya oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - mks._
Baca Seterusnya......

Negara Kita Sudah Darurat? Polis Mengawal Hantu!

Oleh Mohd Sayuti Omar


ENTAH berapa ribu bakul maki hamun yang disumpahkan oleh pengguna jalan raja di sekitar ibu Kota Kuala Lumpur hari ini khasnya mereka yang terpaksa melewati jalan-jalan yang menghala atau melalui jalan ke Parlimen.

Orang yang bertanggungjawab mengadakan sekatan jalan raya itu perlu menerima sumpahan itu.

Kesesakan teruk berlaku berjam-jam sejak dari awal pagi hingga ke saat ini - 4:14 pm.

Keadaan bertambah buruk apabila sebelah petang hujan turun dengan lebatnya.

Semua jalan melewati bangunan Parlimen dipenuhi kereta ada kalanya tidak bergerak langsung. Suasana ini sungguh merimas dan memualkan.

Kesesakan yang sedia ada ditambah dengan apa yang berlaku hari ini!Semuanya berlaku kerana sekatan jalan raya dilakukan oleh polis.

Semua jalan, lorong dan denai menunju ke Parlimen dikawal rapi oleh polis.

Bangunan Parlimen sudah menjadi seperti zoo yang mana seolah-olah di dalamnya menghuni binatang buas yang membahayakan kepada orang ramai.

Orang ramai juga tidak dibenarkan sama sekali memasuki ke bangunan Parlimen. Sepanjang jalan dari simpang memasuki ke Parlimen dipenuhi anggota polis. Sekatan jalan raya lengkap dengan trak dan anggota polis baik yang berpakaian seragam atau pakaian biasa berbaris dan bergelewatan di sepanjang jalan menuju ke bangunan Parlimen. Sekatan jalan raya berlapis-lapis.

Kalau tengok kepada kawalan rapi dan begitu ketat, semut pun tidak boleh lolos masuk ke Parlimen hari ini.

Apakah tujuan dan maksud sekatan itu sebenarnya?Gara-gara itu bukan saja orang ramai terhalang, para petugas, ahli Parlimen dan wartawan juga terseksa dengan tindakan polis itu. Bahkan Speaker sendiri turut disusahkan oleh sekatan itu apabila ditahan seketika oleh anggota polis.

Wartawan pula tidak dibenarkan membawa masuk kenderaan ke perkarangan Parlimen dan terpaksa jalan kaki sejauh hampir satu kilometer untuk masuk ke bangunan Perlimen.

Kawalan ketat dan sekatan jalan raya diadakan kononnya akan berlaku satu himpunan tunjuk perasaan di perkarangan Parlimen pada hari ini. Entah dari mana maklumat yang diperolehi oleh pihak polis.

Malangnya tunjuk perasaan yang didakwa itu tidak ada sama sekali.

Yang ada hanyalah anggota polis dengan segala peralatan termasuk pasukan FRU, trak water cannon yang disembunyikan di suatu tempat tidak jauh dari Parlimen.

Yang berdemon hari ini bukan orang ramai tetapi anggota polis!Apa yang berlaku hari ini sesuatu yang anih.

Polis berkawal tanpa ada sebab yang jelas.

Menjaga keselamatan yang tidak ada apa-apa kemungkinan berlaku ancaman. Mungkin juga polis mengawal hantu, tidak pula dapat dipastikan. Tetapi tengok gayanya begitulah.Selalunya polis sangat bijak dalam mengesan apa-apa bakal berlaku, tetapi hari ini meleset.

Hari ini polis menjadi pandir dan membuat kerja sia-sia!Jadi apakah tujuan dan faedah kawalan itu diadakan.

Ataupun ianya hanya gimik pihak polis saja. Apakah polis ingin mengugut orang ramai agar tidak berhimpun. Sampai minta perintah mahkamah sekali, pelik.

Melihat caranya seperti serius benar. Seolah-olah nyawa negara dalam bahaya.

Justeru berbagai tanggapan mengenai tindakan polis itu. Ada yang mengatakan ia sebagai satu gurauan disamping untuk menakut-nakutkan orang saja.

Ada juga yang berangapan sasaran polis bukan perhimpunan hari ini tetapi hari-hari seterusnya.

Dan paling munasabah sekatan dan kawalan itu diadakan ialah mengenai desas desus polis akan menahan Anwar Ibrahim hari ini.

Apa kaitan sekatan dan kawalan itu dengan penahanan Anwar?Mungkin kawalan itu bagi mengelakkan berlaku perarakan beramai-ramai penyokong Anwar ke Parlimen sekiranya Anwar terus ditahan sewaktu hadir ke balai polis untuk diambil kenyataan.

Apapun alasan dan tujuannya tindakan polis itu menyusahkan orang ramai. Ia tidak seharusnya menyulitkan rakyat hanya disebabkan oleh satu warganegara sahaja.

Baca Seterusnya......

Pengikut