Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Isnin, 14 April 2014

Khairy membela tak bertempat, ‘salahkan’ anak muda

Oleh RAYUSA
WALAUPUN mungkin bukan kerana terlalu mengenang budi dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan selepas rombakan Kabinet pasca PRU13, yang pasti, Khairy Jamaluddin tetap keras membela Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak.

Memang Khairy mengakui tinjauan Merdeka Centre bahawa rasa tidak puas hati rakyat terhadap kepimpinan Najib bertambah sedikit, tetapi beliau mempertahan dan menegaskan kepercayaan pengundi terhadap bosnya itu. Bagi Ketua Pemuda Umno itu, keyakinan responden pada kecekapan kerajaan dalam mengendalikan pelbagai isu termasuk agama dan antara kaum masih pada tahap yang tinggi. Katanya, sekadar beberapa angka dan rumusan tidak boleh diambil untuk menyimpulkan bahawa sokongan kepada BN telah merosot.

Khairy menganggap sedemikian kerana BN turut menerima banyak reaksi positif dalam tinjauan tersebut. Beliau memberi contoh dalam pilihan raya kecil (PRK) Dun Kajang, 23 Mac lalu, BN sedang melalui musim yang agak mencabar akibat kenaikan harga minyak, tarif elektrik dan sebagainya yang pasti memberi kos politik terhadapnya.
Tegas beliau, BN telah menjangka hal tersebut, tetapi terpaksa melakukannya.
Soalnya, kalau sudah menjangka akan menerima kesan buruk, mengapa melakukan juga? Adakah tiada pilihan sehingga terpaksa melakukannya?
Siapa yang memaksa kerajaan menaikkan harga barang dan perkhidmatan atau mengurangkan subsidi?
Tinjauan Merdeka Centre pada Mac lalu mendapati 44 peratus daripada 1,005 responden memberi jawapan tidak berpuas hati dengan kepimpinan Najib. Ia menunjukkan peningkatan empat peratus berbanding hasil tinjauan pada Disember tahun lalu. Namun begitu, kepercayaan pengundi kepada Najib kekal pada tahap 52 peratus.
Mengenai sokongan golongan muda kepada BN di Dun Kajang, Khairy mengakui kemerosotan dialami akibat faktor nasional meskipun jentera mereka lebih baik berbanding semasa PRK Dun Sungai Limau.
Menurut Ahli Parlimen Rembau itu lagi, faktor kenaikan kos sara hidup yang menyebabkan penurunan sokongan telah dijangka. Namun begitu, katanya, strategi untuk menaikkan semula sokongan sedang diusahakan.
Tidak menghairankan kalau Khairy membela Najib. Walau bagaimanapun, pembelaan beliau itu “tidak kena” dan sia-sia sahaja kerana imej Najib memang sedang merudum dan akan bertambah tenat.
Apatah lagi, sebagaimana bosnya yang memberi kenyataan bercanggah baru-baru ini dalam tragedi MH370, Khairy menyebut perkataan “mungkin” seolah-olah masih belum pasti.
Katanya, “Mungkin musim politik sekarang melibatkan kos sara hidup,” padahal beliau telah menganggap faktor tersebut suatu kepastian.
Khairy juga seperti belum pasti mengenai jalan penyelesaian. Beliau menggunakan perkataan “mungkin” lagi. Katanya, Pemuda Umno mungkin perlu meningkatkan penerangan terhadap generasi muda supaya mereka memahami langkah kerajaan (untuk mengatasi masalah itu).
Beliau mendakwa PRK Dun Kajang juga tidak memberi banyak peluang kepada BN kerana “tempat” dipilih oleh Pakatan Rakyat yang mempunyai sokongan ramai anak muda.
Kata Khairy, Pakatan pasti memilih kawasan yang ramai pengundi muda menyokongnya.
Beliau berpendapat PRK Dun Kajang tidak memberi gambaran keseluruhan (kemerosotan pengundi muda) dan BN mengambil iktibar.
Bagaimana ayat sedemikian boleh terpacul dari mulutnya sedangkan selama ini Khairy selalu mendakwa sokongan anak muda terhadap BN semakin bertambah di seluruh negara? Nampaknya, sambil mengharap sokongan anak muda, beliau seperti menyalahkan golongan tersebut.
Mereka seolah-olah dijadikan “kambing hitam” pula atas kekalahan BN itu.
Mengapa Khairy semacam mengeluh? Perkara tersebut tidak aneh kerana kebijaksanaan strategi memang diperlukan dalam berpolitik. Tiada salahnya jika masih bersih dan tidak melanggar peraturan. Beliau perlu sedar kerajaan BN yang selama ini bermain politik secara kotor dan tidak bermaruah.
Mengenai krisis sokongan anak muda, Pemuda Umno, kata Khairy, akan menubuhkan makmal “BN Youth Lab 2.0” pada bulan ini bagi mengenal pasti dan mengkaji kecenderungan pengundi muda terhadap BN.
Mengulas sokongan golongan muda dalam PRK Dun Balingian yang dimenangi oleh calon BN, Khairy berkata sokongan mereka padu dan Pemuda Umno akan memastikan hal itu berterusan agar Sabah dan Sarawak menjadi “simpanan tetap” BN dalam PRU14 nanti. Jadi, Khairy tidak boleh “mendabik dada” mengatakan anak muda seluruh negara semakin menyokong BN. Berdasarkan keputusan PRK Balingian, hanya anak muda Sabah dan Sarawak sahaja yang masih setia memilih BN.

Tiada ulasan:

Pengikut