Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Isnin, 20 Mei 2013

PRU13, kemenangan milik siapa?

Oleh AHMAD LUQMAN HAKIM AHMAD LUTFI 


HARAPAN lebih 50 peratus rakyat Malaysia secara umumnya tidak kesampaian pada 5 Mei lalu apabila keputusan PRU13 memihak Barisan Nasional (BN) pada peringkat Persekutuan apabila memperoleh majoriti mudah 133 kerusi Parlimen berbanding Pakatan Rakyat yang mendapat 89 kerusi Parlimen.

Begitu juga di negeri-negeri seluruh Malaysia kecuali Sarawak (yang telah mengadakan pilihan raya negeri sebelum ini) yang mempamerkan prestasi BN mampu mengekalkan kuasa di sembilan buah negeri selain merampas semula Kedah yang sebelum ini dikuasai oleh Pakatan, manakala Pakatan dapat mengekalkan kemenangan bergaya di negeri Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang dengan majoriti 2/3 di kesemua negeri yang dikuasai mereka. Sekali imbas, BN dapat mengekalkan pengaruhnya di kebanyakan tempat di Malaysia walaupun terpalit dengan pelbagai kontroversi dakwaan dakwat kekal yang “tidak kekal”, pengundi Bangla, ‘blackout’ dan sebagainya selain berdepan tentangan yang amat sengit daripada lawannya oleh Pakatan melalui kempen-kempen yang telah dijalankan sepanjang 15 hari kempen pilihan raya yang disifatkan sebagai “ibu segala pilihan raya”.
Namun hakikat yang perlu ditelan oleh BN ialah mereka sebenarnya kerajaan tidak popular buat pertama kali dalam tempoh 56 tahun Malaysia merdeka apabila statistik SPR menunjukkan undi popular BN hanya 46 peratus berbanding undi popular kepada Pakatan mencecah 50.3 peratus, fakta yang sebenarnya amat mengejutkan majoriti rakyat Malaysia jika dibandingkan dengan kekuasaan BN yang tetap kekal di puncak kuasa.
Pakatan akan mengemukakan petisen terhadap SPR di mahkamah selepas keputusan PRU13 diwartakan kerana terdapat beberapa alasan yang munasabah bagi mencabar kemenangan BN di beberapa tempat. Siapakah sebenarnya menguasai PRU13 dan isuisu berkaitan yang menimbulkan kemelut yang kian menampakkan bibit-bibit keraguan antara kaum mula ditimbulkan.
Seperti biasa, akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo yang sedia maklum merupakan akhbar “kempen” BN telah memainkan sentimen perkauman hanya dua hari selepas PRU13 iaitu memaparkan tajuk “Apa lagi Cina mahu?” dan “Pengundi Cina bersikap talam dua muka”. Hal ini sebenarnya mencabul etika akhbar yang menjadi santapan rakyat setiap hari.
Sewajarnya akhbar memainkan peranan sihat dan adil dalam melaporkan sesuatu berita kerana rakyat berhak tahu akan situasi sebenar yang berlaku, namun akibat sudah alah bisa tegal biasa, Utusan Malaysia dan Kosmo sudah tidak peduli akan semua itu dan terus sahaja memperalat perasaan rakyat Malaysia dengan menggunakan pendekatan prasangka buruk dan serkap jarang dalam setiap laporan yang dipaparkan.
Umum mengetahui sokongan pengundi Cina meliputi hampir 30% daripada komposisi kaum di Malaysia tidak memihak kepada BN dan menyokong penuh Pakatan, tetapi media di Malaysia yang pro-BN telah melaporkan kononnya “tsunami Cina” dan dipengaruhi oleh fitnah Pakatan telah mengakibatkan BN tewas di kebanyakan tempat.
Hal ini adalah auta dan disangkal sama sekali. Sedikit fakta yang dipetik daripada kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur sebelum ini ingin disorot bagi menjelaskan kedudukan sebenar pengundi Cina di Malaysia.
Daripada 222 kerusi Parlimen, hanya 34 yang mempunyai komposisi pengundi kaum Cina sebagai majoriti. Walaupun Pakatan berjaya memperoleh kesemua undi Cina dalam kerusi-kerusi ini, ia hanya akan memenuhi 15% kerusi Parlimen.
Selain itu, di 55 kerusi Parlimen, pengundi Cina membentuk 30% hingga 50% bilangan pengundi.
Meskipun Pakatan mampu memperoleh 80% undi Cina dalam kerusi- kerusi ini, ia masih memerlukan di antara 35% hingga 40% sokongan daripada komuniti yang lain untuk memenangi kerusi-kerusi ini.
Secara keseluruhannya, hanya ada 89 kerusi Parlimen yang mempunyai pengundi Cina yang membentuk 30% jumlah keseluruhan pengundi. Jika ditakdirkan Pakatan memenangi kesemua kerusi Parlimen ini sekalipun, ia hanya akan membentuk 40% jumlah kerusi Parlimen, yang jelas tidak cukup untuk mencapai bilangan majoriti kerusi parlimen yang memerlukan minimum 112 kerusi untuk dimenangi.
Fakta PRU13 antaranya menyaksikan Parlimen Kota Raja di Selangor mewakili suara rakyat pelbagai kaum (44% Melayu, 25% Cina dan 29% India). Di sini melihatkan pertandingan empat penjuru antara penyandang daripada Pakatan- PAS, Dr Siti Mariah Mahmud’; BNMIC, Murugesan A/L Sinnandavar dan dua calon Bebas, Uthayakumar A/L Ponnusamy dan Azman Idrus.
Keputusan pengundi Kota Raja menunjukkan penyandang daripada Pakatan-PAS menang bergaya di kerusi tersebut apabila menambah majoriti sebanyak 29,395 berbanding 20,751 pada PRU12 meskipun berhadapan dengan tiga lagi calon.
Jika dianalisis mengikut trend “tsunami Cina” oleh Utusan Malaysia, mana mungkin Pakatan boleh menang jika tidak mendapat sokongan pengundi Melayu dan India secara bersama dan padu? Inilah fakta yang digelapkan oleh media pro-kerajaan.
Secara mudah, dapat disimpulkan PRU13 ini merupakan tsunami rakyat Malaysia yang inginkan perubahan setelah 56 tahun berada di bawah cengkaman BN yang kian leka dan alpa dengan kuasa yang ada, bukannya tsunami Cina semata-mata!
Kini rakyat di bandar-bandar dan kawasan celik IT dan maklumat sudah bijak membuat pilihan dan tidak menjadikan media nasional dan tradisional sebagai wadah maklumat utama, cuma masyarakat di kawasan luar bandar yang masih lagi dibutakan oleh BN tidak terdedah secara meluas dengan hal ini. PRU13 menyaksikan BN menjadi kerajaan tidak popular 46% dan tidak menjadi pilihan masyarakat bandar.
Percayalah, jika Pakatan berjaya menerobos kawasan kampung dan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak pada lima tahun mendatang, langkah BN akan berjaya dinoktahkan dan Pakatan akan menjadi harapan baharu Malaysia pada PRU14 insya-Allah.
Generasi Y dan Z akan menjadi penentu keputusan PRU14 kelak.
Itulah generasi kami semua yang lahir pada tahun 1992. Suara rakyat suara keramat!

Tiada ulasan:

Pengikut