Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Jumaat, 18 Januari 2013

Tabik kepada wira HKR 112

Oleh Lim Hong Siang
Saya andaikan Himpunan Kebangkitan Rakyat 112 telah diulas dari hampir semua sudut. Apapun pandangan yang diutarakan, secara keseluruhannya HKR 112 merupakan satu kejayaan rakyat Malaysia, membuktikan kematangan masyarakat majmuk ini untuk berhimpun tanpa sebarang rasa "ketegangan" - apabila polis buat kali pertama memperlihatkan sikap yang lebih terbuka untuk mengendalikan perhimpunan rakyat, berbanding pengalaman silam.
Maka tak usahlah untuk saya mengulangi apa yang telah dikemukakan, memandangkan segala-galanya telah terjawab, terutamanya siapa pencetus "pertembungan" dalam perhimpunan raksasa BERSIH yang lalu. Cuma saya ingin mengambil kesempatan di sini, merakamkan penghargaan terhadap beberapa individu, yang untuk saya, menyumbang ke arah kejayaan gerakan politik dan sosial di Malaysia. Dua hari sebelum 12 Januari, satu notis di bawah Seksyen 12(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 telah ditampal di sekitar Stadium Merdeka. Bertajukkan "Pemakluman Kepada Orang Yang Mempunyai Kepentingan", ACP Zainuddin Ahmad selaku Ketua Polis Daerah Dang Wangi membuka ruang kepada mereka yang berkepentingan untuk memaklumkan kebimbangan atau bantahan mereka secara bertulis terhadap Himpunan Kebangkitan Rakyat yang dianjurkan oleh Mohamad bin Sabu.
Sememangnya "rakyat" yang menjayakan HKR 112, kerana tanpa kehadiran "rakyat", kita gagal merakamkan gambar lautan manusia yang begitu "menakjubkan". Tetapi saya menganggap kita perlu mengiktiraf sumbangan penganjur, yang berani memikul tanggungjawab itu. Bayangkan, seandainya agen provokasi ditempatkan di kalangan kita untuk menimbulkan kekacauan, maka insan bernama Mat Sabu akan dipertanggungjawabkan. Malah jikalau sesiapa dari kalangan kita melakukan sesuatu yang negatif dari pandangan umum, sama ada meninggalkan sampah yang bersepah-sepah, atau mengganggu lalu lintas, maka Mat Sabu akan dituding jari. Tohmahan mungkin hanya serangan secara lisan, namun jikalau melibatkan tindakan undang-undang, maka bersedialah Mat Sabu turun naik mahkamah untuk beberapa tahun.
Demikianlah harga yang perlu dibayar demi kebebasan, kerana kebebasan datang bersama tanggungjawab. Dalam suasana di mana kebebasan masih disekat dalam negara kita, tanggungjawab ini berganda beratnya. Namun saya melihat kesediaan memikul tanggungjawab ini menguji sejauh manakah seseorang pemimpin yakin dengan perjuangannya. Tiada yang sanggup mengambil risiko untuk perjuangkan kebebasan seandainya tidak yakin bahawa masyarakatnya mampu menggunakan kebebasan sebaiknya. Kita yang lantang melaungkan slogan dan retorik pun tidak semestinya sanggup menyerahkan nama kita kepada polis sebagai jaminan untuk menggunakan peluang itu. "Gua caya sama lu," demikianlah ungkapan Mat Sabu dengan nada berseloroh seperti lazim, ketika mengakhiri ucapannya.
Saya membangkitkan hal ini kerana saya menganggap kita memerlukan pemimpin yang berani bertanggungjawab, dan bukan sekadar hebat dengan retorik. Seringkali kita terpesona dengan karisma sesetengah pemimpin yang berapi-api berceramah, tajam kritikan ketika berforum, atau mendalam maksud teorinya apabila berkuliah. Namun apabila kembali kepada realiti, berdepan dengan masalah teknikal yang sebenar, terlalu kurang yang sanggup bertanggungjawab. Bayangkan, seandainya Mat Sabu, atau pimpinan lain dalam jawatankuasa penganjur HKR 112 enggan menyerahkan nama diri sebagai penganjur, maka perhimpunan ini mungkin tidak berakhir sebagaimana yang kita alami pada 12 Januari.
Manusia kedua yang ingin saya sebut namanya ialah Hishamuddin Rais. Namanya mungkin mencungkil ketidakselesaan sesetengah orang, yang sentiasa "tercabar" dengan ideanya. Namun saya menganggap masyarakat demokrasi yang matang bukan sekadar bertoleransi sesama kaum, tetapi juga idea-idea yang berbeza.
Hishamuddin Rais, pemimpin mahasiswa pada zaman 1970-an, dan kini masih memakai gelaran tersebut dengan imbuhan berbunyi "bekas" di depannya. Beliau memperlekehkan hampir semua parti politik, malah tidak percaya dengan sistem ini. Kebanyakan masa beliau ketengahkan hujah yang tajam, sehingga mereka yang tidak bersetuju dengannya, gagal menyanggahnya. Lantaran identitinya sebagai "NGI", (non-governmental individual), beliau melanggar setiap zon sensitif yang pantang diusik, terutamanya orang politik.
Saya kira kewujudan Hishamuddin Rais harus kita raihkan sebagai aset dalam masyarakat kita, sekurang-kurangnya beliau sentiasa memastikan saraf otak kita bersenam. Beliau tidak berkuasa, tetapi beliau berpengaruh. Saya bukan mencadangkan bahawa kita terima semua ideanya, tetapi saya mengajak kalian untuk merenung. Puluhan tahun dalam hidupnya, beliau tidak berganjak dari perjuangannya. Ya, beliau pernah melarikan diri dari tangkapan pada zaman 1970-an, tetapi apabila beliau kembali ke tanahair pada 1990-an, beliau tetap turun ke jalan raya semula dalam gerakan "Reformasi". Dan sebagaimana yang kita tahu, beliau akhirnya ditahan di bawah ISA pada tahun 2001.
Hisham pernah mengakui secara terbuka, bahawa makna kewujudannya adalah untuk menumbangkan UMNO. Ramai di kalangan kita yang berkongsi pandangannya, bahawa UMNO memperbodohkan rakyat. Persoalannya, adakah kita bersedia bekerja seperti Hisham ke arah matlamat itu?
Saya ternampak susuk Hisham di Stadium Merdeka. Berpeluh-peluh beliau memberi arahan di bawah matahari untuk kendalikan keadaan. Saya amat bersyukur kerana Malaysia memiliki insan-insan yang sehebat ini.
*Lim Hong Siang ialah bekas editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. E-mel: hongsiang27@gmail.com

Tiada ulasan:

Pengikut