Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Jumaat, 14 September 2012

Kenapa pertikai artis sertai Pakatan Rakyat?

Oleh RAYUSA

ADA yang menganggap artis yang menyertai Pakatan Rakyat, terutamanya PAS kerana populariti sudah pudar dan tidak mendapat tawaran berlakon atau menyanyi lagi. Sebenarnya anggapan tersebut salah dan dangkal kerana masih ramai artis yang kian dilupai tidak juga menyertai Pakatan.

Hairie Othman, salah seorang pelakon popular yang baharu menyertai PAS, pernah mengeluh kerana begitu lama tidak mendapat tawaran berlakon.
Bagaimanapun, pada penghujung tahun lalu, Hairie ditawarkan membintangi drama bersiri Opah (dijangka disiarkan di TV1 pada September depan) dan Waris (sedang ditayangkan di TV3, stesen televisyen yang paling kuat menyokong kerajaan Umno-BN dalam slot ‘Seram’ pada setiap Khamis, jam 10 malam).
Ketika mengeluh dahulu, Hairie tidak mempedulikan politik, jauh sekali meminati PAS. Tetapi, ketika kembali mendapat tawaran berlakon, dia menyertai parti pembangkang itu pula. Kelihatan aneh, tetapi secara tidak langsung dapat menolak tanggapan di atas.
Semua artis tahu akibat yang akan diterima jika menyokong dan menyertai parti pembangkang. Namun, Hairie melakukan yang sebaliknya kerana yakin rezeki datang dari Allah SWT. Digam atau tidak, yang penting baginya sekarang ialah mencari kebenaran dan mempertahankan Islam.
Bagaimanapun, mungkin kerana keikhlasan dan bantuan Allah, Waris tidak diharamkan. Ertinya, Hairie tidak digam. Mungkin dia tahu atau tidak perkara ini.
Pelakon dan sutradara drama televisyen, Adam Hamid juga telah menyertai PAS. Pada 21 Julai lalu, saya berkesempatan menonton sebuah drama lama lakonannya di TV9.
Pelakon dan pengacara, Yatt Hamzah yang ‘berhijrah’ juga tidak digam. Drama bersiri lakonannya yang bercorak agama, Baitul Rahmat, ditayangkan di TV1, jam 7.30 malam sepanjang Ramadan tahun ini yang menampilkan dia bertudung.
Selain kehendak Allah, saya berpendapat stesen televisyen tentu terfikir rugi dan ‘kejam’ jika mereka menggantung siaran drama televisyen pada waktu puncak semata-mata kerana salah seorang pelakonnya menyertai Pakatan.
Mungkin soal kerugian yang lebih difikirkan. Jika Waris digantung siaran, pendapatan dari iklan komersil tidak diperoleh. Justeru, ia tetap ditayangkan.
Aisyah (menyertai PAS) dan Dayangku Intan (PKR) juga tidak digam. Klip video lagu lama mereka masih disiarkan TV3. Selain itu, lagu sempena Syawal nyanyian Aisyah menjadi latar montaj penutup program Safiyya di TV9 pada 5 Ogos lalu.
Abby Abadi, artis yang paling mendapat perhatian selain Hairie dan Aisyah juga baharu menyertai PAS. Billboard yang memaparkan wajahnya sebagai duta produk kecantikan masih tersergam. Cuma, pelakon yang dikenali sebagai Inspektor Aliza dalam siri ‘Gerak Khas’ di TV2 itu menghadapi sedikit ‘masalah’ dengan sebuah syarikat pengeluar tudung yang mengambilnya sebagai duta produk.
Berdasarkan aspek tersebut, saya yakin lebih ramai artis yang akan menyertai Pakatan tanpa berselindung. Walaupun berita menyertai PAS dan PKR heboh, tidak timbul masalah pengharaman siaran di media massa. Sementelah, mereka melakukannya tanpa paksaan, tetapi atas keinsafan sendiri, serta kebenaran dan kebesaran Islam.
Ada pemimpin Umno BN yang mengatakan PAS kini bergantung pada artis untuk meraih undi. Tetapi, pendapat itu dibidas pemimpin PAS bahawa artis tersebut menjadi ahli parti dengan rela - tidak dijemput apatah lagi dibayar!
Jika benar mahu meraih populariti, lebih ‘beruntung’ kalau PAS dan rakan sekutu Pakatan menjemput artis muda dan sedang ‘meletup’ atau yang masih berpengaruh seperti Aaron Aziz, Shaheizy Sam, Syamsul Yusof, Johan Ashari, Fasha Sandha, Nabila Huda, Neelofa, Izara Aishah, Aizat, Yuna, Najwa Latiff, serta Datuk Siti Nurhaliza, dan Datuk M Nasir.
Artis lain yang telah menyertai Pakatan (menjadi ahli PAS) termasuklah Azhan Akademi Nasyid, Bob Lokman, Renggo Arrow, Sham Kamikaze, Iwan Dangdut, Zulkifli Ismail, dan Leman Raja Lawak.
Sementara itu, dakwaan penyanyi yang terkenal dengan lagu ‘Hijau’, Zainal Abidin bahawa artis yang menyertai Pakatan hanya membuang masa dan rela diperalatkan amat dikesali. Dia yang ‘bangga’ mengaku dirinya penyokong tegar Umno tidak patut mengatakan artis-artis itu telah menjadi ustaz atau ustazah.
Ketika berceramah, artis berkenaan tidaklah bercakap seperti ahli agama. Mereka sekadar menceritakan pengalaman lalu dan perasaan sekarang yang kian tenang mendekati Allah.
Kenapa kalau berkempen menyokong Umno BN tidak menjadi isu, namun apabila berceramah menyebelahi Pakatan, hal itu dipertikaikan? Jadi, apa gunanya Zainal mengatakan soal menyokong mana-mana parti politik adalah hak masing-masing, tetapi memberi komen sedemikian? Datin Umie Aida juga tidak wajar membidas teguran Abby terhadap rakan artis wanita yang masih ‘berimej lama’.

Tiada ulasan:

Pengikut