Oleh Ahmad Lutfi Othman
Tarikh pilihan raya umum akan datang, menurut seorang teman, tidak perlu didebatkan. Memang selamanya, selagi sistem sedia ada dikekalkan, ia menjadi kelebihan buat parti pemerintah, sama ada di peringkat pusat mahupun negeri.
Dan prosedur itu sebenarnya tidaklah sangat mencacatkan proses demokrasi, malah dalam keadaan tertentu boleh menguntungkan rakyat. Hayat sesebuah kerajaan boleh dipendekkan tanpa terikat dengan tempoh masa tertentu.
"Yang penting, parti-parti politik harus sentiasa mengkoreksi diri, menilai prestasi, mengambil berat persepsi pengundi. Dan sebaik-baiknya, terutama ketika penggal pemerintahan sudah melewati separuh masa kedua, lakukanlah kajian separuh penggal.
"Jangan remehkan kritikan pesaing, ambil berat rasa tak puas hati rakyat walaupun dalam isu yang nampak kecil, dan cuba selesaikan," tambahnya, mengulas kolum saya sebelum ini.
"Usah lupa menghidu dan mengesan strategi licik-jahat Umno, yang akan mengerah dan mengeksploitasi apa juga sumber dan kemudahan kerajaan. Taktik lama memperalatkan SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara tidak mustahil akan digunakan kembali, mungkin dalam pendekatan berbeda," tegasnya, dengan nada serius dan bersungguh-sungguh.
Beliau ternyata risau jika pengalaman lampau, terutama membabitkan senarai daftar pemilih, yang memeritkan pembangkang tidak diambil iktibar.
Rakan saya itu, bekas wartawan berpengalaman, sempat menegur: "Masih ada pemimpin Pakatan Rakyat, malah yang bertaraf ahli Parlimen mahupun Adun, apatah lagi di peringkat ketua kawasan atau bahagian parti, seperti bermentaliti pembangkang lagi. Pembabitan mereka dalam komuniti setempat kurang menonjol. Ada yang semacam malu-malu lagi untuk ke depan menggerakkan masyarakat."
Membicarakan hal sama, seorang lagi kawan, yang mempunyai hubungan rapat dengan kelompok Umno Selangor, menelefon saya: "Aku yakin, Najib Razak tidak akan mengadakan pilihan raya umum dalam waktu terdekat. Dana atau tabung Umno masih kosong. Belum diisi secukupnya bagi membeli undi rakyat. Mereka perlu masa lebih panjang untuk lancar projek besar dan raih wang panas."
"Mudah saja," katanya, "Umno-BN perlukan duit sehingga ribuan juta ringgit untuk gerakkan jentera kempennya. Duit itu ada dalam projek-projek kerajaan yang kosnya sengaja ditinggikan berkali ganda."
"Bukankah sekarang banyak projek dibuat secara tender terbuka?" pintas saya, nampak sangat macam soalan bodoh.
"Bila pula Najib jadi bodoh macam tu? Semenjak zaman Pak Lah, yang janjikan ketelusan itu pun, banyak projek mega diuruskan secara rundingan terus. Lutfi, bukankah kau juga yang selalu sebut, Umno dan rasuah itu kembar siam yang tak boleh dipisahkan? Hang masih ingat kes Hasbie Satar, bekas Setiausaha Politik Tan Sri Nor Mohamed Yackob? Masa SPRM serbu pangsapuri dia di Butterworth, ada wang tunai lebih RM2 juta," jawabnya lancar.
"Itu kes kecil yang kebetulan terbongkar. Banyak lagi duit politik Umno yang terkumpul secara senyap dan diuruskan dengan begitu sistematik, tetapi tidak pernah dikesan," tambah beliau, sambil berjanji akan menjelaskan modus operandinya kepada saya.
"Kau tahu, kebanyakan dana politik Umno ini diuruskan secara rasmi, bukan lagi
di bawah meja? Malah dalam proses rundingan tender dan penentuan harga, peruntukan untuk dana politik Umno ini disebut secara jelas!" sambungnya.
Pakatan Rakyat, meskipun turut menguasai sumber dan kemudahan di empat negeri, tentunya tidak bersedia terjebak dalam perangkap politik wang yang terbukti telah menjerumuskan Umno-BN selama ini.
Rasuah politik jika sudah dimulakan pasti tidak akan menemui titik nokhtahnya. Ia terkepung dalam "lingkaran syaitan", wabaknya segera berjangkit dan boleh menikam diri.
Dipercayai majoriti rakyat tidak mudah lagi tersilau dengan umpan murahan itu. Tidak hairanlah apabila Perdana Menteri, Najib Razak, seperti terkejut mengapa bantuan kerajaan pusat yang dihulurkan kepada golongan tidak berkemampuan jarang dihargai sedangkan pakej bantuan kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang lebih kecil nilainya sering disebut-sebut.
Najib dan pemimpin BN tidak perlu pening kepala mencari jawapannya. Kunci kata adalah keikhlasan dan ketelusan. Bersainglah secara sihat untuk menabur bakti dan jangan rendahkan daya intelektual rakyat.
Saya sukar melupakan dialog seorang pemandu teksi warga emas, dalam perjalanan mendapatkan rawatan susulan di HUKM, Cheras. "Pilihan raya akan datang, jangan sokong BN tau! Mereka rampas duit kita RM1,000, tapi dia derma hanya RM10 dan sembang kuat untuk beritahu semua orang," ujarnya, dalam nada sedikit lucu tetapi jelas bukan bergurau.
Selang beberapa minggu kemudian, pemandu teksi lain turut berkongsi idea yang hampir sama!
Rakyat dapat memahami bagaimana sesebuah kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat dilihat gagal menjalankan tugas memenuhi amanah dengan lebih efektif kerana kekangan yang dikenakan kerajaan pusat, terutama dari segi peruntukan kewangan dan projek pembangunan.
Konsep federalisme memang menggariskan dengan jelas dalam Perlembagaan tentang senarai negeri dan pusat, namun ada sebahagiannya tidak dihormati pemimpin kerajaan pusat, atau dilaksanakan secara tidak adil kepada negeri yang diperintah Pakatan.
Namun demikian, ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menafikan usaha berterusan mengotakan janji seperti diungkapkan dalam manifesto pilihan raya. Wakil rakyat bersama pemimpin parti mesti bersikap proaktif di tengah masyarakat, menjadi penggerak di medan depan.
Rakyat mahu melihat perbedaan dan nasib mereka dibela. Mereka sudah muak dan jelak dengan stail kehidupan majoriti YB Umno-BN. Elemen politik baru perlu dipraktikkan.
Gaya politik baru yang muncul pada 1999 dan menyerlah ketika pilihan raya umum ke-12 bukan lagi fenomena sementara atau sekadar bermusim. Ia semakin merata dan mula menyelinap ke segala pelosok tanahair.
Peningkatan tahap pendidikan dan perkembangan teknologi maklumat, terutama dengan pembudayaan ruang siber di kalangan masyarakat, telah mempercepatkan lagi proses pendemokrasian dan kematangan berpolitik rakyatnya, termasuk di negara kita.
Terdapat pengkaji yang melihat gaya politik baru ini "tenggelam dan timbul" dalam tiga pilihan raya umum terdekat, iaitu muncul pada 1999, tenggelam pada 2004 dan kembali timbul pada 2008.
Justeru, ada yang bimbang, dalam pilihan raya seterusnya ia akan tenggelam semula. Mungkin gaya lama yang sarat dengan sentimen perkauman, politik adu-domba, retorik "keselamatan dan pembangunan" dominan kembali?
Soalnya, apakah aktivis dan penggerak Pakatan Rakyat hanya menunggu "nasib baik" dalam pusingan seterusnya itu, tanpa berusaha keras dan tersusun bagi mempengaruhi budaya politik masyarakat Malaysia?
Ini berikutan budaya dan tradisi masyarakat bukanlah sesuatu yang bersifat tegar, sebaliknya ia adalah lebih bersifat fleksibel iaitu ia boleh dicipta, diubahsuai, diubahsuai semula dan malah boleh dihapuskan.
Menurut Kamus Sains Politik (DBP), istilah budaya politik ditakrifkan sebagai: "Sifat dan oreintasi politik yang diamalkan dalam sesebuah negara yang mengandungi elemen seperti kepercayaan, simbol dan sistem nilai. Semua tindakan politik dalam masyarakat berasaskan kepada elemen ini. Budaya politik juga boleh mengalami perubahan melalui proses sosialisasi, tetapi mengambil masa yang panjang."
Manakala ada sarjana yang mendefinisikan sosialisasi politik sebagai cara atau kaedah kita menerima norma, nilai dan pengalaman politik dalam kehidupan. Ia suatu proses yang berterusan, bermula apabila masyarakat belajar mengenai politik dan kerajaan dengan melalui putaran hidup, bermula dengan zaman kanak-kanak, dewasa dan zaman tua.
Proses sosialisasi politik dicorakkan oleh peranan keluarga dan juga masyarakat dari pelbagai status dan kelas, selain alam pendidikan yang mempunyai impak besar. Kuasa baru dalam dunia sosialisasi politik ialah media alternatif atau ruang siber. Ia seterusnya mencetuskan ruang awam yang membuka laluan kepada perdebatan sihat tanpa saringan yang mengongkong. Media tradisi sudah kehilangan sengatnya. Kawalan maklumat tidak berkesan lagi.
Saya mahu menekankan bahawa persaingan politik dan gerakan mengembangkan pengaruh semakin terbuka di negara ini. Sepatutnya tiada pihak yang berasa rendah diri dan tertinggal jauh di belakang.
Fenomena BN menang percuma sebelum bertanding sudah berlalu. "Padang permainan" menjadi semakin rata. Meskipun proses pilihan raya masih tempang dan perlu dilakukan perubahan menyeluruh melalui tuntutan lebih agresif, namun penguasaan BN tidak sekebal mana. Sentimen perkauman bukan lagi senjata ajaib untuk menumpaskan pembangkang.
Terpulang kepada setiap "peserta" untuk melakukan persiapan sebaiknya. Jika ada masalah menghimpit, pasti tersedia jalan keluar. Yang penting adalah daya kreatif dan tekun mencari formula penyelesaian.
Harus diingat, propaganda keterlaluan media yang memperbodohkan audien, seperti terbukti menimpa BN pada 2008, hanya memakan tuan. Promosi berlebihan, yang cuba menutup salahlaku dan penyelewengan, boleh menimbulkan dampak negatif.
Namun begitu, media baru masih terbatas jangkauannya, lagipun ia bukan lagi monopoli golongan "reformasi". Mendemokrasikan maklumat perlu melalui pelbagai kaedah yang inovatif. Amat malang jika segalanya tersangkut dan terbantut pada sistem penyampaian yang bercelaru dan tidak efisyen. Dengan itu persepsi rakyat terus gagal untuk diperbetulkan.
Tidak seperti jentera Umno-BN yang cukup bergantung kepada wang, sehingga Najib tidak akan mencadangkan pembubaran Parlimen selagi dana politik belum terisi sepenuhnya, bagaimanapun bagi Pakatan, tanpa peruntukan yang memadai, ia juga boleh merencatkan laluan ke Putrajaya.
Misi menggantikan sebuah kerajaan yang bertapak lebih 50 tahun - apatah lagi dalam kedudukan yang hegemonik seperti BN - menuntut persiapan serapinya. Pengalaman perit memerintah beberapa kerajaan negeri, yang sentiasa ditindas kerajaan pusat, sudah cukup untuk menggerakkan persediaan itu.
Yang lebih diharapkan ialah perubahan pada sikap, mentaliti, tanggapan dan budaya politik setiap pendokong Pakatan bagi memikul tanggungjawab lebih besar menjelang pilihan raya umum akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan