Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Sabtu, 20 Jun 2009

Ketidakstabilan politik: Jangan salahkan PAS

Oleh Shirzat Lifeboat

Ketidakstabilan sesebuah negara boleh berpunca daripada pelbagai sebab. Kemelut politik, kemelesetan ekonomi, pengangguran tidak terkawal, pemberkasan mereka yang terlibat dalam jenayah rasuah secara selektif, kehakiman tidak bebas adalah antara faktor penyumbang.

Namun dalam era di mana projek yang sepatutnya berkos tidak melebihi daripada RM2 bilion boleh membelon sehingga menjadi lebih RM12 bilion, ketidak-stabilan politik mengambil bentuk dan tanggapan luar cukup berbeza.

Ketidakstabilan politik juga bukan berpunca daripada satu faktor tunggal. Ia tercetus menerusi rantaian dan rangkaian peristiwa yang saling berkait. Cara paling awal menanganinya menuntut kerajaan yang memerintah melihat ke dalam secara jujur sebelum mengusulkan sesuatu secara rambang dan retorik.

Justeru apabila Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Mukhriz Tun Mahathir berucap merasmikan sebuah kilang di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) pada 9 Jun lalu, beliau seolah-olah berpura-pura atau terlupa buat seketika betapa beliau sedang berdiri-diri di tengah-tengah punca ketidak-stabilan politik itu sendiri.

Namun sudah tentu Mukhriz belum lagi menjadi seorang anggota Kabinet tatkala pakar pengurusan zon perdagangan bebas dunia, Jebel Ali Free Zone International (JAFZA) tiba-tiba menamatkan kontrak pengurusan PKFZ pada 2007.

Walau apa sekalipun sebab musabab JAFZA membatalkan perjanjiannya dengan Lembaga Pelabuhan Klang, ia memberikan isyarat awal betapa pelabur luar sudah mula merasa sangsi terhadap Malaysia sebagai hub FDI (pelaburan langsung luar) di rantau Asia.

Dalam lain perkataan, para pemain utama industri dunia tidak lagi melihat Malaysia sebagai sebuah negara FDI yang mampu menjana pulangan modal yang berbaloi atau setidak-tidaknya munasabah.

JAFZA bukanlah merupakan sebuah gergasi pengeluar cip elektronik atau barangan konsumer elektronik dunia.

Tetapi sebagai pengurus atau pengendali pelabuhan yang keempat terbesar di dunia dan menguruskan Pelabuhan Jebel Ali, pelabuhan ke-6 terbesar di dunia dan Lapangan Terbang Antarabangsa Al-Maktoum, lapangan terbang kargo terbesar di dunia ia sudah tentu secara tidak langsung berperanan sebagai mata dan telinga dunia pelaburan dan perdagangan antarabangsa.

Sebagai sebahagian daripada Pelabuhan Dubai yang mengendali 49 pangkalan marin, menguruskan sejumlah 46.8 juta TEU (twenty-foot equivalent unit), (unit persamaan kontena berukuran 20 kaki dalam pengangkutan intermodal) setahun merentasi tujuh benua serta menjadi pengurus dan perunding kepada pembangunan pelabuhan dan zon perdangangan di 31 negara, apa yang diputuskan oleh JAFZA menjadi panduan dan petunjuk kepada pemain utama pelbagai industri dunia dalam membuat keputusan FDI masing-masing.

Begitupun, dalam menjelaskan betapa pelabur asing tidak lagi melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang stabil serta boleh menjamin pulangan pelaburan dalam jangka masa panjang, Mukhriz sudah tentu memilih untuk tidak menjelaskan bagaimana tindakan JAFZA menamatkan kontrak pengurusan PKFZ dan rentetan kemelut kewangan zon perdagangan bebas milik LPK itu turut menjadi penyumbang utama kepada kemerosotan FDI di Malaysia.

Apabila ditanya kemungkinan para pelabur asing akan membuat pusingan-U dan kembali melabur di negara ini, Mukhriz sebaliknya memilih untuk melakukan 'political escapism' apabila mempersalahkan perhimpunan, perarakan dan demonstrasi jalanan yang dilakukan oleh rakyat serta parti pembangkang dalam melahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap pelbagai isu dan kemungkaran yang dilakukan oleh kerajaan.

Dalam memberikan penjelasan sedemikian, Mukhriz terlupa betapa tindakan rakyat dan pembangkang yang sebegitu memperlihatkan kepada dunia luar bahawa kerajaan, sama ada tidak menyediakan ruang yang mencukupi untuk rakyat melahirkan kemusykilan mereka, tidak peka kepada tuntutan rakyat dan menafikan hak untuk berhimpun yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Negara serta konvensyen hak asasi manusia lain yang diguna-pakai di dunia dengan mewajibkan permohonan permit atau tindakan keras dan ganas daripada pihak penguasa undang-undang.

Memang benar seperti yang dikatakan oleh Mukhriz bahawa suatu ketika dulu Malaysia tidak pernah tersenarai dalam senarai negara-negara yang menghadapi keadaan ketidak-stabilan politik.

Begitupun beliau tidak menyebut betapa dengan pelbagai kesilapan dan kelemahan yang dilihat sebagai berpunca dari kerajaan Umno-BN, termasuk kemelut PKFZ serta manouvere politik yang tidak beretika lagi bersifat rakus yang dilakukan oleh parti pemerintah, keputusan-keputusan mahkamah yang dilihat sebagai bercanggah atau tidak selari dengan peruntukan undang-undang itu sendiri, kelembapan di pihak kerajaan dalam melakukan reformasi pentadbiran secara sahih dan kegagalan parti pemerintah melakukan pembersihan sepatutnya, maka penilaian terhadap Malaysia sudah tentu berubah.

Sebaliknya, Mukhriz hanya mengulangi hakikat yang diketahui umum bahawa dunia sedang memerhatikan kita, "hari ini, terdapat pelabur berpotensi yang mempunyai persepsi bahawa keadaan politik di Malaysia sama seperti negara lain yang mengalami ketidak-stablian. Ia timbul daripada mengikuti berita mengenai negara ini."

Namun, di sebalik semua ini Mukhriz tidak menjelaskan cara penyelesaian konklusif daripada pihak kerajaan yang dikuasai oleh Umno-BN. Sebaliknya beliau melihat satu-satu jalan bagi mengakhiri kemelut yang menjadi punca kepada ketidakstabilan politik ini ialah dengan mengandakan rundingan dengan PAS berlatar-belakangkan kenyataan Presiden Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang bersedia membincangkan isu berkaitan kepentingan negara.

Kenyataan Mukhriz ini begitu senada dengan kebanyakan pemimpin Umno dalam mengharapkan penglibatan PAS menerusi satu-satu bentuk pakatan atau forum seolah-olah kehadiran PAS mampu menghasilkan satu keajaiban dan mengubah status from 'rag to riches' (daripada miskin menjadi kaya).

Dalam keghairahan menyusun strategi untuk mengembalikan dominasi Umno terhadap PAS seperti pasca pilihan raya umum yang diadakan pada tahun 1974, pemimpin Umno terlupa bahawa segala kestabilan politik yang kemudiannya menjadi asas kepada kemakmuran ekonomi termasuk kejayaan menarik FDI adalah kerana Umno dan PAS berada dalam uniti sebuah sistem demokrasi ? Umno-BN sebagai kerajaan yang peka dan PAS sebagai pembangkang yang kuat.

Namun kestabilan sedemikian mula dihimpit pelbagai masalah apabila peranan PAS sebagai, sama ada pihak yang melakukan 'check and balance' atau juga sebagai sebuah parti politik yang memiliki kekuatan diabai dan diperlekehkan oleh Umno.

Usaha ke arah satu penyatuan adalah baik lagi murni. Tetapi apabila penyatuan tersebut dilihat atau disyaki sebagai ada agenda lain yang mahu dicapai oleh Umno menerusi pintu belakang, maka ia hanya akan mengundang padah yang lebih dahsyat.

Andai kata PAS diketepikan semula apabila Umno membuang pendayung setelah sampai ke seberang, apa lagi yang tinggal dalam usaha mencapai kestabilan politik nanti? - lanh _

Tiada ulasan:

Pengikut