Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Selasa, 23 Disember 2008

17 Pasangan Pengantin Bersanding Di Kediaman Rasmi Menteri Besar


Sebanyak 17 pasangan pengantin termasuk satu pasangan keturunan India disandingkan serentak di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, di Seri Mentaloon di sini sempena program 'Mahligai Sejahtera' anjuran Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri.

Pengerusi jawatankuasa itu, Siti Aisyah Ghazali berkata program bersanding secara besar-besaran itu dianjurkan kerajaan negeri untuk membantu golongan kurang berkemampuan mengadakan majlis kenduri perkahwinan.

Beliau berkata bagi menyertai program itu, individu yang layak ialah golongan berpendapatan RM1,000 ke bawah, pengantin lelaki adalah anak jati Kedah dan merupakan perkahwinan pertama."Ikatan perkahwinan dapat mengurangkan masalah sosial di kalangan remaja dan majlis seperti ini dapat mengeratkan hubungan antara masyarakat dengan pemimpin," katanya ketika ditemui pada majlis itu di sini hari ini.

Siti Aisyah berkata,sebahagian pasangan yang disandingkan pada hari ini menerima tajaan pakaian pengantin bagi meringankan beban dalam menyediakan kos untuk perkahwinan mereka.

Lebih 500 jemputan yang terdiri daripada keluarga terdekat pasangan pengantin hadir meraikan majlis bersejarah yang julung kali diadakan dan akan dijadikan acara tahunan pada masa depan.-- BERNAMA



Tiada ulasan:

Pengikut