Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Selasa, 15 Julai 2008

Pemuda desak siswa IPT Pakatan dibenar dekati politik

oleh Jimadie Shah Othman

Pemimpin-pemimpin Pemuda menggesa Pakatan Rakyat membenarkan para pelajar mereka di institusi pengajian tinggi (IPT) - yang dimiliki kerajaan negeri - mendekati politik seperti kelulusan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Pergerakan Pemuda PKR, PAS dan DAP pada dasarnya menyokong usaha membuka ruang kebebasan di kampus di negeri Pakatan seperti UniMAP yang ditadbir Kementerian Pengajian Tinggi.

Angkatan Muda PKR berhasrat menulis surat kepada semua naib canselor dan menteri besar di negeri Pakatan minggu ini, kata ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin apabila diminta mengulas gesaan persatuan-persatuan siswa minggu lepas.

"Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan menulis surat kepada semua naib canselor dan menteri besar di negeri-negeri Pakatan Rakyat supaya membuka ruang kepada mahasiswa terlibat dalam politik di kampus," katanya.

Awal bulan ini, naib canselor UniMAP Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, dengan mendekati politik secara positif, penuntut akan terdedah kepada kemahiran berpidato, berhujah, berfikiran terbuka dan berani berhadapan dengan masyarakat.

Walaupun diberikan kebebasan itu, beliau dilaporkan yakin penuntut universitinya tidak akan melanggar AUKU.

"Setakat ini UniMAP bersih daripada sebarang rekod buruk sepanjang saya menjadi naib canselor selama enam tahun dan mereka faham hasrat universiti untuk melahirkan jurutera berkaliber dan serba boleh," Dr Kamarudin dipetik sebagai berkata.

Susulan itu, Jumaat lepas, persatuan-persatuan mahasiswa memberitahu Malaysiakini, mereka menyeru kerajaan di negeri Pakatan mengikut jejak langkah UniMAP.PKR, DAP dan PAS - sebelum menguasai empat lagi negeri dalam pilihanraya umum Mac lalu - sering menyuarakan isu kebebasan bersuara di IPT, termasuk berkempen bagi memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Parti Mahasiswa Negara (PMN), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) menyokong sekiranya kerajaan Pakatan - misalnya Universiti Industri Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Antarabangsa Islam Selangor (Kuis) yang dimiliki kerajaan negeri - membuat keputusan mengambil pendekatan yang sama dengan UniMAP. Shamsul mengambil contoh pengamalan di negara-negara maju yang berbuat demikian dan membolehkan penuntut mereka mencapai "kematangan idea dan pemahaman tentang demokrasi".

"Di negara-negara maju seperti di United Kingdom, ada pemuda Parti Buruh, ada pemuda Parti Konservatif sebagai sayap Pemuda.

Ada juga cawangan-cawangan parti politik di kampus.

Pendedahan itu akan mematangkan idea dan pemahaman tentang demokrasi di kalangan mahasiswa," katanya kepada Malaysiakini hari ini.Beliau bagaimanapun berpendapat, mahasiswa tidak harus melibatkan politik kepartian semata-mata tetapi "politik baru dan ilmiah".

"Bukan sahaja (terlibat dengan) politik kepartian, sebaliknya wacana politik ilmiah, politik baru - (keadaan) ini tidak berlalu di universiti.

"(Perdebatan) isu nasional seperti harga minyak, sepatutnya dianjurkan oleh mahasiswa, (sebaliknya) kena dibuat oleh Agendadaily.com.

"Ia menunjukkan mahasiswa sudah sekian lama ditakutkan."Esok laman web berita itu akan menganjurkan debat berhubung isu kenaikan harga minyak antara ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menteri penerangan Datuk Shabery Cheek dan dijangka disiarkan secara langsung di dua saluran televisyen.

Timbalan ketua penerangan Pemuda PAS, Abdullah Abdul Karim turut meminta kerajaan Selangor memberi kelonggaran kepada mahasiswa di dua IPT yang dimilikinya supaya memberi kelonggaran kepada mahasiswa terlibat dalam politik.

"Yang diperlukan adalah ketelusan dan keberanian (Selangor). Ada ruang (melaksanakannya). Saya mohon, saya minta Selangor memberi kelonggaran dalam hal ini.

"Tindakan ini bukan bermakna membuka cawangan parti politik dalam universiti, bukan bermakna partisan.

"Tetapi (dengan) membenarkan mahasiswa terlibat dalam persatuan, berdebat, pastikan pilihanraya kampus adil, boleh membuka minda mahasiswa.

Dan hak ini dijamin oleh Perlembagaan (Persekutuan)," katanya.

Menurutnya, Selangor belum membuka ruang berpolitik kepada mahasiswa, berbanding UniMAP, kerana Pakatan "belum mempunyai pengalaman mentadbir"Menurut bekas presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini, banyak lagi reformasi akan diperkenalkan oleh kerajaan-kerajaan Pakatan. "Beri sedikit ruang.

Banyak pandangan dikemukakan, akan ada perubahan," katanya.

Setiausaha Pemuda DAP Loke Siew Fook berkata menyerahkan keputusan mendekati mahasiswa dengan politik kepada kerajaan negeri."Terpulang kepada dasar kerajaan negeri," katanya.

Mengulas peruntukan dalam AUKU yang membenarkan naib canselor memberikan kelonggaran kepada mahasiswa mendekati politik, Loke berkata "perkara itu adalah hak pelajar sebagai warganegara dan tidak perlu meminta kebenaran naib canselor".

Penglibatan mahasiswa untuk terlibat dalam politik kepartian, walaupun itu haknya, tetapi bukanlah objektif akhir, tambahnya."Yang penting, suasana kebebasan di universiti.

Kebebasan akademik, kebebasan membuat kajian walaupun kritikal, pemilihan dekan dikembalikan kepada golongan akademik tanpa campur tangan pemerintah. "Itu yang penting," tambahnya, yang juga ahli parlimen Rasah.

Tiada ulasan:

Pengikut