Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Isnin, 2 Mac 2009

Pembangkang tidak perlu ‘beli’ pejuang bahasa

Oleh Mat Zain Mat Isa

Para pemimpin Barisan Nasional, khususnya Umno, terbukti tidak dapat menolak takdir apabila terpaksa ‘menjilat ludahnya’ sendiri yang sebelum ini ditujukan kepada parti lawannya.

Baru minggu lalu mereka beriya-iya melabelkan PAS sebagai parti yang tidak terbuka dan sukar menerima pihak yang berbeza pandangan dengan parti itu. Ia ekoran kenyataan tegas beberapa pemimpin PAS yang mendesak Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, secara bermaruah melepaskan jawatannya.


Ibrahim yang memenangi kerusi berkenaan atas tiket PAS, Mac 2008, kini dilihat lebih banyak bercakap dan bertindak sealiran dengan perjuangan Umno, parti yang telah menggantung keahliannya seumur hidup.

Dia malah dianggap melakukan sesuatu yang agak melampau apabila sanggup bertikam lidah dan menseranah Ahli Parlimen Pakatan Rakyat, termasuk dari PAS sendiri, dalam sidang Dewan Rakyat minggu lalu.

Ketegasan parti itu menegur sikap Ibrahim yang tidak menguntungkan Pakatan itu bagaimana pun dituduh para pemimpin Umno sebagai tidak rasional. Mereka bahkan menganggap PAS sangat kolot, berfikiran sempit dan sukar menerima pendirian yang bercanggah dengan parti itu.

Malang bagi Umno, sikap yang kononnya ‘terbuka’ itu gagal dipertahankan lebih lama. Hanya selang beberapa hari selepas itu, para pemimpin Umno tak semena-mena membuktikan bahawa mereka lah sebenarnya parti yang sangat tidak terbuka.

Kekecewaan dan kemarahan mereka terhadap beberapa tokoh sasterawan dan pejuang bahasa yang berkongsi pentas dengan para pemimpin pembangkang menyerlahkan bahawa mereka lah yang lebih tidak tahu bertolak ansur atau menerima pihak yang berbeza pandangan dengan parti itu.

“Bagi saya adalah halal untuk saya bercakap mengenai Bahasa Melayu yang saya perjuangkan tidak kira di pentas politik mana sekali pun,” ujar Sasterawan Negara, A. Samad Said, sepertimana disiarkan akhbar, Khamis (26 Februari) lalu.

Beliau dipercayai mengulas tanggapan dilontarkan para pemimpin BN kononnya tokoh pejuang bahasa, termasuk beliau, kini dibeli dan diperalatkan pembangkang untuk membantah program dilaksanakan kerajaan. Ia ekoran penglibatan aktif mereka dalam Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang turut didokong para pemimpin Pakatan, terutamanya dari PAS.

Gerakan itu bertujuan mendesak kerajaan agar menghentikan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, dan mengembalikan pengajarannya dalam bahasa ibunda.

Selain Samad, turut terlibat aktif dalam gerakan itu ialah bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Hassan Ahmad, Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Tan Sri Prof. Ismail Hussein, beberapa tokoh budaya dan akademik terkemuka.

Isu PPSMI sudah lama diperbahaskan segenap lapisan masyarakat, terutama oleh ilmuan, cendikiawan dan pejuang bahasa Melayu. Di atas beberapa pertimbangan, mereka mendesak program yang dimulakan pada 2003 itu ditamatkan.

Kerajaan bagaimana pun kekal dengan sikapnya terus mencari justifikasi meneruskan program tersebut, meski pun dibantah dan diberikan pelbagai pandangan kedua. Ia sekali gus membuktikan segala suara bantahan oleh ilmuan, cendikiawan, khalayak akademik, pejuang dan pencinta bahasa Melayu hanya sia-sia.

Inilah sebenarnya punca mereka hilang kepercayaan terhadap BN, khususnya Umno. Pekikan mereka yang hampir memecahkan anak tekak bagaikan hinggap di telinga badak. Serahan memo dan resolusi umpama mencurah air ke daun keladi.

Sebab itu bukan salah mereka apabila berpaling untuk menumpang perjuangan di pentas pembangkang. Secara terbuka bermula 15 Januari lalu, para penggerak utama GMP menyerahkan memorandum mengenai PPSMI kepada para pemimpin utama tiga parti komponen Pakatan yang ketika itu sedang berkampung di Kuala Terengganu. Gimik serupa mereka ulangi minggu lalu di lobi Parlimen.

Mesej penting dari penyerahan itu ialah tanda kepercayaan dan pengharapan tinggi para pejuang bahasa itu terhadap pemimpin Pakatan bagi membantu mereka mencapai perjuangan.

Itulah hakikat yang merimaskan Umno. Bagi menutup nasib celaka dicemuh pejuang bahasa sendiri, parti itu cuba menuduh pembangkang ‘membeli’ para pejuang bahasa untuk kepentingan politik.

Perbuatan Umno menuduh mereka dibeli pembangkang hanya semata-mata kerana bercanggah pendirian dengan BN sebenarnya mengesahkan bahawa parti itulah yang tidak terbuka. Ibarat kata pepatah, ‘mengata dulang paku serpih’.


Tiada ulasan:

Pengikut