Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Memaparkan catatan dengan label kebebasan media. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kebebasan media. Papar semua catatan

Khamis, 26 Mac 2009

Sekatan KDN tidak mentalqinkan Pakatan Rakyat

Oleh Aizam

Tindakan KDN untuk tidak membenarkan 2 buah akhbar utama Pakatan Rakyat menyiarkan beritanya selama 3 bulan kepada orang awam adalah titik permulaan bagi penguatkuasaan kuku besi bagi sesebuah yang dikatakan negara berdemokrasi dan telus.

Akhbar Harakah & Suara KeADILan adalah akhbar utama bagi 2 buah parti terbesar kerajaan Rakyat. Fenomena ini adalah satu situasi yang akan dipandang sebagai era paksaan oleh bakal pengganti Perdana Menteri Abdullah Badawi. Ramai rakyat di negara ini akan melihat perubahan era selepas era Pak Lah adalah era kesinambungan terhadap pemerintahan kolonial Mahathirisma yang pernah memberi tekanan kepada mereka yang menyongsang pendapat dari pihak mereka.

Kerungsingan Kerajaan Umno terhadap penyiaran berita-berita dari akhbar-akhbar kerajaan rakyat adalah memperlihatkan mereka tidak mampu menangkis berita yang disiarkan oleh media berkenaan (media kerajaan rakyat) kerana mereka mungkin agak sukar untuk mempertahankan apa yang diperkatakan oleh media tersebut. Jika kita lihat dari perspektif lain, pihak media dari arus perdana tidak segan silu untuk menyerang , menfitnah serta mempersenda-sendakan kerajaan dari pakatan Rakyat dengan menggunakan media utamanya yang berleluasa di seluruh media cetak dan media elektronik dan fakta-fakta yang tidak tepat serta memutar belitkan kenyataan dari mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat.


Apakah tindakan menyekat pengeluaran akhbar-akhbar utama Pakatan Rakyat ini berkait rapat dengan berberapa siri Pilihanraya yang akan berlangsung tidak lama lagi? Kemungkinan ini mungkin ada kesohehan juga jika dilihat dari sudut semasa. Dengan penyekatan 2 akhbar utama Pakatan Rakyat ini adalah kemenangan sementara bagi gerombolan Umno bagi memonopoli berita dari media bercetak.


Sekalipun ianya adalah sekatan berunsur politik pilihanraya, mejoriti rakyat Malaysia kini sudah mampu untuk menerima bahan cetakan dari media Internet yang kini adalah dianggap senjata yang sangat berkesan untuk memperjuangakan manifesto politik. Kenapa dari sudut media Internet Umno kalah dalam persaingan untuk menyiarkan bahan manifesto mereka melalui media internet dan apakah ianya disebabkan media internet adalah media yang telus lahir dari rakyat-rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran yang tidak mampu menembusi media elektronik seperti berita di TV & radio serta media cetakan perdana.?


Umno harus sedar bahawa sekatan yang mereka lakukan saban masa adalah tidak baik bagi pengamal-pengamal media dari aliran mereka juga. Ia akan memperlihatkan ketidak seimbangan yang berlaku dalam menyiarkan berita-berita dan rakyat akan melihat media perdana cukup berat sebelah dalam menyiarkan berita-berita.


Mengiikut IR.Nizar, Menteri Besar Perak, pada ceramahnya di Kuala Terengganu tidak lama dahulu, Akhbar cina mempunyai 22 saluran akhbar bercetak yang tiada antara satunya yang ditapis sedangkan akhbar arus perdana berbahasa Melayu mempunyai 3 akhbar utama (tidak salah saya) dan kesemuanya ditapis dan banyak berita yang tidak sampai kepada rakyat secara telus. Rakyat dinodai dengan berita-berita yang ditapis dan menyebelahi gerombolan umno dan berita-berita hiburan yang melalikan umat Islam khususnya dari mengingati Allah S.W.T.

Penyekatan penyiaran 2 buah akhbar utama Pakatan Rakyat tidak memberi nilai kerugian yang tinggi terhadap kerajaan Pakatan Rakyat kerana ianya hanyalah sisipan dari berita-berita yang disiarkan dari media Internet. ia bukanlah satu kematian yang perlu di talqinkan ianya hanyalah satu daripada picisan kisah dalam mengharungi politik era kematian barahan umno didalam sejarah tanah melayu seperti berakhirnya era British di Tanah Melayu..Ianya juga adalah tamadun yang gagal dilaksanakan seperti tamadun-tamadun yang hilang pada sebelumnya..
Baca Seterusnya......

Selasa, 24 Mac 2009

Tanggungjawab pembaca internet edarkan maklumat

Oleh Azamin Amin

Demi menyelamatkan negara daripada diperintah oleh pemimpin tidak amanah, rasuah dan tidak berakhlak maka menjadi tanggungjawab besar kepada pembaca dan pelayar internet yang prihatin kepada perjuangan Pakatan Rakyat selama ini untuk mengedarkan maklumat dan laporan di internet kepada umum.

Ini berikutan tindakan terburu-buru Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang telah menggantung permit akhbar Harakah dan Suara KeADILan selama tiga bulan yang secara tidak langsung membataskan maklumat tentang penyelewengan dan pendedahan kepincangan Umno-BN kepada rakyat.

Demikian seruan Ketua Penerangan PAS Dato' Mahfuz Omar kepada pembaca setia Harakah, Harakahdaily dan pelayar-pelayar laman-laman web alternatif dan blogger berikutan 'serangan mengejut' KDN terhadap kebebasan media.

"Demi untuk memastikan negara berada dalam keadaan aman dan diperintah oleh pemimpin yang berwibawa maka menjadi satu tanggungjawab kepada pembaca dan pelayar Harakahdaily khususnya dan laman web serta blogger untuk sama-sama membantu berkempen dan meneruskan perjuangan Pakatan Rakyat.

"Mereka musnahkan 'senjata kita' (Harakah) tetapi kita mempunyai bala tentera yang setia (pembaca-pembaca) menunaikan tanggungjawab menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Katanya, gelombang reformasi 1999 yang menyaksikan kebanjiran edaran maklumat internet perlu dicetuskan semula untuk memastikan berita dan laporan benar sampai ke tangan rakyat sekaligus untuk memastikan kemenangan Pakatan Rakyat di pilihan raya di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.

"Saya menyeru kepada semua yang prihatin kepada perjuangan rakyat supaya secara sukarela mengedarkan maklumat benar dan tepat yang ada di internet khususnya Harakahdaily.

"Walaupun PAS akan tetap menyampaikan maklumat melalui risalah, ceramah, buletin-buletin namun pembaca juga mesti menjadi 'pengedar' Harakahdaily kepada rakyat. Keberkesanan maklumat internet sudah menunjukkan hasil cemerlang pada pilihan raya 2008 dan 1999. Dan kita yakin akan mengulanginya lagi!," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena. - azm _

Baca Seterusnya......

Penggantungan Harakah, tembakan pemedih mata dan pencalonan Nizar

Oleh Ahmad Lutfi Othman

ISNIN 23 Mac, hari bergelora. Meskipun tiada hujan, namun langit kelabu. Sejak Harakah dilancarkan 22 tahun lalu, tiada detik sukar seperti petang itu.

Tepat jam 4.55 petang, faks dari Bahagian Kawalan Penerbitan, Kementerian Dalam Negeri, memancung keheningan pejabat. Saya agak keletihan, baru pulang dari Putrajaya. Fikrah Harakah edisi Isnin menunggu untuk diisi. Bahan belum mencukupi.

Sebaik keluar lif di tingkat dua, rakan wartawan Nyza Ayob menyapa: "Dah tengok surat KDN?' Tanpa menjangka sesuatu yang buruk bakal berlaku, saya hanya menggeleng. Entah kenapa, tiba-tiba sahaja debar jantung berdegup kencang.

"Harakah kena gantung tiga bulan!" Maklum Nyza, masih tersenyum. Bagi saya, ia bagai petir menyambar. Surat ringkas dua perenggan hanya memaklumkan KDN menggantung permit lidah rasmi PAS yang kini sudah dianggap akhbar alternatif no. 1 itu, selama tiga bulan berkuatkuasa serta merta.

Terdetik di hati, "masakan secepat itu, bukankah baru kelmarin Pengarah Urusan, Dato' Kamarudin Jaffar menelefon pegawai KDN menjelaskan isu surat tunjuk sebab dari KDN?"

Segera saya memanggil pembantu, Atriza Umar, mencarikan surat bertarikh 26 Feb lalu, yang ditandatangani Che Din Yusoh. Saya mahu dapatkan nombor telefon bimbitnya -- sambil menahan sabar -- untuk mendapatkan penjelasan. Ya, mengapa KDN harus tergesa-gesa sekali? Dunia belum kiamat. Umno belum terlungkup.

Bukankah selama ini KDN banyak melakukan kesilapan dalam membuat keputusan, sehingga terpaksa menarik balik, atau dalam beberapa kes tahanan ISA, antaranya membabitkan seorang wartawan wanita sebuah akhbar Cina, harus membebaskan segera selepas memberikan alasan penahanan yang tidak masuk akal.

Memang KDN tidak belajar dari kesalahan walaupun menterinya bertukar, perdana menteri bergilir.

Perbualan saya dengan Che Din tidak wajar dirakamkan di sini. Nokhtah.

Saya mula berkhidmat di Harakah seawal seminggu sebelum Harakah sulung diterbitkan, April 1987. Walaupun keluar-masuk Harakah lima enam kali, rasa saya tidak pernah sekalipun Harakah gagal diterbitkan atas halangan KDN, waimma satu keluaran.

Apa yang tidak disebut tentang "kediktatoran" Dr Mahathir Mohamad semasa menjadi perdana menteri dan menteri dalam negeri? Namun beliau hanya mencantas kekerapan Harakah, daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan.

Dalam era reformasi yang memuncak itu, ketika edaran Harakah meningkat daripada 60,000 naskhah sehingga mencecah 400,000 naskhah, dan Mahathir cemas menghadapi pilihan paling getir baginya, 1999, tetapi Harakah tidak pernah diganggu seteruk ini.

Memang jualannya dihadkan kepada ahli PAS di premis parti sahaja dan kandungannya ditekankan agar mematuhi skop dan konsep yang diluluskan, iaitu hanya memuatkan berita dan rencana yang berkaitan PAS sahaja, tetapi arahan gantung, apatah lagi selama 3 tahun - satu tempoh yang relatif panjang - tidak pernah dikuat-kuasakan.

Abdulah Ahmad Badawi pula, selepas kalah lebih teruk pada 8 Mac 2008, yakni lebih buruk berbanding prestasi Mahathir pada Nov 1999, namun beliau tetap menerima permohonan PAS untuk mengembalikan kekerapan Harakah kepada dua kali seminggu. Ada tanda jiwa besar di situ.

Lalu, bahana siapakah yang mencetuskan onar sedahsyat ini? Menterinya masih Syed Hamid Albar, Abdullah tetap PM, tapi siapakah yang mahu percaya dengan dakwaaan bahawa tindakan zalim ini bukan didorong oleh kepentingan politik yang cukup sarat? Zaman sudah berubah. Dunia semakin telus. Media baru membentuk realiti.

Tanpa perlu berpakat, semua mata tertumpu kepada Najib Razak. Tuduhan ditujukan kepadanya. Beberapa hari lepas saya menelefon Zunar, Ketua Pengarang Suara Keadilan, memberitahu Harakah kena surat tunjuk sebab, atas alasan teknikal yang lazim digunakan.

Zunar menyanggah tanggapan bahawa Najib akan secepat itu "main kasar" dengan akhbar alternatif. Saya boleh bersetuju dengan Zunar. Kami langsung tidak terlintas Najib akan melakukan perbuatan sehodoh ini.

Malamnya, selepas makan di Restpran Haslam, saya mendapat SMS daripada Azizi Hj Abdullah: "Belum apa-apa gas dan water canon dah disembur di Padang Awam Cinta Sayang, Sungai Petani malam ini. Dajai. Habis cempera."

Saya terus hubungi wartawan Kedah, Izwan Abdul Halim. Dari jauh, suara Izwan serak, macam menanggung pedih disembur gas pemedih. Segera saya putuskan talian. Darah menyirap lagi. Nampak jelas penggantungan Harakah, Suara Keadilan memang dirancang untuk menghadapi situasi sulit BN terutama pilihan raya kecil dan perhimpunan Umno yang penuh rasuah itu.

Mujur ada berita menyejukkan hati. Ir Mohamad Nizar Jamaluddin dipilih calon PAS Bukit Gantang. Peluang Nizar terbuka, tapi tidak boleh diremehkan potensi menang BN. Ini pilihan raya paling kritikal buat Umno. Banyak peluru yang disimpannya. Kekalahan di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu bukan indikator segalanya cerah di sini.

Memang Nizar aset terbaik bagi menguji penerimaan rakyat Perak atas kemelut yang berkecamuk di negeri itu.

Sama-samalah kita bergelut dalam pesta demokrasi yang serba pincang ini, ya ... walaupun mungkin tanpa Harakah, berdepan tembakan gas pemedih mata, dan 'kesamsengan' jentera BN di bawah pengarah barunya ini, sambil mengharapkan ada kewarasan bagi membetulkan keadaan. _


Baca Seterusnya......

Ahad, 15 Mac 2009

Ramai Pembahas Blog Terlalu Emosional

Oleh Kadir Jasin

PERTUDUHAN terhadap enam orang pembahas blog semalam atas tuduhan menghina Sultan Perak menjadi satu lagi mercu tanda bagi dunia blog Malaysia.

Mereka dituduh di tempat berasingan di bawah Akta Multimedia dan Komunikasi 1998.

Peristiwa ini sekali gus menamatkan andaian bahawa blog, pemblog (blogger) dan pengomen adalah bebas dan di luar kawalan undang-undang.

Secara peribadi, saya telah sejak sekian lama berulang kali mengingatkan masyarakat blog, sama ada pemblog atau pembahas, agar berhati-hati dan sentiasa menghormati undang-undang.

Tetapi nasihat seperti ini bukanlah mudah diterima kerana ramai pemblog, pembahas dan pembaca percaya bahawa blog adalah bebas dan tidak ada siapa yang boleh bertindak ke atas mereka.

Apatah lagi majoriti pemblog dan pembahas adalah bukan wartawan dan tidak terlatih di bidang undang-undang.

Malah ada di kalangan pemblog wartawan dan mereka yang fasih mengenai undang-undang pun ramai berasa seolah-olah mereka di luar kuasa undang-undang.

Di kalangan pembahas pula, majoriti adalah orang muda dan anggota biasa masyarakat yang penuh emosi dan mengulas untuk melepaskan geram.

Dalam rancangan “Perspektif Kita” keluaran saluran satelit Astro Awani baru-baru ini, saya memberi kata dua bahawa tidak ada siapa pun di bumi Malaysia ini yang terlepas daripada kawalan undang-undang.

Saya mengingatkan pemblog bahawa mereka tertakluk kepada semua undang-undang negara, khasnya yang berkaitan penyebaran maklumat dan propaganda, seperti Akta Hasutan, Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Rahsia Rasmi.

Setidak-tidaknya pun mereka boleh dikenakan tindakan sivil seperti saman malu.

Malah saya mengatakan bahawa menulis di dinding bangunan atau tembok pun boleh diambil tindakan jika mengandungi unsur-unsur di atas dan penulisnya berjaya dikesan.

Atas alasan dan kesedaran itulah saya dari awal-awal lagi menyatakan dalam pengenalan blog ini bahawa “we wish to maintain a high level of integrity and responsibility among our participants”.

(Kita berhasrat mengekalkan tahap integriti dan tanggungjawab yang tinggi di kalangan peserta kita.)

Dan dalam setiap posting baru, saya mengulangi pesanan bahawa “ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan.”

Saya juga tidak melayan komen yang hanya menggunakan pengenalan “anonymous” tanpa nama sebenar atau samaran di bawahnya.

Adalah mustahil bagi saya, para pembahas dan pembaca membezakan antara seorang pengulas “anonymous” dengan pengulas “anonymous” yang lain.

Alhamdulillah, tidak terlalu banyak komen seperti di atas yang saya terima. Jadi tidaklah banyak komen yang terpaksa saya tolak.

Kesan tindakan mahkamah ini tidaklah semuanya negatif walaupun ia sedikit sebanyak akan menakutkan sesetengah pembahas daripada terus menghantar komen.

Namun dalam jangka masa panjang, saya berharap ia akan memberi kesan positif di mana para pembahas akan berhujah dengan tepat, pintar, waras, berhemah dan bertimbang rasa.

Saya sendiri kecewa dengan sikap fanatik segelintir pembahas yang langsung tidak boleh menerima perbezaan pendapat dan sangat emosional. Malah kita yang memberi ruang ini pun dimaki hamunnya.

Sikap mereka bercanggah langsung dengan dakwaan bahawa mereka matang dan demokratik. Elok jugalah pembahas seperti itu diadili oleh mahkamah atau tidak lagi mengambil bahagian di ruang demokratik ini.

Peristiwa ini juga membuktikan yang blog ini bukan lagi media pinggiran yang diberikan pelbagai label negatif. Blog sudah diakui penting dan mula diadili sama seperti media arus perdana.

Bagi saya, ini adalah perkembangan yang positif dan akan menjadikan komuniti pemblog lebih bertanggungjawab dan dihormati.

Seperkara lagi, lebih baik pemblog diawasi oleh masyarakat dan diadili oleh mahkamah daripada dikawal dan diadili oleh cawangan eksekutif dan perkhidmatan awam.

Ringkasan Kes Daripada Utusan Online

Chan Hon Keong 26, dituduh bersama isterinya, Khoo Hui Shuang, 27, menghina Sultan Perak melalui laman web http://books.dreambooks.com/duliduli.html yang mempunyai pautan kepada laman web Sultan Perak, www.sultanperak.gov.my. di Permatang Pauh, Butterworth, kira-kira pukul 12.05 pagi, 13 Februari lalu.

Rutinin Suhaimin, 35, dituduh melakukan kesalahan sama menggunakan perkhidmatan aplikasi Internet secara sedar dengan membuat dan memulakan penghantaran komen di alamat http://booksdreambook.com/duli/duli.html yang pada pukul 6.33 petang pada 13 Februari lalu di Kundasang, Sabah.

Nor Hisham Osman, 36, didakwa telah membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya di http://books.dreambook.com.web per/dul1.html yang mempunyai pautan kepada laman web Sultan Perak iaitu www.sultan.perak.gov.my. Perbuatan itu didakwa dilakukannya pada pukul 12.34 tengah hari, 11 Februari lalu di Taman Lestari Perdana, Sri Kembangan, Selangor.

Muslim Ahmad, 54, didakwa atas tiga tuduhan menulis komen menghina Sultan Perak menggunakan perkhidmatan Internet menghina Sultan Perak di Setapak, Kuala Lumpur pukul 2.21 dan 2.27 petang, 7 Februari lalu.

Azrin Md. Zain, 33, didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah menulis komen yang menghina Sultan Perak.


Baca Seterusnya......

Pengikut