Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Sabtu, 27 Disember 2008

JENTERA PEMUDA PAKATAN RAKYAT :ANTARA YANG MESTI ANDA LAKUKAN

Jentera Pilihanraya Kecil P.036 Pemuda Pakatan Rakyat telah sempurna dilancarkan oleh Ayahanda Tuan Guru Dato' Seri Hj. Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS baru - baru ini di Markas PAS Kawasan Kuala Terengganu Kuala Ibai .

Pelancaran tersebut bukan bermakna segala gerakkerja memenangi pilihanraya baru bermula , tetapi ia lebih bermaksud sebagai satu isyarat bahawa kita kini berada di satu garisan atau pusingan yang memerlukan semua jentera , khasnya jentera pemuda melakukan pecutan akhir untuk memenangi pilihanraya kecil P.036 yang hanya diisytiharkan kekosongan kerusinya oleh SPR berikutan kematian al Marhum Dato' Razali Ismail baru - baru ini .

Jentera adalah mesin penggerak yang bertanggungjawab mengaktifkan seluruh organ parti agar tidak sekadar berfungsi tetapi mampu mencetus gerakkerja berkesan , menumbuh kesedaran ahli , meraih sokongan pengundi dan membawa pulang 'tropi' kemenangan .

Jentera menjadi sandaran parti dan harapan ummah yang mahukan agenda perubahan berjaya dilaksanakan dengan baik . Pendek kata , sebahagian dari faktor kemenangan parti dalam pilihanraya bergantung kepada sejauh mana keupayaan dan kemampuan jentera melaksanakan tugas serta tanggungjawab mereka dengan amanah dan istiqamah .

Apa yang paling penting , ia turut bergantung kepada tahap prestasi diri setiap individu jentera , apakah ia menepati piawaian jentera yang ikhlas , taqarrub Ilallah , soleh , benar dan sebagainya yang mampu meraih redha Allah swt. sehingga turun nusrah atau mau'nahNya .

Syarat Menang Mestilah Berjuang

Saya mengharapkan Jentera Pilihanraya Pemuda Pakatan Rakyat dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan penuh dedikasi dan 'memberi' yang terbaik . Tampil dengan himmah yang tinggi , syaksiyyah yang solehah dan perwatakan yang meyakinkan sebagai duta parti .

Ingatlah , bahawa kita menyertai pilihanraya bukan kerana tuntutan demokrasi jauh sekali untuk beriman dengan demokrasi , tetapi kita menyertainya justeru mengambil peluang yang ada untuk membawa risalah perjuangan suci yang kita dokong selama ini iaitu syariat Islam dan seluruh syiarnya .

Ertinya kita mesti bekerja gigih dan tekun , serta teliti tanpa peduli apa halangan yang terpaksa kita hadapi sebagaimana kita bekerja keras dan rajin , serta tegas tanpa menghiraukan apakah keputusan yang akan kita perolehi , menang atau kalah .

Berkali telah saya tegaskan bahawa perjuangan kita tidak syarat menang , tetapi untuk mencapai kemenangan syaratnya mestilah kita berjuang .

Sekurang - kurang perkara yang perlu dilakukan oleh Jentera Pilihanraya Pemuda Pakatan Rakyat ialah :

1. Spiritual Yang Akrab .

Maksudnya : Jentera jangan turun beraksi tanpa mempersiapkan diri dengan kerohanian yang akrab atau erat hubungan dengan Allah swt. Turunlah dengan nama Allah swt. bersama iringan doa memohon restu Allah swt agar apa jua bidang tugasan yang kita lakukan beroleh kejayaan dan hasil yang gemilang .

Janganlah kerana tugas kononnya , kita abaikan tanggungjawab asas kita sebagai seorang hamba Allah swt dan menjarakkan hubungan kita denganNya . Sebagai contoh , mengabaikan solat 5 waktu dan meringan - ringan solat berjamaah atas alasan keletihan setelah berjaga malam dengan kerja dan tugasan yang banyak .

Konsisten dengan munajat dan solat hajat adalah suatu yang sentuhan terbaik jika dilakukan oleh jentera sendiri berbanding orang lain tanpa menafikan orang lain juga perlu terus bermunajat .

2. Akhlak Mahmudah.

Merujuk kepada syakhsiyyah atau peribadi yang terpuji . Bukan hanya terhenti kepada perilaku tetapi juga tutur bicara , penampilan , pakaian , interaksi dan segalanya mestilah lunak , berhemah dan menawan hati .

Saya percaya , jentera adalah orang yang paling letih dan penat sepanjang tempoh pilihanraya ini. Kekadang mereka tidak sempat makan dan tidak cukup tidur demi memastikan segala urusan dan gerakkerja berjalan lancar mengikut jadual . Waktu - waktu beginilah emosi mudah terganggu dan kesabaran mudah tercabar .

Jentera mesti tabah dan berjiwa besar . Bekerjalah dengan tenang dan senantiasa bertindak sambil mengorak senyuman yang menggamit damai setiap orang yang berurusan dengan jentera pemuda . Sabarlah menghadapi karenah orang ramai yang pastinya pelbagai ragam . Anggaplah segalanya adalah ujian dan kita tanganinya dengan hikmah dan sakinah .

Tambahan pula berdepan provokasi musuh , jentera pemuda mestilah bijak mengawal keadaan dan awasi situasi agar tidak terperangkap .

3. Dengar dan Taat .

Suasana pilihanraya seringkali meletakkan jentera berhadapan dengan arahan yang bersifat ad hoc atau tugasan diluar garis pandu dan bidang tugas yang telah diputuskan . Jentera mesti sabar dan tabah menghadapi keadaan ini . Jangan merajuk apalagi menunjuk sikap protes terhadap pimpinan . Sekalipun jentera tidak mampu melakukan arahan tersebut , maklumkanlah keuzuran dengan beradab dan baik .

Laksanakan tugas atau arahan sebaik mungkin dengan hati yang mengharapkan redha Allah swt dan mengharapkan keputusan yang positif serta hasil kerja yang terbaik . Jangan sekali - kali melaksanakan tugasan secara sambil lewa atau sekadar melepaskan batuk ditangga .

Bekerja dan berjuanglah dengan rasa bangga bukan rasa bersalah meskipun kita berhadapan dengan penguasaan musuh . Selesaikan tanggungjawab sebagaimana yang diharapkan semampu mungkin sekalipun kita terpaksa mengorbankan kepentingan diri seperti masa , wang ringgit , tenaga malah darah dan nyawa jika perlu .

4. Faham dan Ikhlas

Jentera mestilah terlebih dahulu menguasai satu - satu bidang atau perkara yang diamanahkan kepadanya sebelum dilaksanakan agar menghasilkan keputusan yang baik . Jangan segan untuk bertanya dan jangan rasa rendah diri untuk menerima tunjuk ajar walau dari sesiapa . Apatah lagi menerima tunjuk ajar dari pimpinan atau mereka yang berpengalaman .

Jentera mestilah faham matlamat dan objektif sesuatu tanggungjawab yang digalaskan kepadanya dan laksanakannya kerana Allah swt bukan kerana manusia atau lainnya. Setiap masaalah yang timbul mestilah segera dirujuk kepada pihak yang berhak membuat keputusan .

Lantaran ikhlas kita kepada Allah swt , maka kerja yang kita lakukan jangan mengharap imbuhan apalagi pujian manusia . Saya tidak nafi bahawa setiap kerja perlukan peruntukan kewangan , namun kita menyedari bahawa peruntukan tidak semesti cukup dan memadai . Kita memerlukan pengorbanan untuk berjaya dalam perjuangan ini .

. Tindakan berasaskan Syura.

Elakan sikap bertindak sendirian , demikian juga keputusan sendiri mestilah dihindarkan sebaliknya merujuk kepada keputusan bersama yang diputuskan melalui mesyuarat samaada diperingkat jentera dalam bidang kuasa tertentu atau keputusan yang telah diambil oleh kepimpinan parti .

Mungkin sesuatu keputusan itu tidak menepati selera dan kemahuan kita . Maka kita mestilah bertanggungjawab dengan keputusan tersebut dan laksanakan amanah tanpa sebarang rasa ralat di dalam hati .

Contohnya calon yang bertanding . Besar kemungkinan calon yang diputuskan oleh pimpinan kelak bukanlah calon favourite kita , maka kita tidak perlu gundah jauh sekali berpaling tadah meninggalkan jamaah atau tutup pos sebagai protes .


Kita berjuang kerana Allah swt bukan kerana calon dan bukan kerana sesiapa . Keputusan syura insyaallah akan membawa kebaikan kepada kita , jamaah dan perjuangan Islam itu sendiri insyaallah .


Banyak lagi perkara yang perlu dilakukan oleh jentera , namun cukuplah dulu saya membawa beberapa noktah yang perlu perhatian serius dan segera oleh semua peringkat jentera . Akhirnya saya harap kita semua berjuang gigih dan bersungguh - sungguh . Berkorban apa jua yang mampu menyumbang kepada kemenangandan tentu sekali kemenangan ini amat bermakna buat perjuangan kita selama ini .

Selamat berjuang kepada semua jentera pilihanraya pemuda Pakatan Rakyat dari saya dan Yb Salahudin selaku Ketua DPPP serta seluruh exco DPPP .

Saya juga merakamkan setinggi - tinggi rasa syukur kepada Allah swt. dan terima kasih sebanyak - banyaknya kepada Sdr Shamsul Iskandar Mohd Aqil dan seluruh EXCO AMK yang gigih bersama turun menguatkan jentera demi meburu kemenangan .
Selamat Berjuang dari saya .

Hj. Nasrudin bin Hj. Hassan at Tantawi
Timbalan Ketua DPP Pusat

Baca Seterusnya......

Selasa, 23 Disember 2008

Jambori Amal Negeri Kedah

Oleh Izwan Abd Halim
Seiringan dalam tema 'Memelihara Kemenangan', penganjuran Jombori Amal Negeri Kedah baru-baru ini memberi fokus kepada meningkatkan keupayaan anggota Unit Amal Kedah dalam gerakerja mengisi kemenangan.

Malah Jabatan Amal Negeri Kedah dalam kerangkanya menjadi badan kebajikan terpenting untuk membantu parti dan kerajaan negeri akan menyiapkan petugas-petugas sepenuh masa melalui Akademi Bina Amilin yang akan diwujudkan tidak lama lagi.

Pada jambori yang diadakan di Merbok Chalet, di sini 18 hingga 20 Disember lalu itu, lebih 100 peserta mewakili 13 daripada 15 kawasan hadir.


Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program khususnya pertandingan antara unit meliputi pertandingan simpulan ikatan, membina gajet, kawad kaki, nasyid dan 'jungle tracking'. Peserta turut didedahkan dengan aktiviti 'survival' seperti memasang khemah, memasak dan rawatan, selain penekanan kepada disiplin masa. Kuliah dan tarbiah ruhiyah dengan mengadakan zikir di surau dan kawasan perkuburan serta qiyamullail juga menjadi pengisian utama program tiga hari itu.


Menurut Pengarah Jabatan Amal Negeri Kedah, Ustaz Zelani Nik Chik, jambori merupakan program tahunan yang diadakan bertujuan mengumpulkan tenaga anggota Unit Amal dan mengerat persaudaraan serta menyediakan pelapis pemimpin PAS.

Dalam usahanya merealisasikan Unit Amal sebagai badan kebajikan utama kepada parti dan Kerajaan Negeri Kedah, beliau melahirkan harapan agar pergerakan yang sama diaktifkan juga diperingkat kawasan.

"Apa yang kita harapkan dari peserta, semua yang diperolehi sepanjang jambori ini akan dilaksanakan pula diperingkat kawasan-kawasan untuk kita menggerak agenda kita di peringkat kawasan," ujarnya ketika ditemubual Harakah.

Jambori Kali Ke-9 itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia Dan Sukan, Kesenian Dan Warisan, Kebudayaan Negeri, Dr Hamdan Mohamed Khalib manakala maajlis penutup disempurnakan oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri kedah, Ustaz Ahmad Yahya.

WEBMASTER:Unit Amal Kubang Pasu telah menghantar 12org menyertai Jambori ini dan telah mendapat Johan dalam pertandingan gajet,Naib Johan :Jungle Traking,Ketiga :Pertandingan Nasyid.TAHNIAH

Baca Seterusnya......

Kedah "Negeri Ilmu:

Oleh Izwan Abdul Halim
Menteri Besar, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak mahu Kedah dikembalikan semula peranannya sebagai 'Negeri Ilmu' melalui pertumbuhan pusat-pusat pengajian dan aktiviti pendidikan kepada masyarakat.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada program Himpunan Pelajar Dan Mahasiswa Kedah di Dewan Seri Mentaloon, 11 Disember lalu.

Menurut beliau, sebelum adanya universiti, Kedah asalnya ialah negeri ilmu termasuk juga Kelantan dan Pattani hingga melahirkan ramai ilmuan agama.

"Sekarang ini ilmu itu berpindah merata-rata dah. Kita nak ilmu itu kembali kepada masyarakat. Kita tidak mahu dalam pondok lahirkan ulama, tetapi di luar (institusi pendidikan) manusianya macam penyamun," katanya.

Menjelaskan peranan institusi pendidikan, beliau menjadikan Universiti Cambrigde yang berasal dari sebuah perkampungan sebagai contoh, di mana penduduknya terdiri daripada golongan petani telah berjaya menjadikan mereka intelektual hasil lelehan ilmu.

Katanya, konsep seperti itu akan digunakan dalam melaksanakan usaha menjadikan Kedah sebagai 'Negeri Ilmu'.

Pada majlis itu, Menteri Besar turut merasmikan Jawatankuasa Penaja Persatuan Mahasiswa Kedah Darul Aman (Persada). Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia Dan Sukan, Kesenian Dan Warisan, Kebudayaan Negeri, Dr Hamdan Mohamed Khalib.
Baca Seterusnya......

17 Pasangan Pengantin Bersanding Di Kediaman Rasmi Menteri Besar


Sebanyak 17 pasangan pengantin termasuk satu pasangan keturunan India disandingkan serentak di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, di Seri Mentaloon di sini sempena program 'Mahligai Sejahtera' anjuran Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri.

Pengerusi jawatankuasa itu, Siti Aisyah Ghazali berkata program bersanding secara besar-besaran itu dianjurkan kerajaan negeri untuk membantu golongan kurang berkemampuan mengadakan majlis kenduri perkahwinan.

Beliau berkata bagi menyertai program itu, individu yang layak ialah golongan berpendapatan RM1,000 ke bawah, pengantin lelaki adalah anak jati Kedah dan merupakan perkahwinan pertama."Ikatan perkahwinan dapat mengurangkan masalah sosial di kalangan remaja dan majlis seperti ini dapat mengeratkan hubungan antara masyarakat dengan pemimpin," katanya ketika ditemui pada majlis itu di sini hari ini.

Siti Aisyah berkata,sebahagian pasangan yang disandingkan pada hari ini menerima tajaan pakaian pengantin bagi meringankan beban dalam menyediakan kos untuk perkahwinan mereka.

Lebih 500 jemputan yang terdiri daripada keluarga terdekat pasangan pengantin hadir meraikan majlis bersejarah yang julung kali diadakan dan akan dijadikan acara tahunan pada masa depan.-- BERNAMA



Baca Seterusnya......

Pengikut