Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Selasa, 15 Julai 2008

Ibu Aina Mardiah tidak maafkan Syed Hamid Albar

oleh Norlaila Othman

Pada hari Sabtu 12 Julai, saya melawat Pn Fatma lagi. Saya dapati, setiap hari, ramai orang yang membaca kesah kematian Aina melalui Harakah, pergi menziarahinya.

Beliau tidak pernah letih untuk bercerita mengenai tragedi yang menyayat hati itu. Beliau mengakui, segala penceritaan semula itu, membantu beliau mengubat duka dihatinya.

Beliau akan menceritakan setiap detik /peristiwa susah-senang, sedih- indah yang berlaku sepanjang beliau membesarkan Aina kepada tetamu yang hadir.

Semua album gambar yang tertera wajah ceria Aina, dikongsi dengan tetamu....hinggakan saya sendiri turut merasakan, Aina bukan kembali ke alam baqa' tetapi beliau cuma tidak pulang ke rumah kerana ada program di tempat lain, untuk beberapa hari....Namun di sebalik perasaan rindu yang semakin hari makin bertamu di hatinya , Pn Fatma maklum bahawa Aina tidak akan kembali buat selama-lamanya...


Pada saya, beliau sempat menyatakan bahawa kini, beliau benar-benar dapat merasakan kewujudan GMI yang sememangnya menjadi ruang untuknya "membalas dendam" terhadap kejahatan dan kezaliman ISA, terutamanya Menteri Dalam Negeri, penguasa ISA yang kejam itu.

Beliau bertanya, "bila GMI akan membuat sesuatu samada sidang akhbar atau pergi ke Putrajaya untuk berjumpa Hamid Albar dan minta penjelasan sendiri, kenapa beliau menggunakan kuasanya untuk menganiaya tahanan ISA, hingga tiada ehsan/perikemanusiaan langsung walaupun kes itu melibatkan hidup dan mati!!!"

Beliau sedang bersemangat untuk mendedahkan kes ini dan kalau boleh menjadikannya sebagai satu isu utama untuk membuktikan kezaliman dan kejahatan ISA pada mangsanya dan rakyat Malaysia amnya.

Hari ini, anak beliau telah menjadi mangsa kelembapan prosedur Menteri Dalam Negeri-Bukit Aman-Kemta, esok lusa, entah siapa lagi yang turut merasai kesan buruk dari "perbuatan tidak berperikemanusiaan" mereka itu.

Menurut Pn Fatma lagi, beliau tidak dapat memaafkan semua yang terlibat dengan kelewatan dan kelembapan itu dan segala-galanya akan dituntut pada Menteri Dalam Negeri.

Baca Seterusnya......

Arak: Pemuda PAS harap kerajaan Selangor tidak ulangi kesilapan

Oleh Saidah Hairan

Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor perlu menilai serta meneliti kehadiran pasukan Kelab Bola Sepak Chelsea pada majlis tajaan syarikat arak, Heineken sempena kunjungannya ke Malaysia.

Penganjur ProEvents International Sdn Bhd akan mengadakan perlawanan persahabatan antara Kelab Chelsea dengan pasukan bola sepak Malaysia di Stadium Shah Alam pada 29 Julai nanti.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berharap kerajaan negeri meneliti dan mengkaji terlebih dahulu program sampingan yang akan dijalankan sebelum membenarkan kehadiran Kelab Bola Sepak Chelsea.

Ketuanya, Ustaz Sallehen Mokhyi berkata, sama ada kerajaan negeri sudah maklum atau belum, ketegasan untuk membenarkan perlawanan itu diadakan perlu dilaksanakan.

Menurut beliau, jika benar berlaku bukan saja premis negeri Selangor terlibat bahkan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat serta rakyat Selangor.

"Kita akan mendesak kerajaan negeri melakukan sesuatu untuk membatalkan beberapa program yang akan dijalankan oleh penganjur yang bertentangan dengan Islam," tegasnya.

Beliau yang ditemui di SUK menegaskan, soal perlawanan bola sepak itu tidak menjadi masalah kerana sejak dahulu lagi PAS melihat ia merupakan kegiatan yang menyihatkan.

Apatah lagi katanya, pelawanan bola sepak yang diadakan dengan kelab antarabangsa sudah tentu dapat menjalin hubungan baik di peringkat global termasuk hubungan diplomatik.

"Kita tidak mahu antara program yang dijalankan sebelum pertandingan, diadakan majlis dengan menghidangkan minuman keras," tegasnya.

Jika perkara itu berlaku tambah beliau, ia perlu dibatalkan sebab amat tidak wajar dalam kerajaan Pakatan Rakyat yang mana rakyat Selangor sudah tentu mahu melihat perbezaan pentadbiran di bawah pimpinan Umno-BN dengan Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, ia juga amat tidak sesuai dengan konteks adanya PAS dalam Pakatan Rakyat yang ada komitmen dan komited dengan perjuangan daripada dulu hingga sekarang.
Katanya, jika ada majlis makan dengan hidangan minuman keras ia amat bertentangan bukan saja dalam Islam tetapi budaya Melayu.

Beliau yang sebelum ini menghantar memorandum kepada Menteri Besar terhadap kehadiran artis dangdut Mas Idayu dan ratu rock, Ella berharap pihak penganjur mempunyai sensitiviti terhadap kerajaan negeri Selangor sekarang.

"Jika pihak penganjur mengambil kesempatan di peringkat awal penyusunan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat sudah tentu ia akan mengganggu proses pentadbiran negeri," tegasnya.

Sehubungan itu katanya, Pemuda PAS Selangor tidak akan teragak-agak menghantar memorandum bantahan secara rasmi kepada kerajaan negeri Selangor jika perkara itu berlaku. -lanh _

Baca Seterusnya......

Tindakan polis melampau, bohongi rakyat dua kali

Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin menyelar tindakan pihak polis dan anggota keselamatan yang menjalankan sekatan jalan raya dengan kawalan yang menyusahkan orang ramai. -->

Menurutnya, pihak polis telah mengadakan kawalan ketat sekitar Pasar Seni atau Central Market sejak pagi tadi sehingga menimbulkan rasa takut dan kurang senang peniaga serta orang ramai yang berkunjung di sana.

"Ini merupakan tindakan intimidasi atau gangguan yang dibuat pihak polis secara melampau terhadap proses perjalanan demokrasi di negara ini," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau turut menafikan bahawa wujudnya perancangan bagi mengadakan perhimpunan oleh Pakatan Rakyat khususnya KeADILan dalam usaha menyokong usul tidak percaya ke atas Perdana Menteri di Parlimen.

"Tiada sebarang perancangan mahupun usaha untuk mengadakan perhimpunan mengenai isu terbabit," katanya.

Katanya, ini secara tidak langsung membuktikan pihak polis sengaja mengada-adakan cerita bahawa KeADILan dan parti-parti komponen Pakatan Rakyat menganjurkan perhimpunan.

Bercakap kepada media di pekarangan Pasar Seni, beliau melahirkan kekesalan yang bertindak secara tidak profesional dengan menghalang beliau bercakap dengan pihak pemberita.

"Saya amat kesal dengan tindakan melampau pihak polis bagi menangani hal ini, mereka tidak profesional dan tidak demokratik," tegasnya.

Beliau turut menafikan bahawa wujud usaha mengadakan juga perhimpunan tersebut meskipun kononnya ia gagal diadakan di parlimen pagi tadi.

"Kita mendapat arahan daripada OCPD Dang Wangi, serta notis-notis yang ditampal di sekitar Pasar Seni ini melarang sebarang anjuran perhimpunan di kawasan tersebut," ujarnya.

Bahkan, beliau hanya datang bertiga ke lokasi yang didakwa akan dibuat perhimpunan tersebut.
Sejak pagi tadi, sekitar kawasan Pasar Seni dikawal ketat oleh tidak kurang daripada 100 pegawai polis berpakaian uniform serta lebih 100 anggota berpakaian preman daripada bahagian depan, sisi dan belakang bangunan tersebut.

Beberapa trak polis, FRU, motosikal, van dan kereta peronda berbaris panjang di sepanjang jalan dan sisi pasar seni mengundang tanda tanya orang ramai yang lalu-lalang.
Malah, pihak media juga diminta oleh pihak polis untuk segera meninggalkan lokasi Pasar Seni setelah Shamsul beredar dari tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Pusat, salahuddin Ayub pula menempelak tindakan pihak polis yang secara keterlaluan mengadakan sekatan jalan raya di seluruh jalan menuju ke bandaraya Kuala Lumpur.

"Tiada sebarang perhimpunan yang dianjurkan, ini merupakan pembohongan kali kedua oleh pihak tertentu.

"Takkan kita sebagai pimpinan Pakatan Rakyat tidak mengetahui mengenai perancangan untuk melaksanakan perhimpunan ini," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau turut mendakwa apa yang dilakukan pihak polis adalah untuk mengharu-birukan situasi seolah-olah ingin menggambarkan kepada rakyat bahawa sekiranya usul undi tidak percaya diterima di Dewan Rakyat, keadaan akan menjadi tidak stabil.

"Kita kesal dengan kemarahan rakyat dengan tindakan polis yang sengaja mengundang keresahan di hati mereka.

"Apa yang jelas, kerajaan Umno-BN mahu menakut-nakutkan rakyat dalam situasi pelabur telah hilang keyakinan terhadap negara," ujarnya.

Beliau yang juga Ketua Whip Parlimen, turut melahirkan rasa tidak puas hati apabila para pengamal media alternatif tidak dibenarkan membuat liputan di Dewan Rakyat khususnya mengenai usul undi tidak percaya oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - mks._
Baca Seterusnya......

Negara Kita Sudah Darurat? Polis Mengawal Hantu!

Oleh Mohd Sayuti Omar


ENTAH berapa ribu bakul maki hamun yang disumpahkan oleh pengguna jalan raja di sekitar ibu Kota Kuala Lumpur hari ini khasnya mereka yang terpaksa melewati jalan-jalan yang menghala atau melalui jalan ke Parlimen.

Orang yang bertanggungjawab mengadakan sekatan jalan raya itu perlu menerima sumpahan itu.

Kesesakan teruk berlaku berjam-jam sejak dari awal pagi hingga ke saat ini - 4:14 pm.

Keadaan bertambah buruk apabila sebelah petang hujan turun dengan lebatnya.

Semua jalan melewati bangunan Parlimen dipenuhi kereta ada kalanya tidak bergerak langsung. Suasana ini sungguh merimas dan memualkan.

Kesesakan yang sedia ada ditambah dengan apa yang berlaku hari ini!Semuanya berlaku kerana sekatan jalan raya dilakukan oleh polis.

Semua jalan, lorong dan denai menunju ke Parlimen dikawal rapi oleh polis.

Bangunan Parlimen sudah menjadi seperti zoo yang mana seolah-olah di dalamnya menghuni binatang buas yang membahayakan kepada orang ramai.

Orang ramai juga tidak dibenarkan sama sekali memasuki ke bangunan Parlimen. Sepanjang jalan dari simpang memasuki ke Parlimen dipenuhi anggota polis. Sekatan jalan raya lengkap dengan trak dan anggota polis baik yang berpakaian seragam atau pakaian biasa berbaris dan bergelewatan di sepanjang jalan menuju ke bangunan Parlimen. Sekatan jalan raya berlapis-lapis.

Kalau tengok kepada kawalan rapi dan begitu ketat, semut pun tidak boleh lolos masuk ke Parlimen hari ini.

Apakah tujuan dan maksud sekatan itu sebenarnya?Gara-gara itu bukan saja orang ramai terhalang, para petugas, ahli Parlimen dan wartawan juga terseksa dengan tindakan polis itu. Bahkan Speaker sendiri turut disusahkan oleh sekatan itu apabila ditahan seketika oleh anggota polis.

Wartawan pula tidak dibenarkan membawa masuk kenderaan ke perkarangan Parlimen dan terpaksa jalan kaki sejauh hampir satu kilometer untuk masuk ke bangunan Perlimen.

Kawalan ketat dan sekatan jalan raya diadakan kononnya akan berlaku satu himpunan tunjuk perasaan di perkarangan Parlimen pada hari ini. Entah dari mana maklumat yang diperolehi oleh pihak polis.

Malangnya tunjuk perasaan yang didakwa itu tidak ada sama sekali.

Yang ada hanyalah anggota polis dengan segala peralatan termasuk pasukan FRU, trak water cannon yang disembunyikan di suatu tempat tidak jauh dari Parlimen.

Yang berdemon hari ini bukan orang ramai tetapi anggota polis!Apa yang berlaku hari ini sesuatu yang anih.

Polis berkawal tanpa ada sebab yang jelas.

Menjaga keselamatan yang tidak ada apa-apa kemungkinan berlaku ancaman. Mungkin juga polis mengawal hantu, tidak pula dapat dipastikan. Tetapi tengok gayanya begitulah.Selalunya polis sangat bijak dalam mengesan apa-apa bakal berlaku, tetapi hari ini meleset.

Hari ini polis menjadi pandir dan membuat kerja sia-sia!Jadi apakah tujuan dan faedah kawalan itu diadakan.

Ataupun ianya hanya gimik pihak polis saja. Apakah polis ingin mengugut orang ramai agar tidak berhimpun. Sampai minta perintah mahkamah sekali, pelik.

Melihat caranya seperti serius benar. Seolah-olah nyawa negara dalam bahaya.

Justeru berbagai tanggapan mengenai tindakan polis itu. Ada yang mengatakan ia sebagai satu gurauan disamping untuk menakut-nakutkan orang saja.

Ada juga yang berangapan sasaran polis bukan perhimpunan hari ini tetapi hari-hari seterusnya.

Dan paling munasabah sekatan dan kawalan itu diadakan ialah mengenai desas desus polis akan menahan Anwar Ibrahim hari ini.

Apa kaitan sekatan dan kawalan itu dengan penahanan Anwar?Mungkin kawalan itu bagi mengelakkan berlaku perarakan beramai-ramai penyokong Anwar ke Parlimen sekiranya Anwar terus ditahan sewaktu hadir ke balai polis untuk diambil kenyataan.

Apapun alasan dan tujuannya tindakan polis itu menyusahkan orang ramai. Ia tidak seharusnya menyulitkan rakyat hanya disebabkan oleh satu warganegara sahaja.

Baca Seterusnya......

Pemuda desak siswa IPT Pakatan dibenar dekati politik

oleh Jimadie Shah Othman

Pemimpin-pemimpin Pemuda menggesa Pakatan Rakyat membenarkan para pelajar mereka di institusi pengajian tinggi (IPT) - yang dimiliki kerajaan negeri - mendekati politik seperti kelulusan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Pergerakan Pemuda PKR, PAS dan DAP pada dasarnya menyokong usaha membuka ruang kebebasan di kampus di negeri Pakatan seperti UniMAP yang ditadbir Kementerian Pengajian Tinggi.

Angkatan Muda PKR berhasrat menulis surat kepada semua naib canselor dan menteri besar di negeri Pakatan minggu ini, kata ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin apabila diminta mengulas gesaan persatuan-persatuan siswa minggu lepas.

"Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan menulis surat kepada semua naib canselor dan menteri besar di negeri-negeri Pakatan Rakyat supaya membuka ruang kepada mahasiswa terlibat dalam politik di kampus," katanya.

Awal bulan ini, naib canselor UniMAP Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, dengan mendekati politik secara positif, penuntut akan terdedah kepada kemahiran berpidato, berhujah, berfikiran terbuka dan berani berhadapan dengan masyarakat.

Walaupun diberikan kebebasan itu, beliau dilaporkan yakin penuntut universitinya tidak akan melanggar AUKU.

"Setakat ini UniMAP bersih daripada sebarang rekod buruk sepanjang saya menjadi naib canselor selama enam tahun dan mereka faham hasrat universiti untuk melahirkan jurutera berkaliber dan serba boleh," Dr Kamarudin dipetik sebagai berkata.

Susulan itu, Jumaat lepas, persatuan-persatuan mahasiswa memberitahu Malaysiakini, mereka menyeru kerajaan di negeri Pakatan mengikut jejak langkah UniMAP.PKR, DAP dan PAS - sebelum menguasai empat lagi negeri dalam pilihanraya umum Mac lalu - sering menyuarakan isu kebebasan bersuara di IPT, termasuk berkempen bagi memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Parti Mahasiswa Negara (PMN), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) menyokong sekiranya kerajaan Pakatan - misalnya Universiti Industri Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Antarabangsa Islam Selangor (Kuis) yang dimiliki kerajaan negeri - membuat keputusan mengambil pendekatan yang sama dengan UniMAP. Shamsul mengambil contoh pengamalan di negara-negara maju yang berbuat demikian dan membolehkan penuntut mereka mencapai "kematangan idea dan pemahaman tentang demokrasi".

"Di negara-negara maju seperti di United Kingdom, ada pemuda Parti Buruh, ada pemuda Parti Konservatif sebagai sayap Pemuda.

Ada juga cawangan-cawangan parti politik di kampus.

Pendedahan itu akan mematangkan idea dan pemahaman tentang demokrasi di kalangan mahasiswa," katanya kepada Malaysiakini hari ini.Beliau bagaimanapun berpendapat, mahasiswa tidak harus melibatkan politik kepartian semata-mata tetapi "politik baru dan ilmiah".

"Bukan sahaja (terlibat dengan) politik kepartian, sebaliknya wacana politik ilmiah, politik baru - (keadaan) ini tidak berlalu di universiti.

"(Perdebatan) isu nasional seperti harga minyak, sepatutnya dianjurkan oleh mahasiswa, (sebaliknya) kena dibuat oleh Agendadaily.com.

"Ia menunjukkan mahasiswa sudah sekian lama ditakutkan."Esok laman web berita itu akan menganjurkan debat berhubung isu kenaikan harga minyak antara ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menteri penerangan Datuk Shabery Cheek dan dijangka disiarkan secara langsung di dua saluran televisyen.

Timbalan ketua penerangan Pemuda PAS, Abdullah Abdul Karim turut meminta kerajaan Selangor memberi kelonggaran kepada mahasiswa di dua IPT yang dimilikinya supaya memberi kelonggaran kepada mahasiswa terlibat dalam politik.

"Yang diperlukan adalah ketelusan dan keberanian (Selangor). Ada ruang (melaksanakannya). Saya mohon, saya minta Selangor memberi kelonggaran dalam hal ini.

"Tindakan ini bukan bermakna membuka cawangan parti politik dalam universiti, bukan bermakna partisan.

"Tetapi (dengan) membenarkan mahasiswa terlibat dalam persatuan, berdebat, pastikan pilihanraya kampus adil, boleh membuka minda mahasiswa.

Dan hak ini dijamin oleh Perlembagaan (Persekutuan)," katanya.

Menurutnya, Selangor belum membuka ruang berpolitik kepada mahasiswa, berbanding UniMAP, kerana Pakatan "belum mempunyai pengalaman mentadbir"Menurut bekas presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini, banyak lagi reformasi akan diperkenalkan oleh kerajaan-kerajaan Pakatan. "Beri sedikit ruang.

Banyak pandangan dikemukakan, akan ada perubahan," katanya.

Setiausaha Pemuda DAP Loke Siew Fook berkata menyerahkan keputusan mendekati mahasiswa dengan politik kepada kerajaan negeri."Terpulang kepada dasar kerajaan negeri," katanya.

Mengulas peruntukan dalam AUKU yang membenarkan naib canselor memberikan kelonggaran kepada mahasiswa mendekati politik, Loke berkata "perkara itu adalah hak pelajar sebagai warganegara dan tidak perlu meminta kebenaran naib canselor".

Penglibatan mahasiswa untuk terlibat dalam politik kepartian, walaupun itu haknya, tetapi bukanlah objektif akhir, tambahnya."Yang penting, suasana kebebasan di universiti.

Kebebasan akademik, kebebasan membuat kajian walaupun kritikal, pemilihan dekan dikembalikan kepada golongan akademik tanpa campur tangan pemerintah. "Itu yang penting," tambahnya, yang juga ahli parlimen Rasah.

Baca Seterusnya......

Pengikut