Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Rabu, 5 Mac 2014

Kelaparan mampu membangkitkan rakyat

Alhamdulillah, setelah masuk bulan yang ketiga dalam tahun 2014 ini, kita masih terus diberi kesempatan untuk menikmati sebuah kehidupan yang walaupun sesak dan sarat dengan tekanan, namun apabila berada di landasan memperjuangkan agama Allah, pastinya kita akan berada dalam ketenangan.

Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sudah mula diedarkan kepada seluruh penerima yang layak menerimanya. Sejak 22 Februari lalu, ramai yang berpusu-pusu ke Mesin Wang Automatik (ATM) untuk mengeluarkan wang BR1M.

Ada yang tersenyum riang kerana dapat bayaran BR1M berjumlah RM650, ada yang pulang dengan hampa kerana permohonan tidak diluluskan, dan ada juga yang mengeluh mengapa hanya menerima RM450.

Pelbagai persepsi, pelbagai ragam dan pelbagai watak, ada yang terlalu gembira (khasnya yang bujang), ada pula yang umpama tiada perasaan, kerana bagi mereka wang RM650 tidak ber tahan lama, paling tinggi sehari dua.

Dengan wang tersebut, mereka hanya boleh membeli belah dua atau tiga kali sahaja, itupun di pasaraya-pasaraya borong seperti Mydin dan Tesco. Kenaikan harga barangan menyusutkan nilai wang RM650.

Kenaikan harga barangan, ke san berantai kenaikan harga minyak usai Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nyata mencetak satu kekangan kepada nilai wang dalam kantung rakyat.

Kemudian, rakyat berdepan pula dengan kenaikan tarif elektrik yang kini mencecah 15 peratus, yang akhirnya menyumbang kepada peningkatan kos pengeluaran di kilang-kilang, dan menyebabkan harga barangan melambung sekaliganda.

Rakyat dikejutkan lagi dengan berita penurunan harga getah dari pada RM4.00 sebelum ini dan kini hanya sekitar RM2.30 sahaja.

Ramai di kalangan penoreh getah adalah penerima BR1M. Namun, apalaha sangat BR1M berjumlah RM650 jika harga pasaran getah kini turun mendadak.

Terdapat penoreh yang terpaksa mengikat perut berdepan de ngan penurunan harga getah ini. Di Kedah sendiri sudah dua kali himpunan aman digerakkan penoreh bersama PAS membantah penurunan harga getah dan mendesak kerajaan peduli isu harga getah.

Gerakan kebangkitan yang sedang berlaku hari ini di Baling dan di Kedah secara umumnya mengimbau semula kenangan lam pau. Harga getah yang turun menjunam menyebabkan penoreh getah semakin tertekan.

Mereka terpaksa mencatu segala macam belanja yang sebelum ini telahpun berlaku catuan akibat kenaikan harga barangan.

Apatah lagi malang mereka berganda kini musim panas yang agak berpanjangan menyebabkan pokok getah tidak mengeluarkan hasil yang banyak.

Dalam sehari mereka hanya berjaya mendapat hasil antara RM15 hingga RM20 sahaja, sedang kan keperluan mereka melebihi pendapatan yang semakin menyusut.

Mereka bimbang, hari demi hari kantung mereka akan terus kering, seumpama keringnya tanah- tanah kebun getah mereka.

Kelaparan mula menjengah perut mereka. Datangnya BR1M tidak membawa perubahan langsung ke pada pendapatan mereka.

Apatah lagi mereka sedar bantuan itu adalah hasil dari poketpoket rakyat dengan kutipan cukai, peningkatan harga barang an dan keperluan serta perkhidmatan.

Mereka sudah bijak menilai, apatah lagi terdapat anak-anak mereka yang sedang menuntut di pusat pengajian tinggi mencambahkan benih kesedaran kepada mereka.

Lapar perut mereka tidak boleh ditahan seperti 10 tahun lalu ketika harga getah merudum hingga RM2.50 sen sekilogram. Lapar perut mereka kini lebih berat berbanding 10 tahun lalu akibat kenaikan harga barangan.

Justeru, mereka mula bangkit, bangkit untuk menyedarkan kerajaan agar peduli nasib mereka.

Kebangkitan golongan penoreh ini mengingatkan kita akan kebangkitan rakyat Baling suatu masa lalu yang memacu kebangkitan gerakan mahasiswa.

Ketika itu, anak muda khususnya mahasiswa melestarikan bi dikan semangat perjuangan de ngan menggerakkan bantahan awam akhirnya menjengah ke ibukota kuala Lumpur.

Ribuan anak muda kampus uni versiti yang berhimpun di Padang Kelab Selangor sekitar tahun 1975.

Himpunan mahasiswa seterusnya membawa tangkapan besar besaran pimpinan mahasiswa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dan kemudiannya berlakulah pertempuran ideologi mahasiswa membantah kerajaan.

Peristiwa ini membawa kepada pindaan Akta Universiti Dan Kolej Universiti (Auku) pada tahun 1975, seterusnya mengheret zaman gelap gerakan mahasiswa berdekad-dekad selepas itu.

Baling juga menjadi titik tumpuan negara apabila berlakunya peristiwa berdarah Memali pada 19 November 1985, di mana seramai 14 orang penyokong PAS telah terkorban dalam tragedi pertembungan akibat salah arahan rejim BN.

Baling juga boleh menjadi suatu sejarah moden andai kelaparan yang sedang dihadapi masyarakat penoreh getah hari ini mencapai tahap membangkitkan mereka yang dahulunya tidur kekenyangan, tetapi kini bangkit kelaparan...

Baca Seterusnya......

Rabu, 18 Disember 2013

Lembap macam Barisan Nasional

Oleh ZULKIFLI YAHAYA
KENYATAAN Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Shahidan Kassim bahawa pengurusan banjir di Malaysia adalah yang terbaik di Asia Tenggara ternyata hanya propaganda untuk membohongi rakyat Malaysia. Zaman di mana makLumat cuma di hujung jari, rakyat dapat membuat perbandingan dengan pantas sekali. 
Di media sosial, tersebar foto pengurusan banjir di Thailand di mana khemah dan sekatan disediakan untuk setiap mangsa banjir. Baca Seterusnya......

Sabtu, 21 September 2013

100 hari: Mukhriz tunjuk 'kuku' ayah

Oleh AZAMIN AMIN

Hari pertama angkat sumpah Dato' Mukhriz Mahathir, konco-konco Pengerusi Perhubungan Umno Kedah Dato' Ahmad Bashah sudah mula menampakkan rasa tidak senang. Ada yang berpiket dan mahu bos mereka, orang paling lama yang menjadi wakil rakyat, diangkat sebagai Menteri Besar Kedah.

Bagi menutup mulut bising itu dan pergolakan yang makin membarah, Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak, terus membawa Bashah ke Pusat sebagai Timbalan Menteri meskipun belum pun mengangkat sumpah sebagai Senator.
Baca Seterusnya......

Isnin, 22 Julai 2013

Ramadan sarat ganjaran

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa yang gembira dengan datangnya bulan Ramadan, Allah haramkan jasadnya daripada sentuhan api neraka."

Safwak Sa'adallah al-Mukhtar menceritakan, pada suatu hari ada sepasang suami isteri yang kaya raya sedang makan bersama-sama di rumah mereka.Tiba-tiba pintu rumah diketuk seseorang. Setelah dibuka ternyata seorang pengemis meminta-minta.

Melihat pengemis itu, isterinya sangat kasihan dan hiba dan ingin memberikan sesuatu.

Dia meminta izin daripada suaminya bolehkan dia memberikan sesuatu kepada pengemis itu.

Suaminya dengan suara kasar berkata: "Usir sahajalah, tutup pintu itu dan mari makan."

Setelah masa berlalu, kehidupan keluarga itu mengalami masa suram. Perusahaan makin merosot dan menanggung banyak hutang. Keluarga itu jatuh miskin, rumah tangga mereka kelam kabut sehingga berlaku perceraian.

Kata Safwak, suaminya sangat menderita dan bekas isterinya itu berkahwin pula dengan seorang pengusaha kaya dari daerah lain.

Pada suatu hari, ketika pasangan suami isteri yang baharu itu sedang makan bersama-sama, tiba-tiba pintu rumah diketuk.

Setelah dibuka, ternyata yang datang itu seorang pengemis yang meminta belas kasihan.

Wanita (isterinya) masuk dan meminta izin pada suaminya: "Bolehkah saya memberikan sesuatu kepada pengemis itu?"

Lalu dijawab suaminya: "Boleh, boleh... berilah dia makan. Mana tahu dia sangat lapar dan berjalan dari daerah yang jauh."

Setelah pengemis itu diberi makan, alangkah terkejutnya si isteri, kerana ternyata yang dia beri makan itu adalah bekas suaminya.

Dia menangis kerana merasa prihatin dan hiba. Melihat keadaan itu, si suami dengan hairan lalu bertanya: "Mengapa engkau menangis isteriku, adakah saya salah kalau menyuruhmu memberi makan kepada pengemis itu?"

Isterinya menggeleng kepala dengan nada sedih teresak-esak lantas berkata: "Saya sangat beruntung mendapatkan suami yang baik sepertimu. Namun saya sedih melihat perjalanan takdir hidup bagi seseorang yang sungguh menakjubkan hati, maafkan saya."

Akhirnya si isteri berkata: "Tahukah engkau suamiku, siapa pengemis yang kita beri makan di luar itu? Dia adalah bekas suamiku yang pertama dahulu."

Mendenar kata-kata itu, suaminya terkejut namun tetap memperlihatkan sikap arif.

Beberapa saat kemudian, suaminya bertanya: "Tahukah engkau, siapa saya yang saat ini menjadi suamimu ini?" Isterinya menjawab, "Tidak tahu."

Kemudian suaminya berkata: "Suamimu ini adalah pengemis yang pernah diusir dahulu oleh bekas suamimu dan Allah berikan kepadaku rezeki hingga aku punya harta dan memberi pula rezeki-Nya hingga kita pun dipertemukan Allah dalam satu ikatan akad sebagai suami isteri yang insya-Allah mawaddah wa rahmah."

Kisah di atas mengajar kita bahawa hidup dan kehidupan ini sesungguhnya seperti roda.

Kerap kali kita menyangka bahawa apa yang kita peroleh hari ini tidak akan berubah esok atau lusa tetapi tidak mustahil juga hilang dalam sekelip mata.

Hanya kerana kecuaian dan keangkuhan kita terhadap sesama insan, kita menutup pintu pada orang yang miskin dan kelaparan. Natijahnya, tertutup pintu rezeki rezeki kita.

Dalam al-Quran dinyatakan: "Dalam harta kamu ada hak peminta-minta (sedekah)."

Ibadat puasa mendidik kita bahawa sesuatu yang diberikan, waima seteguk air, sesuap nasi atau seulas kurma akan menjadikan kita tetap kaya dalam erti nilaian pahala berlipat kali ganda di sisi Allah SWT.

Ibadat puasa dapat menambah apa yang ada, menutupi kekurangan serta membuka pintu rahmat, rezeki, berkat dan hikmah Allah SWT.

Untuk mendapatkan apa yang kita perlukan, maka berpuasalah untuk mendapat kemaafan Allah. Berpuasalah untuk memperoleh syurga. Bahkan untuk memohon segala hajat kepada Allah maka berpuasalah.

Ibnu Abbas RA berkata: "Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud 'andai umatku tahu tentang rahsia yang terkandung dalam Ramadan, pasti mereka mengharap seluruh bulan dalam setahun menjadi bulan Ramadan, sebab Ramadan menghimpun segala kebaikan, doa-doa yang mustajab (dipenuhi), dosa mereka diampunkan dan syurga merindukan mereka."

Baca Seterusnya......

Selasa, 18 Jun 2013

Memahami kebangkitan anak muda

Oleh Abd Shukur Harun

Tidak terlalu sukar untuk memahami kebangkitan anak muda, termasuk pelajat sekarang, terutama menjelang dan selepas PRU yang lalu. Oleh itu, sebarang kegagalan memahaminya, sama ada pihak individu atau pemimpin parti politik dan pendukungnya, akan mengundang masalah yang sangat besar.

Ini kerana, sama ada kita bersetuju atau tidak bersetuju dengan pemikiran dan sikap generasi baru ini, mereka tetap hadir dalam masyarakat, bahkan mewarnai kehidupan masyasrakat, khususnya jalur politik tanah air.

Sebab itu Pakatan Rakyat sangat perlu terus berada di tengah-tengah golongan anak muda, dalam masa yang sama juga berada di tengah masyarakat biasa.

Memang ada sesetengah anggota masyarakat merasa jengkel atau mencebik melihatkan demikian ramai anak-anak muda di samping golongan veteran yang menyertai Himpunan Bersih 0.2 dan 0.3 serta pelbagai himpunan lain sebelum PRU, baik di Kuala Lumpur mahupun di seluruh negara.

Malah selepas PRU, juga himpunan berterusan - yang dinamakan Himpunan Black 505 – di mana anak-anak muda dan golongan pelajar ini menuntut tiga perkara:

Pertama: Tidak akan menerima keputusan PRU13. Kedua: Menuntut ditubuh SPR baru. Ketiga: Mengadakan pilihan raya semula di kawasan apa yang didakwa berlaku penipuan.

Puluhan ribu anak muda telah menyertai himpunan tersebut. Mereka terdiri dari pelbagai kaum dan agama dan pelbagai latar belakang keluarga serta pendidikan. Menunjukkan kebangkitan anak muda ini tidak dilatari sebarang elemen perkauman dan sebagainya. Mereka datang secara sukarela dengan kenderaan dan belanja sendiri.

Sebelum itu, para hari mengundi, 5 Mei yang bersejarah itu, anak-anak muda semua bangsa – terutamanya di bandar-bandar besar dan semi bandar – telah berbaris panjang di saluran enam dan tujuh, di tempat mengundi. Ini menunjukkan anak-anak muda telah full-force pergi mengundi dan ini adalah manifestasi kesungguhan mereka untuk menentukan haluan politik negara di mana menurut kajian, anak muda ini kebanyakkannya menyokong Pakatan Rakyat.


Mengapa mereka menyokong Pakatan, justru kerana mereka melihat Pakatan mampu membawa perubahan jika menang.

Sementara itu ratusan ribu, terutama anak muda (perantau) yang bekerja di bandar besar, seperti di Kuala Lumpur, telah pulang mengundi di negeri masing-masing, malahan ada pendapat yang mengatakan bahawa calon Pakatan Rakyat yang menang sebahagian besarnya adalah disebablan undi anak muda perantau, seperti yang berlaku di Kelantan dan Terengganu.

Dari Singapura, ratusan ribu anak muda Malaysia, pelbagai bangsa, yang bekerja di negara itu, telah pulang ke Malaysia untuk mengundi menyebabkan selama dua hari kesesesakan di Tambak Johor dan Link-Kedua di Gelang Patah.

Apa yang menyebabkan berlaku phenomena kebangkitan anak muda ini yang dilihat jarang sangat berlaku dalam sepanjang sejarah PRU di negara ini.

Wartawan Veteran, Datuk A. Kadir Jasin dalam tulisan di blognya The Scribe berkata, antara isu besar yang menyebabkan Barisan Nasional kehilangan undi Cina, undi bandar dan undi pemilih muda ialah kerana isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa di mana imej BN semakin dipertikaikan, sama ada kerana persepsi atau realiti.

Menurutnya, dengan bertambahnya bilangan wakil pembangkang dalam Dewan Rakyat dan Dewan-Dewan Undangan Negeri, cabaran terhadap Kerajaan BN berkaitan isu ini akan meningkat. Tetapi ‘peperangan’ terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa bukanlah untuk menyelamatkan Kerajaan BN, tetapi adalah untuk menyelamatkan negara.

Kepada saya, ini pandangan yang sangat objektif dan sewajarnya diterima oleh semua pihak, iaitu suatu pandangan berdasarkan pengamatannya yang tajam.

Sebuah lagi pandangan yang menarik, ialah dari bekas Ketua Polis Negara (KPN) dari Tan Sri Musa Hassan, yang menyifatkan golongan muda masyarakat Cina tidak menghormati orang Melayu kerana mereka menerima rasuah, sambil menggesa Putrajaya supaya serius memerangi isu rasuah sekiranya mahu menghentikan sentimen tersebut dari berlarutan.

Menurut Musa, apabila orang Melayu terlibat dalam rasuah, masyarakat Cina akan melihatnya sebagai satu bentuk pengkhianatan kerana menjual hak kepada orang lain.

Pada pendapat saya, bukan saja masyarakat Cina yang menentang rasuah dan penyelewengan, bahakan bangsa Melayu yang prihatin juga menentang rasuah dan penyelewengan. Lebih-lebih lagi Islam sangat tegas menentang rasuah, atau mengumpul harta secara haram.


Di sinilah anak muda prihatin, yang tidak tenggelam dengan segala macam program hiburan di TV dan yang ada di tengah masyarakat, telah menzahirkan penentangan yang nyata terhadap pelbagai kemungkaran yang berlaku.

Ramai di kalangan anak muda beragama Islam yang turut serta solat berjamaah di tengah padang sebelem perhimpunan, sesuatu yang sangat mengharukan.

Mereka ini adalah anak semua bangsa yang cinta damai, tetapi dalam masa yang sama menentang rasuah, penyelewengan, penipuan, perkauman dan segala bentuk kemungkaran.

Oleh itu, adalah sangat wajar pemimpin politik, khususunya dari Pakatan Rakyat serta pelbagai golongan masyarakat memahami phenomena anak muda ini dengan menyedari bahawa mereka ini adalah generasi masa depan negara.

Sekiranya Pakatan rakyat, secara sedar atau tidak sedar, menjauhkan diri atau berjauhan dengan generasi muda ini, maka mereka akan kehilangan sokongan dari suatu angkatan yang penting dan ini sangat merugikan.

Dari itu dekatilah golongan anak muda ini, belajar mengenal aspirasi mereka, cita-rasa mereka. Pakatan Rakyat sangat memerukan sokongan berterusan golongan anak muda ini kerana mereka adalah pengundi masa depan, di mana suara mereka adalah penting dalam menentukan kuasa dan masa depan negara.
Baca Seterusnya......

Pengikut