Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Sabtu, 21 September 2013

100 hari: Mukhriz tunjuk 'kuku' ayah

Oleh AZAMIN AMIN

Hari pertama angkat sumpah Dato' Mukhriz Mahathir, konco-konco Pengerusi Perhubungan Umno Kedah Dato' Ahmad Bashah sudah mula menampakkan rasa tidak senang. Ada yang berpiket dan mahu bos mereka, orang paling lama yang menjadi wakil rakyat, diangkat sebagai Menteri Besar Kedah.

Bagi menutup mulut bising itu dan pergolakan yang makin membarah, Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak, terus membawa Bashah ke Pusat sebagai Timbalan Menteri meskipun belum pun mengangkat sumpah sebagai Senator.


Setelah disusun atur segala lawan dan kawan Mukhriz, Empayar Mahathir mula menunjukkan kuku. Tapi sebelum itu, dengan perwatakan yang sederhana, muda dan ditonjolkan sebagai dinamik cuba mengaburi rakyat Kedah.

Mukhriz, serta-merta melawat bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Azizan Razak yang berada di Hospital. Ustaz Azizan, memikirkan masa depan anak-anak Kedah, sanggup meluahkan kepada Menteri Besar baru:"Tolong tengok-tengokkan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) dan Pusat Tahfiz Sains, Pulau Tuba."

Seperti mencurah air di daun keladi, Mukhriz sedikit pun tidak mengendahkan. Nasib Pusat Tahfiz itu, terhenti di tengah jalan manakala KUIN, masa depn sudah kelihatan kabur.

Kerajaan Negeri di bawah pimpinannya, sedikit pun tidak ambil peduli keperitan 268 kakitangan anak syarikat KUIN yang dilaporkan tidak menerima gaji sejak Umno mengambilalih Kedah 5 Mei lalu. Cuba mencuci tangan, Mukhriz mendakwa KUIN adalah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) apabila KUIN dijadikan badan berkanun oleh kerajaan negeri.

Hakikatnya pendaftaran KUIN dibuat adalah mengikut Akta IPTS 1996 dan sijil yang  dikeluarkan mengesahkan bahawa KUIN adalah IPTS dan bukan IPTA, walaupun kemudian KUIN jadi badan berkanun.

Mukhriz kononya dilaporkan, tidak mahu lagi menduduki Seri Mentaloon sebaliknya, masih menggunakan rumah ayahnya Tun Mahathir di Titi Gajah. Satu lambang kesederhanaan namun sebaliknya rumah kediaman ayahnya itu telah diubahsuai menggunakan duit kerajaan negeri lebih RM200,000.00!

Itu belum lagi arahan menukar segera perabot dan pinggan mangkuk baru di Kediaman Rasmi Seri Mentaloon berbanding Ustaz Azizan yang mengekalkan bagi tujuan berjimat cermat.

'Kesederhanaan' Mukhriz mula terserlah, apabila bercuti bersama keluarga ke London selepas 14 hari menjadi Mneteri Besar Kedah dan tiket kapal terbang yang dibayar Wisma Darul Aman.

Tidak cukup dengan itu, untuk ke Langkawi tidak seperti Permaisuri Agong dan isteri Ustaz Azizan, Datin Faekah yang menggunakan feri biasa bersama rakyat biasa, isteri Mukhriz menyewa bot mewah untuk ke sana.

Kemudian, bagi sebahagian penduduk Yan mula tidak tidur aman. Apa tidaknya, projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) yang ditangguh oleh Ustaz Azizan bagi mengelak tanah dan lebih 1,000 kediaman penduduk menjadi mangsa sodokan jentolak tetapi bakal diteruskan dengan bangga oleh Mukhriz dengan alasan menjana ekonomi negeri.

Dalam masa 100 hari, buku Akujanji Manifesto Barisan Nasional (BN) Kedah setebal 18 muka surat kepada rakyat Kedah jika menang, disimpan dalam almari sudah pun mula berdebu.

Antara Akujanjinya ialah menaik taraf semua pusat tahfiz dan memastikan kebajikan warga KUIN seperti kemudahan tempat tinggal, gaji dan sebagainya setanding dengan institusi pengajian setaraf seperti mana yang layak mereka nikmati.

Selain itu, melupuskan bayaran lesen penjaja dan peniaga kecil dan menaik taraf jeti di Kuala Kedah dan Langkawi untuk keselesaan para pelancong.

Sesuatu yang aneh dan menyimpang daripada kisah sebenar.Sebelum ini, Ketua Pembangkang Dun Kedah, Dato' Ir Amiruddin Hamzah turut menyatakan kegagalan Mukhriz melunaskan janji mudah kepada rakyat.

Amiruddin yang juga ADUN Anak Bukit berkata janji BN untuk menghapuskan bayaran lesen penjaja dan peniaga kecil, selain janji menyediakan kursus pra perkahwinan percuma kepada belia berumur 21 tahun ke atas tidak dilaksanakan.

Katanya, perkara kecil seumpama itu tidak memerlukan kajian sebaliknya boleh diarahkan dan dilaksanakan dengan mudah.

Yang kelihatan nampak 'sinar' apabila ianya melibatkan kroni sungguhpun dengan nama menebus kembali kegemilangan bola sepak Kedah
Tanpa lengah setelah memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Mukhriz mengadakan memorandum persefahaman (MoU) dengan kelab Wales,Cardiff City.

Pemilik Cardiff City, Tan Sri Vincent Tan merupakan teman rapat ayahnya, Mahathir semasa dalam kerajaan dan jutawan tersebut pernah mendapat lesen untuk judi sukan khususnya melibatkan perlawanan bola sepak.

Pada 2010, kerajaan Barisan Nasional (BN) memberikan lesen pertaruhan sukan kepada Ascot Sports Sdn Bhd, syarikat milik Tan.

Bagaimanapun ketika itu, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, Kedah dan Pulau Pinang telah pun mengisytiharkan tidak akan membenarkan aktiviti pertaruhan sukan di negeri-negeri berkenaan.

Bukan sahaja tempias judi, penduduk Kedah juga kurang senang dengan keterlibatan keluarga Mahathir dengan syarikat Arak, San Miguel Corp yang berpengkalan di Filipina dan terlibat dengan syarikat minyak Petron Corp.

Terbukti, slogan "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan," hanyalah wayang untuk menyedap hati rakyat khususnya di Kedah.

"Cara hidup, ketrampilan dan kenyataan Mukhiriz hanya kelihatan sederhana tatkala berada di bumi Kedah, tetapi lakonan mantap tanpa selindung ditonjolkan bila kembali ke Kuala Lumpur.

"Tetapi semua itu sudah menjadi rahsia umum. Kekayaan Mahathir dan ahli keluarganya termasuk Mukhriz telah menggoncangkan negara apatah lagi negeri Kedah," kata seorang veteran Umno.

Dalam satu wawancara, Mukhriz dilaporkan berakata tidak akan melakukan struktur perubahan drastik jawatan kakitangan khususnya Pegawai Tadbir Negeri Kedah (KCS).

Namun itu sekadar omongan kosong.Mukhriz telah menukar pegawai KCS, dalam masa sebulan dan melantik 'orang pilihannya' kerana meragui kesetiaan pegawai KCS yang lama.

Antara bukti,'memalukan' pegawai KCS yang telah hadir raptai angkat sumpah sebagai Pegawai Kewangan Kerajaan Negeri, dengan menukar nama pegawai lain di saat akhir pada hari berlangsungnya acara rasmi.Insiden ini turut mendapat teguran pihak Istana.

Kisah ini tidak terhenti, 100 hari telah menjadi saksi. Selepas itu, Kedah terus berubah sama ada retak menanti belah atau dibawah telunjuk ayah!
http://www.wartautara.com

Tiada ulasan:

Pengikut