Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Selasa, 26 Mei 2009

BN dah acapkali ikut rentak pembangkang

Oleh: Mat Zain Mat Isa

Nampaknya Barisan Nasional (BN) sudah menemui justifikasi terbaik merasionalkan keputusannya tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti. Meski pun pelbagai alasan dilontar dan diulas segenap peringkat pemimpin dan pendokong parti itu, kesemua hujah mereka kini dirangkum dalam ungkapan sama, iaitu ‘BN tidak ikut rentak pembangkang’.

Kata-kata itu sebenarnya bertitik tolak daripada hujah Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, ketika mengumumkan keputusan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kuala Lumpur, 18 Mei, untuk tidak ikut serta dalam pilihan raya kecil di Penanti kelak.

“Ia juga permainan politik pembangkang dan tidak ada kena mengena dengan Perlembagaan. Kita (BN) tidak mahu menari ikut rentak orang lain,” ujar Najib.

Dari situ, ungkapan ‘tidak ikut rentak pembangkang’ serta-merta dipopularkan. Ia diulangsebut hampir segenap pihak yang mengulas keputusan itu, dari kalangan pemimpin tertinggi BN sehinggalah kepada yang sebawahnya. Ia dipanjangkan pula penguasa media, pemerhati dan penganalisis politik, penulis surat pembaca, pengendali blog dan berbagai pihak lagi.

Mereka menganggap keputusan BN tidak meletakkan calon di Penanti sangat tepat. Ia sekaligus menyelamatkan BN daripada mainan dan perangkap politik pembangkang.

Ada pun alasan dan dalih yang mengaitkan tumpuan pembangunan dan masalah ekonomi sudah agak basi. Begitu juga dengan hujah kononnya pilihan raya kecil itu satu pembaziran. Dalih-dalih itu telah longlai dipatahkan para pemimpin Pakatan Rakyat.

Lalu, mahu tidak mahu, seluruh jentera propaganda BN kini bagaikan terpaksa berpaut pada hujah tadi. Bahawa keputusannya tidak menyertai pilihan raya di Penanti adalah kerana BN tidak perlu mengikut rentak yang dicanangkan pembangkang. Dalih itu kini diletakkan sebagai penyelamat maruah dan ego BN.

BN tahu tidak semua orang boleh percaya dan terima alasan itu. Apatah lagi catatan sejarah politik negara dapat membuktikan betapa BN selama ini sudah acapkali terpaksa mengambil tindakan yang boleh dinilai sebagai mengikuti rentak pembangkang.

Kita sebenarnya tidak perlu mengundur terlalu jauh ke belakang untuk menemukan contoh-contoh yang mengukuhkan hakikat itu. Penguasaan dan manipulasi media adalah satu daripadanya.

Selama ini tidak pernah terfikir oleh BN bahawa akan tiba suatu ketika segala saluran media dikuasainya tidak lagi dapat menguasai minda dan penerimaan rakyat. Peranan sebagai sumber maklumat dan saluran komunikasi massa tidak lagi berfokus kepada media milik kroni pemerintah.

Kekalahan teruk BN dalam pilihan raya umum lalu antara lain dikaitkan dengan peranan media alternatif, terutama di dunia siber. Kewujudan laman web, blog, penggunaan mel elektronik dan khidmat pesanan ringkas (sms) secara meluas dan berkesan dikatakan menyebabkan media utama ketinggalan dalam perlumbaan menyampaikan maklumat dan memenangi hati rakyat.


Media alternatif itu dikatakan kebanyakannya cenderung menguntungkan pembangkang. BN mengenalpasti ia sebagai antara penyumbang utama kekalahannya dalam pilihan raya lalu.


Dipaksa oleh keadaan memulihkan keyakinan rakyat terhadapnya, BN terpaksa mengikut rentak pembangkang meneroka dunia siber, terutama memanfaatkan laman web dan blog. Dalam usahanya menyampaikan versinya mengenai krisis politik di Perak, misalnya, BN tidak lagi bergantung kepada media utama semata. Ia turut memanfaatkan dunia siber.

Selepas pilihan raya lalu juga, beberapa budaya yang selama ini hanya dikaitkan dengan pembangkang semakin diserasikan dengan BN. Antaranya ialah keterlibatan para pendokong BN yang semakin kerap dalam perakakan dan demonstrasi jalanan, terutama di negeri-negeri di mana BN telah dipembangkangkan.

Di negeri-negeri itu juga, BN turun ke dalam masyarakat menggunakan pentas ceramah. Uslub itu juga bukan tradisi parti itu. Namun setelah diakui majlis ceramah menjadi medan berkesan bagi pembangkang berinteraksi dan berinformasi dengan masyarakat, BN akhirnya terpaksa ‘ikut menari’ di pentas dipopularkan pembangkang itu.

Ada lagi. Serentak dengan pelancaran tagline baru ‘1Malaysia’ baru-baru ini, turut kedengaran diuar-uarkan kata-kata ‘BN untuk semua’. Meski pun cuba dinafikan para pemimpin parti itu, harus diakui itu juga sesuatu yang telah pun kedengaran disebut di pihak pembangkang sebelum ini. “Islam Untuk Semua” dan “PAS Untuk Semua” telah menambat hati rakyat dan memenangkan parti itu di banyak tempat.

Banyak lagi contoh yang membuktikan betapa BN sebenarnya sudah acapkali ‘menari ikut rentak pembangkang’. Justeru, jika kini BN mendakwa ia tidak akan ikut rentak pembangkang, itu hanyalah helah menutup ketidakmampuannya berhadapan Pakatan di Penanti.
Baca Seterusnya......

Krisis Politik : Kini KeDalam Rumah Barisan

Oleh Ahmad Zawawi

Semuanya bermula kerana tidak mendengar nasihat orang-orang tua dan tamak haloba tanpa had. Bila kena pada orang lain diminta bersikap “gentleman” dan terima keputusan dengan hati yang terbuka tetapi bila terkena pada diri sendiri berbagai usaha dibuat bagi mencapai matlamat.

Bagi orang-orang yang hak mereka telah dinafikan dengan cara licik itu diharap terus bersabar. Anggap ini semua hanya dugaan Allah semata-mata. Sesuatu kemenangan yang mutlak itu hanya boleh dicapai melalui sebanyak-banyak pengorbanan dan kesabaran. Pintu kemenangan walaupun masih berada jauh dihadapan tetapi ianya sudah dapat dilihat begitu jelas sekali.

Bagi Barisan Nasional penyakit “retak mencari belah” yang sangat-sangat mereka takuti sudah bermula. Hari ini sebuah Parti Gabungan mereka iaitu PPP telah melakukan satu tindakan yang benar-benar memalukan gagasan tersebut. Jika sekiranya mereka bertanding diPenanti dimana hendak disorok muka. Parti PPP yang berasal dari Negeri Perak ini dilihat begitu cepat belajar dari rakan-rakan mereka dalam kemelut Kerajaan Negeri.

Walaupun sedang dikejutkan oleh peristiwa ini UMNO dilihat tidak mengambil serious malah semenjak mereka mendapat maklumat yang ADUN Manek Urai meninggal dunia mereka hanya bercakap tentang peluang-peluang yang terbuka untuk mereka memenangi kerusi tersebut. Pak-Pak Menteripun sudah mula turun padang. Walaupun SPR masih belum menerima secara resmi tentang kekosongan tersebut dari Sepeaker DUN Kelantan mereka sudah mula bersedia. SPR juga dalam hal kekosongan diManek Urai ini bertindak sangat proaktif. Walaupun masih belum menerima persiaran dari Speaker DUN Kelantan mereka awal-awal lagi telahpun mengumumkan tarikh mesyuarat untuk membincangkan persiapan Pilihanraya Kecil tersebut.

Berikutan dengan krisis PPP yang tidak secara langsung menggugat BN, message Perpaduan yang macam mana pula hendak diterangkan kepada rakyat diManek Urai? Memang ada logiknya jika BN tidak bertanding diManek Urai. Memandangkan pengisian kerusi tersebut tidak mengubah apa-apa. Kerajaan Pakatan (PAS) masih “solid” diKelantan dan BN boleh menumpukan penuh perhatian menyelesaikan masaalah yang sedang menimpa rakan komponen

Kita tidak tahu apakah kayu ukur yang BN guna yang mereka sangat yakin dapat merampas kerusi Manek Urai tersebut tetapi jika ditanya sentimen rakyat tidak kira dimana mereka berada tetap tidak bersetuju dengan apa yang BN lakukan diPerak.
Baca Seterusnya......

Isnin, 18 Mei 2009

Ayah Chik terus pegang teraju PAS

Oleh Roslan SMS

Sebagaimana yang dijangkakan Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, ahli parlimen Marang dan ADUN Rhu Rendang, kekal sebagai Presiden PAS apabila diisytiharkan menang tanpa bertanding sebagai Presiden parti bagi sesi 2009-2011.

Sejak mengambil-alih teraju parti dari Almarhum Ustaz Dato Fadzil Nor ternyata kepimpinan Tuan Guru terus menyerlah sehinggalah membawa PAS ke pencapaiannya yang terbaik pada PRU ke 12 lalu dengan berjaya mengekalkan kuasa di Kelantan selain menawan Kedah, satu negeri yang lama diidamkan oleh parti. Begitu juga PAS berjaya membentuk kerajaan bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat di Perak (sehingga dipermainkan oleh politik pintu belakang), Selangor dan Pulau Pinang.

PAS di bawah kepimpinan beliau juga berupaya mencacakkan panji-panji kemenangan buat pertama kali bagi gerakan Islam ini di Johor dan Negeri Sembilan yang sebelum ini merupakan negeri sukar buat PAS. Malah kejayaan PAS di dua pilihan raya kecil parlimen berturut-turut iaitu di Kuala Terengganu dan Bukit Gantang seakan membuktikan pengiktirafan rakyat terhadap PAS.

Pohon PAS yang ditanam dari benih dengan keringat, darah dan airmata serta pengorbanan dan doa yang tidak putus-putus sejak lebih 50 tahun lalu kini dituai oleh pendukungnya ketika parti di bawah teraju Tuan Guru, ulamak yang diiktiraf oleh kawan dan lawan bukan hanya diperingkat nasional malah diperingkat antarabangsa.

Marilah kita berdoa semoga terus istiqomah dalam perjuangan ini dan semoga Allah swt mengunriakan kekuatan kepada Tuan Guru untuk terus membawa bahtera perjuangan ini mengharungi samudera yang luas dan mencabar bagi menuju destinasi perjuangan, samada kita menang atau syahid kerananya.

Mudah-mudahan keikhlasan dan taqwa seorang ulamak sebagaimana Presiden kita akan membawa kita ke arah memperolehi redha Allah swt sepanjang meniti arus perjuangan ini. Kita yakin dan beriman dengan ayat Allah swt yang bermaksud:

“Sesungguhnya hanyalah yang paling takut pada ALLAH diantara hambanya adalah para ‘ulama’.”

(Faathir: 28)

Pimpinlah kami Tuan Guru berbekalkan panduan al quran dan Sunnah, wala’ dan kesetiaan kami pada anda, insyallah. Tahniah.
Baca Seterusnya......

Ahad, 17 Mei 2009

PASTI: Sumbangan PAS Kepada Negara


16 Mei 2009 bersamaan 21 Jamadil Awal 1430H adalah hari bersejarah bagi warga pendidik .


Sejak hari yang ditarikhkan oleh Penyata Razak sebagai Hari Guru , 16 Mei 2009 [ hari ini ] mencatat sejarah gemilang bagi warga pendidik pra persekolahan Pusat Asuhan Tunas - Tunas Islam [PASTI] , apabila Majlis Sambutan Hari Guru PASTI Malaysia Peringkat Kebangsaan diadakan di Tawau Sabah .


Sambutan ini juga serentak dengan sambutan Jubli Perak PASTI setelah 25 tahun mengharungi segala pahit getir perjuangan memartabatkan sistem pendidikan Islam peringkat Pra Persekolahan di negara ini .
Membawa tema 25 Tahun memimpin Perubahan kini PASTI bertapak gagah di tengah - tengah saingan pendidikan negara dengan memiliki 1700 buah sekolah PASTI di seluruh negara , 3300 guru dan 63, 350 murid .


Alhamdulillah , kini PASTI setelah melalui tempoh usia yang cukup menguji keutuhannya , bukan sahaja bersaing dengan sistem pendidikan pra persekolahan yang dianjurkan oleh Kerajaan tetapi juga tekanan politik dan kekangan tahap keupayaan mandiri tanpa sebarang bantuan dan sokongan dari kerajaan samaada material atau moral .


Kurikulum PASTI akhirnya diakui oleh pakar pendidik sebagai antara yang terbaik dalam negara kita . Alhamdulillah , dengan penuh insaf dan sedar bahawa kami Dewan Pemuda PAS Pusat [ DPPP ] boleh mengatakan bahawa inilah antara mercu tanda kejayaan dan pencapaian DPPP setelah gagasan Kepimpinan Ulama' yang turut meletakkan nama DPPP perkasa di hadapan .

PASTI juga adalah sumbangan besar DPPP kepada ummat Islam dalam membina fikrah dan syakhsiah insan sejak dari awal umurnya bahkan tidak keterlaluan jika DPPP mengisytiharkan bahawa ini juga adalah sumbangan besarnya kepada negara yang tidak boleh di nafikan oleh sesiapa .



Tanpa memandang rendah kepada beberapa kelemahan dan kekurangan yang dihadapi dalam membangunkan PASTI , Pengarahnya En. Azrin Abdul Majid terus memberi komitmen untuk terus memperbaiki segala kelemahan dan sekaligus memperkasakannya demi mempertahankan kewibawaan PASTI di mata dunia .


Kini PASTI bukan sahaja telah dipandang oleh para pengkaji dan penyelidik malah para mahasiswa yang sedang menduduki pengajian peringkat master dan Phd turut menjadikan PASTI sebagai subjek tesis mereka .


PASTI juga turut dibentang sejarah penubuhan , halangan , pencapaian dan kurikulumnya sepanjang ia bertapak di negara ini dibawah keloaan DPPP ke peringkat antarabangsa . Dato' Harun Taib pernah diamanahkan untuk membentang satu kertas kerja berkait sejarah penubuhan , halangan , pencapaian dan kurikulum PASTI ke persidangan Gerakan Islam antarabangsa yang berlangsung di Sudan seketika dulu .


Yb. Salahudin Ayub selaku Ketua DPPP merangkap Ahli PArlimen Kubang Kerian , sewaktu merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru PASTI Malaysia Peringkat Kebangsaan di Tawau sebentar tadi , menegaskan bahawa tempoh 25 tahun PASTI melakar rajah jatuh bangunnya untuk berupaya duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan institusi pengajian pra persekolahan yang lain adalah merupakah langkah mula untuk meneroka kegemilangan yang lebih hebat di masa depan.


DPPP mensasarkan tempoh 25 tahun ke hadapan , PASTI akan berjaya menubuhkan maktab perguruan atau universiti sendiri untuk melahirkan para cendikiawan dan guru yang terus menyumbang kepada pembangunan dan pembinaan insan soleh di peringkat pra persekolahan .



Dewan Pemuda PAS Pusat merakamkan sejuta penghargaan kepada seluruh warga guru PASTI yang cukup gigih dan cekal berkorban membangunkan cita - cita murni bersama falsafah pendidikan Islam PASTI .


Sebahagiannya masih dengan angka gaji di bawah paras kemiskinan negara , tetap setia menumpah khidmat mencurah kasih kepada PASTI . Mereka ini sifatkan oleh Yb. Salahudin sebagai aktivis Gerakan Islam [ PAS ] yang tidak terkenal di bumi tetapi doa dan rintihan mereka pasti didengar oleh Allah swt .


Jasa mereka tidak mungkin dapat dibalas dengan anugerah dan sijil penghargaan tetapi ganjaran Allah swt jua yang setimpal dan wajar buat mereka .


Insyaallah , saya akan berkongsi kisah duka dan bangga seorang tokoh guru PASTI yang telah dinobatkan sebagai Tokoh Guru PASTI Peringkat Kebangsaan dalam posting saya akan datang . Satu kisah yang membuatkan saya dan seluruh warga PASTI mengalirkan air mata sedih dan terharu namun bangga dengan ketabahan dan kejayaannya .


Salam hormat dari saya buat seluruh guru PASTI yang berkampung di Tawau atau pun yang tidak berkesempatan untuk bersama dalam majlis gemilang ini .


baktimu dikenang

Posted by Nasrudin Hassan at Tantawi


Baca Seterusnya......

Sabtu, 16 Mei 2009

Manfaat ilmu cara terbaik hargai jasa guru

Oleh Mohd Shukri Hanapi

GURU insan yang bertanggungjawab mendidik dan memimpin masyarakat. Guru banyak menyumbangkan khidmat membangunkan bangsa dan negara, lebih-lebih lagi membentuk sahsiah pelajar.

Oleh itu, guru perlu mempunyai sahsiah yang baik untuk dicontohi pelajar dalam pembentukan sahsiah mereka. Prof Mohd Kamal Hasan menjelaskan: “Contoh teladan pendidik ini yang banyak membantu pembentukan akhlak pelajar.

Mereka yang seharusnya terlebih dulu dilengkapi ciri akhlak mulia walaupun masyarakat kurang menghargai watak yang berbudi luhur.”

Abdul Halim al-Muhammadi pula menjelaskan, guru ialah ejen kepada keberkesanan pendidikan. Walau sebaik manapun sistem pendidikan, maksud yang ingin disampaikan tidak mencapai matlamatnya jika ejen yang menyampaikan tidak efektif. Kejayaan dan keberkesanan pendidikan berhubung rapat dengan kesedaran guru terhadap tanggungjawab, kelengkapan ilmunya dan keluhuran peribadinya. Kesepaduan antara kemahiran keilmuan dengan keluhuran peribadi adalah kriteria peribadi pendidik yang tidak boleh dipisahkan, sebaliknya jadi contoh berkesan.


Dapat dikatakan, guru bertanggungjawab membentuk tamadun manusia melalui penyebaran ilmu. Jasa guru amat besar, begitu juga pengaruh mereka mendidik serta membimbing pelajar mencapai kecemerlangan hidup. Islam memberi penghormatan yang tinggi kepada guru. Mereka bukan saja berperanan memberi kesedaran kepada diri sendiri, juga kepada kumpulan di bawah bimbingan mereka termasuk dalam hal menjaga hubungan dengan Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya yang takut kepada Allah antara hambanya ialah ahli ilmu.” (Surah Faathir, ayat 28)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Wahai orang beriman, apabila dikatakan kepada kamu berikan sedikit ruang pada majlis, maka berikan ruang, nescaya Allah akan memperluaskan ruang untuk kamu. Allah mengangkat darjat orang yang dikurniakan ilmu kepada mereka dan (ingatlah) Allah itu Maha Mengetahui terhadap apa saja yang kamu kerjakan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Khidmat guru jika dilakukan dengan ikhlas bukan saja dapat melahirkan generasi yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara, malah membuka peluang kepada guru meraih keberkatan serta reda Allah. Tugas guru adalah amanah yang datang dengan tanggungjawab serta beban berat kerana tidak dinafikan mendidik pelajar daripada usia lima tahun (prasekolah) bukan mudah serta memerlukan kesabaran tinggi. Harapan menggunung diletak pada bahu guru sering kali menimbulkan dilema kerana hakikat mendidik pelajar bukan hanya tanggungjawab guru, sebaliknya perlu mendapat sokongan ibu bapa yang menjadi guru di rumah.

Sesungguhnya, amanah menyampaikan ilmu adalah tanggungjawab yang dipersoalkan pada akhirat kelak. Rasulullah SAw bersabda yang bermaksud: “Setiap kamu ialah pemimpin dan setiap kamu juga bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Kedudukan profesion perguruan dalam agama cukup jelas. Segala ilmu disampaikan guru kepada pelajar akan dipertanggungjawabkan pada hari akhirat. Di sini peranan guru meningkatkan usaha serta kreativiti supaya proses pembelajaran dapat dilaksanakan secara berkesan. Justeru, pengorbanan dan kesungguhan guru menghadapi cabaran perlu dibalas dengan kejayaan pelajar menterjemahkan ilmu disampaikan dalam kehidupan mereka. Itulah hadiah paling berharga bagi guru.

Segala penat lelah terbalas apabila melihat pelajar yang dididik serta dibimbing penuh kasih sayang mencapai kejayaan dalam pelajaran seterusnya mencapai kecemerlangan. Justeru, guru perlu diberi penghormatan tinggi selari penghormatan diberikan Islam.

Bagi guru atau pendidik, mereka tidak pernah mengharapkan hadiah bertimbun setiap kali sambutan Hari Guru kerana harapan mereka biar anak didik menjadi insan berilmu dan berguna, seterusnya menyumbang khidmat bakti kepada negara. Guru mengerti usaha mendidik dan membangunkan insan bukan mudah. Meskipun begitu, semangat mereka tidak pernah luntur malah terus berusaha menyusun langkah meneruskan perjuangan demi memikul amanah Allah.

Demikianlah antara peranan guru ketika ini. Mereka bukan saja menjadi ‘qudwah hasanah’ (contoh terbaik) kepada masyarakat, bahkan peranan mereka lebih terbukti apabila negara kita berjaya melahirkan sumber tenaga manusia dalam pelbagai bidang.

Tanggungjawab dan peranan guru tidak dapat dipertikaikan biarpun kadangkala mereka dipersalahkan apabila berlaku kes keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Kecekapan dan keberkesanan peranan guru menerusi sistem pendidikan mampu membina negara bangsa yang berjaya. Guru mempunyai peranan dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.

Aspek pembinaan negara bangsa ini yang dijadikan tema sambutan hari guru pada tahun ini iaitu ‘Guru Pembina Negara Bangsa’. Tema ini bermatlamatkan memperkasakan peranan guru dalam mewujudkan pembangunan modal insan. Pemilihan tema ini sesuai dan tepat dengan peranan guru menjadi harapan bagi memastikan pembentukan jati diri pelajar yang kukuh, berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang teguh kepada agama dan nilai sejagat.
Baca Seterusnya......

Pengikut