Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Rabu, 12 Disember 2007

Bertenang Dan Berwaspada .


Kebelakangan ini jelas memperlihatkan keadaan kerajaan UMNO dan BN kian terdesak apabila mereka terus memperalatkan PDRM untuk menangkap rakyat mereka sendiri dengan hanya kerana menyertai Perhimpunan Aman .

Dewan Pemuda PAS Pusat percaya bahawa ini hanyalah gerak saraf mereka untuk melemahkan daya juang para pimpinan dan aktivis PAS , juga mereka yang bersama dengan Barisan Alternatif menjelang pilihanraya umum yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Kebangkitan rakyat bersama gelombang KUNING yang menuntut perubahan ternyata sangat meresahkan kerajaan UMNO dan BN .
Kegoyahan mereka semakin ketara apabila kebangkitan ini turut disertai oleh pelbagai pihak termasuk badan - badan bukan kerajaan ( NGO ) yang selama ini dilihat tidak respons terhadap perkembangan politik tanahair .

Dewan Pemuda PAS Pusat menegaskan bahawa kami tidak gentar menghadapi apa jua tekanan dan tidak pula lemah menghadapi apa jua rintangan, malah DPP Pusat telah bersedia menghadapi PRU ke 12 ini . Justeru itu , kepada semua ahli - ahli PAS dan seluruh anggota parti kompenan Barisan Alternatif juga termasuk para aktivis masyarakat dan NGO agar tidak "melayan" karenah nakal kerajaan UMNO dan BN .

Pedulikan segala bentuk provokasi dan jangan mudah terpedaya dengan khabar angin yang cuba memerangkap kita ke tengah kemelut perkauman yang sengaja dicipta oleh UMNO dan BN . Sebaliknya , setiap berita yang diterima terutama melalui sms adalah perlu merujuk kepada pimpinan parti bagi mengesahkan keabsahan sesuatu berita yang diterima.

Sikap yang perlu diambil ialah meneruskan segala aktiviti parti sebagaimana biasa , malah mempertingkatkan prestasi guna mendepani pelbagai bentuk ancaman yang tidak pernah luntur termasuklah untuk menghadapi Pilihanraya Umum kelak .

Pengedaran risalah , ceramah umum di luar dari kawasan markaz PAS , dialog rakyat , Jalan - jalan bersama Bersih dan sebagainya mestilah diteruskan dengan lebih aktif tanpa tunduk kepada tekanan dan perang saraf yang dilancarkan oleh UMNO dan BN .

Dewan Pemuda PAS Pusat sekali lagi mengecam tindakan kerajaan UMNO dan BN yang sering memperalat dan memperkudakan pihak PDRM untuk kepentingan pengaruh serta survival kuasa mereka .

Tangkapan yang dilakukan ke atas Tuan Hj. Mohd Sabu ( Naib Presiden PAS ) adalah sangat tidak bermoral dan bertamaddun malah bercanggah dengan etika seorang muslim yang merdeka.

Jelas , nyata dan sangat ketara bahawa kini Malaysia di bawah kerajaan UMNO dan BN yang dipimpin oleh Dato' Seri Abdullah Badawi menuju "Negara Polis" .
Kenyataan Media DPP Pusat
Hj. Nasrudin bin Hj. Hassan at Tantawi
Timbalan Ketua DPP Pusat.
Baca Seterusnya......

Mohamad Sabu dan 16 yang lain bebas dengan ikat jamin

Oleh Azmin Amin

11/12/07- Setelah menunggu hampir 12 jam di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, akhirnya Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu bersama 16 yang lain telah dibebaskan dengan ikat jamin pada jam 9.30 malam tadi.
Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua, masing-masing telah dikenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin manakala Ahli Majlis Tertinggi KeADILan Gobalakrishnan dikenakan ikat jamin sejumlah RM3,000.
Selain itu dua orang yang didakwa telah dikenakan ikat jamin sejumlah RM1,000 memandang mereka masih di bawah umur, masing-masing berumur di antara 16 dan 17 tahun manakala bakinya dikenakan ikat jamin sejumlah RM2,000 seorang.
Kesemua ikat jamin berjumlah RM39,000 telah dibayar secara tunai di kaunter ikat jamin di pejabat pendaftar mahkamah B1 jam 8.00 malam.
Turut hadir sama Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Nawawi; Anuar Tahir,Ronnie Liu (DAP) dan para penyokong sekitar 50 orang beserta puluhan wartawan.Sebelum itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail telah memohon supaya mahkamah menolak permohonan ikat jamin daripada para peguam Orang Kena Tuduh (OKT) dengan alasan kesalahan yang mereka lakukan adalah serius.
Namun setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak termasuk Peguam PAS, Hanipa Maidin yang mewakili Mohamad Sabu dan 10 yang lain, Peguam DK Ganesan (Gobalakrishnan) dan Ranjeet Singh (Tian Chua), Hakim Rozana Ali Yusoff menolak permohonan Ghani tersebut dan telah memberi keputusan kira-kira jam 7.15 malam tadi.
Bagaimanapun, kesemua 17 yang dibebaskan dengan ikat jamin akan dibicarakan pada 11 hingga 13 Februari tahun hadapan.Kes yang dibicarakan di Mahkamah Sesyen 2 itu bermula agak lewat kira-kira jam 4.31 petang memandangkan Ghani Patail sedang melakukan pendakwaan terhadap kes yang berbeza di Mahkamah Sesyen 1 berhubung kes penangkapan 5 peguam dan 4 aktivis yang melakukan perarakan di pusat membeli belah Sogo menuju ke bangunan Bar Council sempena Program Festival Hari Hak Asasi Manusia semalam. - mks.
Baca Seterusnya......

Isnin, 10 Disember 2007

Penangkapan Mohamad Sabu tidak berperikemanusiaan - PAS

Oleh Roy Rasul Mon
Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa menyifatkan tindakan polis menahan Naib Presiden, Mohamad Sabu semalam sebagai tidak berperikemanusiaan. -->

Katanya, ini kerana, cara tangkapan yang dilakukan terhadapnya seolah-olah Mohamad seorang penjenayah.

Apatah lagi, katanya yang dihubungi Harakahdaily hari ini, semasa polis menahan Mohamad dalam perjalan menghantar anak perempuan ke rumah besannya yang membuat kenduri.

"Bagi saya tangkapan tersebut tidak berperikemanusiaan. Lagipun mereka tahu rumah Muhamad Sabu dan ini yang menimbulkan tanda tanya apakah mesej pihak berkuasa.

"Polis juga tahu keluarga tersebut sedangkan mengadakan kenduri kahwin jadi apa perlunya ditahan di tempat seperti itu," katanya.

Sementara itu Mohamad cuba ditahan polis dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang, berdekatan Sunway City, Tambun, Perak, sebaik sahaja selesai menghadiri kenduri kahwin anak perempuannya di rumah pengantin lelaki lebih kurang jam 3 petang semalam.

Harakahdaily hari ini melaporkan, selepas melalui proses yang cukup mendebarkan sejak jam 3.00 petang semalam akhirnya Mohamad disahkan berjaya ditangkap pihak polis di Plaza Tol Bukit Tambun, Seberang Perai Selatan, kira-kira pukul 8.45 malam tadi.

Beliau kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Selatan, di Jawi, Nibong Tebal, Pulau Pinang, untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, semasa berhenti di plaza tol berkenaan, pihak keselamatan cuba melakukan kekerasan, dengan mengugut untuk memecahkan cermin kereta apabila Mohamad Sabu dan rombongannya yang diiringi polis dari Ipoh, Perak enggan "menyerah".

Dipercayai beliau ditahan di bawah Akta Polis, Seksyen 27(5)(a), ekoran perhimpunan aman anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di hadapan Istana Negara, 10 November lalu.

Hari ini, beliau dihadap ke Mahkamah Majistret, Jalan Duta.

Sementara itu Ahli Jawatakuasa PAS Pusat, Dr Lo' LO' Ghazali berkata, yang menghairankan kenapa setelah sebulan berlalu pehimpunan Bersih baru semalam dilakukan tangkapan.

"Adakah polis cuba hendak mewajarkan tindakan itu dengan himpunan Hindraf, sehingga mereka terpaksa bertindak demikian?" soalnya.

Menurutnya, Mohamad adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Naib Presiden, bukannya penjenayah malah beliau berada dalam negara.

"Sekiranya perlu panggil beliau dan tidak perlu ditangkap dalam keadaan beliau menguruskan perkahwinan anaknya.

"Padangan saya polis ego dan sengaja mahu menunjukkan kuasanya yang tidak kena dengan tempat," katanya.

Malah katanya, rakyat berasa sangat kesal kerana penjenayah yang sebenarnya seperti kes merogol dan membunuh Nurin sehingga kini gagal ditangkap.

Katanya, sepatutnya polis menangkap penjenayah seperti itu bukan ahli politik seperti Muhamad Sabu.

Katanya, sewajarnya polis tidak boleh membiarkan integriti mereka 'dicabuli' kerajaan Barisan Nasional.

Tindakan seperti itu dakwanya, akan memberi imej yang semakin buruk kepada pasukan polis dan seterusnya menyebabkan kepercayaan rakyat bertambah tipis. - mns-->
Baca Seterusnya......

Abdullah Dah Mulakan Tangkapan Untuk Lemahkan Penentangnya?

Oleh Ruhanie Ahmad
Ahad, 9 Disember 2007: Polis hari ini menahan Mohamad Sabu (Naib Presiden Pas), di Ipoh; Tian Chua (Ketua Penerangan PKR), di Johor Bahru; serta empat orang peguam dan empat orang aktivis, di Kuala Lumpur.
Penahanan Mohamad Sabu dan Tien Chua dipercayai berkaitan penganjuran gelombang kuning di Kuala Lumpur pada 10 November 2007.
Ia juga dipercayai sebagai langkah menakut-nakutkan orang ramai yang dijangka menunjuk perasaan di hadapan Bangunan Parlimen Malaysia pada 11 Disember 2007 untuk membantah pembentangan rang undang-undang bertujuan menyambung perkhidmatan Tan Rashid Abdul Rahman sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Empat peguam dan empat aktivis terbabit pula ditahan kerana menganjurkan upacara berjalan kaki secara aman dan beramai-ramai daripada pusat membelibelah Sogo menuju ke Bangunan Majlis Peguam kira-kira dua kilometer daripada pusat membelibelah berkenaan, sempena Hari Hak Asasi Manusia esok.
Seluruh tangkapan di atas membuktikan bahawa sebahagian daripada ura-ura yang tersiar dalam blog ini pada Sabtu, 8 Disember 2007, sudah jadi kenyataan.
Perkembangan ini juga membuktikan bahawa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dikatakan dalam keadaan yang sangat tertekan sejak gelombang kuning pada 10 November 2007, kini mula menggunakan beberapa undang-udang tertentu bagi melemahkan kelompok yang menentang pentadbirannya.Sempena tangkapan di atas, Abdullah membuat kenyataan di Petaling Jaya bahawa “kerajaan tidak memilih bulu dalam mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang negara.
”Berasaskan kenyataan ini, moga-moga Abdullah akan menggunakan undang-undang “tanpa mengira bulu” juga walaupun ke atas kroninya yang terlibat dengan apa-apa kesalahan seperti rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dan lain-lainnya.
Dalam pada itu, banyak pihak menyifatkan tangakapan yang dilakukan hari ini pasti akan menyemarakkan lagi rasa marah dan penentangan segolongan rakyat jelata yang kini kecewa dengan kelemahan dan kepincangan pentadbirannya. – Ruhanie Ahmad
Baca Seterusnya......

Penahanan Tidak Akan Menghalang Tindakan

Oleh SuaraKeadilan

Kuala Lumpur, Penahanan Tian Chua, Ketua Penerangan KeADILan, Mohammad Sabu, Naib Presiden PAS, dan 12 lagi individu yang terlibat dalam perarakan BERSIH pada 10 November 2007, tidak akan menghalang tindakan besar-besaran yang sama pada masa yang akan datang, kata Ketua Penerangan Wanita Elizabeth Wong.Begitulah mesej yang disampaikannya dalam kenyataan media yang diperoleh SuaraKeadilan.com hari ini.

Wong juga berkata, “Jika kerajaan percaya bahawa tindakan mereka ini akan dapat menakutkan kami, dan menghalang kami daripada mempertahankan hak kami untuk berkumpul dengan aman, maka mereka telah membuat kesilapan yang besar.”

Tian Chua telah ditahan pada hari Ahad lalu, selepas mengadakan pembentangan di satu forum hak asasi manusia di Johor Baru, sementara Mohamad Sabu pula ditahan semasa majlis perkahwinan anaknya di Ipoh.

Kedua-duanya telahpun dibawa balik dalam tahanan polis ke Kuala Lumpur, dan dijangka akan didakwa bersama 12 lagi ahli Unit Amal PAS pada hari Isnin, 10 Disember, di Mahkamah Majistret Duta, atas tuduhan ‘berkumpul dengan tidak sah’.

Kata Wong lagi, laporan TV3 pada pukul 8 malam tadi bahawa Tian Chua telah dibebaskan dengan ikat-jamin polis satu pembohongan yang nyata.

“Pada pukul 8.42 malam, Tian Chua telah menghantar SMS yang mengatakan bahawa kereta polis yang dinaikinya baru sahaja hendak sampai ke Nilai, dan sedang menuju ke arah lokap Jalan Stadium.”

Wong juga mengecam gangguan yang dibuat terhadap Majlis Peguam Malaysia, lebih-lebih lagi penahanan peguam-peguam dan aktivis pada pagi Ahad lalu, semasa mereka sedang mengadakan perarakan untuk memperingati Hari Hak Asasi Manusia Sedunia.

Dua peguam KeADILan, R. Sivarasa, Naib Presiden KeADILan, dan Latheefa Koya, ahli Majlis Tertinggi KeADILan, telah ditahan, bersama 7 lagi individu.

Wong juga berkata bahawa Biro Penerangan telah dimaklumkan bahawa seorang lagi ahli Majlis Tertinggi, N. Gobalakrishnan, telah juga ditahan pada hari Ahad, dan akan dibawa menghadap Mahkamah Majistret Shah Alam pada hari Isnin ini sebagai individu ke-32 yang akan didakwa atas tuduhan cubaan membunuh seorang pegawai polis semasa perarakan HINDRAF yang lepas.

“Ini merupakan kongkongan terbesar ke atas suara-suara demokrasi sejak Perdana Menteri Abdullah Badawi mengambil alih kuasa empat tahun yang lalu.”

“Tidak mungkin kerajaan tidak sengaja dalam melakukan penahanan besar-besaran dan gangguan yang makin meningkat dalam beberapa minggu yang lepas ini. Nampaknya seperti kerajaan telah memulakan satuoperasi terperinci untuk menghapuskan semua bentuk bangkangan, daripada BERSIH dan HINDRAF hinggalah ke Majlis Peguam Malaysia dan blogger seperti Jeff Ooi.”

“Kami percaya bahawa Abdullah Badawi mungkin telahpun cukup terdesak untuk mengarahkan penahanan Anwar Ibrahim, bersama-sama dengan pemimpin pembangkang yang lain, iaitu Hadi Awang dan Lim Kit Siang - kesemua mereka juga telah hadir di perarakan BERSIH itu,” katanya lagi.

Wong menyeru kerajaan untuk menghormati hak asasi manusia, lebih-lebih lagi memandangkan Malaysia merupakan ahli Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Jika kerajaan tidak mampu memenuhi tanggungjawab mereka dalam mempertahankan dan mendaulatkan kebebasan asasi di Malaysia, maka Malaysia sepatutnya mengosongkan tempatnya dalam Majlis Hak Asasi tersebut,” tegasnya lagi.
Baca Seterusnya......

Pengikut