Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Isnin, 10 Disember 2007

Penahanan Tidak Akan Menghalang Tindakan

Oleh SuaraKeadilan

Kuala Lumpur, Penahanan Tian Chua, Ketua Penerangan KeADILan, Mohammad Sabu, Naib Presiden PAS, dan 12 lagi individu yang terlibat dalam perarakan BERSIH pada 10 November 2007, tidak akan menghalang tindakan besar-besaran yang sama pada masa yang akan datang, kata Ketua Penerangan Wanita Elizabeth Wong.Begitulah mesej yang disampaikannya dalam kenyataan media yang diperoleh SuaraKeadilan.com hari ini.

Wong juga berkata, “Jika kerajaan percaya bahawa tindakan mereka ini akan dapat menakutkan kami, dan menghalang kami daripada mempertahankan hak kami untuk berkumpul dengan aman, maka mereka telah membuat kesilapan yang besar.”

Tian Chua telah ditahan pada hari Ahad lalu, selepas mengadakan pembentangan di satu forum hak asasi manusia di Johor Baru, sementara Mohamad Sabu pula ditahan semasa majlis perkahwinan anaknya di Ipoh.

Kedua-duanya telahpun dibawa balik dalam tahanan polis ke Kuala Lumpur, dan dijangka akan didakwa bersama 12 lagi ahli Unit Amal PAS pada hari Isnin, 10 Disember, di Mahkamah Majistret Duta, atas tuduhan ‘berkumpul dengan tidak sah’.

Kata Wong lagi, laporan TV3 pada pukul 8 malam tadi bahawa Tian Chua telah dibebaskan dengan ikat-jamin polis satu pembohongan yang nyata.

“Pada pukul 8.42 malam, Tian Chua telah menghantar SMS yang mengatakan bahawa kereta polis yang dinaikinya baru sahaja hendak sampai ke Nilai, dan sedang menuju ke arah lokap Jalan Stadium.”

Wong juga mengecam gangguan yang dibuat terhadap Majlis Peguam Malaysia, lebih-lebih lagi penahanan peguam-peguam dan aktivis pada pagi Ahad lalu, semasa mereka sedang mengadakan perarakan untuk memperingati Hari Hak Asasi Manusia Sedunia.

Dua peguam KeADILan, R. Sivarasa, Naib Presiden KeADILan, dan Latheefa Koya, ahli Majlis Tertinggi KeADILan, telah ditahan, bersama 7 lagi individu.

Wong juga berkata bahawa Biro Penerangan telah dimaklumkan bahawa seorang lagi ahli Majlis Tertinggi, N. Gobalakrishnan, telah juga ditahan pada hari Ahad, dan akan dibawa menghadap Mahkamah Majistret Shah Alam pada hari Isnin ini sebagai individu ke-32 yang akan didakwa atas tuduhan cubaan membunuh seorang pegawai polis semasa perarakan HINDRAF yang lepas.

“Ini merupakan kongkongan terbesar ke atas suara-suara demokrasi sejak Perdana Menteri Abdullah Badawi mengambil alih kuasa empat tahun yang lalu.”

“Tidak mungkin kerajaan tidak sengaja dalam melakukan penahanan besar-besaran dan gangguan yang makin meningkat dalam beberapa minggu yang lepas ini. Nampaknya seperti kerajaan telah memulakan satuoperasi terperinci untuk menghapuskan semua bentuk bangkangan, daripada BERSIH dan HINDRAF hinggalah ke Majlis Peguam Malaysia dan blogger seperti Jeff Ooi.”

“Kami percaya bahawa Abdullah Badawi mungkin telahpun cukup terdesak untuk mengarahkan penahanan Anwar Ibrahim, bersama-sama dengan pemimpin pembangkang yang lain, iaitu Hadi Awang dan Lim Kit Siang - kesemua mereka juga telah hadir di perarakan BERSIH itu,” katanya lagi.

Wong menyeru kerajaan untuk menghormati hak asasi manusia, lebih-lebih lagi memandangkan Malaysia merupakan ahli Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Jika kerajaan tidak mampu memenuhi tanggungjawab mereka dalam mempertahankan dan mendaulatkan kebebasan asasi di Malaysia, maka Malaysia sepatutnya mengosongkan tempatnya dalam Majlis Hak Asasi tersebut,” tegasnya lagi.

Tiada ulasan:

Pengikut