Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Selasa, 15 Julai 2008

Pemuda desak siswa IPT Pakatan dibenar dekati politik

oleh Jimadie Shah Othman

Pemimpin-pemimpin Pemuda menggesa Pakatan Rakyat membenarkan para pelajar mereka di institusi pengajian tinggi (IPT) - yang dimiliki kerajaan negeri - mendekati politik seperti kelulusan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Pergerakan Pemuda PKR, PAS dan DAP pada dasarnya menyokong usaha membuka ruang kebebasan di kampus di negeri Pakatan seperti UniMAP yang ditadbir Kementerian Pengajian Tinggi.

Angkatan Muda PKR berhasrat menulis surat kepada semua naib canselor dan menteri besar di negeri Pakatan minggu ini, kata ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin apabila diminta mengulas gesaan persatuan-persatuan siswa minggu lepas.

"Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan menulis surat kepada semua naib canselor dan menteri besar di negeri-negeri Pakatan Rakyat supaya membuka ruang kepada mahasiswa terlibat dalam politik di kampus," katanya.

Awal bulan ini, naib canselor UniMAP Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, dengan mendekati politik secara positif, penuntut akan terdedah kepada kemahiran berpidato, berhujah, berfikiran terbuka dan berani berhadapan dengan masyarakat.

Walaupun diberikan kebebasan itu, beliau dilaporkan yakin penuntut universitinya tidak akan melanggar AUKU.

"Setakat ini UniMAP bersih daripada sebarang rekod buruk sepanjang saya menjadi naib canselor selama enam tahun dan mereka faham hasrat universiti untuk melahirkan jurutera berkaliber dan serba boleh," Dr Kamarudin dipetik sebagai berkata.

Susulan itu, Jumaat lepas, persatuan-persatuan mahasiswa memberitahu Malaysiakini, mereka menyeru kerajaan di negeri Pakatan mengikut jejak langkah UniMAP.PKR, DAP dan PAS - sebelum menguasai empat lagi negeri dalam pilihanraya umum Mac lalu - sering menyuarakan isu kebebasan bersuara di IPT, termasuk berkempen bagi memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Parti Mahasiswa Negara (PMN), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) menyokong sekiranya kerajaan Pakatan - misalnya Universiti Industri Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Antarabangsa Islam Selangor (Kuis) yang dimiliki kerajaan negeri - membuat keputusan mengambil pendekatan yang sama dengan UniMAP. Shamsul mengambil contoh pengamalan di negara-negara maju yang berbuat demikian dan membolehkan penuntut mereka mencapai "kematangan idea dan pemahaman tentang demokrasi".

"Di negara-negara maju seperti di United Kingdom, ada pemuda Parti Buruh, ada pemuda Parti Konservatif sebagai sayap Pemuda.

Ada juga cawangan-cawangan parti politik di kampus.

Pendedahan itu akan mematangkan idea dan pemahaman tentang demokrasi di kalangan mahasiswa," katanya kepada Malaysiakini hari ini.Beliau bagaimanapun berpendapat, mahasiswa tidak harus melibatkan politik kepartian semata-mata tetapi "politik baru dan ilmiah".

"Bukan sahaja (terlibat dengan) politik kepartian, sebaliknya wacana politik ilmiah, politik baru - (keadaan) ini tidak berlalu di universiti.

"(Perdebatan) isu nasional seperti harga minyak, sepatutnya dianjurkan oleh mahasiswa, (sebaliknya) kena dibuat oleh Agendadaily.com.

"Ia menunjukkan mahasiswa sudah sekian lama ditakutkan."Esok laman web berita itu akan menganjurkan debat berhubung isu kenaikan harga minyak antara ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menteri penerangan Datuk Shabery Cheek dan dijangka disiarkan secara langsung di dua saluran televisyen.

Timbalan ketua penerangan Pemuda PAS, Abdullah Abdul Karim turut meminta kerajaan Selangor memberi kelonggaran kepada mahasiswa di dua IPT yang dimilikinya supaya memberi kelonggaran kepada mahasiswa terlibat dalam politik.

"Yang diperlukan adalah ketelusan dan keberanian (Selangor). Ada ruang (melaksanakannya). Saya mohon, saya minta Selangor memberi kelonggaran dalam hal ini.

"Tindakan ini bukan bermakna membuka cawangan parti politik dalam universiti, bukan bermakna partisan.

"Tetapi (dengan) membenarkan mahasiswa terlibat dalam persatuan, berdebat, pastikan pilihanraya kampus adil, boleh membuka minda mahasiswa.

Dan hak ini dijamin oleh Perlembagaan (Persekutuan)," katanya.

Menurutnya, Selangor belum membuka ruang berpolitik kepada mahasiswa, berbanding UniMAP, kerana Pakatan "belum mempunyai pengalaman mentadbir"Menurut bekas presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini, banyak lagi reformasi akan diperkenalkan oleh kerajaan-kerajaan Pakatan. "Beri sedikit ruang.

Banyak pandangan dikemukakan, akan ada perubahan," katanya.

Setiausaha Pemuda DAP Loke Siew Fook berkata menyerahkan keputusan mendekati mahasiswa dengan politik kepada kerajaan negeri."Terpulang kepada dasar kerajaan negeri," katanya.

Mengulas peruntukan dalam AUKU yang membenarkan naib canselor memberikan kelonggaran kepada mahasiswa mendekati politik, Loke berkata "perkara itu adalah hak pelajar sebagai warganegara dan tidak perlu meminta kebenaran naib canselor".

Penglibatan mahasiswa untuk terlibat dalam politik kepartian, walaupun itu haknya, tetapi bukanlah objektif akhir, tambahnya."Yang penting, suasana kebebasan di universiti.

Kebebasan akademik, kebebasan membuat kajian walaupun kritikal, pemilihan dekan dikembalikan kepada golongan akademik tanpa campur tangan pemerintah. "Itu yang penting," tambahnya, yang juga ahli parlimen Rasah.

Baca Seterusnya......

Jumaat, 27 Jun 2008

Jom Contact "Kekasih"... ^_^

Jom Contact "Kekasih"... ^_^


"Ibnu Mas'ud ra berkata : Telah disebutkan seseorang lelaki di sisi Rasulullah saw yang sentiasa tidur sahaja sampai waktu subuh sehingga tidak pernah mendirikan solat malam. Maka Rasulullah saw telah bersabda : Bahawa lelaki itu telah dikencingi syaitan di telinganya.."
(BUKHARI MUSLIM & AN-NASA'I)

Satu cara paling ideal bagi seorang Muslim untuk berhubungan dengan Allah ialah mengerjakan ibadat pada waktu tengah malam, ketika suasana sunyi sepi dengan kebanyakan makhluk nyenyak tidur dan penuh kesejukan.

Pada waktu itu seorang Muslim boleh beristighfar, memuji, mensuci dan membesarkan Allah, malah mengerjakan solat sunat tahajud serta solat taubat.

Bagaimanapun, bukan satu perkara mudah untuk bangun dari tidur sedang orang lain lena dibuai mimpi. Bukan mudah untuk berwuduk dalam kedinginan malam yang mencengkam tulang dan bukan sesuatu yang mudah untuk mengangkat takbir menghadap Allah dalam keadaan mata terkebil-kebil.

Justeru, tidak ramai yang boleh bangun bertahajud, walaupun mengetahui banyak kelebihannya kecuali mereka yang benar-benar tertarik dengan keindahan Allah, berbanding keindahan mimpi di dalam tidurnya.

"Dan dari malam, hendaklah engkau bertahajud (tinggalkan tidur untuk solat) semoga Tuhan-Mu mengangkat kamu pada kedudukan yang terpuji." (al-Isra: 79)

Solat tahajud adalah satu peluang keemasan ditawarkan kepada manusia untuk mengeratkan perhubungan mereka dengan Allah.

Kesusahan hanya dirasai mereka yang jarang atau tidak pernah melakukannya, tetapi bagi mereka yang biasa, ia menjadi satu kenikmatan pula. Malah, bagi yang dapat menghayatinya mereka akan berasa kerugian besar jika tertinggal daripada mengerjakan solat berkenaan.

Pada sepertiga malam pintu langit terbuka luas menerima taubat hamba-Nya. Malaikat membawa kendi emas untuk mengumpul air mata taubat bagi menyiram api neraka yang sedia menanti untuk membakar tubuh manusia di akhirat nanti.

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Allah s.w.t sayang kepada lelaki yang bangun malam kemudian mengerjakan solat dan akan membangunkan isterinya manakala kalau isterinya enggan, dipercikkan air di wajahnya. Allah s.w.t sayangkan perempuan yang bangun malam kemudian mengerjakan solat dan membangunkan suaminya manakala jika suaminya enggan, dipercikkan air ke wajahnya." (Hadis riwayat Abu Daud)

Amalan solat tahajud bukan hanya diamalkan Nabi Muhammad s.a.w, malah ia diamalkan umat nabi sebelumnya. Ini bererti perintah mengerjakan tahajud bukanlah dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w semata-mata.

Saidina Umar al-Khattab menyatakan kelebihan solat malam dengan berkata: "Sesiapa mengerjakan solat malam (tahajud) dengan khusyuk nescaya dianugerahkan Allah sembilan perkara, lima di dunia dan empat di akhirat." Kurniaan di dunia ialah:-

  1. Jauh daripada segala penyakit
  2. Lahir kesan takwa pada wajahnya
  3. Dikasihi sekelian mukmin dan seluruh manusia
  4. Percakapannya mengandungi hikmah (kebijaksanaan)
  5. Dikurniakan kekuatan dan diberi rezeki dalam agama (halal dan diberkati)


Sementara empat perkara di akhirat ialah:-

  1. Dibangkitkan dari kubur dengan wajah berseri-seri
  2. Dipermudahkan hisab
  3. Cepat melalui sirat al-Mustaqim seperti kilat
  4. Diserahkan suratan amalan pada hari akhirat melalui tangan kanan.'

http://afzanurrahman.blogspot.com/
Read more!
Baca Seterusnya......

Khamis, 15 Mei 2008

SUMBANGAN DIPERLUKAN UNTUK HIMPUNAN PEMUDA SEMPENA MUKTAMAR TAHUNAN DPPNK KE 42

Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah akan menganjurkan Himpunan Pemuda Memelihara Kemenangan PAS Kedah sempena Muktamar Tahunan DPPNK ke 42 yang akan diadakan pada 13 &14 Jun 2008 bertempat di Kompleks PAS Kedah, Km 13, Jln Alor Star-Sg.Petani, Simpang Empat Alor Star, Kedah.

Himpunan ini akan mengumpulkan seramai 3000 orang pemuda PAS dari seluruh Kedah pada malam tersebut dengan tujuan untuk :-

  • Menghimpun amilin pemuda disemua peringkat berikrar untuk mengisi dan memelihara kemenangan dan menerima taujihat pimpinan.
  • Menjadikan pemuda berdaftar menjadi ahli pemuda
  • Meraikan pemuda kedah dalam kemenangan pilihanraya

Himpunan ini akan dirasmikan oleh YAB Ust Hj Azizan bin Abd. Razak, Menteri Besar Kedah dan Ucapan daripadaUst Nasaruddin Hassan Tantawi Timbalan Ketua DPP Pusat.

Sehubungan dengan itu pihak DPPNK membuka peluang kepada orang ramai untuk memberi sumbangan bagi menjayakan himpunan dan Muktamar ini.

Sebarang sumbangan boleh dihantar kepada Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah, Kompleks PAS Kedah, KM 13, Jln Alor Star- Sg. Petani, Simpang Empat 06650 Alor Star, Kedah atau di Bank in ke akaun DPPNK no akaun BIMB 2011010009300.

jika ada sebarang maklumat lanjut sila hubungi pejabat DPPNK 04 7481120 Fax : 04 7481123 atau emel : dppnkedah@yahoo.com.Harap maklum.

Baca Seterusnya......

Sabtu, 10 Mei 2008

"Program Gotong Royong Bersama Rakyat"

Sukarelawan Pemuda PAS Kubang Pasu Bersama Dengan Penduduk Kampung Tebing Bergotong Royong bersihkan kawasan kubur.
Pada 9hb Mei 2008
Jam 8.30 pagi
Di Kampung Tebing,Napoh Jitra














Baca Seterusnya......

Jumaat, 2 Mei 2008

Politeknik perlu utamakan pengajian agama

JITRA 1 Mei - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah, pengajian dalam bidang agama seperti Syariah dan Usuluddin perlu diperluaskan ke politeknik-politeknik dengan dijadikan bidang minor di samping pengkhususan yang sedia ada.

Baginda bertitah, pengkhususan dalam bidang-bidang teknikal yang tertentu seperti perakaunan, multimedia dan sebagainya akan lebih bermakna dan efisien jika digabungkan dengan minor dalam bidang agama.

"Usaha dan langkah sesetengah institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang menawarkan program-program berkembar sebagai major dan minor perlu dicontohi politeknik.

"Ini penting bagi melahirkan graduan yang serba boleh dan berakhlak mulia serta menguasai ilmu dunia dan akhirat," titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Konvokesyen Ke-22 Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah di Dewan Wawasan di sini kelmarin.

Turut berangkat Sultanah Kedah, Sultanah Haminah Hamidun dan Menteri Besar, Azizan Abdul Razak.

Sultan Abdul Halim bertitah, sebagai permulaan politeknik-politeknik boleh menawarkan program Diploma Syariah dan Perakaunan atau Diploma Usuluddin dan Multimedia.

"Dengan adanya program berkembar seperti ini, ia bukan sahaja dapat mewujudkan kepelbagaian disiplin ilmu tetapi dapat memberi peluang kepada pelajar aliran agama meneruskan pengajian dalam bidang teknikal.

"Beta yakin melalui program seperti ini, pelajar-pelajar daripada luar negara akan berminat untuk meneruskan pengajian mereka di sini dan inilah antara agenda kita untuk mengantarabangsakan institusi pengajian tinggi negara," titah baginda.

Baginda juga mengingatkan, graduan-graduan agar menggunakan ilmu dan kepakaran yang mereka peroleh dengan sebaik-baiknya serta menjalankan tanggungjawab dan tugas yang telah diberikan dengan amanah dan bertanggungjawab.

"Curahkan apa yang ada demi untuk kemajuan agama, bangsa dan negara dan jangan berpuas hati dengan ilmu yang sedia ada.

"Teruskanlah menerokai ilmu kerana sejarah tamadun manusia menunjukkan bahawa bangsa yang berjaya adalah mereka yang sentiasa menerokai ilmu," titah baginda.

Baca Seterusnya......

Pengikut