Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Isnin, 14 April 2014

PAS: Tahaaluf siasi dan hudud

Oleh NASRUDIN BIN HASSAN

1.Tahaaluf Siasi ialah Kerjasama Politik. Ia dijalin dengan parti yang berbeza ideologi untuk bekerjasama dalam mendepani perkara yang disepakati bersama seperti membasmi rasuah, menentang kezaliman dan menolak penindasan. Terdapat di sana perkara yang tidak disepakati, maka ia urusan perjuangan dan tindakan parti masing-masing. 

 2.Tahaaluf Siasi adalah kerjasama politik. Justeru itu, ia hanya mencakupi urusan politik tanpa sekali-kali melibatkan dasar dan prinsip parti yang diperjuangkan. Masing-masing parti yang menjadi kompenan tahaaluf siasi tidak boleh mencampuri, memaksa apatah lagi menghalang dasar perjuangan yang dianut oleh parti-parti kompenan yang lain.

3.Tahaaluf Siasi adalah kerjasama politik bukan kerjasama dasar perjuangan, juga bukan kerjasama fikrah, ibadah dan akidah. Ia kekal menjadi parti yang berbeza dengan sempadan masing-masing namun bekerjasama di antara satu sama lain dalam perkara yang dimeterai bersama.

4.Hudud ialah Kanun Jenayah Syariah Islam yang adil dan bijaksana justeru ia adalah bersumber daripada Allah SWT Tuhan yang mencipta manusia dan sekelian alam. Suatu yang telah ditetapkan oleh Allah SWT secara muhkamat lagi muktamad di dalam al-Quranil Karim dan ia merupakan sebahagian daripada Syariat Islam yang wajib ditegakkan oleh hamba Allah SWT sebagai khalifah di atas muka bumi ini.

5.Hudud adalah hukum Islam dan ia sebahagian daripada keseluruhan Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS malah termaktub di dalam perlembagaan PAS bahawa Islam adalah dasar PAS. Benar, ia bukan agenda dan perjuangan Pakatan Rakyat tetapi ia adalah dasar dan agenda perjuangan PAS. Insya-Allah PAS akan mengemukakan Private Bill di Parlimen ke arah implementation Kanun Jenayah Syariah Islam II (Hudud) di Kelantan setelah sekian lama ia di luluskan di DUN Kelantan.

6.Hudud adalah juzuk Islam yang tidak boleh diperkecilkan. Ia adalah solusi kepada isu nasional yang sekian lama buntu ditangani oleh undang-undang dan peraturan manusia. Ini adalah masa terbaik untuk PAS mengemukakannya ke Parlimen, sementelah pula Menteri di Jabatan Menteri membuka laluan agar Private Bill dibentang pada sidang Dewan Rakyat akan datang. Ahli Parlimen muslim sewajibnya menyokong demikian juga Ahli Parlimen non muslim diharapkan turut memberi sokongan kerana ia adalah undang-undang Allah SWT yang adil untuk semua.

7.Justeru, membentang "Private Bill" Kanun Jenayah Syariah Islam (Hudud) ke Parlimen tidak akan menjejaskan Tahaaluf Siasi atau kerjasama politik PAS dengan parti-parti rakan yang lain. Sebagaimana Tahaaluf Siasi juga bukanlah penghalang untuk PAS membentang Private Bill tersebut ke Parlimen.

Tiada ulasan:

Pengikut