Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Ahad, 19 Mei 2013

Pemuda: Susun Saff, Atur Langkah dan Kukuhkan Tarbiyah

1. Pilihanraya umum ke 13 baru saja berlalu. Keputusannya sangat memberangsangkan meskipun kita belum berjaya capai target ke Putrajaya apabila 53 peratus undi atau sokongan rakyat adalah bersama kita Pakatan Rakyat.

2. Jelasnya perjuangan kita belum selesai. Perjuangan kita belum tamat. Kejayaan yang kita buru dan kemenangan yang kita dambakan bukan hanya sekadar Putrajaya yang terhenti di sempadan dunia tetapi apa yang kita buru dan dambakan ialah Syurgajaya yang melepasi hingga ke sempadan akhirat.

3. Justeru itu raikanlah kemenangan atau kejayaan dengan sederhana. Penuh tawadhu' dan insaf terhadap amanah kepimpinan yang terbeban ke atas kita. Raikan kemenangan dengan bertasbih kepada Allah dan istighfar mohon ampun kepadaNya. Jangan biar kelekaan mempengaruhi dan kelalaian menguasai diri kita. Kita adalah pejuang !
4. Tiada lagi masa rehat. Perjalanan kita masih jauh. Bangkit segera untuk melunaskan amanah perjuangan dan tanggungjawab kepimpinan ini. Berjuang untuk daulatkan syariah Allah swt dan tinggikan izzah ummah serta makmurkan muka bumi ini dengan akhlak mulia, keadilan dan nilai murni merentas kaum, bangsa, warna kulit dan bahasa lidah.

5. Susunlah saff kita dengan rapat tanpa beri peluang kepada musuh masuk menyelinap.

Aturlah langkah kita dengan mantap dan pantas mendepani cabaran dan tribulasi tanpa mengeluh dan gelisah.

Kukuhkan pembinaan tarbiyah Amal Islami pada setiap anggota dan kepimpinan pemuda sebagai pelapis perjuangan ini tanpa culas dan mengelak diri dari proses pembentukan aqidah yang soheh [ benar ], syakhsiah yang soleh [ baik ] dan fikrah yang soreh [ jelas ].

Nasrudin bin Hassan
Ketua DPPM

Tiada ulasan:

Pengikut