Oleh Shahbudin Husin
Sementara Anwar dan Pakatan Rakyat terus memperhebatkan tekanan menolak keputusan
piliharaya lalu dengan siri perhimpunan aman diteruskan lagi ke
beberapa negeri, kabinet yang dibentuk Najib turut mulai bergelora.
Bermula dengan Joseph Salang Gandum dari Parti Rakyat Sarawak atau PRS
menolak perlantikannya sebagai timbalan menteri, majlis tertinggi parti
itu juga membuat keputusan terbaru iaitu menolak sebarang jawatan yang
ditawarkan Najib.
Ini bermakna, seorang lagi Ahli Parlimen PRS,
Joseph Entulu yang sebelum ini dilantik sebagai Menteri Di Jabatan
Perdana Menteri, turut dianggap menolak perlantikan itu berasaskan
keputusan yang dibuat oleh PRS itu.
Sebagaimana yang
dilaporkan oleh Free Malaysia Today, Presiden PRS James Masing berkata,
majoriti pimpinan tertinggi parti menolak perlantikan yang dibuat oleh
Najib kerana berasa dianaktirikan dari segi pembahagian kerusi kabinet
berasaskan sumbangan enam kerusi Parlimen yang disumbangkan daripada
133 yang dimenangi oleh BN.
Berbanding MIC misalnya yang menang
empat kerusi Parlimen tetapi diberikan dua jawatan menteri dan tiga
timbalan menteri, pimpinan PRS merasakan pembahagian yang dilakukan
oleh Najib sebagai tidak adil dan mereka berhak mendapat lebih daripada
satu menteri dan satu timbalan menteri sepertimana yang diberikan oleh
Najib.
Hanya bermula dengan tindakan Joseph Salang Gandum yang
tidak puas hati kerana hanya diberikan jawatan timbalan sedangkan
beliau mengharapkan diberi jawatan menteri, tindakan PRS ini bakal
menimbulkan gelora yang lebih besar kepada Najib dan BN.
Walaupun bakal mengemukakan permintaan kepada Najib supaya diberikan
keadilan, James Masing masih enggan memberitahu tindakan yang bakal
diambil oleh PRS jika permintaan mereka gagal dipenuhi oleh Najib.
Hakikatnya PRS sudah mula mengemukakan ugutan kepada Najib dan pilihan
yang boleh diambilnya selepas itu tidaklah sukar difahami.
Dengan enam kerusi Parlimen yang dimilikinya, kuasa tawar-menawar yang dimiliki PRS bolehlah dikira bernilai tinggi.
Dalam masa yang sama sebuah lagi parti di Sarawak iaitu Parti Progresif
Demokratik Sarawak atau SPDP turut meluahkan rasa tidak puas hati
dalam pengagihan kerusi kabinet kali ini. Parti itu yang menang empat
kerusi Parlimen dalam pilihanraya lalu, langsung tidak diberikan
apa-apa jawatan oleh Najib.
Sumbangan empat kerusi Parlimen
seolah-olah langsung tidak dihargai oleh Najib dan kini sudah timbul
desakan agar parti itu menimbangkan kedudukannya dalam BN. Ia diakui
oleh Setiausaha Agung parti itu sendiri. Ini kerana parti itu sebelum
ini menjangkakan mereka sekurang-kurangnya akan ditawarkan satu jawatan
menteri dan satu timbalan menteri atau dua jawatan timbalan menteri,
lebih-lebih lagi salah seorang Ahli Parlimennya dari Bintulu, Tiong
King Sing adalah juga Pengerusi BNBBC dan tokoh yang agak dikenali
umum.
Sehingga ini dua parti dari Sarawak iaitu PRS dan SPDP
dengan jumlah 10 kerusi Parlimen sudah secara terbuka meluahkan rasa
tidak puas hati terhadap Najib berikutan perlantikan jawatan kabinet
yang baru berusia tiga hari. Apakah selepas ini ada pihak-pihak lain
lagi yang meluahkan perasaan yang sama? Atau mungkinkah kedudukan
kabinet Najib terus bergoncang lagi?
Di Semenanjung pula, rasa
tidak puas hati daripada kalangan UMNO terhadap kabinet Najib memang
banyak kedengaran di mana-mana. Selain Kedah yang menyumbang 10 kerusi
Parlimen tetapi hanya diberikan satu jawatan menteri dan dua timbalan
menteri, di Selangor juga kedengaran nada yang sama berikutan ketiadaan
langsung menteri daripada negeri itu, sebaliknya hanya seorang
timbalan menteri saja iaitu Noriah Kasnon.
Beberapa perlantikan
menteri dan timbalan menteri turut menjadi persoalan di kalangan
rakyat dan ahli UMNO sendiri berikutan terdapat perlantikan yang dibuat
Najib dilihat bukan berasaskan merit dan mahu melakukan peremajaan
dalam parti sebaliknya lebih berasaskan balas budi semata-mata.
Perlantikan Shahidan Kassim dan Idris Jusoh sebagai menteri nyata
menghalang proses peremajaan dan hasrat ingin memberi peluang kepada
tokoh-tokoh muda kerana keduanya dianggap sebagai pemimpin kitar semula
dan sudah berusia. Begitu juga Tajuddin Rahman sebagai timbalan menteri
turut tidak memberi makna kepada peremajaan parti kerana jawatan itu
sewajarnya diperuntukkan kepada tokoh-tokoh lain yang lebih muda.
Paul Low dari Transperancy International Malaysia pula dilantik sebagai
menteri semata-mata kerana balas budi berikutan tindakannya membawa
Najib menandatangi Ikrar Intergriti dipercayai telah melonjakkan
keyakinan rakyat dan memberi kelebihan kepada Najib memenangi
pilihanraya. Kerana beliau dianggap berbudi, maka ia dibalas dengan
jawatan menteri walaupun seharusnya Najib membawa tokoh korporat atau
profesional Cina yang lebih muda jika ingin memenangi hati pengundi
Cina.
Begitu juga dengan perlantikan pemimpin Hindraf P
Waythamoorthy, sebuah NGO mirip Perkasa, sebagai timbalan menteri
adalah juga kerana membalas budi berikutan sokongan terbukanya kepada
BN menjelang pilihanraya lalu sambil menandatangi perjanjian bersama
Najib mengenai kepentingan kaum India yang seharusnya mendapat
pembelaan daripada kerajaan. Kerana Najib percaya sokongan Hindraf itu
membukan laluan kepada sokongan pengundi India yang lebih ramai, maka
beliau diberikan ganjaran timbalan menteri.
Perlantikan
pemimpin Hindraf itu bukan saja mendapat bantahan daripada Pemuda MIC
yang merasakan IPF lebih baik jika ingin diberikan jawatan itu, malah
ia juga menyebabkan imej Najib dengan dasar 1Malaysianya telah
ditenggelamkan oleh perbuatannya sendiri.
Belum pun seminggu
usia kabinet yang dibentuk Najib, unsur-unsur penolakan sudah pun mula
kelihatan. Bermula dengan PRS dan SPDP yang merangkumi 10 kerusi
Parlimen, jika ia gagal ditangani dan ditambah pula dengan beberapa
Ahli Parlimen UMNO sendiri yang jelas rasa tidak puas hatinya di
sana-sini, andai ia juga gagal dibendung, kebarangkalian untuk BN terus
goyah dan tersungkur, tidak boleh dipandang mudah.
Jika ada diantara mereka ini memulakan langkah meninggalkan BN, yang lain hanya menunggu masa saja menuruti langkah yang sama.
Dengan PR mempunyai 89 kerusi Parlimen dan hanya kekurangan 23 kerusi
lagi untuk membentuk kerajaan baru, mereka yang tidak berpuas hati ini
barangkali hanya menunggu lamaran dan jika hantarannya bersesuaian,
mengapa tidak! Lagi pula, politik adalah seni yang serba mungkin.
http://shahbudindotcom.blogspot.com/
Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini
Ahad, 19 Mei 2013
Kabinet Najib Bakal Tersungkur?
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan