Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Jumaat, 18 Januari 2013

Makna Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka

Oleh Beruang Hijau

Ketegasan penganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat supaya acara itu diadakan di Stadium Merdeka dan tidak di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 12 Januari mempunyai makna tersendiri.


Sememangnya dari segi logistik, strategik dan historikal, Stadium Merdeka adalah lebih baik daripada Stadium Nasional sebagai venu perhimpunan rakyat. Namun di sini hendak diceritakan lebih mendalam lagi makna Stadium Merdeka berbanding Stadium Nasional.
Pertamanya, nama stadium itu sendiri mempunyai keistimewaannya. Merdeka adalah perkataan keramat yang bukan saja bermaksud terlepas daripada penjajahan tetapi bebas dalam kehidupan dan pemikiran. Kata-kata merdeka itu adalah inti demokrasi.

Sementara nasional juga adalah perkataan istimewa. Ia bermaksud kebangsaan. Namun perkataan merdeka itu lebih istimewa daripada nasional. Mungkin adalah suatu kebetulan, tetapi tidakkah gabungan parti yang memerintah sekarang namanya Barisan Nasional?

Sedangkan gabungan parti yang hendak menentang Barisan Nasional bernama Pakatan Rakyat. Justeru adalah lebih manis bagi Pakatan Rakyat untuk mengadakan perhimpunan di stadium yang tidak bernama nasional.

Bukanlah nama nasional itu salah. Cumanya perbezaan nama memudahkan untuk pengenalan. Seperti di Amerika Syarikat, Republikan dan Demokrat sedangkan kedua-duanya menyokong gagasan republik dan demokrasi.

Sungguhpun begitu, Keadilan pun pada mulanya bernama Parti Keadilan Nasional. Tetapi apabila digabungkan dengan Parti Rakyat Malaysia, maka kini ia menjadi Parti Keadilan Rakyat.

Namun, ada suatu persamaan antara Parti Keadilan Nasional dan Stadium Nasional. Kedua-duanya diwujudkan pada tahun yang sama iaitu 1999, menjelang pilihan raya ke-10.

Parti Keadilan Nasional ditubuhkan daripada asas sebuah NGO bernama Adil yang antara lain dilahirkan sebagai wadah penggerak Reformasi ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Gerakan Reformasi itu juga boleh dikatakan sebagai gema daripada kebangkitan di Jakarta. Antara tokoh penting Reformasi di Indonesia ialah Amien Rais, seorang sahabat Anwar yang menubuhkan Partai Amanat Nasional (PAN).

Perkataan nasional bagaimanapun digunakan oleh Indonesia sejak sebelum merdeka lagi. Pejuang kemerdekaan dipanggil nasionalis. Parti pelopornya ialah Partai Nasional Indonesia (PNI).

Tetapi di Malaya, perkataan nasional tidak digunakan. Sebaliknya istilah yang digunakan ialah kebangsaan. Maka parti politik Melayu pertama ialah Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang seperti juga PNI mengambil Merdeka sebagai slogan.

Apabila orang Melayu bergabung, yang diwujudkan ialah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) tetapi slogannya bukanlah Merdeka.

PKMM keluar Umno dan menubuhkan gabungan Pusat Tenaga Rakyat (Putera) dengan laungannya ialah juga Merdeka. Salah satu anggotanya ialah Gerakan Rakyat Muda (Geram) pimpinan Samad Ismail. Maka kedua-dua  badan politik ini menjadi antara yang awal menggunakan perkataan rakyat pada namanya. Dalam Putera, turut ada Hizbul Muslimin, ayahanda kepada PAS. Datuk Onn Jaafar juga keluar Umno dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP). Satu-satunya parti yang menggunakan perkataan merdeka.

Apabila Darurat, banyaklah pemimpin Putera ditahan dan lumpuhlah parti-parti anggotanya. Kemudian barulah Umno menggunakan slogan merdeka ketika parti-parti pesaingnya dilumpuhkan penjajah.

Maka untuk acara perisytiharan, Tunku Abdul Rahman membina Stadium Merdeka. Satu-satu tempat di negara ini ketika itu yang bernama merdeka. Ketika itu Dataran Merdeka masih bernama Padang Selangor Club.

Semasa laungan merdeka oleh Tunku di stadium itu, banyak pejuang kemerdekaan khususnya golongan kiri tidak ada. Mereka di penjara atau dalam hutan.

Pada awal kemerdekaan, perkataan nasional belum lagi digunakan. Untuk maksud itu, kerajaan menggunakan perkataan kebangsaan atau negara.

Maka National Mosque, National Monument dan National Museum menjadi Masjid Negara, Tugu Negara dan Muzium Negara. Tunku bina Stadium Negara bersebelahan Stadium Merdeka. Maka Stadium Negara itulah stadium nasional yang asal.

Perkataan nasional mula digunakan pada zaman Tun Razak. Selain Barisan Nasional, beliau juga menubuhkan Perbadanan Nasional (Pernas) dan Petronas.

Pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, banyak lagi nasional yanh digunakan iaitu Kereta Nasional (Proton), PNB, TNB dan tentunya Stadium Nasional yang hendak menggantikan Stadium Merdeka.

Stadium Nasional ini mula digunakan sempena Sukan Komanwel ketika mana Reformasi sedang memuncak dengan para demonstran turut beraksi di luar stadium itu.

Beberapa tahun sebelum itu, kerajaan menamakan Padang Kelab Selangor sebagai Dataran Merdeka. Ia berlaku ketika ada rancangan untuk meruntuhkan Stadium Merdeka untuk didirikan bangunan-bangunan tinggi.

Antara orang yang paling awal berucap membantah usaha  merobohkan Stadium Merdeka itu ialah Hishamudin Rais, salah seorang penggerak utama Himpunan Kebangkitan Rakyat.

Dalam perhimpunan 12 Januari itu, Anwar melaungkan merdeka sekali lagi. Laungan merdeka yang disifatkan sebagai untuk rakyat. Ini kerana buat pertama kali kumpulan-kumpulan yang boleh dikatakan sebagai mewarisi pejuang kemerdekaan dahulu telah hadir.

Antaranya ialah Parti Keadilan Rakyat sendiri dan Parti Sosialis Malaysia yang dari segi fahaman boleh dianggap mewarisi kumpulan-kumpulan kiri yang tidak dapat hadir pada 31 Ogos 1957 kerana berada dalam tahanan penjajah.

Di Malaysia, tidaklah ada stadium bernama Stadium Rakyat. Tetapi Stadium Merdeka yang dapat dipertahankan kewujudannya ini boleh dianggap stadium rakyat.

Sebelum Pakatan Rakyat ditubuhkan, parti-parti yang menentang Barisan Nasional pernah menamakan diri Barisan Rakyat di samping Barisan Alternatif.

Secara rasmi, pernah sebelum itu, ditubuhkan Gagasan Rakyat yang dianggotai oleh Parti Rakyat, DAP, Parti Bersatu Sabah dan Semangat 46. Ia dirangkaikan dengan PAS melalui keanggotaan S46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah.

Tetapi PAS-lah yang merintis gabungan parti bagi menentang
Barisan Nasional dengan menubuhkan Harakah Keadilan Rakyat yang turut dianggotai oleh Parti Rakyat dan Parti Nasionalis Malaysia.

Nampaknya ada juga perkataan nasional sebagai nama parti dalam gabungan penentang Barisan Nasional. Begitu juga dengan perkataan keadilan. Tetapi parti pertama keadilan ialah Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas) serpihan daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia. Di Indonesia pasca Reformasi, parti Islam utamanya ialah Partai Keadilan Sejahtera.

Parti-parti lama lain yang terkenal  menggunakan perkataan rakyat ialah Parti Rakyat Progresif (PPP), Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) dan Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura yang kesemuanya asalnya kiri.

Tetapi Parti Rakyat yang ditubuhkan oleh pemimpin-pemimpin kiri Melayu yang dibebaskan pada tahun 50-an menganggap parti itu sebagai pewaris kepada PKMM dan Pusat Tenaga Rakyat (Putera).

Putera gagal untuk menjadi badan yang mencapai kemerdekaan negara. Sebaliknya Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, seorang putera raja yang bukan saja membawa negara ini kepada kemerdekaan tetapi juga penubuhan Malaysia.

Kini Putrajaya adalah kota pentadbiran yang namanya mengambil sempena gelaran putera raja perdana menteri itu..

Tetapi Pakatan Rakyat yang kini berhasrat untuk menduduki Putrajaya membawa hasrat rakyat yang diwarisi sejak zaman Putera atau Pusat Tenaga Rakyat yang bersama Majlis Tindakan Bersama Seluruh Malaya mempelopori Perlembagaan Rakyat dan bendera Sang Saka Malaya.

Namun, apa yang diwarisi tidak serupa dengan hasrat rakyat akan datang. Dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat, kehadiran NGO daripada pelbagai tuntutan adalah wakil sebenar rakyat terutama golongan muda yang merupakan masa depan negara.

Tiada ulasan:

Pengikut