Oleh AZAMIN AMINSidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah kali ke-12 bermula dengan keberangkatan Yang Teramat Mulia (YTM) Dato' Seri Utama
Tan Seri Tunku Annuar AlHaj Ibni Almarhum Sultan Badlishah selaku
Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah ke Istiadat Pembukaan Mesyuarat
Bajet 2013, 20 November lalu.
Perasmian sidang DUN
dimulakan dengan titah ucapan YTM yang memuji dan rakaman tahniah kepada
pasukan Menteri Besar Kedah Dato' Seri Diraja Ustaz Azizan Razak yang
telah berusaha keras melaksanakan dasar kerajaan demi kesejahteraan
rakyat negeri ini.
"Saya mengucapkan tahniah kepada Yang Amat
Berhormat Menteri Besar yang bekerja keras merancang dan melaksanakan
pelbagai program bagi memajukan negeri Kedah khasnya dalam bidang
pertanian, pendidikan dan kesejahteraan rakyat.
"Usaha-usaha yang dijalankan telah pun menampakkan kejayaannya," titahnya.
Sidang
DUN kemudian diwarnai dengan arahan Speaker DUN Dato' Dr Abdul Isa
Ismail tidak mengizinkan Adun Kuala Nerang Dato' Syed Sobri Syed Hashim
mengambil bahagian pada Sidang Bajet kali ini kerana belum dapat
memutuskan status terkini berhubung kes muflis wakil rakyat tersebut
yang menyebabkannya hilang kelayakan sebagai ADUN.
"Saya juga
dinasihatkan oleh Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pejabat
Peguam Negara untuk mengumpul dan mengesahkan semua dokumen yang
berkaitan untuk menentukan kedudukan beliau seterusnya," katanya.
Sebelah
petang hari yang sama sesi sidang DUN menyaksikan pembentangan Bajet
oleh Ustaz Azizan selama sejam yang menyatakan kerajaan negeri
menyediakan peruntukan berjumlah RM1.1 bilion bagi melaksanakan semua
program dan projek yang disusun rapi bagi memajukan Negeri Kedah demi
meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Beliau memulakan ucapan Bajet
itu dengan petikan dua surah al-Quran tentang nikmat Allah (Surah
Ibrahim Ayat 34) dan menggunakan nikmat yang ada kepada jalan kebaikan
(surah al-Hajj ayat 41).
Ustaz Azizan menyentuh pelbagai sektor
termasuklah pencapaian Kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di
Kuala Ketil akan dirasmikan pada awal 2013 yang bakal disempurnakan oleh
Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.
Sidang DUN hari kedua,
22 November bermula jam 9 sehingga 10 pagi hanya tiga soalan lisan
berjaya dikemukakan iaitu berkenaan Khutbah Jumaat, isu Kerajaan
menanggung beban kerajaan terdahulu dan kemerosotan prestasi bola sepak
Kedah.
Namun, dewan menjadi 'sunyi' tatkala pendedahan dibuat oleh
Exco Kerajaan Negeri, Dato' Ir Amiruddin Hamzah (PAS-Anak Bukit)
berhubu8ng projek-projek sakit BN Kedah terdahulu sehingga menyebabkan
kerajaan Pakatan Rakyat kini terpaksa menanggung beban tuntutan saman
dan hutang.
Antaranya Seri Temin Development Corporation (M) Sdn
Bhd (STDC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Kedah telah menggunakan
wang syarikat untuk membiayai aktiviti Umno sebelum 2008 yang lalu.
Ketika Amiruddin memberi jawapan, Adun-adun BN lebih banyak 'menikus' dan tunduk kerana bimbang 'tercucuk' mata sendiri.
Kata
Amiruddin STDC di masa BN telah membuat pembayaran di bawah item
'sumbangan' sebanyak RM8 juta dan daripada jumlah itu RM7.5 juta tidak
mendapat pengecualian cukai kerana sumbangan kebanyakannya dibuat untuk
membiayai aktiviti politik Umno, kata Amirruddin.
"Sumbangan
digunakan antaranya untuk membeli t-shirt dan tudung untuk Pemuda dan
Puteri Umno serta pelbagai tajaan untuk kempen Umno sewaktu pilihan raya
kecil di Ijok.
"STDC di bawah Pakatan Rakyat kena jelaskan cukai
RM3.1 juta dan 'penalty' RM1 juta kerana pengurusan lama lambat bayar
cukai tanpa rebat pengecualian," katanya.
Kemudian dalam jawapan
berkaitan bola, kedangkalan terserlah apabila wakil BN Dato' Ahmad
Bashah (BN-Bakar Bata) dalam soalan tambahan menyarankan agar kerajaan
'ditukar' berikutan kekalahan dan kemerosotan prestasi pasukan bola
sepak Kedah sejak mutakhir ini.
Ini termasuklah menukar Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang kini disandang oleh Ustaz Azizan.
Namun
soalan tambahan Bashah, merupakan 'bola tanggung' yang berjaya dilibas
tepat ke muka beliau oleh Exco Kerajaan Negeri Dato' Hamdan Khalib
(PAS-Tanjung Dawai) dalam jawapan balasnya.
"Kalau itu dijadikan
ukuran, maka kerajaan BN dan Perdana Menteri mesti ditukar...sebab
pasukan bolasepak Malaysia kalah dan jatuh dalam ranking dunia!
"Kita
jangan jadikan bola sepak sebagai bahan politik. Biar kita sama-sama
bangunkan dan sokong pasukan bola sepak kita," katanya.
Sesi
membahas titah ucapan, kemudiannya berlangsung selepas soalan lisan,
menyaksikan semua Adun-adun diberi peluang berucap sehingga memakan masa
sampai jam 9.00 malam.
Hari terakhir Sidang DUN, 4 soalan lisan
dikemukakan dan antara yang menarik perhatian ialah jawapan cukup tenang
dan telus oleh Amiruddin berhubung isu kegagalan projek Papua New
Guinea (PNG).
Setelah selesai menjawab Amiruddin sekali lagi
menegas bahawa kegagalan PNG berpunca daripada salah maklumat dan
bukannya membabitkan rasuah atau penyelewengan.
"Namun, jika terbukti bersalah, kita tidak akan melindungi sesiapa yang terlibat dengan rasuah dan penyelewengan," katanya.
Kira-kira jam 11.40 pagi Abu Hasan Sarif (BN-Kota Siputeh) yang ingkar arahan Spekar diarah untuk meninggalkan dewan.
Beliau tidak berpuas hati kerana Lim Soo Nee tidak memberi laluan untuk mencelah ketika sesi sedang menggulung perbahasan.
Lim
menyatakan bahawa selepas selesai beliau akan memberi laluan namun
tidak diendahkan oleh Abu Hassan yang mendakwa bahawa pihak kerajaan
tidak mengamalkan sistem demokrasi.
Speaker DUN menegur dan
mengarahkannya Abu Hassan duduk sebanyak dua kali namun beliau ingkar
menyebabkan Abdul Isa mengarahkan Abu Hasan keluar sambil diiringi
Bentara Dewan.
Abu Hasan kemudiannya mengajak adun-adun BN untuk
bersamanya untuk keluar sedangkan ada antara mereka yang teragak-agak
dan berbelah bahagi untuk menuruti permintaan Abu Hassan.
Setelah
merayu dan melaungkan suara sebanyak tiga kali:"Saya mintalah
rakan-rakan semua keluar dewan", barulah masing-masing bangun
meninggalkan dewan kecuali Adun Bebas Tan Wei Shu.
Setelah 15 minit berada di luar dan membuat sidang media, barulah semua adun BN memasuki Dewan semula kecuali Abu Hassan.
Tepat
jam 5.00 petang, giliran Ustaz Azizan menggulung perbahasan dan
menyentuh semua kritikan dan perkara yang dibangkit adun BN.
Beliau mengambil sikap menghormati semua teguran yang diberikan meskipun hujah adun BN tidak berasaskan fakta yang tepat.
"saya
rai dan hormati pandangan semua...walaupun ada yang dapat maklumat yang
salah. Itu hak mereka tetapi yang penting hubungan kita berlangsung
secara aman seperti adik-beradik.
"Tujuan kita berkhidmat sebagai
wakil rakyat adalah untuk kesejahteraan rakyat...biatrlah berpolitik,
berparti tetapi sesama kita hubungan sentiasa baik," katanya.
Ustaz
Azizan yang sudah berpengalaman berada di siadang DUN selama 18 tahun
kemudian melahirkan rasa syukur, kerana Kedah berada dalam keadaan
sejahtera tanpa ketegangan yang melampau seperti di tempat lain.
Harapannya
ialah supaya Kedah menjadi contoh kepada yang lain dalam memelihara
keharmonian meskipun masing-masing berlainan ideologi politik.
Beliau
mengakhiri penggulungan dengan nada sayu, merakam terima kasih kepada
semua Adun dan memohon maaf memandangkan Sidang DUN kali ini merupakan
yang terakhir sebelum berdepan Pilihan Raya Umum ke-13.
"Saya
bersyukur kerana Kedah aman dan sejak 1990 bersama Fadzil Noor (Almarhum
Presiden PAS) sehingga kini...kita boleh duduk sekali.
"Dan saya
memohon maaf kepada semua atas apa-apa yang tidak dapat ditunaikan. Moga
kita semua mendapat keberkatan Allah di dunia dan akhirat," katanya.
Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini
Selasa, 27 November 2012
Bila Ustaz Azizan bidas hujah pembangkang Dun Kedah
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan