Berita/Artikel/Isu Semasa Terkini

Sabtu, 20 Februari 2010

PENTING DAN UTAMA

Penting bermaksud amat perlu, sangat berharga (berguna) atau mustahak. Sementara utama pula membawa maksud penting sekali, terpenting atau boleh juga dimaksudkan dengan paling baik, amat baik atau terbaik.

Kedua-dua kalimah ini saling berkait rapat antara satu sama lain dan sering kita gunakan di dalam kehidupan harian baik yang menyentuh tentang perbuatan, pemikiran,hukum-hakam dan nilai-nilai akhlak mulia yang berkaitan dengan diri, keluarga, pekerjaan, jamaah dan lain-lain. Namun apa yang ingin dibincangkan di sini ialah penting dan utama di dalam konteks kerja jamaah yang sedang kita laksanakan sekarang.

Keperluan memahami secara bersungguh-sungguh mengenai kepentingan dan keutamaan adalah suatu yang amat mendesak. Ini kerana dengan memahaminya kita akan berlaku adil di dalam meletakkan sesuatu pekerjaan samaada ia paling penting, penting, kurang penting dan selanjutnya.
SIKAP SAHABAT R.A.
Para sahabat r.a. adalah manusia yang sangat mengambil berat untuk mengetahui perkara-perkara dan perbuatan-perbuatan yang sangat penting dan diutamakan. Hasilnya mereka dapat menjadikannya sebagai wasilah untuk melakukan taqarrub kepada Allah SWT. Justeru itu, mereka kerap kali bertanya kepada Baginda SAW mengenai perbuatan-perbuatan yang paling diutamakan dan disukai Allah SWT.

Contohnya, saidina ‘Amr ibn ‘Absah r.a. berkata: Seorang sahabat bertanya kepada Baginda SAW: Apakah Islam? Baginda bersabda: “Engkau berserah diri sepenuh hatimu kepada Allah dan orang-orang Islam terselamat daripada gangguan lidah dan tanganmu”. Sahabat itu bertanya lagi: Amalan apakah yang paling utama dalam Islam? Baginda menjawab: “Iman”. Sahabat itu bertanya lagi: Apakah iman itu? Baginda menjawab:”Engkau percaya kepada Allah, Malaikat, kitab-kitab, Rasul-rasul dan kebangkitan setelah mati”. Dia bertanya lagi: Apakah iman yang paling utama? Jawab Baginda:”Hijrah”. Dia bertanya lagi: Apakah hijrah itu? Jawab Baginda:”Engkau meninggalkan perbuatan yang buruk”. Sahabat itu bertanya lagi:Apakah hijrah yang paling afdhal? Baginda menjawab: “Berjihad”. Dia berkata lagi: Apakah jihad itu? Baginda menjawab:”Engkau perangi orang-orang kafir yang memerangi kamu apabila kamu menjumpai mereka” Katanya lagi: Apakah jihad yang paling baik? Jawab Baginda :”Sesiapa yang darahnya sampai mengalir dan kudanya sampai terbunuh”. (Imam Ahmad)

DIRI DAN JAMAAH
Sudah menjadi kefahaman umum anggota jamaah, andainya berlaku pertembungan antara kepentingan peribadi dengan kepentingan jamaah sudah tentu pada kedudukan biasa keutamaannya kepada jamaah, kecuali pada waktu uzur syar’ie yang mengizinkan kita mendahulukan diri dan keluarga.

JAMAAH DAN KERAJAAN
Dalam konteks jamaah PAS di Kedah, ini adalah suatu yang baru. Peringkat awal PR menguasai kerajaan di Kedah rata-rata menyebut jamaah paling utama dan ia adalah segala-galanya. Menjaganya sama seperti sahabat Nabi yang menjaga dan mengawal Bukit Uhud. Kegagalan menjaga jamaah mengundang bala seperti sahabat yang gagal mematuhi perintah Nabi untuk menjaga Bukit Uhud.

Namun, sesudah hampir 2 tahun penguasaan PR di Kedah, pengalaman mengendali sebuah kerajaan mula difahami oleh pelbagai pihak. Perit getir, pahit maung dan suka duka serta kemanisannya mula dirasai dan dihayati. Kasih kepada kerajaan makin menguasai hati dan keperluan mempertahankan kerajaan dilihat amat penting dan utama. Banyak sudah polisi, perancangan dan gerakkerja yang disusun atur mula menampakkan hasil yang baik. Semua itu akan hancur berkecai jika BN kembali menguasai negeri ini.

Jelaslah bahawa menjaga kerajaan sama seperti menjaga jamaah, tarafnya seperti menjaga dan mengawal Bukit Uhud juga. Mungkin boleh juga sebagai bandingan, jika dahulu kita mempunyai seorang isteri, tetapi sekarang kita sudah memiliki dua isteri, walaupun kasih sayang berbeza antara satu sama lain, namun kewajipan dan tanggungjawab keatasnya adalah sama.

Maksudnya kepentingan dan keutamaan menjaga jamaah serta menjaga kerajaan adalah sama taraf. Tanpa menafikan kata-kata, “kerajaan boleh pergi dan datang tetapi jamaah mesti kekal”, namun sewaktu Allah masih amanahkan kepada kita kerajaan ini, ianya mesti dipelihara dengan baik dan hendaklah diingat andainya ia diragut oleh BN maka sukarlah pada adatnya untuk kita mendapatkannya kembali.

KERAJAAN YANG KUAT
Ketahanan dan kekuatan kerajaan terletak kepada kekuatan jamaah yang kita dokongi. Kekuatan jamaah pula terletak kepada komitmen pimpinan dan ahli di semua peringkat. Ahli mesti membayar yuran, hadhir menjayakan program dan patuh kepada arahan pemimpin serta berusaha menampilkan akhlak yang baik sesuai dengan anggota jamaah Islam. Pemimpin pula mesti iltizam dengan kepimpinannya. Ini dibuktikan melalui perlaksanaan tanggungjawab dan amanah kepimpinan.

Pemimpin utama peringkat negeri mesti merancang, melaksana, mengelola dan memantau gerakkerja anak buahnya. Pemegang lajnah peringkat negeri mesti menggerakkan lajnah dan selalu bermuhasabah untuk menilai kejayaan lajnah serta pencapaiannya. Demikian pemimpin peringkat kawasan dan cawangan, semuanya mesti berperanan dengan baik agar jamaah jadi kuat dan teguh.

Jika kita focus secara khusus kepada pemuda usaha meramaikan ahli sukarelawan pemuda, membanyakkan penubuhan jawatankuasa pemuda cawangan (JPC), menggandakan usaha mendaftar pemilih baru serta mentarbiyah anggaota jamaah mesti berjalan dengan bersungguh-sungguh. Jika tidak kita hanya bercakap kosong, tidak berdiri diatas kekuatan yang sebenar.
Untuk memenangi pilihanraya bagi mempertahan kemenangan, daftar pemilih adalah senjata utama, tetapi hingga hari ini 293 614 orang di negeri kita belum mendaftar sebagai pemilih. Dan untuk mencapai kemenangan kita memerlukan minima sebanyak hampir 100 ribu orang mendaftar dari kalangan penyokong kita.

PARTI YANG MENGUASAI
Anggota jamaah amat mengharapkan konsep parti menguasai kerajaan mesti berjalan dengan baik. Suara ahli dan pimpinan parti serta penghargaan kepada suara mereka mesti dilakukan dengan sebaiknya.

Ahli dan pimpinan parti pula jangan sekali-kali dipinggirkan atau rasa terpinggir kerana merekalah jentera sebenar yang mempertahankan kerajaan. Pegawai kerajaan hanya melaksanakan tugas dalam ruang lingkup kerja mereka dan sering memikirkan imbuhan yang mereka peroleh berbanding anggota jamaah yang bekerja tanpa sebarang imbuhan dan pengorbanan mereka tidak terbatas bahkan sanggup berjuang hingga ketitisan darah yang akhir.
Namun tidak dinafikan, untuk memuas hati semua pihak bukanlah suatu yang mudah bahkan mustahil untuk dicapai namun usaha menjaga hati mesti dilakukan secara bersama. Jangan dibiarkan ahli terasa hati, kecil hati atau jauh hati terhadap tindak tanduk kita baik di dalam kerajaan atau parti.

Mungkin ahli parti terasa terpinggir di sebabkan perhatian kita kepada mereka makin berkurangan sejak ada “dua isteri”, atau mereka kecewa apabila melihat kerajaan yang kita pimpin belum melaksana apa yang kita perjuangkan selama ini. Ahli mesti selalu dirapati dan penjelasan mesti selalu diberi agar ia faham apa keutamaan kerajaan sekarang.

MURABITHUN
Demi menjamin keutuhan jamaah yang akan menjaga kerajaan, maka usaha melahirkan murabithun (pekerja sepenuh masa) di dalam jamaah amat perlu diberi perhatian. Usaha melahirkan pelapis dan pewaris perjuangan mesti juga diberi perhatian utama.

Pemegang jawatan dalam jamaah sekarang terasa bebanan amanah terlalu banyak, pertindihan jawatan di pelbagai peringkat, bebanan kerja jamaah dirasa terlalu berat, maka pada ketika itu alangkah gembiranya jika kita memiliki pelapis amilin yang bertaraf murabithun. Justeru itu, usaha melahirkan pelapis mesti menjadi tajuk penting yang perlu difikirkan bersama. Ayuh tingkatkanlah usaha dan gandakanlah mujahadah kita. Allahu Akbar!.... Wassalam.

Tiada ulasan:

Pengikut